5 Formula untuk menjadi calon syurga - MTDM 21.02.2014
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu
Bakar Al-Hamid*
MTDM 21.02.2014
MTDM 21.02.2014
Video rakaman (20 minit sahaja, kerana kekangan teknikal MTDM):
https://www.youtube.com/watch?v=JvHLM3waY8w#t=22*TAMBAHAN*
Sumber ramakan audio (PENUH)
Surah Ali-Imran, ayat 129-136
Ayat 129:
Dalam ayat 129, Allah memberitahu bahawa segala yang ada di
bumi dan dilangit adalah milik Allah. Segala yang berlaku di antara keduanya,
atau pada kedua-duanya, adalah diketahui oleh Allah. Tidak berlaku sesuatu pun
kecuali telah diketahui Allah akan sesuatu akan berlaku, oleh kerana yang
Memiliki pasti mengetahui dengan jelas tentang apa yang dimiliki.
Dan milik Allah semua yang ada di langit dan di bumi,
termasuk waktu. Perubahan waktu adalah menunjukkan kejadian yang berlaku. Hari
ini kita berada pada satu waktu yang esok adalah berbeza dengan hari ini. Tidak
siapa pun daripada kita yang akan tahu apa akan berlaku esok, walaupun kita
sudah merancangkan apa yang kita akan buat hari esok. Dan kita pun tahu esok
matahari akan terbit, tapi pengetahuan kita bukan jadi penentu akan terbitnya
matahari.
Rancangan kita pada hari bukan menjadi kepastian akan
berlaku esok. Tak seorang pun daripada makhluk yang sedang berada saat ini, tahu
apa yang berlaku hari esok. Tapi perkara itu adalah tidak ghaib bagi Allah SWT.
Allah tahu apa yang di langit, apa yang di bumi, apa akan berlaku hari ini,
esok, lusa, tahun hadapan sampai akhir zaman.
Sepertimana juga Allah tahu nasib masing-masing daripada
manusia kita, yang nasib itu belum berlaku, tapi diketahui oleh Allah SWT. Tak
seorang pun daripada kita tahu nasib kita esok, lusa atau penghujung hidup
kita. Oleh demikian, Allah beritahu terlebih dahulu bahawa semua yang ada di
atas bumi, dan perkara yang berlaku adalah di dalam pengetahuan Allah. Jadi, kamu manusia, jangan menentukan nasib
kamu sendiri dan jangan menentukan nasib orang lain. Kamu tak tahu nasib
kamu, apatah lagi nasib orang lain!
Ayat ini juga menjelaskan juga bahawa - Allah akan ampunkan
sesiapa yang ingin diampunkan dan Allah mengazab sesiapa yang Allah ingin diazab
oleh Allah.
Oleh itu wahai manusia - orang yang kamu doakan kehancuran
atau dibinasakan. Doa kamu bukan menjadi penentu nasib orang yang kamu doakan
dengan kehancuran, sebab kuasa Allah
mungkin mengampunkan orang yang kamu doakan kehancuran ataupun menghukum kepada
orang yang kamu doakan dihukum Allah Taala. Kamu mendoakan – tapi yang menjadi
penentu bukan diri kamu.
Ayat ini turun ketika Rasulullah SAW mendoakan kepada beberapa
orang daripada musyrikin Quraisy agar dihancurkan oleh Allah SWT. Dalam ilmu-Nya Allah, yang tidak didahului
dengan ketidaktahuan seperti ilmu manusia. Sebab tidak tahu itu sifat lemah dan
Allah tak punya sifat seperti itu. Allah tahu perkara yang belum berlaku, yang
sedang berlaku dan yang akan berlaku.
Di antara ilmu Allah Taala ialah orang yang didoakan
Rasulullah SAW itu akan diampunkan Allah Ta'ala. Jadi, bila Nabi Muhammad SAW
mendoakan agar mereka dihancurkan, dan Allah turunkan ayat ini – Milik Allah
segala yang di langit dan di bumi, dan Allah yang berhak mengampun atau
mengazab.
Nabi SAW mendoakan kehancuran kepada mereka dan diingatkan
oleh Allah SWT. Rasulullah SAW pernah berdoa minta ampun pada sesuatu golongan
tapi Allah tak ampunkan dan Rasulullah SAW juga pernah berdoa minta kehancuran
tapi Allah mengampunkan. Allah yang berhak mengampun atau mengazab kepada
sesiapa yang dikehendaki-Nya. Manusia tidak berhak melakukannya.
Walaupun begitu, kita digalakkan untuk mengucapkan
“Astaghfirullah lil mukminina wal mukminat” 27 kali sehari, yakni memohon ampun
untuk seluruh kaum mukmin dan mukminat, tetapi yang berhak mengampunkan
hanyalah Allah SWT. Kita meminta, tapi yang Allah berhak mengampun atau
mengazab mengikut kehendak-Nya.
Maka, ayat ini mengingatkan bahawa segala yang berlaku di
bumi ini adalah dalam pengetahuan Allah dan segala perkara adalah ditentukan
Allah – Allah Maha Pengampun Lagi Mengasihani.
Ayat 130:
Ayat tentang riba telah dibahaskan dengan panjang lebar
dalam ayat surah Al-Baqarah. Tapi dalam ayat ini, Allah nyatakan “Jangan makan
riba secara berlebihan (berlipat-ganda).”
Bagi orang yang suka bermuamalat dengan riba – mereka
menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk kata boleh ambil riba tapi jangan
berlebih-lebih, sedikit saja boleh.
Orang zaman kita sekarang ini menggunakan ayat Quran atau
hadis untuk menyokong idealoginya, bukan menggunakan Quran untuk mengukur
ideologinya dengan Quran! Kena faham Quran dulu, baru tengok apa yang kita
fahami itu sesuai atau tidak. Kita bukan nak sesuaikan Al-Quran mengikut fahaman kita, tetapi
sesuaikan fahaman kita dengan Quran, baru akan lurus.
Ada orang kata dalam Quran tidak disebut tentang aurat
contohnya. Dalam satu kisah, Abdullah ibnu Mas’ud melarang isterinya memakai
sanggul tinggi, tetapi isterinya berkata, “Tak ada pun dalam Quran”. Jawab
beliau, “Ada dalam Quran.” Istering bertanya, “Mana ayatnya?”. Jawab Abdullah.
“Yang datang daripada Rasulullah SAW kamu kena ambil, yang dilarang kamu kena
tinggalkan.”
Kalau kita nak berhujah semuanya dengan Al-Quran memang tak
boleh kerana contohnya dalam Al-Quran disebut cuma 3 waktu solat tapi kita kena
solat sehari semalam 5 waktu.
Allah SWT menyebut 3 waktu solat dalam Al-Quran bukan menunjukkan waktu solat itu ada 3, tapi
menunjukkan 3 waktu solat yang berkaitan dengan pergerakan matahari – waktu
tegak matahari iaitu Zohor, waktu terbit fajar – Subuh, dan waktu terbenam
matahari iaitu Maghrib.
Jadi, bagaimana kita solat 5 waktu? Kerana “Yang datang
daripada Rasulullah SAW kamu kena ambil, yang dilarang kamu kena tinggalkan.”
Jadi, berbalik kepada ayat ini – Ada orang yang mengatakan
riba itu sedikit boleh, banyak tak boleh. Ayat ini berkaitan dengan ayat-ayat sebelumnya,
yang menceritakan tentang perang Badar dan Uhud. Apa hubungan antara ayat
perang, perlanggaran arahan Rasulullah SAW kekalahan, dan kemudian ayat riba?
Kata Imam Al-Sha’rawi – pandangan pentafsir mengatakan bahawasanya
kekalahan yang dialami oleh kaum muslimin dalam Perang Uhud adalah kerana ‘ghanimah’
iaitu harta lebih, yakni harta milik orang lain yang ditinggalakan dalam
peperangan.
Riba itu secara bahasa ialah ‘harta yang lebih’ daripada apa
yang kita punya.
Contohnya riba pinjaman – sepatutnya bayar 2000 tapi dia
minta bayar 2% lebih. Jadi, yang lebih itu ialah riba.
Maka, oleh kerana kekalahan kaum muslimin disebabkan
keinginin untuk mengambil harta yang lebih itu, maka demikian juga kekalahan
dan kehancuran dalam ekonomi akan berlaku bilamana seseorang itu mengambil
lebih daripada apa yang menjadi haknya.
Jadi, ayat ini bukan hanya merujuk kepada riba yang
berlipat-ganda, tapi ayat ini menunjukkan yang riba itu hukumnya haram,
sepertimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 275:
Rasulullah SAW bersabda, “Akan datang satu zaman, yang mana tak seorang pun terselamat daripada
memakan riba, kalaupun ada yang selamat daripada makan hasil riba, hartanya
terkena debu daripada riba.”
“.. hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu
berjaya.”
Ada 2 golongan yang diperangi Allah SWT - orang yang memusuhi para auliya’ Allah, dan
kedua ialah orang yang memakan riba.
Kenapa riba diharamkan? Agar orang senang tidak menindas
orang miskin yang memerlukan bantuan. Orang miskin meminjam kerana perlu.
Namun, ada juga orang yang miskin kerana dia ingin hidup dalam kemewahan –
contohnya dia boleh beli yang sederhana tapi dia nak yang mewah – dia boleh
beli Proton, tapi nak beli Mercedes, dan kemudia gunakan sistem riba untuk
membiayainya.
Kemahuan biarlah sesuai dengan kemampuan seseorang. Kalau manusia
bergerak mengikut kemampuannya, makan takkan ada yang makan riba. Bila
seseorang redha dengan kemampuannya, dia akan menikmati kehidupannya seadanya.
Ayat 131:
Takut kepada api neraka maknyanya takut kepada perbuatan
yang boleh menghantar kamu kepada neraka.
Ayat 132:
Dalam ayat ini digandingkan Allah untuk taat kepada Allah DAN taat kepada Rasulullah SAW, tak boleh dipisahkan!
Tahukah apa itu taat? – taat itu pasrah, ikut cakap Allah
dan Rasul-Nya walaupun kita tak faham, walaupun kita tak mengerti.
Dan banyak perkara yang masih ‘asraf’? Yang kita melakukan
dengan dasar iman kepada Allah SWT.
Kenapa rakaat salat berbeza?
Kenapa tawaf sebegitu?
Kenapa melontar sebegitu? Kenapa perlu berada di Mina? Kenapa? Kenapa?
Hakikat yang sebenar ialah kita melakukan keran ketaatan
kepada Allah SWT!u
Nabi Musa disuruh oleh Allah SWT mengetuk tongkatnya di
hadapan laut – ikut hukum logik, apa kena mengena tongkat dengan laut? Akan terkesankah
tongkat dengan laut yang besar itu? Tapi ketaatan kepada Allah – disuruh buat.
Demikian juga dengan para Rasul: dalam perang Badar, pedang
seorang sahabat patah dan dia datang kepada Rasulullah SAW untuk mengadu
halnya. Sahabat itu diberi ranting yang patah dan dikata kepadanya,
“Berperanglah kamu dengan ini.” Ikut hukum logik – tak logik untuk berperang
dengan ranting, tapi bila datang daripada Rasulullah SAW diambil! Setelah
diambil, ranting merubah menjadi pedang, dan diberi nama ‘Al-‘Aun’ dan menjadi
sebab pertolongan datang daripada Allah SWT.
“Taatlah kepada Allah dan Rasul, supaya kamu dirahmati.”
Kalau kamu tidak taat kepada Allah, dan tidak taat kepada Rasul,
kamu tak akan dirahmati oleh Allah. Mesti taat kedua-duanya.
Sayyidina Umar r.a
pernah didatangi seorang Munafik dan seorang Yahudi yang ada masalah untuk
diselesaikan. Mereka telah pergi kepada Rasulullah SAW, tapi mereka tidak puas
hati dengan keputusan Rasulullah SAW dan ingin pendapat Sayyidina Umar r.a
pula. Sayyidina Umar pun bertanya jika mereka telah bertemu Rasulullah SAW, dan
bila diceritakan sudah tapi mereka tidak puas hati dengan jawapan Rasulullah
SAW, maka Sayyidina Umar pun suruh mereka tunggu sekejap sementara dia masuk ke
dalam. Apabila keluar semula, beliau membawa pedangnya sekali! Ini kerana
Sayyidina Umar tidak untuk tidak mentaati keputusan yang telah diberikan oleh
Rasulullah SAW.
Kita perlu ingat yang tiada ajaran Rasulullah SAW yang tidak
cantik. Hanya hikmahnya belum kita jumpa. Tapi yang kita tak jumpa hikmahnya,,
belum tentu
Kalau orang mengorek perigi untuk cari air, tapi tak
berjumpa, tak bermakna tidak ada air. Kena teruskan mencari. Kalau anda tak
jumpa, mungkin orang lain jumpa.
Ayat 133:
Bersegera dalam konteks ini bermakna jangan menunda-nunda
daripada menunaikan amalan untuk mendapatkan keampunan Allah. Adalah aib apabila itu seseorang itu menunda-nunda perbuatan
baik.
“… dan syurga yang seluas langit dan bumi…”
Luasnya syurga adalah seluas langit dan bumi – apa maknanya? Ada beberapa pandangan, iaitu:
Pandangan 1 – syurga itu memang luasnya seluas langit dan
bumi
Pandangan 2 – menunjukkan yang syurga itu amat luas sehingga
tak dapat dibayangkan lagi sejauh dan sebesar mana luasnya.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang syurga itu adalah
sesuatu yang mata tak pernah memandang, telinga tak pernah mendengar dan tidak
pernah pun terlintas di hati manusia.
Ayat 134:
Syurga dikhaskan untuk orang yang bertaqwa. Apakah sifatnya
orang yang bertaqwa itu? Sifatnya adalah:
1. Orang yang suka berinfak masa senang DAN susah.
Berinfak masa senang memang senang, tapi masa susah, tak
semua orang mampu melakukannya. Kenapa orang ketika senang berinfak, ketika
susah pun berinfak? Sebab orang itu suka untuk mendatangkan manfaat kepada
orang lain tanpa mengira keadaan semasanya. Jika seseorang berinfak pada waktu
senang, belum tentu dia akan berinfak ketika susah. Tapi orang yang mampu
berinfak ketika senang dan susah adalah orang yang pemurah.
Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan
syurga, dan jauh daripada neraka. Orang yang kedekut/bakhil (tak berinfak
ketika senang, apatah lagi ketika susah) jauh daripada Allah, jauh daripada
syurga dan dekat kepada neraka.
Orang yang suka bersedekah akan didoakan malaikat agar
hartanya itu diganti, dan orang yang bakhil pula akan didoakan kehancuran
kepadanya.
Harta yang disimpan itu bukannya semakin banyak, tapi ada ‘kehancuran’
di situ. Kehancuran tak semestinya bankrupt, tapi membawa makna ketidaktaatan
kepada Allah ada di situ. Mungkin orang bakhil itu nampak kaya, tapi hakikatnya
itu ‘istidraj’ – zahirnya nampak hebat tapi dia akan dihukum Allah Ta’ala. Oleh
itu, biasakan diri berinfak setiap hari, walaupun sedikit.
2. Orang yang menahan marah.
Marah ini ialah sifat yang ada pada manusia, tapi tak
berlaku pada setiap saat, ianya akan muncul apabila ada sentuhan atau sebab
tertentu.
Awalnya marah tidak ada tapi bila ada sesuatu acara berlaku,
yakni ada sentuhan daripada luar, ia akan berlaku. Kita perlu agar tak mudah
terpancing dengan marah. Peringkat marah berbeza antara satu dengan lain - ada
yang dicela dan ada yang dipuji.
Marah yang dicela apabila yang berkaitan perkara yang tak
sepatutnya. Sabda Rasulullah SAW, “Bukanlah orang yang kuat itu orang yang kuat
bergusti, orang yang kuat itu ialah orang yang mampu mengawal marahnya.”
Dalam nasihat-nasihat Rasulullah SAW kepada orang yang datang
meminta nasihat ialah “Jangan marah.”
Orang yang melatih dirinya menahan marah – lama-lama dia
akan terbimbing untuk tidak marah walau dipancing oleh marah. Tetapi orang
tidak belajar menahan marah, semakin lama, dengan perkara yang kecil pun dia
akan meluap-luap marah.
Orang yang melatih untuk tahan marah, pada akhiranya dia akan
sampai peringkat tak mudah marah, dan dia akan sampai peringkat takkan marah
kecuali perkara berkaitan hak Allah.
Permulaan ialah menahan marah. Tapi ini tka bermakna kita tak
boleh marah. Kata pepetah, “Orang yang tidak marah, dia itu seperti keldai.”
Kita bukan disuruh tak boleh marah, tapi kena tahan marah.
Kalau nak marah,
marah kerana Allah, kalau nak cinta, cinta kerana Allah.
Marah kerana Allah ialah marah yang dipuji. Jadi, jika nak jadi calon masuk
syurga, kena tahan marah! J
3. Orang yang memaafkan kepada orang lain
Terkadang orang boleh tahan marah, tapi dia tak boleh
maafkan. Jika boleh maafkan maknanya sifat marah itu tak disimpan dalam hati.
Apa saja yang kita hadapi, memerlukan reaksi daripada kita.
Kita tidak perlu menyikapi keadaan lebih daripada yang sepatutnya. Kata pepatah
Arab, “Ubati penyakit sesuai dengan sakitnya.” Jadi, perkara kecil jangan
dibesar-besarkan.
Tidak ada orang yang suka memaafkan orang lain, kecuali dia
paling banyak mendapat maaf daripada Allah SWT.
4. Buat baik kepada orang yang buat seseorang marah
Mula-mula disuruh tahan marah, yang kedua disuruh buang
marah, yakni memaafkan, yang ketiga disuruh berbuat baik kepada orang yang sebabkan
kita marah. Tengok bagaimana Allah mendidik hawa nafsu manusia – kita, kalau
berubat dengan Al-Quran, tiada orang yang akan lebih bahagia daripada kita.
5. Bila berdosa, beristighfar dan bertaubat kepada Allah
Ingat (takut) kepada Allah bilamana berbuat dosa besar atau
kecil dan bertaubat kepada-Nya.
Jadi, kesimpulannya, 5 sifat orang beriman (bertaqwa) yang
akan menghuni syurga yang seluas langit dan bumi:
- 1. Memberi sedekah ketika senang dan susah
- 2. Menahan marah
- 3. Membuang marah dengan memaafkan orang yang berbuat salah kepada kita
- 4. Berbuat ehsan kepada orang yang berbuat tak baik kepada kita
- 5. Bila berdosa, beristighfar dan bertaubat kepada Allah
Kita mohon Allah jadikan orang-orang yang mempunyai
kelima-lima sifat ini. Amin Allahumma Amin.
Ayat 136:
Balasan bagi orang ini mempunyai sifat-sifat di atas ialah
keampunan dan syurga-syurga.
Wallahu'alam.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh
pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit
petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber
asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas
segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat
kita manfaatkan. Wallu'alam.