Saya ingin menjadi kaum Ansar - Ceramah Perdana Masjid Bukit Antarabangsa
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Ceramah Perdana Masjid Bukit Antarabangsa 16.03.2014
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*
Sumber rakaman audio: Ingin Menjadi Kaum Ansar
Motivasi tajuk ini?
Tajuk ini diambil daripada hadis Nabi Muhammad SAW:
“Ansar itu ‘syiar’, dan selain Ansar itu
‘dithar’.”
‘Syiar’ – ialah pakaian yang lekat dengan badan.
‘Dithar’ – ialah pakaian kedua yang menutup pakaian luar.
Nabi Muhammad SAW mengumpamakan rapatnya kedudukan kaum
Ansar dengan Nabi SAW seolah-olah seperti pakaian yang melekat di badan, jadi
jelas mereka ini istimewa -> VVIP di sisi Rasulullah SAW!
Baginda Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Kalau aku
lihat orang berjalan di sebuah lorong, dan kaum Ansar berjalan di lorong lain,
aku akan ikut lorongnya kaum Ansar. Kalau bukan kerana hijrah, saya ingin nak
jadi kaum Ansar.”
Baginda mengatakan ingin menjadi orang Ansar untuk
menunjukkan keistimewaan mereka kerana ganjaran daripada pengorbanan mereka
adalah tinggi di sisi Allah.
Dimanakah Allah meletak kaum Ansar dalam Al-Quran nul Kareem dan hadis
Rasulullah SAW ?
Dalam hadisnya, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Tidak mencintai
kaum Anshar itu melainkan orang mu’min dan tidak membenci mereka itu melainkan
orang munafiq; barangsiapa yang mencintai mereka, maka ia dicintai oleh Allah
dan barangsiapa membenci mereka, maka mereka dibenci oleh Allah.” (Muttafaq
‘alaih)
Apa yang menyebabkan kedudukan kaum Ansar menjadi pengukur
iman seseorang? Tanda keimanan ialah dengan cinta kepada orang Ansar, tanda
munafik ialah dengan benci kepada orang Ansar. Ini merupakan martabat yang Nabi
Muhammad SAW berikan kepada kaum Ansar.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda,
“Allahumma (Wahai Allah) –
Sesungguhnya
kamu ini seluruh kaum Ansar, amatlah aku cintai.
Sesungguhnya kamu ini seluruh
kaum Ansar, amatlah aku cintai.
Sesungguhnya kamu ini seluruh kaum Ansar, amatlah
aku cintai..”
Nabi Muhammad SAW ulang kata cintanya sebanyak 3x – ini
bukti kuat bahawa mereka ini istimewa!
Antara ayat yang menyebut tentang kaum Ansar ialah:
Surah At-Taubah, ayat 100:
Daripada ayat ini, Allah menyatakan yang Allah redha kepada
mereka, dan mereka pun redha kepada Allah. Disediakan untuk mereka syurga yang
mengalir di bawahnya sungai-sungai – itu kejayaan yang besar dan agung.
Bila dikaji Al-Quran, selalu disebut mereka syurga yang
mengalir di bawahnya sungai-sungai, dalam bahasa Arab, biasanya disebut: ‘tajri
min tah taha’, tapi syurga untuk
orang Ansar (lihat ayat 100, surah At-Taubah’ – syurganya ialah ‘tajri tah
taha’ - tiada ‘min’, untuk mereka
mengalir terus sungai. Syurga mereka lain daripada syurga orang lain!
Zaman sekarang, orang berani mencabar kepada kehormatan
sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW!
Mereka tak terfikirkah ketika Allah turunkan ayat ini yang
Allah telah tahu apa yang akan berlaku antara sahabat?
Mengapa kita sebut r.a.? – kerana dalam ayat Allah ini
menunjukkan Allah redha kepada mereka.
Persengketaan pernah berlaku antara sahabat Rasulullah SAW
ketika baginda masih hidup lagi. Tapi Allah tak murka kepada mereka, dan Nabi
Muhammad SAW pun tak memaki atau memarahi kepada mereka.
Ketika Perang Uhud, sahabat melanggar arahan Nabi Muhammad
SAW sehingga Nabi Muhammad SAW pun luka-luka, tapi itu tak dijadikan sebab
untuk memarahi atau menghalau mereka.
Allah sendiri berfirman agar Nabi Muhammad SAW
berlemah-lembut kepada mereka, memintakan ampun untuk mereka. Ini sikap yang
Allah suruh lakukan kepada mereka. Kalau ini sikap Allah dan Rasulullah SAW –
sikap siapa lagi kita nak ikut?
Jangan belajar baru satu/dua buku, sudah berani komen dan
menjatuhkan maruah sahabat Rasulullah SAW. Ikut sedikit sikap Allah dan
Rasulullah SAW.
Orang yang merendahkan sahabat Nabi Muhammad SAW, yang
bertepatan dengan kaum Ansar, imannya terancam kerana kandungan hadis Nabi
Muhammad SAW (rujuk di atas).
Dari mana asal kaum Ansar?
Al-Ansar ialah gelaran yang diberi Allah kepada gabungan dua
kabilah – Aus dan Khazraj. Ertinya ‘penolong’ dan setiap Nabi mempunyai
penolong yang membantu dakwah. Contohnya, golongan Hawariyyun adalah penolong
kepada Nabi Isa a.s.
Asalnya mereka adalah 2 orang anak keturunan Nabi Nuh – Sam
bin Nuh. Mereka berhijrah ke Madinah (yang masih dipanggil Yathrib ketika itu)
daripada Yaman.
Nabi Muhammad SAW menyifatkan orang-orang Yaman itu lembut
hatinya, dan itu menjadikan dakwah Nabi Muhammad SAW mudah diterima mereka.
Selama 13 tahun di Mekah, hanya beberapa orang sahaja yang
beriman dengan Nabi Muhammad SAW. Tetapi di Madinah, sebelum Nabi Muhammad SAW
sampai lagi, sudah ramai orang Ansar yang memeluk kepada Islam, melebih jumlah
orang Mekah yang Nabi Muhammad SAW berdakwah selama 13 tahun.
Bagaimana mereka memeluk kepada Islam?
13 orang daripada orang Ansar pergi ke Mekah, dan diberitahu
oleh Abu Lahab agar jangan dengar cakap ‘orang gila’ (merujuk kepada Nabi
Muhammad SAW). Tetapi perkataan Abu Labah itu menimbulkan rasa ingin tahu
mereka, kerana memang sudah fitrah manusia ada rasa ingin tahu, tambah-tambah
lagi perkara yang dilarang! Setelah menemui Nabi Muhammad SAW, mereka teringat
akan kata-kata kaum Yahudi, “Bila datang Nabi kami nanti, kamu akan perangi
kamu.” Jadi, mereka pun ingin ambil peluang beriman dengan Nabi Muhammad SAW terlebih
dahulu sebelum peluang itu diambil oleh orang Yahudi. Kesemua 13 orang yang
datang memeluk kepada Islam – dan berlaku Perjanjian Aqabah Ula. Kandungan
baiah itu adalah agar mereka:
- - tidak syirik kepada Allah
- - tidak berzina
- - tidak membunuh anak perempuan
Tahun berikutnya – 70 orang lagi datang untuk beriman kepada
Rasulullah SAW. Maka, berlaku Bai’atul Aqabah kedua yang kandungannya adalah
untuk melindungi Nabi Muhammad SAW. Kaum Ansar diminta melindungi Nabi Muhammad
SAW sepertimana mereka melindungi kepada isteri dan anak mereka. Kata salah
seorang daripada mereka, “Adakah setelah agama kamu tersebar, adakah kamu akan
tinggalkan kami.” Kaum Ansar risau jika Nabi Muhammad SAW akan meninggalkan
Madinah dan pulang ke Mekah dan tidak membantu jika mereka berperang. Kata Nabi
Muhammad SAW, “Kami akan berperang dengan sesiapa saja yang engkau perangi.
Kami akan berdamai dengan sesiapa saja yang engkau berdamai dengannya.”
Apakah keistimewaan orang Ansar sehingga
dipuji Allah dan disenangi Rasulullah SAW?
Pertama: Kesediaan untuk
mengorbankan nyawa mereka (benda paling berharga kepada seorang manusia yang
dapat memutuskan segala nikmat di dunia) untuk melindungi Rasulullah SAW.
Seorang
sahabat Ansar: Saad ibnu Muaz. Dia ikut keluar bersama Rasulullah SAW yang
asalnya ingin merampas harta daripada Abu Suffiyan. Tapi keadaan menjadi
berbeza – Abu Suffiyan telah mengambil jalan lain dan kaum musyrikin telah
keluar untuk memerangi kaum muslimin. Rasulullah SAW bertanya pendapat sahabatnya
untuk berperang dengan kaum musyrikin. 3 orang daripada Muhajirin, termasuk
Sayyidina Abu Bakar, dan Sayyidina Umar bersetuju dan berkata, “Kami takkan
bersikap seperti umatnya Nabi Musa. Kami akan pergi bersama kamu.”
Walaupun
telah 3 orang menyetujui untuk mengikut Rasulullah SAW, baginda tetap bertanya
lagi. Nabi Muhammad SAW ingin mengetahui adakah orang Ansar akan juga
melindungi baginda di luar kota Madinah.
Saad ibnu Muaz, seorang Ansar yang cerdik, berumur 35 tahun ketika itu.
Dia pun bertanya, “Rasulullah, adakah kamu menunggu jawapan kami daripada kaum
Ansar?” Jawab baginda, “Na’am”.
Saad
ialah seorang yang sangat istimewa. Ketika beliau meninggal, arasy Allah
bergegar kerana gembira untuk menyambut kedatangannya. Arasy itu besar, jika dibandingkan
dengan bumi, bumi cuma umpama satu butir pasir di tengah padang pasir. Siapa
itu Saad? Dia syahid dalam Perang Khandaq – terluka pada urat nadinya. Ketika
cedera, urat nadinya terputus, dan dia berkata, “Ya Allah, jangan matikan aku
sebelum Engkau tunjukkan balasan kepada kaum Bani Quraidah yang berkhianat.”
Terus, urat nadinya bersambung semula. Umurnya ketika itu baru 37 tahun, tapi
doanya mustajab. Allah makbulkan doanya dan menunjukkan apa yang dihajatinya.
Doanya yang kedua, agar umurnya dipanjangkan sekiranya masih ada perang kepada
kaum Quraisy selepas itu. Allah makbulkan juga dengan urat nadinya terputus dan
ini menunjukkan yang perang Khandaq adalah perang terakhir dengan kaum Quraisy.
Kata
Saad bin Muaz, “Ya Rasulullah SAW, kami beriman kepada Engkau, dan kami yakin
akan kebenaran ajaran Engkau. Kami tidak akan menjarakkan diri kami daripada
kamu. Jika seluruh Madinah tahu Engkau keluar untuk berperang, tak seorang pun
akan tinggal. Jika engkau masuk ke dalam lautan, maka tak seorang pun daripada
kamu akan tinggal di belakang. Kami akan berperang dengan sesiapa saja yang
engkau perangi. Kami akan berdamai dengan sesiapa saja yang engkau berdamai
dengannya.Adakah ayatku ini menggembirakan kamu, wahai Rasulullah SAW?” Baginda pun gembira – dan baginda pun nampak kaum
musyrikin yang akan meninggal dalam Perang itu. Dan apabila berlaku Perang itu,
semuanya tepat seperti yang diilhamkan Allah kepada Rasulullah SAW.
Kedua– adab
dan cara mereka melayan kepada Rasulullah SAW.
Tiada
orang lain melayan Rasulullah SAW seperti kaum Ansar melayan Rasulullah SAW.
Abu Ayub Al-Ansaari – sahabat yang hidup lama, dan syahid ketika ikut perang ke
Konstatinopel. Rumahnya adalah rumah pertama yang disinggahi oleh Nabi Muhammad
SAW. Dia tidak mahu tinggal di tingkat atas rumahnya, kerana berasa seperti
tidak menghormati Nabi Muhammad SAW yang duduk di bawah. Seleranya pun ditukar
untuk mengikut kepada selera Nabi Muhammad SAW.
Kita
perlu belajar adab kepada Nabi Muhammad SAW walaupun kita jauh daripada baginda.
Anas
bin Malik dihantar oleh ibunya Ummu Sulaim, yang berkata, “Saya tak ada apa
kecuali anak kecil ininuntuk berkhidmat kepadamu.” Ummu Sulaim sanggup berpisah
dengan anak kecilnya, demi memuliakan Rasulullah SAW – demikian cara orang-orang Ansar melayan
kepada Rasulullah SAW.
Jarir
bin Abdullah (bukan Ansar) pernah datang ke majlis ilmu Nabi Muhammad SAW, dan
mencari-cari tempat duduk. Oleh kerana tiada sahabat lain yang nampak, atau
memberikan ruang untuknya, Nabi Muhammad SAW memberikan kain serbannya untuk
Jarir duduk. Kenapa Nabi Muhammad SAW buat begitu kepada Jarir? Dia ialah orang
yang dihormati dalam kalangan kabilahnya dan baginda SAW ingin menghormati
beliau juga. Jarir tidak duduk di atas kain serban Nabi Muhammad SAW, sebaliknya menciumnya dan
berkata, “Ya Rasulullah, semoga Allah menghormati kepada kamu sepertimana kamu
menghormati kepada saya.”
Jarir pernah berjalan bersama Anas bin Malik (kaum Ansar). Umur
Jarir lebih tua daripada Anas bin Malik. Namun, sepanjang perjalanan – Jarir
bin Abdullah melayan kepada Anas bin Malik. Anas menolak tapi kata Jarir,
“Setelah melihat layanan kaum Ansar kepada Rasulullah SAW, saya berjanji akan
melayan kepada orang yang melayan kepada Rasulullah SAW.
Nabi
SAW memberatkan adab mengutamakan yang kanan. Tapi, kita hari ini, dalam
memberi tak tahu dengan tangan apa? Menerima tak tahu dengan tangan apa? Masuk
masjid tak tahu dengan kaki apa? Masuk rumah tak tahu dengan kaki apa? Cuba
biasakan kalau terlupa, patah balik lagi – masuk kaki kanan, keluar kaki kiri,
supaya terbiasa dan ingat akan adab Nabi Muhammad SAW.
Rumusan:
Sikap orang Ansar kepada Nabi Muhammad SAW – cintanya,
kasih-sayangnya, khidmatnya dan perlindungannya kepada Nabi Muhammad SAW
sehingga Rasulullah SAW lebih suka hidup bersama-sama orang Ansar berbanding
kampung halamannya sendiri, dan baginda pun meninggal di kota Madinah.
Dalam perang Hunain, terdapat banyak harta perang yang
diperolehi Rasulullah SAW dan ketika itu ramai ramai penduduk Mekah yang baru
berjinak-jinak dengan Islam, jadi Nabi Muhammad SAW memberi hadiah itu kepada
mereka untuk menarik hati mereka kepada Islam. Tetapi, ada orang Ansar yang
cemburu, terutamanya orang muda dan mereka berkata, "Pedang kita belum
kering dengan darah mereka, dan Rasulullah sudah memihak kepada mereka." Berita
itu sampai ke telinga Rasulullah SAW. Baginda bersabda agar dikumpulkan semua
orang Ansar. Kemudian, setelah dikumpulkan,
Rasulullah SAW bertanya adakah ada di antara mereka yang
bukan kaum Ansar. Jawab mereka tiada melainkan Sy. Abu Bakar dan Sy. Umar yang
memang senantiasa bersama Rasulullah SAW. Kemudian baginda bersabda,
“Wahai
sekalian orang-orang Ansar, bukankah kamu berada dalam keadaan sesat dan Allah
memberikan hidayah kepada kamu dengan aku?”
Wahai sekalian orang-orang
Ansar, bukankah kamu berada dalam keadaan kufur dan Allah menghantarkan aku
sehinggakan kamu beriman disebabkan aku?”
“Wahai sekalian orang-orang
Ansar, bukankah kamu berada dalam keadaan terpesong dan Allah menhantarkan
hidayah kepada kamu dengan aku? Jawablah pertanyaan aku ini.”
Ansar
semuanya diam. Nabi Muhammad SAW berkata, “Mengapa kamu tak menjawab pertanyaan
saya. Mengapa kamu tidak mengatakan, “Ya, kami mendapat hidayah disebabkan kamu
tapi yang membantu engkau berjaya dalam agama ini adalah kami. Bukankah kami orang-orang
yang menerima kamu datang ke kota Madinah?
Bukankah kamu datang dalam keadaan miskin, kami yang memberikan harta?
Bukankah kami banyak menolong kepada kamu? Kenapa kamu tak jawab macam tu?”
Keadaan
begitu mengheningkan dan menjadikan orang Ansar yang hadir tercegang melihat
sikap Nabi Muhammad SAW yang cuba membangkitkan sifat kecintaan yang sekian
lama didapati daripada orang-orang Ansar.
Mereka
yang hadir, semuanya menitiskan airmata sehingga membasahi janggut mereka.
Mereka berkata, “Semua yang kami dapat adalah hidayah daripada Allah dan
Rasul-Nya. Kami takkan cakap kami tolong kepada kamu, kami beri kepada kamu,
kami berikan harta kepada kamu, kami takkan cakap demikian. Semuanya anugerah
Allah dan Rasul-Nya.”
Baru
setelah itu, Nabi Muhammad SAW bersuara, “Wahai sekalian orang-orang Ansar,
tidakkah kamu suka orang-orang yang aku bagi harta itu kembali ke kampung
halaman mereka membawa harta sementara kamu kembali membawa Rasulullah SAW?
Mana yang kamu pilih?”
Orang Ansar pun menjawab, “Ya Rasulullah, kami redha kembali
ke Madinah bersama dengan engkau.” Barulah pulih semangat, dan kasih sayang,
dan takzim orang-orang Ansar kepada Rasulullah SAW.
Nabi Muhammad SAW bersabda, “Ya Allah, rahmati orang-orang
Ansar, ampunkan orang-orang Ansar, anak kepada orang Ansar, anak kepada anak
kepada orang Ansar, hamba sahaya kepada orang Ansar, keturunan orang Ansar.”
Kesetiaan yang ada orang-orang Ansar kepada Nabi Muhammad
SAW menjadikan agama ini berterusan sehingga sekarang. Perjuangan orang Ansar,
ketelusan orang Ansar, ‘loyality’ orang Ansar, khidmat orang Ansar, kesungguhan
orang Ansar menjadi satu teladan kepada sesiapa yang ingin membela agama yang
dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Kalau ada orang-orang Ansar di zaman kita
sekarang yang bersifat seperti mereka, maka akan tersebar agama ini di
mana-mana dan mudah untuk diterima sepertimana pernah berlaku di zaman
Rasulullah SAW.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh
pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit
petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber
asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas
segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat
kita manfaatkan. Wallu'alam.