“Kemenangan dan pertolongan datang hanya daripada Allah”
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
MTDM 14.02.2014
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu
Bakar Al-Hamid*
Pautan rakaman video:
Tafsir Quran Surah Ali-Imran
ayat 123-128.
Ayat 123:
Ayat ini walaupun menceritakan
tentang Perang Badar, hakikatnya mempunyai kaitan dengan ayat sebelumnya yang
menceritakan tentang Perang Uhud. Oleh kerana Perang Uhud berlaku pada tahun
ke-2 Hijrah, manakala Perang Uhud berlaku tidak sampai setahun selepas itu,
pada tahun ke-3 Hijrah.
Dalam ayat-ayat yang lalu,
diceritakan Allah Ta'ala tentang Perang Uhud yang terjadi di mana kaum muslimin
mengalami kekalahan. Allah Ta'ala ingin mneghibur dan pada masa yang sama ingin
memberitahu kenapa boleh menang dalam Perang Badar, dan kalah dalam Perang
Uhud.
Dalam Perang Badar – jumlah
kaum muslimin lebih kurang 313, berbanding 1000 orang musyrikin, tetapi kaum
Muslimin menang dan dapat membunuh pembesar Quraisy, dapat menawan orang
musyrikin, dan merampas harta perang. Dalam perang Uhud, jumlah kaum muslimin
700, setelah 300 orang munafiq kembali di tengan jalan, dan kaum musyrikin
berjumlah 3000 orang. Tetapi kaum muslimin kalah, 75 orang syahid dan ramai
yang cedera termasuk Rasulullah SAW yang cedera di lebih daripada satu anggota
badan.
Allah ingin jelaskan kenapa
menang dan kenapa kalah. Dalam perang Badar, kaum muslimin dalam keadaan lemah
semuanya – daripada segi bilangan, kelengkapan yang kurang. Pertama - Allah beritahu bahawa Allah yang menolong
kamu mencapai kemenangan. Peperangan kamu itu tidak ghaib daripada campur
tangan Allah SWT, walaupun yang masuk berperang, yang memegang pedang, yang
memimpin adalah kamu, tetapi campur tangan Allah yang memenangkan kamu.
Jangan sangka kamu menang
kerana kekuatan kamu, kesatuan kamu, ataupun persenjataan kamu! Kamu ketika itu
dalam keadaan lemah dan kurang persenjataan. Allah yang tolong kamu – supaya
kaum muslimin mengembalikan kejayaan dalam Perang Badar adalah datangnya
daripada Allah, dan tidak melihat kami adalah orang yang berjaya.
Allah yang membantu kamu dalam
Perang Badar, ketika kamu lemah. Maka bertaqwalah kaum mukminun, dan jangan
sampai kamu mengatakan kemenangan yang kamu raih adalah hasil kegigihan kamu.
Jangan kamu lihat kemenangan yang kamu capai adalah hasil pengorbanan dan
keberanian kamu. Jangan kamu campurkan pengorbanan kamu dalam peperangan itu,
jangan kamu katakan sebab kamu berkorban, kamu menang. Kamu berkorban, tapi
yang menurunkan kemenangan ialah Allah SWT. Kalaupun kamu berkorban, dan tidak
menang, Allah Ta'ala akan ganjar kepada kamu. Bukan semestinya pengorbanan kamu
melahirkan kemenangan dan kesuksesan.
Maka, Allah ingin menarik
pemikiran kaum muslimin bahawa kemenangan hanya datang daripada Allah SWT.
Kalau kamu bertaqwa dengan meyakini bahawa pertolongan dan kemenangan datang
daripada Allah, supaya kamu bersyukur. Tapi jika melihat kamu menang kerana
kamu yang berperang, kamu yang berkorban, maka kamu tidak bersyukur dan akan
merasa diri kamu besar dan bangga.
Ayat 124:
Ketika kamu berkata sabahat
kamu (313 daripada Perang Badar) – “Tidakkah cukup Allah SWT akan menurunkan
kepada kamu ‘annyyumidakum’ ( asal daripada ‘maddad’ yang bermaksud
pertolongan) dengan jumlah bilangan 3000 malaikat?”
Dalam Perang Badar, kaum
muslimin menghadapi 1000 orang kaum musyrikin dan nampak jumlah mereka sedikit.
Akan tetapi Allah menurunkan jumlah malaikat seramai 3000 orang dan ini
menjadikan barisan kaum muslimin nampak ramai. Ini memberi suntikan semangat
kepada pasukan kaum muslimin agar tidak takut.
Allah SWT akan beri kemenangan
tapi dengan syarat. Adakah nak meraih kemenangan hanya dengan semangat untuk
maju ke hadapan saja? Atau dengan ganjaran harta, pangkat? Atau menanam api
kebencian kepada musuh? Tidak…kamu akan menang tanpa mengira kamu ramai atau
sedikit, kamu ada senjata atau tidak – yakni dengan kamu bersabar dan bertaqwa
kepada Allah. Kalau ada kedua-dua ini – terus Allah akan hantarkan malaikat
membantu kamu.
Ayat 125:
Dalam Al-Quran, dalam
menceritakan kisah Perang Badar, dalam ayat pertama, Allah beritahu akan
diturunkan 1000 malaikat, dalam ayat ini (124), Allah beritahu, Nabi
memberitahu bahawa Allah menghantarkan 3000 malaikat, dalam ayat 125, Allah
memberitahu, Allah menghantarkan 5000 malaikat. Lalu, yang mana satu? 1000 atau
3000 atau 5000?
Allah hantar pasukan tambahan –
mula-mula 1000, kemudian dihantar pasukan tambahan. Mulanya Allah hantar 1000
kerana kaum musyrikin juga berjumlah 1000. Kemudian, apabila mendapat berita
yang kaum musyrikin akan mendapat tentera bantuan, maka Nabi Muhammad SAW
memberitahukan yang Allah akan menghantar bantuan seramai 3000. Tetapi yang
diturunkan Allah ialah 5000. Mengapa Allah turunkan 5000 sedangkan dengan 1
malaikat saja sudah cukup untuk menghancurkan semua? Kehadiran malaikat adalah
untuk menyaksikan perang Badar dan memberi semangat spiritual kepada kaum
muslimin, bahkan ada juga yang malaikat yang ikut bersama berperang dengan kaum
muslimin.
Walaupun kekuatan mesti ada,
tetapi 2 perkara ini perlu ada untuk menjamin kemenangan – yakni dengan kamu
bersabar dan bertaqwa kepada Allah.
Sabar dalam apa? Sabar dengan
tugas yang diberikan Rasulullah SAW untuk menunggu di atas Gunung Uhud. Mereka
diketuai oleh Abdullah ibnu Zubair. Nabi Muhammad SAW berpesan – “Jangan turun,
menang atau kalah”. Ketika kali pertama, kaum musyrikin kalah, mereka lari dan
meninggalkan harta mereka di bawah. Maka, kaum muslimin yang berdekatan dengan
harta itu ingin turun dan mengambil harta menjadi harta ghanimah.
Abdullah ibnu Zubair melarang,
tetapi pasukannya mengatakan yang peperangan telah selesai kerana kaum
musyrikin telah lari bertempiaran. Mereka pun turun – kenapa? Kerana tak sabar
menunggu keputusan Rasulullah SAW. Ketaksabaran mereka untuk mengambil harta
yang ditinggalkan menyebabkan kekalahan kaum muslimin.
Kalau kamu sabar dan dengar
cakap Nabi Muhammad SAW yang menyuruh kamu supaya jangan turun, kamu akan
menang. Allah tidak izinkan kaum muslimin menang, kerana jika mereka menang
setelah melanggar perintah Rasulullah SAW, maka akan ada istilah yang kaum muslimin
akan menang walaupun melanggar kepada perintah Rasulullah SAW. Kemenangan tidak
boleh dicapai dengan melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya. Kamu yang
menyebabkan kekalahan itu, kerana kamu tak dengar nasihat Nabi kamu.
Di sebalik kekalahan kaum muslimin
dalam Perang Uhud, terkandung hikmah yang sangat besar -> Kemenangan takkan
berlaku jika melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya. Itu hikmah yang besar yang
kita boleh ambil dalam Perang Uhud.
Dalam Perang Uhud, Allah
menghantar kekalahan dengan hikmah yang besar. Namun, jangan sekali-kali ada
orang mengatakan “Bagaimana sahabat tak dengar cakap Nabi SAW? Nabi suruh
jangan turun, tapi mereka turun.” Ada orang yang sehingga mengorek-ngorek
cerita ini dan memburukkan para sahabat. Allah menceritakan tentang 50 orang
yang turun itu dan Allah telah memaafkan mereka. Dua kali Allah ulang dalam
Al-Quran yang Allah telah memaafkan mereka. Jadi, siapa kamu untuk terus
bercakap tentang mereka? Mereka yang berdosa kepada Allah dan Rasul-Nya, Allah
sudah memaafkan dan Nabi pun disuruh memaafkan. Macam mana Nabi maafkan? Allah suruh dalam Al-Quran,
dalam surah Ali-Imran, ayat 159:
‘Mereka’ dalam ayat ini merujuk kepada 50
orang yang turun dalam Perang Uhud itu. Allah suruh maafkan mereka, meminta
ampun untuk mereka, berlemah-lembut dan mengajak mereka dalam musyawaraah.
Allah dan Rasulullah SAW sudah memaafkan, tapi zaman kita ini ada orang terus
mengungkit kenapa sahabat tidak mendengar cakap Rasulullah SAW. Mereka tidak
melihat hikmah daripada apa yang berlaku daripada peperangan itu.
“Kalau kamu sabar (dalam
mentaati Allah) dan betaqwa (yakni tidak menjadikan matlamat keduniaan seperti
untuk mendapat pujian, atau harta atau apa saja selain daripada maksud kepada Allah),
terus akan dihantarkan oleh Allah bantuan dengan 5000 malaikat.”
Ayat 126:
Allah menurunkan malaikat untuk
memberi khabar gembira kepada kamu (sokongan dan bantuan), tetapi bukan
malaikat yang mendatangkan pertolongan kepada kamu. Malaikat diturunkan oleh
Allah, tujuannya untuk beri kamu khabar gembira, dan supaya kamu tidak takut
dan untuk beritahu yang kamu akan menang (sukses).
Yang menjadikan kamu menang
bukan malaikat. Hanya Allah SWT yang boleh mendatangkan pertolongan dan
kemenangan. Malaikat diturunkan untuk 2 tujuan utama:
-
memberi kamu
khabar gembira (Bushra)
-
memantapkan
hati kamu (supaya hati tenang dengan janji Allah SWT melalui kata-kata
Rasulullah SAW)
Sungguh pertolongan itu datang
daripada Allah Ta'ala, bukan malaikat yang menolong kamu, tapi Allah SWT yang
menolong kepada kamu. Pertolongan Allah bukan datang daripada Perang Badar
saja, dalam apa saja urusan kita yang kita dapat, ‘success’ dalam ‘exam’, dapat
anugerah kerana sesuatu yang kita buat. Kalau dalam hal yang besar seperti
Perang Badar itu datangnya daripada Allah, apatah lagi yang kecil-kecil ini.
Jangan melihat diri kita hebat dengan apa jua pencapaian yang kita dapat supaya
kita tidak takbur, kerana pencapaian yang kita dapat datangnya juga daripada
Allah, yang kalau bukan Allah yang mengkehendaki, kita akan dicampak ke dalam
lembah kehinaan yang kita tidak dapat membayangkan.
Ayat 127:
“… segolongan orang kafir…”
Kenapa segolongan? Kenapa tidak
dihancurkan semua sekali macam doa Nabi Nuh (surah Nuh, ayat 26)?
Allah terima doa Nabi Nuh dan
dihancurkan semua kecuali yang naik bahtera nabi Nuh. Tapi kenapa di sini Allah
cuma hancurkan segolongan? Sebab… apa yang sudah menjadi kebiasaan Rasulullah
SAW – dalam dakwahnya itu maih masih mengharapkan agar orang-orang yang
menyakiti kepada Rasulullah SAW agar mereka mendapat hidayah dan beriman kepada
Rasulullah SAW.
Bukankah dalam kisah penduduk
Taif, gunung menawarkan untuk menghancurkan mereka yang menyakiti Rasulullah
SAW? Hanya menunggu lampu hijau daripada Rasulullah SAW. Tapi, apa kata Nabi?
Hancurkan? Jangan tinggalkan seorang pun? Tak..kata baginda Rasulullah SAW, “Aku
masih mengharapkan orang yang ada dalam sulbi mereka beriman kepada Allah.”
Sulbi siapa? Sulbi orang melempari, memaki, melukai Nabi Muhammad SAW. Ini
taamul yang perlu ditulis dengan tinta emas atau jika ada yang lebih berharga
daripada emas, perlu ditulis denganya akan kata-kata ini.
Rasulullah SAW bersikap dengan
orang yang memusuhinya dengan sikap yang begitu luhur dan tinggi. Kita bersikap dengan kita punya saudara macam
kita tidak punya hati dan perasaaan. Kepada saudara seiman, seagama.
Allah ingin menghancurkan
segolongan, agar golongan yang lain masih boleh dapat hidayah daripada Allah
SWT.
Dalam perang Uhud yang
dikisahkan itu, baginda Rasulullah SAW cedera sehingga banyak darahnya mengalir
sehingga perlu ditadah. Baginda bersabda, “Bagaimana segolongan kaum itu boleh
berjaya sedangkan mereka melukai Nabi mereka.” Nabi Muhammad SAW risau pada
kaum Quraisy yang melukakan baginda. Kata sahabat, kalau begitu, doakan supaya
mereka hancur. Dalam riwayat Muslim dikatakan, Rasulullah SAW mendoakan, “Ya
Allah, berilah mereka hidayah, sesungguhnya mereka tidak tahu saya inin Rasul
kepada mereka.” Yang didoakan hidayah itu adalah orang yang memusuhi, ingin
membunuh kepada Nabi Muhammad SAW.
Mudah-mudahan akhlak seperti ini ada di dalam hati kita dalam interaksi
sesama kita umat Islam. Kalau ini akhlak Rasulullah SAW kepada orang bukan
Islam, orang yang memerangi Rasulullah SAW, apatah lagi kepada kaum Muslimin.
Amin Allahumma Amin, InsyaAllah.
Ayat 128:
Di antara mereka yang berada
dalam Perang Uhud itu pada akhirnya mendapat hidayah daripada Allah SWT. Khalid Ibnu Walid yang menjadi sebab kekalahan
kaum muslimin ketika itu belum beriman, tapi akhirnya mendapat hidayah. Abu
Suffiyan pada ketika itu tidak beriman, tapi akhirnya mendapat hidayah. Safwan
ibnu Umayyah pada ketika itu kufur, tapi akhirnya memeluk kepada Islam. Apa agaknya kalau dihancurkan mereka semuanya
padahal dalam ilmu Allah, Allah masih ingin memberi hidayah kepada mereka?
Siapa kita nak mendoakan? Yang kita tak tahu nasib orang itu di penghujungnya,
sementara kita pun tak tahu nasib kita di penghujung.
Maka, dalam hal ini, bukanlah
kata Allah SWT – Engkau tiada hak untuk campur dalam urusan mereka untuk
dihancurkan atau tidak dihancurkan, dimaafkan atau tidak – itu urusan Allah.
Mereka punya silap, tapi penghujungnya yang tahu Allah SWT. Maka, setelah ini, Rasulullah
SAW tidak pernah mendoakan kehancuran kepada sesiapa pun.
Doa yang cukup masyhur, “ Ya
Allah, berikan hidayah kepada mereka kerana mereka tak tahu.” Kalau bukan
kerana doa seperti ini, takkan datang ribuan orang daripada Taif, pada tahun
ke-8 Hijrah, untuk memeluk Islam kepada Nabi Muhammad SAW.
Akhlak Rasulullah SAW - rahmah
kepada yang masih belum dicipta Allah SWT. Semoga Allah kasi rahmah dalam hati
kita ini, rahmat sesama kita dulu, kaum muslimin dan kepada semua makhluk Allah
SWT. Amin Allahumma Amin.
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh
pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit
petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber
asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas
segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat
kita manfaatkan. Wallu'alam.
**: Mungkin kerana masalah teknikal, rakaman MTDM bermula lebih kurang 8 minit selepas Habib Ali memulakan perbahasannya.