Berdoa dan yakin doa akan dimakbulkan! - Maulid Bulanan MTDM April 2014

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*
MTDM  04.04.2014, Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa



Alhamdulillah atas limpahan kurnia dan rahmat dari Allah kepada kita pada malam ini. Kita diberikan oleh Allah SWT peluang untuk menambahkan amalan dan timbangan kita di akhirat dengan melakukan amal ibadah dan mengabdikan diri  menjadi yang tujuan utama manusia diciptakan oleh Allah SWT. Mengabdikan diri ialah mengenal pasti Allah ialah Tuhan, mengenal pasti bahawa tiada tempat untuk kita bersandar kecuali kepada Allah dan mengenal pasti bahawa tiada tempat untuk kita merayu, memohon dan berdoa kecuali kepada Allah SWT.


Qasidah (“Qad Kafani”) yang dibacakan tadi merupakan luahan dan ungkapan hati seorang arif, seorang abid - Imam Abdullah ibnu Alwi Al-Haddad, yang isi kandungannya adalah mengungkapkan tentang doa yang merupakan senjata ampuh bagi seseorang untuk mendapatkan pemberian yang tidak boleh diberi oleh sesiapa pun juga, untuk mendapatkan satu anugerah, yang anugerah itu kalau semua makhluk berkumpul pun untuk mendatangkannya tidak akan mampu kecuali Allah SWT.

Dalam Al-Quran nul Kareem, Allah Ta'ala mengisahkan keampuhan dan kekuatan senjata doa yang ramai daripada manusia kurang memberi perhatian – bukan pada doanya, tapi meyakini hebatnya doa. Ramai orang berdoa, tapi tidak ramai yang meyakini kehebatan, keampuhan, kekuatan senjata doa. Mereka lebih bergantung pada benda-benda yang bersifat material untuk menjadi asbab, ‘cause-and-effect’, prasarana, walaupun segala itu adalah penting. Tetapi di dalam Al-Quran nul Kareem, Allah SWT menceritakan tentang seseorang yang sudah putus sebabnya untuk mendapatkan apa yang boleh dihasilkan oleh sebab, yang tidak ada lagi wasilah untuk mendapatkannya melalui wasilah itu, iaitu kisah Nabi Zakaria.

Dalam Al-Quran, surah Mariam, Allah SWT berfirman, supaya kita memahami bukan hanya fadhilah doa tapi kehebatan doa, supaya setiap orang daripada kita kerap berdoa kepada Allah dan meyakini hebatnya doa dan mengambil iktibar daripada kisah Nabi Zakaria.

Nabi Zakaria merupakan salah seorang Nabi yang dipilih untuk membela dan menjaga Siti Mariam. Beliau sudah sekian lama menikah tetapi tidak mendapat zuriat, lalu diambillah Siti Mariam untuk dibela dan dididik, lebih-lebih lagi isteri Nabi Zakaria adalah mempunyai hubungan kerabat dengan Siti Mariam. Isteri Nabi Zakaria adalah adik-beradik kepada ibu Siti Mariam. Adalah perkara yang menggembirakan kepada Nabi Zakaria ketika beliau diberi Siti Mariam untuk dididik.

Dengan berlalunya masa, Siti Mariam pun membesar sehingga dewasa. Nabi Zakaria menyaksikan keajaiban padanya – setiap kali Nabi Zakaria masuk ke tempat beribadatnya Siti Mariam (mihrabnya), Nabi Zakaria mendapati ada hidangan makanan yang istimewa. Keistimewaan makanan itu nampak kerana apa yang terhidang tidak ada di luar. Hidangannya merupakan buah-buahan yang bukan di musimnya, untuk menunjukkan tiada sesiapa pun daripada manusia yang mendatangkannya. Macam mana nak mendatangkan buah yang bukan di musimnya? Allah mendatangkan makanan di musim sejuk sedangkan di luar musim panas, dan sebaliknya sehingga itu menampakkan keajaiban setiap kali Nabi Zakaria masuk ke mihrab Siti Mariam.

Nabi Zakaria bertanya, “Bagaimana kamu mendapatkan rezeki ini Mariam?” Jawabnya, “Ia datang daripada Allah SWT.” Maka, Nabi Zakaria, di situ berdoa. “Tuhanku..” Apa permintaan Nabi Zakaria? Beliau meminta untuk dikurniakan cahayamata, yang beliau sudah sekian lama menikah tapi beliau belum mendapatkan zuriat (surah Mariam, ayat 4):


Tapi dalam doanya, Nabi Zakaria penuh sopan-santun dengan berkata, “Wahai Tuhanku, tulang saya ini sudah rapuh untuk melakukan sebab untuk mendapatkan zuriat, rambut saya pun sudah putih, tapi saya tidak pernah hampa ketika berdoa kepada Engkau.”

Kalimat “saya tidak pernah hampa ketika berdoa kepada Engkau” menunjukkan keyakinan yang mutlak mantap kalau apa yang didoakan pasti akan didapatkan. Kebanyakan orang kalau berdoa tapi tidak yakin yang doanya akan dimakbulkan, kebanyakan orang berdoa sekadar formaliti, kebanyakan orang berdoa tidak menghayati atau meresapi kalau doanya pasti dikabulkan!.

Tapi Nabi Zakaria mengatakan, “Saya tidak pernah hampa ketika berdoa kepada Engkau”. Katanya, “Wahai Tuhanku, berikan kepadaku daripada sisi Engkau…”. Perkataan daripada ‘sisi Engkau’, yakni beri daripada Engkau, bukan daripada aku, bukan daripada sebab yang diambil, bukan daripada ‘platform’ yang diambil tapi daripada Engkau (Allah), supaya manusia, bilamana berdoa yakin kalau datangnya (kabulnya) doa itu semata-mata dari Allah, walaupun datangnya melalui orang, atau sebab.

Surah Mariam, ayat 5:

Sambungan doa Nabi Zakaria, “..berikan aku waliyya…”. ‘Waliyya’ itu ertinya penolong. Subahanallah. Dalam ayat ini, Nabi Zakaria berdoa kepada Allah SWT dan mempelbagaikan bentuk doanya – “Ya Allah aku mohon zurriyat yang baik.”, “Ya Allah berikan aku zurriyah walliyah (zuriat yang menjadi penolong)”. Bermacam-macam bentuk doa menunjukkan banyak dan kerapnya Nabi Zakaria berdoa kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, seseorang kalau berdoa, jangan sekali-dua.

Rasulullah ﷺ kalau berdoa kepada Allah SWT, terkadang satu permintaan diulang 3 kali, kerana baginda Rasulullah ﷺ bersabda, “Allah itu suka kepada hamba yang mengulang-ulang dalam berdoa kepada-Nya.” Kenapa Nabi Zakaria meminta zuriat? Supaya zuriatnya itu dapat mewarisi dirinya dan keluarganya, dan bukan mewarisi harta/takhta, tetapi mewarisi tugasan menyebarkan dakwah dan menyampaikan ilmu.

Dalam ayat ini (ayat 5 surah Mariyam), Nabi Zakaria menzahirkan kerisauannya tentang kaumnya yang mungkin akan terpesong jika tiada yang menyambung dakwahnya, dan kerana itu, Nabi Zakaria memohon zuriat yang baik yang boleh menjadi waris kepada agama yang telah diwariskan kepada keluarga Nabi Yaakub supaya boleh diteruskan oleh zuriat beliau.
Kalau minta zuriat, minta zuriat yang baik, jangan minta zuriat sahaja, jangan minta zuriat yang ‘handsome’ saja, jangan minta zuriat yang cantik saja, minta zuriat yang BAIK, yang mendatangkan manfaat, yang mendatangkan kebaikan, bukan saja minta zuriat tapi minta zuriat yang baik.

Surah Mariam, ayat 7:

Nabi Zakaria berdoa dalam solatnya, dan Allah SWT hantarkan malaikat Jibril memanggil Nabi Zakaria yang masih dalam solatnya. Katanya seperti yang direkodkan dalam ayat 7, surah Mariam. Berita gembira itu diberi saat dia solat. Apa maknanya? Maksudnya doanya dijawab ‘CASH’. Setelah meminta, terus diberikan Allah SWT ketika dia masih dalam solat lagi dan tidak ditunda setelah dia habis solat. Inilah keampuhan kekuatan senjata doa.

Zuriat yang diberikan, diberikan nama ‘Yahya’, dan tiada orang sebelum itu yang dinamakan dengan nama Yahya. Nabi Yahya ialah buah kepercayaan doa seorang ayah kepada Allah SWT. Allah memberitahu ianya sebagai khabar gembira kerana mendapat zuriat merupakan perkara yang menggembirakan seseorang. Kita pun mengucapkan tahniah kepada orang yang mendapat zuriat. Tapi bukan sekadar sebut “Tahniah ye!” tetapi bacakan doa seperti berikut:


Kalau orang dapat rezeki anak, buat majlis aqiqah dan setiap orang yang datang baca doa seperti ini, 10 orang sudah 10 doa, kalau 100 orang yang dihimpunkan? Doakan – kalau tak tahu bahasa Arab, dalam bahasa Melayu pun boleh.

Yahya ertinya hidup, sementara umurnya tak panjang kerana dibunuh oleh Raja yang zalim. Dibunuhnya beliau menjadikan Nabi Yahya syahid – orang yang syahid tak boleh dikatakan mati, kerana Allah berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 169,


Jadi, syahid itu sesuai dengan namanya ‘Yahya’ kerana dia tetap hidup di sisi Allah SWT sehingga suatu masa yang diizinkan. Apa yang diceritakan tentang Nabi Zakaria dan Nabi Yahya dalam Al-Quran menunjukkan keampuhan dan kekuatan doa. Jadi, kalau nak berdoa, mesti memenuhi adab berdoa, dan salah satu adab yang penting ialah meyakini keampuhan senjata doa yang boleh mendatangkan kepada kita perkara yang apa-apa sebab atau mana-mana manusia tak boleh mendatangkan, tetapi doa boleh mendatangkannya kerana yang memakbulkan adalah Yang Maha Berkusasa yakni Allah SWT. Dan tidaklah ada orang yang paling banyak berdoa melainkan Nabi Muhammad ﷺ, penghulu kepada orang yang berdoa. Oleh kerana yang demikian, pujian Allah kepada Nabi ﷺ adalah dengan menggelarkan baginda ‘hamba’ seperti dalam ayat 1 surah Al-Israk:


Tanda seorang hamba adalah kerapnya berdoa kepada Allah SWT . Baginda, dalam keadaan susah dan senang sentiasa berdoa memohon kepada Allah SWT. Dalam bait-bait qasidah Imam Al-Haddad  mengatakan “Oleh kerana aku fakir, aku berdoa kepada Allah SWT sementara dalam keadaan aku senang atau aku susah.” Kenapa mencukupi? Kerana Allah dah Maha Tahu keadaan aku, tetapi aku pun juga berdoa, tapi doa aku bukan untuk menunjukkan aku meminta pada apa yang aku inginkan pada Allah. Tidak. Tapi doa aku untuk tunjuk yang aku ini miskin – diberi tak diberi, itu hak Allah, yang penting aku nak tunjuk aku miskin. 

Oleh kerana yang demikian, terdapat perbezaan ulama tentang masalah doa. Mereka orang-orang yang tinggi maqamnya di sisi Allah SWT, seperti Nabi Ibrahim, ketika diikat dan ingin dicampakkan ke dalam api oleh Raja Namrud, didatangi Jibril. Tanya Jibril, “Kamu ada hajat?” Nabi Ibrahim mengatakan, “Kalau kepadamu aku tak perlu, tapi kalau kepada Allah SWT, pengetahuan Allah tentang keadaan saya saat ini sudah cukup daripada saya nak meminta pada Allah SWT.” Yakni pengetahuan Allah tentang apa yang saya perlukan sekarang ini sudah diketahui Allah SWT, jadi buat apa saya nk minta apa Allah sudah tahu.


Ini bukan tak meminta kepada Allah SWT, tetapi bergantung kepada Allah Ta'ala sehingga mereka orang-orang seperti Nabi Ibrahim seakan-akan berasa khuatir kurang sopan bilamana berdoa meminta kepada Allah SWT kerana takut keadaan yang Allah Ta'ala sudah tentukan itu dia taknak dan minta mengubah kepada keadaan yang lain, yakni seakan-akan tidak redha dengan ketentuan Allah SWT.
Maka, mereka mengatakan ‘Pengetahuan Allah tentang saya adalah mencukupi daripada permohonan saya kepada Allah SWT’. Maka, ulama menggabungkan – bilamana berdoa mereka akan mengatakan, “Saya berdoa kerana ingin menunjukkan saya miskin kepada Allah SWT. Samaada diberi atau tidak, ia tak mengubah status keimanan orang itu kepada Allah SWT. Inilah maqam yang tinggi. Tapi bagi maqam-maqam orang yang biasa – kita memang berdoa memohon hajat dan pemberian Allah SWT dan pada masa yang sama menunjukkan kemiskinan dan kefakiran.

“Wahai manusia, kamu ini fakir dan Allah SWT yang Maha Kaya. Demikian, di katakan bahawa penghulu orang berdoa ialah Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda sentiasa berdoa untuk dirinya dan juga untuk umatnya. Di antara doa yang selalu diajarkan Nabi ﷺ ialah bilamana berdoa, doakan juga untuk orang lain.

Satu hari baginda Rasulullah ﷺ duduk di masjid, kemudian didatangi seorang Badwi. Badwi ini buang air kecil di masjid baginda Rasulullah ﷺ. Tapi bukan maksud Badwi itu untuk mengotori masjid, tapi kerana dia tidak tahu adab dan sopan-santun di dalam masjid. Maka, as sahabat ingin mengusir dan menghentikan perbuatan Badwi itu, tetapi dilarang Baginda Rasulullah ﷺ. Baginda menyuruh tunggu sehingga Badwi itu selesai dan menyuruh mengambil sebaldi air dan dibersihkan tempat dibuang najisnya itu tadi.

Lalu, dipanggil Badwi itu kepada Rasulullah ﷺ. As-sahabah membawa Badwi itu dengan muka yang menunjukkan kemarahan dan tidak suka. Badwi itu perasan air muka tidak suka para sabahat dan kehairanan, dan Rasulullah ﷺ pun memberitahu yang perbuatannya itu tak sepatutnya dilakukan didalam masjid kerana masjid adalah tempat beribadah. Jawab Badwi itu, “Ya Rasulullah ﷺ, saya tak akan buat lagi apa yang saya buat sebentar tadi.” Kemudian lelaki Badwi itu mengangkat tangan berdoa, “Ya Allah, ampunkan saya dan Nabi Muhammad ﷺ, yang lain jangan.” Kata Nabi ﷺ, “Wahai saudara Arab, kamu menyempitkan sesuatu yang luas.” Yakni, kalau berdoa, jangan disempitkan kerana kita meminta  kepada Yang Maha Kuasa, Yang Maha Luas seperti yang diajarkan Nabi ﷺ kepada Badwi tersebut. Makanya, di antara adab berdoa ialah meminta doa untuk diri sendiri dan juga orang lain.

Daripada beberapa sifat yang disifatkan dalam kitab Syamail Nabi Muhammad ﷺ, baginda adalah mempunyai sifat pemaaf. Sifat ini adalah sifat utama yang ada pada Rasulullah ﷺ sebagai tanda rahmat dan kasih sayang baginda. Maaf adalah satu sifat yang dinamakan dengan sifat itu Yang Maha Pemaaf Allah SWT. Dan hikmah kenapa Allah memberikan nama Yang Maha Pemaaf agar supaya hamba-hamba-Nya yang menginginka  maaf daripada Allah agar supaya hamba itu kerap memaafkan kesilapan orang lain. Lebih-lebih lagi jika seseorang itu ingin melatih diri bersih daripada sifat kebencian yang sifat itu merupakan penyakit biasa yang ada pada setiap umat, termasuk umat Nabi Muhammad ﷺ.

Ada 2 penyakit utama hati dan jiwa. Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Akan menimpa kamu penyakit yang menimpa umat sebelum kamu.” Tanya sahabat,“Apakah itu wahai Rasulullah ﷺ”  Jelas Baginda, “Hasad dengki dan benci.” Jadi, setiap orang adalah terdedah untuk terkena penyakit ini. Jika terkena penyakit ini (Na’zubillah), hatinya akan menjadi buta dan sunyi daripada sifat maaf dan sifat rahmah. Oleh kerana yang demikian, Nabi ﷺ bersabda yang penyakit itu adalah ‘pencukur, terang baginda, “Saya tidak mengatakan yang penyakit itu adalah pencukur rambut tetapi pencukur agama.” Bilamana kebencian, hasad-dengki bersemadi di dalam hati, penyakit ini akan ‘membersihkan’ agama orang yang membela ‘penyakit’ itu di dalam. 

Oleh sebab itu, Allah SWT mengajarkan kepada Rasulullah ﷺ untuk mempunyai sifat pemaaf. Allah SWT berfirman, “Ambillah sifat maaf, perintahkan untuk berbuat baik, berpaling daripada orang jahil.” Nabi ﷺ bertanya kepada Jibril apa maksud ‘mengambil maaf’, lalu Jibril pun naik kepada Allah dan turun semula dengan jawapan berikut, yakni:
  1. Menyambung tali-silaturrahim dengan orang yang memutuskan
  2. Memberi kepada orang yang tidak mahu memberi
  3. Melupakan/memaafkan kepada orang yang berlaku zalim kepada kamu.
Maka, itulah yang diambil Rasulullah ﷺ sehingga sifatnya ialah pemaaf. Terdapat beberapa hadis yang menceritakan sifat pemaaf dan sifat ‘al-ikhtimal’ baginda. Sifat ‘al-ikhtimal’ ialah menanggung sikap tidak baik orang lain terhadap Rasulullah ﷺ.

Dalam satu kisah, Rasulullah ﷺ bertemu Badwi yang membawa unta dan menjualnya kepada Rasulullah ﷺ. Setelah bersetuju dengan harganya, baginda mengajak Badwi itu pulang ke rumah untuk mengambil duitnya. Baginda berjalan laju, dan Badwi itu bergerak perlahan-lahan dan agak terkebelakang. Kemudian, datang sahabat yang tidak mengetahui tentang urusan jual-beli itu, dan menawarkan harga yang lebih tinggi kepada Badwi itu dan Badwi itu pun bersetuju menjual kepada sahabat pula. Rasulullah ﷺ pun berkata, “Bukankah kamu telah menjualnya kepada aku?” Jawab Badwi itu, “Mana ada? Apa buktinya kalau aku sudah menjualkan kepada kamu? Siapa yang menjadi saksi?”

Memanglah ketika berlaku transaksi itu tiada saksi. Namun, sahabat bernama Huzaifah mengatakan, “Aku jadi saksi kamu Rasulullah ﷺ”. Rasulullah ﷺ pun bertanya bagaimana dia ingin menjadi saksi sedangkan dia tidak berada di situ. Jawab Huzaifah, “Ya Rasulullah ﷺ, Allah amanahkan kepada engkau dengan Al-Quran, takkan engkau tak boleh dipercayai dalam urusan jual beli unta? Jadi, walaupun aku tak tengok, dan aku tak dengar, aku jadi saksi.” Maka dipuji Nabi ﷺ akan sababat tersebut, dan berkata, “Orang ini satu sahaja sudah cukup mewakili 2 orang saksi. Yakni, kebiasaanya diperlukan 2 orang saksi dalam sesuatu hal, tapi jika Huzaifah hadir, maka satu dirinya sudah mencukupi, tidak perlu kepada saksi kedua, kerana keamanan imannya meyakinin yang Rasulullah ﷺ tidak mungkin berdusta.

Dalam riwayat yang lain, bila sampai ke rumah, duit yang disimpan baginda telah dibelanjakan untuk perkara yang lain, maka baginda memohon maaf kerana tidak dapat membelinya. Tetapi Badwi itu marah dan menghina dan mencela Nabi ﷺ, dan ketika itu, datang seorang sahabat berkata kepada Badwi itu, “Bagaimana kamu boleh berkata sebegitu kepada Rasulullah ﷺ?” Kata baginda SAW, “Biarkan. Dia ada hak untuk meluahkan marah kepada saya.”

Itulah sifat tawadhuk dan ihtimal Nabi ﷺ. Ihtimal juga ialah sifat menanggung karenah tidak baik daripada orang lain. Siapa orang lebih mulia daripada Rasulullah ﷺ sehingga dihina sedikit, dimaki sedikit, disebut sedikit dalam ‘FB’ umpamanya, dah melenting dan mengatakan macam-macam. Nabi ﷺ dicela pendusta setelah digelarkan seorang yang jujur, dikatakan tukang sihir walaupun baginda tak pernah pun bertemu dengan tukang sihir, dicaci dan dilakukan macam-macam, tapi tak pernah pun baginda melenting kepada orang yang melakukannya kepada baginda.

Sehingga sahabat yang faham betul dengan sifat Rasulullah ﷺ ada di antara mereka yang menggunakan sikap yang tidak baik kepada Rasulullah ﷺ , kerana mereka yakin benar yang Nabi ﷺ SAW tidak pernah membalas keburukan dengan keburukan juga. Salah seorang daripada ialah seorang Badwi yang meminta zakat dengan menarik kain serban Nabi ﷺ dengan kuat sehingga berbekas merah di lehernya. Katanya, “Bagi padaku harta dari Allah SWT yang bukan milik harta ayah dan ibumu.” Maka, baginda Rasulullah ﷺ melihat kepadanya dan tersenyum dan berkata, “Wahai saudara Arab, bukankah cara kamu meminta dengan kasar ini boleh menyebabkan aku tidak memberi apa yang kamu minta?” Jawab Badwi itu, “Saya tidak pernah mendapati sikap buruk engkau kepada orang yang bersikap buruk kepada engkau. Kamu tak pernah menolak keburukan dengan keburukan, tetapi selalu menolak keburukan dengan kebaikan.”

Nabi ﷺ senyum, pergi ambil bahagiannya dan bertanya, “Cukupkah?” Jawab Badwi, “Sikit saja kamu beri pada aku.” Lalu, Nabi ﷺ menambah sehingga hati Badwi itu puas. Setelah dia puas hati, Nabi ﷺ meminta Badwi itu bertemu dan menenangkan sahabat Baginda yang tidak puas hati melihat perbuatannya kepada Rasulullah ﷺ. Kenapa Nabi ﷺ buat begitu? Supaya seseorang itu bijak dalam menjaga hati orang lain. 

Anda boleh memasukkan kebahagiaan di hati orang, kenapa memilih untuk menyakiti perasaan orang dengan kata-kata anda, dengan tulisan anda, dengan komen anda? Nabi ﷺ suruh Badwi itu memberitahu yang dia sudah puas hati dengan pemberian Nabi ﷺ agar hati sahabat yang rasa tidak puas hati itu dapat diubati, walaupun yang sebenarnya disakiti ialah Nabi ﷺ sendiri.

Nabi ﷺ begitu menjaga perasaan orang lain, zaman sekarang orang mencari orang untuk disakiti. Lagi-lagi dengan kemudahan yang ada sekarang, nak sakiti hati orang tak perlu pergi rumah orang itu, tinggal pegang ‘handphone’ saja, kita hantar. Ya Salaam, Allah beri anda iman. Allah utuskan anda seorang yang memerintahkan kepada anda untuk menjaga kepada hati orang lain. Apa hikmah suruhan Nabi kepada anda, jika anda tidak jaga hati orang? Kenapa mudah dengan lisan yang lebih tajam daripada pedang itu menyakiti orang lain? Kenapa digunakan lisan untuk menyakiti orang lain sementara mampu untuk mengubati perasaan orang lain?

Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkata yang baik, atau jika tak mampu, diam. Diam itu selamat. Tapi, kalau yang namanya mulut itu, kalau tak bercakap gatal – mesti bercakap juga. Kalau bercakap itu nilainya sama dengan garam, maka diam itu nilainya sama dengan emas. Fahimtum?


Maka, Badwi itu pun bertemu sahabat Rasulullah ﷺ dan menyatakan yang dia sudah puas hati, dan sahabat pun senang hati setelah itu. Kemudian, Rasulullah ﷺ berkata, “Perumpaan saya dengan orang Badwi itu adalah seperti tuan dan untanya. Unta yang mengamuk, kalau ada orang asing datang mungkin akan lebih mengamuk lagi. Tapi bila tuannya datang dan memberikan sedikit makanan, dan unta pun kenal kepada tuannya, maka unta pun jinak dan dapat menungggangnya dengan selamat. 

Tapi, jika aku tadi membiarkan kamu mengambil tindakan kepada Badwi itu, dan sampai kepada kamu membunuhnya, maka dia akan masuk neraka.” Yang masuk neraka adalah Badwi itu kerana sifatnya yang biadap kepada Rasulullah ﷺ dan Rasulullah ﷺ tidak mahu dia masuk neraka, maka Rasulullah ﷺ memaafkan dan mengajar kepada. Ini sikap seorang Badwi yang tahu sikap Nabi ﷺ tak pernah membalas keburukan dengan keburukan, sebaliknya membalasnya dengan kebaikan.

Dalam satu kisah lain pula, seorang bernama Nuaiman** yang agak nakal sedikit kerana dia suka bergurau. Terkadang dia bergurau kepada Rasulullah ﷺ dan kerap Rasulullah ﷺ pun ketawa kerananya. Ringkasannya - Ada seorang Badawi datang ke masjid untuk bertemu Rasulullah ﷺ dan mengikat untanya di luar masjid. Sahabat termasuk Nuaiman**, Hamzah, Mighdad** dan yang lain melihat yang unta Badwi itu gemuk. Mereka pun teringin menyembelihnya, tapi risau siapa yang akan menggantikannaya. Kata Nuaiman, “Tak apa, Rasulullah ﷺ mesti akan ganti.” Nuaiman yang buat dan dia suruh Nabi ﷺ tanggung J

Nuaiman pun sembelih untanya perlahan-lahan dan kemudian menyembunyikan dirinya dengan bantuan Mighdad**. Setelah Badawi itu keluar, maka dia terkejut setelah melihat untanya telah disembelih. Dia pun berteriak sehingga Nabi ﷺ pun keluar masjid dan bertanya apa yang berlaku. Lalu diceritakan yang untanya telah disembelih. Nabi ﷺ pun bertanya siapa yang buat, tapi semua diam termasuk Sayyidina Hamzah. Kemudian, Nabi ﷺ bertanya pada Mighdad, tapi Mighdad yang berpakat dengan Nuaiman** berkata, “saya tidak tahu” tapi mengisyaratkan dengan tangan tempat Nuaiaman bersembunyi. Mighdad tidak mahu berdusta kepada Rasulullah ﷺ dan kerana janji kepada Nuaiman, dia tidak memberitahu secara lisan tetapi secara isyarat kepada Rasulullah ﷺ. Lalu baginda Rasulullah ﷺ pun menemui Nuaiman dan bertanya kenapa dia melakukan, dan jawabnya, “Ya Rasulullah ﷺ, saya disuruh oleh sahabat-sahabat yang lain.” Maka, Nabi ﷺ pun akhirnya tersenyum juga dan disuruh masak daging itu dan digantikan unta itu oleh Rasulullah ﷺ.

Di dalam karisma Rasulullah ﷺ yang begitu luhur, baginda masih suka bergurau bersama sahabat dan keluarganya, tetapi gurauannya adalah tidak pernah berdusta. Demikian sifat Nabi Muhammad ﷺ - setiap akhlak murni yang ada pada seseorang – itu adalah serpihan daripada akhlak sebenar Rasulullah ﷺ

Semoga kita menteladani sifat utama baginda iaitu berdoa kepada Allah SWT – berdoa untuk diri dan orang lain, dan sifat menjaga kepada hati orang lain – semoga fikiran kita, suara hari kita, dan mulut kita dijaga oleh Allah daripada menyakiti perasaan orang lain, baik dengan kata-kata, tulisan atau gerakan kita.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan sarikata dan mungkin juga sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

**: mungkin salah ejaan

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab