“Sampaikan hajat orang lain, angkat kesusahannya dan permudahkan untuknya” - Maulid Bulanan MTDM Mei 2014

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Maulid Bulanan MTDM Mei 2014
Tausiyah Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid  



Semoga kita termasuk daripada golongan orang beriman, dan mengambil manfaat daripada apa yang disampaikan tadi (oleh Al-Fadhil Ustaz Hassan Saifu Rizal) berkenaan galakan meningkatkan ibadah kepada Allah SWT khususnya di bulan yang diberkati oleh Allah SWT, yang juga salah satu bulan yang diharamkan Allah Ta'ala daripada 12 bulan.

Cukup menjadi kemuliaan bagi bulan apabila diasingkan daripada 12 bulan yang lainnya menjadi bulan haram - Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab. Semoga kita termasuk orang-orang yang memanfaatkan kemuliaan bulan Rejab dengan meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT, membanyakkan beristighfar, meniru kepada Sayyidul Mustaghfiru – meniru kepada penghulu orang yang berishtighfar, meniru kepada penghulu orang-orang yang meminta maaf kepada Allah SWT walaupun beliau tak mempunyai dosa atau kesilapan untuk diampunkan. Akan tetapi Allah menciptakannya untuk menjadi teladan kepada umatnya dengan sifat rendah diri.

Sesiapa yang merendah diri akan diangkat darjatnya oleh Allah SWT. Demikian janji Allah SWT kepada orang-orang yang mahu mengambil sifat tawaduk (merendah diri). Firman Allah SWT:
“Hendaklah engkau wahai Rasulullah ﷺ, meletakkan sayap kamu, merendah kepada orang-orang yang mengikuti kamu daripada orang-orang yang beriman.”

Kemuliaannya tiada yang menandingi,
Ketaatannya tak seorang pun menyamainya,
Keagungannya tak seorang pun bisa mencapainya,
Akan tetapi baginda disuruh merendah kepada orang yang darjatnya jauh lebih rendah daripada darjat baginda sendiri.

“Sungguh terdapat pada peribadi Rasulullah ﷺ teladan yang baik.”
Kita – kalau menggantikan teladan yang sudah diisytiharkan oleh Allah SWT bahawa beliau adalah teladan terbaik, dan menggantikan dengan selain beliau, tiada yang lebih baik daripada baginda.

Tidak akan seseorang itu mendapatkan kebaikan bilamana menjadikan teladannya selain Rasulullah ﷺ. Yang Menciptakan kita memberitahu bahawa inilah teladan/khudwah/ikutan kamu. Berapa ramai daripada manusia khususnya kaum Muslimin yang ditunjukkan oleh Allah SWT tentang keagungan dan teladan baginda Rasulullah ﷺ, masih mahu mencari teladan-teladan yang lain, masih memilih teladan-teladan yang lain sementara di hadapan kita sudah ada teladan yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat, yang mana Rasulullah ﷺ dijadikan oleh Allah SWT membawa kebahagiaan kepada orang yang mahu mengikuti kepada baginda Rasulullah ﷺ.

Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Saya, kalau nak makan, makan cara hamba sahaya, dan saya kalau nak duduk, duduk cara hamba sahaya.” Demikian, cara Rasulullah ﷺ menampakkan tawadhuknya dalam cara makan, duduk apatah lagi dalam berinteraksi dengan kaum muslimin. Bahkan dalam berdakwah pun, baginda Rasulullah ﷺ tidak pernah menisbahkan kepada dirinya akan kejayaan dakwah beliau walaupun baginda adalah paling berjaya dalam dakwahnya ke jalan Allah Ta'ala. Baginda tidak pernah menzahirkan dirinya untuk menjadikan dirinya ‘glamour’.

Baginda Rasulullah ﷺ dididik Allah SWT untuk tawadhuk walaupun namanya sudah termasyur sebelum diciptakan Allah SWT. Bukankah beliau sendiri yang mengungkapkan tanpa menunjukkan kesombongan pada dirinya, “Saya penghulu kepada semua anak Adam tapi saya tidak sombong.” “Saya sudah menjadi Nabi sementara Adam masih antara tanah dan air.” Demikian, Rasulullah ﷺ, namanya sudah masyhur, namanya menjadi amanah kepada setiap Nabi yang diutus Allah SWT akan tetapi beliau mengatakan “Saya ini hamba sahaya.” Dengan ‘hamba sahaya’ itu diangkat darjat seseorang oleh Allah SWT.

Pembesar-pembesar Quraisy datang dan menawarkan baginda dengan pelbagai tawaran untuk berhenti berdakwah. Semua tawaran daripada harta, takhta dan wanita ditolak oleh Nabi ﷺ dengan bersabda, “Demi Allah wahai pakcik, kalau mereka mampu meletak matahari di tangan kananku (yang mereka takkan mampu pun), bulan di tangan kiriku (yang mereka pun tak pernah sampai pun) untuk aku berhenti daripada berdakwah, aku akan terus berdakwah sehingga Allah Ta'ala tunjukkan/isytiharkan hasil dakwah aku atau aku mati di dalam berdakwah.” Baginda tidak mengatakan – “Sehingga aku berjaya berdakwah…” atau “sehingga aku banyak pengikut…” atau “sehingga aku disanjung oleh orang ramai.” Beliau tawadhuk walaupun baginda adalah mulia dan dipuji.

Rasulullah ﷺ dalam sifat tawadhuknya, tak pernah baginda merendahkan sifat orang lain, beliau menjaga perasaan hati orang yang dipandang hina oleh orang lain (golongan hamba sahaya). ‘Adi bin Ibnu Hathim** memeluk kepada Islam kerana melihat tawadhuknya Nabi Muhammad ﷺ. Bilamana seseorang mempunyai sifat tawadhuk seperti Rasulullah ﷺ, berapa ramai orang yang akan mendapatkan hidayah, petunjuk daripada Allah SWT. Akan tetapi, nilai-nilai murni Rasulullah ﷺ ghaib daripada kaum muslimin. Akan tetapi, akhlak mulia yang dibawa beliau hanyalah cerita yang didengar kaum muslimin. Akan tetapi, ajaran yang dibawa beliau tidak ada praktikalnya kepada ramai kaum muslimin. Kita berdoa dalam majlis ini semoga kita termasuk orang-orang yang dibanggakan beliau dengan menghiasi jatidiri kita penuh dengan akhlak dan sifat murni Nabi Muhammad ﷺ.

‘Adi bin Ibnu Hathim** ketika datang kepada Rasulullah ﷺ berkata, “Saya akan tengok kepada orang ini – adakah dia mengingini kepada kuasa, ataupun takhta atau harta ataupun ada maksud-maksud lain daripada ajaran yang dibawa olehnya.” Baginda Nabi ﷺ berada di masjid ketika itu, lalu baginda Rasulullah ﷺ melihat Hadi dan bertanya, “‘Adi bin Ibnu Hathim**?” ‘Adi bin Ibnu Hathim** menjawab, “Ya.” Lalu, Rasulullah ﷺ pun menyambutnya walaupun dia belum memeluk Islam. Rasulullah ﷺ mendatanginya dan  memegang tangannya untuk dibawa ke rumah Rasulullah ﷺ.  ‘Adi pun terperanjat dengan sikap dan layanan Rasulullah ﷺ, walaupun kepada orang bukan Islam. Dalam perjalanannya, Rasulullah ﷺ didatangi seorang perempuan tua meminta kepada Rasulullah ﷺ supaya membantu menyelesaikan urusannya. Baginda tidak pernah menghampakan sesiapa – tiada orang yang datang ke rumahnya melainkan akan mendapatkan bahagian daripada Nabi Muhammad ﷺ. Tiada orang yang susah kecuali dihiburkan baginda, tiada orang bermasalah kecuali akan diselesaikan masalahnya oleh Rasulullah ﷺ.

Bahkan, diriwayatkan oleh para sahabat bahawa baginda membahagikan masanya kepada 3 bahagian – 1/3 yang pertama untuk Allah, 1/3 yang kedua untuk berdakwah di jalan Allah, dan 1/3 yang ketiga dibahagikan kepada 3 –untuk diri, untuk keluarganya, dan untuk orang-orang yang ada hajat kepada Rasulullah ﷺ. Tiada rehat untuk Rasulullah ﷺ - haknya kepada Allah ditunaikan, haknya berdakwah kepada manusia juga ditunaikan dan barangsiapa yang berhajat kepada Baginda boleh datang bertemu Baginda. Bahkan jika ada orang berhajat yang tidak mampu menyampaikan kepada Rasulullah ﷺ, baginda meminta orang yang mampu untuk menyampaikannya kepada baginda kerana:

“Sesungguhnya orang yang menyampaikan hajat orang lain, Allah akan menyampaikan hajatnya nanti di akhirat.”     

“Siapa yang mengangkat kesusahan yang ada pada orang lain di dunia, Allah akan mengangkat kesusahannya di akhirat.”

“Siapa yang memberi kemudahan kepada orang yang susah di dunia, maka akan dimudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.”

“Orang yang memenuhi hajat saudaranya, Allah akan memenuhi hajatnya.”

“Barangsiapa yang memuliakan orang lain, akan mendapat balasan yang sama juga.”

Inilah ajaran Rasulullah ﷺ yang mengikat antara orang-orang beriman untuk memerhatikan antara satu dengan yang lainnya - yang susah diangkat kesusahannya, yang mendapi masalah akan dibantu menyelesaikan masalahnya, yang ada hajat ditunaikan hajatnya. Inilah ajaran yang dibawa Rasulullah walaupun realitinya hari ini ramai orang lebih suka bikin susah kepada orang lain sedangkan kita disuruh mengangkat kesusahan orang lain, kita mempersulitkan orang lain sementara kita disuruh untuk memudahkan kepada orang lain.

Kita disuruh mencari orang yang ada hajat supaya ditunaikan hajatnya, tapi kita lari daripada hajat orang lain. Kita lari daripada ajaran yang dibawakan Rasulullah ﷺ. Kita tidak berpegang kepada ajaran yang dibawa Rasulullah ﷺ.
Semoga ajarannya menjadi sebab untuk kita kembali kepada garis yang sudah ditetapkan Nabi Muhammad ﷺ. Demikian sifat beliau yang sentiasa membantu kepada orang lain.

Perempuan tua yang berhajat kepada Rasulullah ﷺ - baginda melepaskan tangan ‘Adi dan pergi kepada perempuan tua itu. Baginda berdiri lama untuk mendengarkan apa hajat wanita tua untuk dipenuhi.

Bahkan, sekiranya ada orang yang memerlukan bantuan Rasulullah ﷺ tetapi tidak dapat dibantu secara langsung, baginda akan mencari orang lain untuk membantunya. Baginda akan menjadi as’syafiq, atau orang tengah untuk membantu atau sekurang-kurangnya membuka mulut untuk membantu.

Dalam masalah orang yang berhutang, Nabi ﷺ meminta pemiutang untuk meringankan beban orang yang berhutang. Kata pemiutang itu, “Ya Rasulullah ﷺ, adakah kamu memerintahkan saya untuk melupuskan atau memaafkan hutang orang itu?” Jawab baginda, “Saya ini as-syafiq, dan saya menasihatkan kamu agar mengurangkan hutang, atau memanjangkan tempoh bayaran balik atau memaafkan hutangnya.”, yakni orang yang membantu meringankan kesusahan orang lain.

Baginda Rasulullah ﷺ ialah pemberi syafaat di dunia dan di akhirat. Inilah yang dijanjikan Allah Ta'ala untuk memberikan maqam syafaah kepada Rasulullah ﷺ dan sesiapa yang dikehendaki oleh baginda Rasulullah ﷺ.

Dan diantara mereka yang akan mendapat syafaat di akhirat ialah mereka yang ketika di dunia suka menjadi syafaat (pertolongan) kepada orang yang susah dan juga orang yang kerap membaca doa selepas azan.

Kata Rasulullah ﷺ, “Barangsiapa yang membaca doa itu, wajib mendapat syafaat aku nanti di akhirat”.

Baginda sentiasa berusaha membantu orang-orang yang susah, dan hendaklah kita mengambil sebahagian daripada sifat itu untuk meringankan beban orang lain.

Jika kita tak mampu meringankan beban orang lain, jangan menjadi sebab kesusahan untuk orang lain.

Kurang-kurang demikian agar kita tak menjadi musibah atau menyakiti kepada orang lain, kerana bukan itu yang diajar Nabi Muhammad ﷺ.

Seseorang datang ke rumah Nabi Muhammad ﷺ tetapi baginda tiada makanan untuk diberikan sebagai hak kepada tetamu yang datang daripada jauh, lalu baginda pun bertanya kepada sahabat-sahabatnya.

Di saat tidak mampu, baginda tidak menolak terus tetamu itu tetapi menawarkan kepada orang lain. Sikapnya, kehidupannya menjadi sebab manfaat kepada orang lain. Orang yang terbaik ialah orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Seorang sahabat memberanikan diri menerima tetamu itu walaupun dia sendiri tidak pasti adakah ada makanan atau tidak di rumahnya. Kenapa sahabat itu memberanikan diri? Kerana tawaran itu datang daripada Rasulullah ﷺ. Sifat sahabat tidak akan menolak tawaran Nabi ﷺ, bahkan akan menerima dengan cepat, kerana mereka tahu bahawa tawaran yang datang daripada Rasulullah ﷺ adalah sebaik-baik tawaran yang akan membawa kebaikan daripada Allah SWT.

Sampai dirumahnya, ada cuma sedikit makanan yang ada disimpan untuk anak-anaknya. Suaminya menyuruh ditidurkan anak-anaknya, dan kemudian merancang dengan isterinya agar makanan itu diberi semuanya kepada tetamunya Rasulullah ﷺ dengan cara isteri berpura-pura menjatuhkan lilin sehingga terpadam ketika menghidangkan makanan dan kemudian mereka berdua berpura-pura menguyah makanan bersama tetamu Rasulullah ﷺ. Mereka sanggup mendahulukan tetamu Rasulullah ﷺ berbanding anak atau diri mereka sendiri. Dari mana mereka belajar akhlak begini? Zaman sekarang ini bukan saja kita mementingkan diri sendiri, bahkan prinsip yang dipakai kita hari ini ialah kita tidak kisah untuk mengorbankan orang lain. Kalau mementingkan diri sendiri dan tak mengorbankan orang lain masih lagi ringan berbanding mementingkan diri sendiri dan mengorbankan orang lain. Zaman kita sudah makin jauh daripada yang telah digariskan Nabi Muhammad ﷺ.

Keesokan harinya, sahabat itu bertemu Rasulullah ﷺ - mereka tak ingin memceritakan pun kepada baginda tapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya – dan Rasulullah ﷺ memberitahu bahawa Allah merasa takjub dengan perbuatan mereka berdua. Mereka buat begitu untuk mentaati Rasulullah ﷺ dan memuliakan dan memberi hak orang lain.

Ketika melihat Nabi ﷺ melayan wanita tua dengan begitu lama, ‘Adi terfikir tidak mungkin orang ini (Nabi ﷺ) mencari kuasa, harta, atau sanjungan orang kerana orang yang ingin disanjung tak mungkin akan melayan kepada orang yang lebih rendah darjatnya. Baginda berdiri lama menunggu cerita wanita tua itu dan menyampaikan hajat wanita itu dalam ketinggian martabatnya, dan kesibukan dirinya sebagai Rasulullah ﷺ.

‘Adi kemudian dibawa ke rumah baginda, dan diberikan bantal yang biasanya menjadi sandaran Rasulullah ﷺ kepada ‘Adi. ‘Adi bin Hatim pada ketika itu ialah seorang Kristian yang memusuhi kepada Rasulullah ﷺ tetapi dengan tawadhuknya Nabi ﷺ, ‘Adi bin Hatib memulangkan alas duduk itu dan mengatakan, “Kamu lebih layak.” Kata Rasulullah ﷺ, “Kamu lebih layak kerana kamu tetamu.” ‘Adi bin Hatim pun duduk berlapik sedangkan Rasulullah ﷺ duduk di atas tanah.

Alas duduk orang yang pergi ke Sidratul Muntaha, orang yang sudah diisrak-mikrajkan oleh Allah Ta'ala diberikan kepada seorang yang tidak beriman kepada Allah SWT. Akhlak yang hebat yang macam mana ditampilkan oleh Rasulullah ﷺ?, yang ghaib daripada kalangan kaum muslimin, yang telah diangkat darjat mereka dengan dijadikan mereka umat Nabi ﷺ, akan tetapi ramai daripada mereka yang tidak mempraktikkan akhlak baginda. Melihatkan akhlak Rasulullah ﷺ, ‘Adi bin Hatim pun akhirnya mengucapkan syahadah.

Suatu hari, baginda keluar ke pasar untuk membaju baju untuk dirinya. Baginda menjumpai seorang hamba menangis di tepi jalan, dan dihampiri untuk bertanya kenapa. Baginda cepat mengambil peluang untuk berbuat kebaikan dan memberi manfaat kepada orang lain dan tidak mengatakan biarlah orang lain yang buat, dan baginda tidak mengutamakan urusan dirinya sendiri juga.

Tanya Nabi ﷺ, “Kenapa kamu menangis?”
Jawab hamba itu, “Ya Rasulullah, tuan saya suruh saya membeli barang, tetapi saya telah kehilangan duit 2 Dirham yang diberikan. Saya takut untuk balik ke rumah dan dimarahi tuan saya.”
Baginda pun berkata, “Ambilah 2 Dirham ini dan belilah barang yang diminta tuan kamu itu.”

Hamba itu berasa gembira. “Membuatkan orang lain gembira juga merupakan satu sedekah.” Kata baginda Nabi ﷺ. Menyusahkan hati orang lain merupakan satu perbuatan yang dibenci dan tidak bersesuaian dengan ajaran yang dibawa Rasulullah ﷺ. Kalau tak boleh membahagiakan orang lain, jangan sampai menyakiti dan melukakan perasaan orang lain. Jaga mulut ini daripada melukakan perasaan orang lain dengan tengkingan, cacian atau makian atau tangan yang gatal menulis kata-kata yang menyakiti perasaan orang lain.

Tidak akan terkeluar daripada mulut ini kecuali akan dicatit Allah melalui malaikat yang bertugas untuk mencatit setiap kalimat yang dituturkan.

Tangan kita hari ini boleh mengikut kehendak kita untuk menulis apa saja yang kita nak, tapi di akhirat nanti, tangan akan bercakap, “Ya Allah, saya digunakan oleh orang itu untuk menulis kata-kata seperti ini, seperti itu…”
Dan orang itu bertanya, “Kenapa kamu menjadi saksi buruk kepada aku?”
Di dunia tangan bergerak mengikut kemahuan kita, tapi nanti di akhirat nanti tangan akan bergerak dan bercakap sendiri. Tangan akan berkata, “Yang menjadikan saya bercakap ialah Allah yang menjadikan segala sesuatu boleh bercakap.”

Jagalah anggota tubuh-badan kita ini selagi masih boleh ikut apa yang kita mahu, sebelum datang satu hari nanti ia akan bercakap apa yang telah dilakukannya. Anggota badan ini dititipkan Allah SWT untuk dipergunakan kepada tempat-tempat yang diredhai-Nya.

Setelah itu, Rasulullah ﷺ pun pergi ke pasar, membeli hajat keperluannya. Dalam perjalanan balik, baginda bertemu hamba yang sama menangis di tempat yang sama juga.

Kata baginda, “Bukankah aku telah berikan kepada engkau 2 Dirham yang engkau minta untuk membeli barang untuk tuanmu?”
Jawab hamba it, “Betul, dan inilah brg yang telah aku beli dengan 2 Dirham tadi.”
Tanya baginda Nabi ﷺ lagi, “Jadi, kenapa kamu masih menangis?”
Jawabnya, “Ya Rasulullah ﷺ, saya sudah lama disuruh oleh tuan saya dan saya takut akan dimarahi kerana balik lambat.”
Tanya Nabi ﷺ, “Kamu mahu saya hantarkan kamu balik supaya kamu tak dimarahi?” Syafiq – Nabi ﷺ bersifat memberi syafaat dan membantu kesusahan orang lain.
Kata hamba sahaya, “Kamu mahukah menghantarku pulang?”
Hamba sahaya itu pun terkejut kerana kesanggupan Nabi ﷺ dalam kesibukannya, meluangkan masa untuk tidak menghampakan dan mengangkat kesusahan orang lain.

Kata Rasulullah ﷺ, “Jom, aku hantar kamu pulang.”

Sampai dirumahnya, ketika Rasulullah ﷺ memberi salam, tuan rumah sudahpun mengenali suara baginda. Mereka kenal serba-serbinya tentang Nabi ﷺ kerana mereka sayangkan Nabi ﷺ dan mereka mengambil tahu segala yang berkaitan Nabi ﷺ untuk mereka kenalkan pula baginda kepada generasi berikutnya.

Zaman kita sekarang, berapa ramai yang kenal kepada Rasulullah ﷺ, sahabat Rasulullah ﷺ, ahli keluarga Rasulullah ﷺ? Kalau ditanya berapa ramai anak Rasulullah ﷺ - mungkin akan disebut 1 atau 2 sahaja. Kalau tahupun bilangannya berapa, tak tahu siapa namanya satu-satu. Siapakah isterinya Rasulullah ﷺ? Latar belakang kehidupan isteri Rasulullah ﷺ untuk menjadi teladan kepada isteri kita, anak-anak perempuan kita, adik-beradik perempuan kita. Nak mencontohi teladan siapa kalau bukan isteri dan anak-anak Rasulullah ﷺ yang dididik Rasulullah ﷺ dan dipandau wahyu Allah SWT. Rumah tangga Rasulullah ﷺ adalah rumah tangga khudwah yang dipantau Allah SWT dengan turunnya wahyu di rumah baginda Rasulullah ﷺ.

Tuan rumah yang mendengar suara Rasulullah ﷺ memberi salam menjawab nya secara perlahan-lahan kerana mereka tahu, jika baginda tidak mendengar jawapan, maka baginda akan mengulang sehingga tiga kali sebelum pergi. Mereka mengharapan 3 kali doa Nabi ﷺ seperti yang diucapkan dalam salam yang bermakna, “Salam rahmat dan barakah Allah ke atas kamu.” Dan bila pula doa ini keluar daripada lisan Rasulullah ﷺ, maka barakah terbesar akan diberikan oleh Allah SWT.

Sampai kali ketiga, baru tuan rumah menjawab dengan kuat. Nabi ﷺ bertanya kenapa kamu tidak menjawab salamku yang pertama dan kedua. Jawab tuan rumah, “Ya Rasulullah ﷺ, kami ingin mengambil keberkatan daripada salammu 3 kali.”

Tuan rumah pun bertanya, “Apa hajat tuan datang ke tempat kami. Kenapa tidak menghantar orang kepada kami agar kami mendatangi kamu?”

Jawab Rasulullah ﷺ, “Saya datang untuk menghantar hambamu ini agar kamu tak memarahinya kerana dia lambat.”

Tanya rumah lagi, “Kamu tak datang kecuali untuk hajat ini?”

Kata Rasulullah ﷺ, “Saya datang agar kamu tak memarahi hamba sahaya ini.”

Kata tuan rumah, “Ya Rasulullah ﷺ, dengan Engkau datang kerana hamba sahaya ini, dan keberkatan yang kami dapat kerana Engkau, saya bebaskan hamba sahaya itu sebagai jazak.”

Walaupun pada asalnya hamba itu memberikan masalah tetapi akhirnya dia dibebaskan disebabkan kedatangan Rasulullah ﷺ. Inilah sifat syafiq pada Rasulullah ﷺ - pemberi syafaat dunia apatah lagi akhirat.

Moga-moga Allah SWT menjadikan kita yang berada di rumah Allah, agar mengembalikan khususnya kepada keluarga kita akhlak dan nilai murni yang ditanamkan oleh Rasulullah ﷺ.

Moga-moga Allah SWT memberi kekuatan pada hati dan jiwa kita untuk menghiasi diri kita dengan nilai-nilai murni baginda Rasulullah ﷺ - dijaga lisan kita untuk tidak menyakiti orang lain, dijaga tubuh badan kita untuk tidak menghampakan orang lain, menjadi sebab manfaat untuk orang lain, menjadikan kita orang-orang yang dibimbing oleh Allah SWT.


*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan/sarikata kuliah mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

**: mungkin salah ejaan



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab