“Taat pasti menang, langgar pasti kalah” - MTDM 11.04.2014

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*

Senarai sumber asal daripada rakaman video Majlis Ta'lim Darul Murtadza:



BAHAGIAN 1 - Tafsir Quran Surah Ali-Imran ayat 149-152

Ayat 149:

Ayat ini menceritakan kepentingan taat kepada Allah Ta'ala dan meninggalkan ketaatan kepada selain Allah Ta'ala. Ketaatan kepada Allah Ta'ala mempunyai makna ‘al-iltislam’ – penyerahan diri kepada maksud Allah kepada apa yang kita disuruh taat kepada Allah Ta'ala, walaupun perkara yang kita disuruh taat itu terkadang perkara yang kita berat atau susah nak melakukannya. Tapi kalau perintah itu datang daripada Allah SWT, tiada tolak ansur di situ, atau (ruang) memikirkan sama ada perlu dilakukan atau tidak, dalam apa keadaan sekalipun. Ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah ﷺ - di mana di situ ada ajakan daripada orang tidak beriman dan ada ajakan daripada Nabi Muhammad ﷺ (yang wajib ditaati). Ajakannya dalam bentuk ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, dan dalam masa yang sama mereka dicabar di dalam jiwa dan hati.

Kisah ini masih berkaitan dengan peperangan Uhud, di mana kekalahan dialami kaum muslimin. Mereka kembali dalam keadaan ramai yang luka, sakit, bahkan sebahagian daripada mereka tak mampu berjalan. Nabi ﷺ mendapat maklumat yang kaum musyrikin akan berpatah balik untuk membantai kaum muslimin. Maka, baginda Rasulullah ﷺ mengatakan semua yang ikut bersama berperang perlu keluar semula ke Hamratul Asad** untuk mempertahankan kota Madinah. Mereka itu dalam keadaan kalah, dan luka dan diperintah semula untuk keluar balik oleh Nabi ﷺ. Perintah Nabi ﷺ tidak dikeluarkan kecuali ia adalah perintah Allah SWT. Ini perintah daripada Rasulullah ﷺ yang mesti ditaati.

Maka pada waktu itu, kaum munafiqin menganggu dan mengatakan, “Kamu sihat pun kalah dalam Perang Uhud, dan sekarang ingin berperang dalam keadaan kamu lemah dan luka-luka seperti ini?” Inilah cabaran untuk tidak taat kepada Rasulullah ﷺ. Dan mereka kaum muslimin ketika itu memang tercabar dengan keadaan fizikal mereka. Tapi, dengan didikan iman yang diajarkan Rasulullah ﷺ kepada sahabatnya, dalam surah Al-Ahzab, ayat 1-3, Allah berfirman:



Kaum munafiqin mengajak untuk tidak taat kepada Rasulullah ﷺ. Dan pada setiap zaman mesti ada golongan yang mengikut kepada iblis dan menghalang orang daripada taat kepada Allah Ta'ala dan Rasul-Nya. Setiap zaman, takkan sunyi daripada ajakan untuk mentaati Allah Ta'ala dan Rasul-Nya dan pada masa yang sama ada ajakan untuk tidak mentaati Allah Ta'ala dan Rasul-Nya. Akan tetapi orang-orang beriman akan mengatakan, “Hasbunallah wa nikmal wakeel.” - Allah yang akan mencukupkan kepada kami. Allah yang akan menjadi wakil kepada kami. Allah yang akan mencukupkan kami kepada apa yang diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ.

Dan sebab mereka taat kepada Rasulullah ﷺ dalam keadaan mereka tidak bersandar dengan kekuatan mereka, dan kerana  mereka memang tiada kekuatan atau bekal ketika itu. Mereka hanya keluar dengan ketaatan dan semangat sahaja. Tapi apa yang berlaku? Mereka yang keluar dengan kesakitan, tapi kembali dengan kemenangan kerana kaum musyrikin telah patah balik ke kota Mekah dan tidak jadi menyerang kota Madinah. Kenapa? Kerana Allah telah hantarkan perasaan takut kepada kaum musyrikin yang mendapat maklumat bahawa Nabi ﷺ datang dengan tenteranya yang luar biasa bersedia menghadapi kaum musyrikin. Abu Suffiyan pun berfikir semula, dan memandangkan mereka telahpun dianggap menang dalam Perang Uhud, dia berasa lebih baik patah dengan membawa kemenangan pertama daripada membiarkannya tercemar dalam pertempuran kedua. Mereka pun patah balik kerana perasaan takut sebenarnya. Allah yang hantarkan kemenangan. Apa senjata yang ada pada Rasulullah ﷺ dan sahabat ketika itu? Dengan lukanya mereka, nak berperang macam mana? Modal mereka hanyalah taat kepada Allah SWT!

Kalau kamu taat kepada orang kafir, kamu akan rugi. Yakni kalau dengar ajakan kaum munafiqin untuk tidak taat kepada Rasulullah ﷺ, kamu akan rugi. Kemenangan takkan diperoleh jika melanggar perintah Allah Ta'ala dan Rasul-Nya.

Ayat 150:

Taat pada orang kafir akan merugikan kamu. Tetapi yang patut kamu taat ialah Tuhan kamu, yang kamu takkan rugi dengan-Nya, yang kamu akan sukses dengan-Nya.

Tanpa berperang pun kaum musyrikin sudah takut untuk berperang dengan kaum muslimin. Sebab apa? (sambung ayat berikutnya).

Ayat 151:

Allah meletakkan pada hati mereka perasaan takut. Mereka takut walaupun mereka kuat, banyak senjata. Kemenangan tak boleh diukur dengan kekuatan senjata dan lahiriah, tapi kemenangan boleh diraih dengan kepatuhan kepada Allah Ta'ala dan Rasul-Nya.

“.. disebabkan mereka mempersekutukan Allah..”
Mereka tak percaya kepada Allah, berbeza dengan kaum muslimin yang beriman, yang kalau mati pun, mereka bukan mati begitu sahaja. Kematian itu merupakan pintu untuk dia menghadapi hakikat kehidupan yang sebenar. Dalam peperangan Muktah yang dipimpin oleh 3 pemimpin – Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Tolib dan Abdullah ibnu Rawahah. Dalam perjalanannya, mereka dapat berita yang kaum Romawi berjumlah 200 ribu lebih, berbanding jumlah kaum muslimin lebih kurang 3-10 ribu. Secara purata, seorang sahabat perlu berlawan dengan 50 orang! Ini bukan filem di mana 1 lawan 50 boleh menang.

Maka, mereka berbincang yang kemungkinan Rasulullah ﷺ tidak tahu jumlah tentera Romawi yang sebegitu ramai dan bercadang menghantar surat untuk bertanya apa langkah yang perlu mereka ambil. Dalam perbincangan itu, Sayyidina Abdullah bin Rawahah pun berkata, “Kamu keluar daripada Madinah, apa yang kamu cari? Untuk menang dalam peperangan atau syahid? Kalau kamu patah balik, kamu tak berperang – kamu tak tahu: menang atau syahid. Tapi kamu pergi terus, kamu beroleh satu antara dua yang memang matlamat kita ketika keluar!” Menang kerana Allah, dan kalau syahid pun syahid kerana Allah dan Rasul-Nya. Kematian bagi kaum muslimin yang dididik oleh Rasulullah ﷺ bukan kematian yang menjadi penghujung kepada kehidupan, sebaliknya merupakan permulaan kepada kehidupan yang sebenar. Tapi bagi orang-orang yang syirik, mereka sayang kepada nyawa mereka kerana mereka tidak meyakini adanya hari akhirat.

Apakah kaitan syirik kepada takut?
Orang tak beriman kepada Allah, tak percaya kepada hari akhirat, maka dia ingin terus hidup lama di dunia dan takut kepada mati, kerana mati merupakan pemutus kepada kenikmatan hidup di dunia. Dalam ayat 96, surah Al-Baqarah:


Mereka (ahli kitab) itu rakus untuk hidup dan kalau boleh nak hidup seratus tahun untuk ‘enjoy’. Mereka nak ‘enjoy’ dalam hidup kerana mereka tidak percaya kepada kenikmatan yang sebenar pada hari akhirat, berbeza dengan orang beriman. Orang beriman melihat kehidupan sebagai ujian, dan kehidupan sebenar adalah selepas kematian.

(Al Habib membacakan ayat 64, surah Al-Ankabut):


Kehidupan di dunia ini hanyalah batu loncatan untuk menuju ke akhirat.

Ayat 152:

“Allah telah membenarkan kepada kamu janji-Nya..”
Apa janji Allah? Kemenangan. Dalam perang apa? Dalam setiap peperangan. Bagaimana ingin diterjemahkan kemenangan dalam Perang Uhud sementara kaum Muslimin kalah dalam perang itu. Kemenangan sebenar telah berlaku dalam Perang pertama lagi, tetapi kekalahan berlaku bilamana berlaku pelanggaran kepada perintah Rasulullah ﷺ.

“.. dengan datangnya pertolongan saat kamu dapat membunuh kam musyrikin..”
Saat bermula Perang Uhud, Nabi ﷺ mengatur strategi agar kumpulan pemanah kaum Muslimin yang dipimpin oleh Sayyidina Abdullah ibni Jubair dijadikan benteng tentera kaum muslimin sehingga bila kaum musyrikin datang, mereka dihujani oleh panah dan menyebabkan mereka kucar-kacir lari bertempiaran. Harta yang dibawa mereka ditinggalkan di tengah-tengah medan perang. Jadi, ketika itu kaum muslimin menang atau tak menang? Menang. Allah penuhi janji-Nya untuk memberi pertolongan dan diberi kemenangan kepada kaum muslimin. Tapi, ketika bermula pelanggaran daripada kamu kaum muslimin (pasukan pemanah) yang sudah dipesan untuk tidak turun tak kita menang atau kalah, dan kamu berselisih antara kamu, yakni ada antara mereka yang menganggap kaum muslimin sudah menang dan ingin mengambil harta yang ditinggalkan tetapi dilarang oleh ketua mereka Sayyidina Abdullah ibni Jubair, tetapi mereka berkeras yang mereka telah menang.

“dan kamu wahai para pemanah bermaksiat setelah ditunjukkan kepada kamu perkara yang kamu sukai..”
Apa yang mereka sukai – kemenangan dan harta yang ditinggalkan.

“di antara kamu ada yang mengkehendaki dunia, dan ada yang mengkehendaki akhirat”
Yakni ada yang inginkan harta rampasan perang yang ditinggalkan kaum musyrikin dan ada juga yang taatkan perintah Allah dan Rasul-Nya. ‘Taatkan kepada perintah Allah dan Rasul-Nya’ diungkapkan Allah sebagai orang yang mengkehendaki akhirat kerana taatk kepada perintah Allah dan Rasul-Nya, ganjarannya di akhirat.

“kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka…”
Jadi, para pemanah itu –sebahagiannya turun tetapi Sayyidina Abdullah ibni Jubair dan sedikit yang tinggal tetap di atas. Walaupun tahu mereka sedikit, mereka tidak ikut majoriti kerana ingat akan pesan Rasulullah ﷺ. Ketika pelanggaran berlaku, keadaan jadi terbalik dan Khalid ibnu Waled yang ketika itu belum peluk Islam naik daripada belakang gunung yang sebelumnya diduduki kaum pemanah dan dibunuhlah Sayyidina Abdullah ibni Jubair dan beberapa orang yang berada di atas gunung tersebut. Kaum muslimin berada di bawah untuk menjadi ‘santapan’ daripada atas oleh kumpulan Khaled ibnu Waled, sehingga 70 orang daripada kaum muslimin syahid dalam perang tersebut termasuk Sayyidina Hamzah bin Abu Talib.

Tapi apa hikmahnya Allah memberi kekalahan kepada kaum muslimin? Yakni, ambillah iktibar daripada kekalahan yang disebabkan pelanggaran yang dilakukan kepada perintah Allah Ta'ala dan Rasul-Nya. Bilamana ingin meraih kemenangan di jalan Allah  dan Rasul-Nya dengan pelanggaran kepada Allah Ta'ala dan Rasul-Nya, maka pasti akan kalah dan gagal. Sunnatullah  ialah satu ketentuan yang ditetapkan Allah – tidak akan mencapai kemenangan yang sebenar dengan melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya. Berinteraksilah kamu wahai kaum muslimin dengan kekelahan yang dialami untuk dijadikan sumber iktibar kekalahan yang dialami. Disebabkan sebahagian yang melanggar perintah Rasulullah ﷺ, 70 orang syahida, gigi geraham Rasulullah ﷺ tercabut, lutut dan wajah baginda terluka dan beberapa perkara yang berlaku kepada kaum muslimin yang lain.

“Allah sudah memaafkan kepada kamu.”
Wahai muslimun, yang tidak mendengar nasihat Rasulullah ﷺ, Allah dah maafkan kamu. Dalam ayat yang lain dinyatakan, “Allah sudah maafkan mereka”. Zaman sekarang, sebahagian orang masih korek-korek kisah ini untuk menyalahkan kepada orang-orang sudah dimaafkan Allah. Salah mereka kepada Allah, dan Allah pun sudah maafkan, tapi orang hari ini masih mengatakan yang mereka salah dan menghukum dosa kepada mereka. Kesalahan memang berlaku ketika itu tetapi untuk memaki, mencaci, menjatuhkan maruah mereka disebabkan perbuatan yang mereka lakukan yang perbuatan itu sudah dimaafkan oleh Allah SWT, bukan hak sesiapa.

“Dan Allah adalah mempunyai kelebihan ke atas orang-orang yang beriman.”
Ayat ini menceritakan tentang pentingnya untuk taat kepada Allah Ta'ala dan Rasul-Nya yakni al-iltislam iaitu penyerahan mutlak kepada Allah dan Rasul-Nya dan larangan untuk tidak taat kepada selain Allah yang akibatnya adalah kerugian.
Wallahuta’ala ‘alam.

BAHAGIAN 2 – Pengajian Kitab Riyadus Solihin

Kitab Riyadus Solihin, bab ‘Tentang Hidup Tenang, Menjaga Kehormatan Diri, Hati-hati dalam Mencari Penghidupan dan Perbelanjaannya serta Celaan Terhadap Meminta-minta Dalam Keadaan Tidak Terpaksa’

Hadis 4:


Hadis 4 menceritakan tentang Perang Dzatu-Riqa’, yang dinamakan sebegitu kerana kisah kaum muslimin yang terpaksa membalut kaki yang terpaksa berjalan dalam kepanasan. Dalam perjalanan menuju perang itu, kaum muslimin lebih banyak berjalan berbanding menunggang unta kerana bilangan unta yang sedikit. Perjalanan yang lama, jauh, dan panas itu menyebabkan sehingga kasut/selipar mereka menipis dan mereka pun membalut kain pada kaki mereka yag terluka, bahkan dikatakan sehingga ada yang terlepas (tercabut) kukunya.

Ini menunjukkan apa? Ini menunjukkan yang agama ini bukan sampai kepada kita dengan tidur.  Agama yang kita nikmati sekarang ini menjadi amanah kepada kita. Agama ini yang sampai kepada menjadi amanah Allah kepada kita, dan agama ini sampai kepada kita setelah sekian banyaknya pengorbanan yang dilakukan oleh para sahabat – nyawa mereka dikorbankan, tenaga mereka dikorbankan. Maka, kenapa diceritakan ini semua? Agar kita sedar bahawa apa yang kita dapatkan daripada agama ini hasil daripada perjuangan mereka.

Maka, giliran kita pula untuk menjaga kemurnian agama ini, giliran kita pula menjadikannya sebagai amanah, giliran kita untuk tidak menjual maruah agama yang kita mulia dengannya, dengan perkara-perkara yang bersifat keduniaan. Baik perkara itu bersifat harta atau takhta atau apa sahaja, jangan sampai kita memandang remeh kepada agama sehingga maruah agama itu kita jual hanya kerana ringgit atau hal-hal lainnya. Ingat, kalau pengorbanan mereka menjadi sebab tersebarnya agama ini.

Abu Musa sebenarnya tak nak bercerita tentang benda ini – kenapa? Kerana yang terlibat adalah dirinya sendiri, dan tidak mahu menyebarkan perkara yang dia sudah lakukan kerana Allah SWT. Dia khuatir perkara itu akan menjadikan dia sombong, ta’ajub. Oleh kerana yang demikian, orang, kalau berbuat amal baik, jaga amal baik itu untuk tidak dinodai oleh dirinya sendiri. Macam mana menodai amalnya sendiri? Bangga dengan amalnya, sibuk bercerita tentang amalnya kepada orang lain. Kalau orang tak tahu anda buat baik, simpan. Biar Allah tahu. Kerana kalau anda menceritakan kepada orang lain dengan tujuan nak membanggakan apa yang anda buat, anda dah kongsikan Allah dengan hawa nafsu anda.

Kalau buat kerana Allah, jangan mengharapkan pujian orang lain termasuk pujian daripada diri sendiri. “Engkau hebat sangat ye.. dah banyak engkau buat baik.” Tak ada orang puji, dipuji diri sendiri. Ada orang pergi haji, balik buat kenduri. Kenduri itu baik tapi kemudian dibawa dan ditunjukkan 10 helai sejadah dan menceritakan yang ini dibeli pada tahun sekian, yang ini pada tahun sekian..yakni ingin menunjukkan dengan cara yang halus yang dia telah banyak kali pergi haji. Jangan sekali-kali anda bilamana dianugerahkan dengan amalan yang baik, diceritakan pada orang lain demi untuk mendapatkan pujian.

Tapi kalau ingin diceritakan sebagai perkongsian supaya orang lain dapat mengambil iktibar dan dirinya rasa terselamat daripada sifat ta’jub, OK, tidak mengapa diceritakan. Itulah tujuan Abu Musa menceritakan agar kita dapat mengambil pengajaran agar mengamalkan sifat ‘iffah’ – yakni tidak meminta-minta walaupun terpaksa membalut kaki. Mereka tidak minta kepada yang lain daripada kain mahupun kasut orang lain. Sahabat tak meminta walaupun mereka dalam keadaan darurat ketika itu.
Ada orang meminta secara terang-terangan, tapi ada juga yang meminta secara sindiran. Dalam hal ini, Nabi ﷺ mengajar agar kita menjaga maruah kita daripada meminta-minta kepada orang lain.

Hadis 5:



Nabi ﷺ pernah memberi harta kepada satu golongan, sedangkan satu golongan lagi tidak diberikan. Perkara sama berlaku semasa Perang Hunaian. Dalam kisah lain, Nabi ﷺ pernah memberi satu lembah kambing kepada seseorang. Lelaki itu terkejut dan pulang ke kampungnya dengan mengatakan, “Aku datang daripada orang yang tidak takut miskin.” Oleh kerana keperibadian Rasulullah ﷺ yang mulia itu, satu kampung semuanya masuk Islam. Dalam masalah harta, ia memang akan mengundang masalah cemburu secara semulajadi apabila seseorang melihat orang lain memiliki lebih daripada dirinya. Setiap orang yang dapat nikmat, pasti ada orang yang dengki.

Dalam Perang Hunaian, sebahagian kaum Ansar merasa tidak puas hati melihat Nabi ﷺ lebih berpihak kepada orang Mekah kerana mereka diberi bahagian harta yang banyak. Inilah masalah kalau ‘problem’ dalam hati dikongsi dengan orang lain. Yang baik kongsikan, yang buruk, simpanlah di dalam, supaya tidak menjadi penyakit virus yang merebak. Cerita tentang tidak puas hati itu pun bergerak dari seorang kepada seorang yang lain sehingga akhirnya sampai kepada Rasulullah ﷺ.

Rasulullah ﷺ pun menyuruh dikumpulkan kaum Ansar. Kemudian baginda pun berkata, “Wahai kaum Ansar, apa berita yang telah sampai kepada aku ini? Bukankah kamu dulu sesat dan diberi hidayah oleh Allah disebabkan aku? Bukankah kamu berada dalam keadaan tidak beriman dan Allah berikan hidayah disebabkan aku? Bukankah kamu berada pada jalan yang tidak benar, dan Allah tunjukkan jalan yang benar melalui aku?” Mereka ditanya berkali-kali oleh Rasulullah ﷺ tentang apa yang datang melalu baginda tentang kebenaran dan cahaya iman. Semuanya diam, tidak menjawab. Kata Rasulullah ﷺ, “Jawablah soalan saya!” Maka kata sahabat Ansar, “Hanya milik Allah SWT kelebihan dan anugerah. Apa yang kami daripada iman, hidayah adalah milik Allah SWT.”

Kata Rasulullah ﷺ, “Kenapa kamu tidak – Wahai Rasulullah ﷺ, bukankah ketika kamu datang daripada Madinah tidak membawa apa-apa, kami yang menolong kamu? Ya Rasulullah, bukankah kamu datang daripada Mekah tak mempunyai pengikut, kami yang jadi pengikut kamu? Kami yang menyediakan tempat kepada kamu, kami yang menyediakan keselesaan kepada kamu. Jawablah seperti itu wahai Ansar.” Kaum Ansar pun menyedari bagaimana marahnya Rasulullah ﷺ. Mereka pun berkata, “Apa yang kami buat bukan daripada kami, tapi Allah Ta'ala dan Rasul-Nyalah yang kami banggakan, yang kami sokong, yang kami berterima kasih dan sanjung.” Maka, barulah baginda Rasulullah ﷺ memberitahu, “Tidakkah kamu suka dan redha bilamana orang-orang Quraisy kembali ke Mekah membawa harta yang aku beri, sedangkan kamu pulang ke Madinah bersama-sama aku?”

Semua kaum Ansar pun merasa hening dan menitiskan airmata sehingga basah janggutnya. Kata Rasulullah ﷺ lagi, “Terkadang aku beri lebih kepada satu orang, dan tak beri kepada satu orang, tapi yang aku tak beri itu lebih aku sukai berbanding orang yang aku beri, kerana aku beri semata-mata untuk menawan hatinya agar mahu kepada agama ini, agar mereka istiqamah dalam agama ini. Tapi yang tak diberi telah mantap imannya, dan tak terpengaruh dengan keduniaan dan bukan dunia matlamat mereka. Yang baru ini yang ingin ditawan hatinya untuk suka kepada agama.” Jadi dalam hadis ini, Nabi ﷺ menekankan sifat ‘iffah’ yakni tidak merasa dirinya berhak dan menuntut untuk dirinya diberi oleh orang lain. Jaga kehormatan daripada meminta-minta, kerana yang menjaga maruahnya itu akan dikasihi baginda Nabi Muhammad ﷺ.

Di antara baiah Rasulullah ﷺ dengan beberapa sahabat ialah agar mereka tidak menyembah kepada selain Allah SWT, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kemudian Nabi ﷺ berbisik, “Jangan suka meminta kepada orang.” Kata sahabat, “Wallahi, kami ini setelah mengambil baiah daripada Rasulullah ﷺ, terkadang kami menaiki unta, dan siwak kami terjatuh, tapi kami tak minta tolong orang lain ambilkan, sebaliknya kami turunkan unta, turun mengambil siwak dan naik semula ke atasa unta.” Tahu bagaimana nak naik unta? Agak susah kerana unta itu perlu ke depan dan ke belakang, tapi oleh kerana pesan Nabi ﷺ, walaupun ada orang lain di bawah, mereka para sahabat, patuh pada suruhan Nabi ﷺ agar tak minta tolong apa pun juga.

Zaman sekarang ini, ramai daripada kita yang tidak menjaga maruah daripada meminta-minta walaupun sudah lebih daripada cukup yang diberi Allah SWT, sebab hatinya… miskin, walaupun banyak duit, hatinya faqir walaupun sudah selesa. Rumah banyak, kereta tak boleh dikira, tapi nak lebih juga sebab tak merasa qanaah dengan rezeki yang diberi Allah SWT.  

Hadis 6:

Hadis ini menekankan tentang – tangan diatas (memberi) adalah lebih baik dprd tangan yang dibawah. Dan jika ingin memberi, mulailah daripada orang yang paling rapat, yang nafkahnya wajib ke atas kamu. Jangan kedekut kepada keluarga tapi bermurah hati kepada orang lain. Jangan belanja mewah kepada orang luar tapi orang dirumah diberi yang biasa-biasa saja. Initinya, dalam melakukan ehsan, dahulukan ahli keluarga. “Sebaik-baik kamu ialah yang terbaik pada ahli keluarganya. Aku adalah yang terbaik pada ahli keluargaku.”,kata Nabi ﷺ.

“Orang yang melampau dalam bersedekah macam dia tak bersedekah.” Apa maksud melampau dalam bersedekah? Memberi orang luar tapi keluarganya tak diberi. Maka, di dalam melakukan kebaikan, dahulukan keluarga, dahulukan yang wajib nafkahnya ke atas kita, kemudian barulah kepada yang lain.

BAHAGIAN 3 – Perbahasan kitab Bidayatul Hidayah – m/s 164

Sambungan bab Cara Memilih Sahabat: Antaranya ialah:
  • Bersahabatlah dengan orang yang baik akhlaknya.
  • Bersahabat dengan orang yang soleh.
  • Jangan bersahabat dengan orang yang fasiq


Huraian:
Al Imam Al Ghazali menceritakan kepentingan seseorang memilih sahabat kerana persahabatan di dunia membawa kesan yang mendalam kepada manfaat yang akan diperolehi di akhirat. “Perbanyaklah kamu untuk bersahabat di dunia, kerana mungkin saja sahabat kamu di dunia itu membawa manfaat kepada kamu di akhirat.” Sahabat yang membawa manfaat yang baik ialah sahabat-sahabat yang baik.

Imam Al-Haddad berkata: “Orang yang berkumpul dengan orang baik, akan dikumpulkan bersama orang yang baik walaupun pada awalnya dia tidak baik. Orang yang berkumpul dengan orang yang tidak baik, akan dikumpulkan dengan orang yang tak baik, walaupun pada asalnya dia baik.”

Bersahabat dengan orang yang baik seumpama bersahabat dengan penjual minyak wangi, paling tidak dapat baunya yang wangi. Tapi jika bersahabat dengan orang yang tak baik seumpama bersahabat dengan tukang besi, mungkin saja kerjanya itu merosakkan baju kita, baunya pun tak sedap.

Barangsiapa duduk dengan seseorang, maka dia akan menyerupai orang itu. Seseorang itu akan dinilai mengikut agama, akhlak orang yang duduk bersamanya.

ISTIMEWA - Tetamu dari Kwitang, Indonesia: Al Habib Abdul Rahman bin MuhmmadAl-Habsyi.



Antara pesanan beliau ialah agar kita membaca kitab ‘Nasihat Agama dan Wasiat Iman’.

Wallahuta’ala ‘alam.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

**: mungkin salah ejaan

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab