Untung Rugi Memberi (1) – Tanyalah Ustaz 16.05.2014


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 

Untung Rugi Memberi (1) – Tanyalah Ustaz 16.05.2014


Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 254:


Ringkasan huraian:
  • Semua rezeki yang ada pada kita adalah daripada Allah SWT dan bukan semata-mata kerana kebijakan/kebolehan kita.
  • Kiamat yang dimaksudkan boleh jadi kiamat kecil dengan kematian kita, atau kiamat yang sebenar. Namun, ulama mengatakan kiamat yang dimaksudkan dalam ayat ialah kiamat yang sebenar.
  • Pada hari kiamat nanti – keluarga, zuriat, kawan tidak lagi dapat memberi syafaat (pertolongan) kecuali apa yang Allah izinkan.
  • Orang-orang kafir adalah orang yang zalim kerana mereka sukar memberi dan kita dilarang mengikuti sifat mereka.

Apa maksud memberi? 
Member nafkah yang wajib, minimum ada 2:
  • Nafkah kepada isteri dan anak-anak (keluarga) mengikut kadar kemampuannya.
  • Zakat bagi yang cukup nisabnya.
Tambahan nafkah yang wajib pada sebahagian orang:
  • Kafarah untuk mensucikan diri daripada dosa bersetubuh di siang hari di bulan Ramadhan contohnya.
  • Nazar
Memberi yang sunat seperti sedekah, wakaf, sedekah jariah (yang berterusan). Definisi sedekah ialah jujur, yakni jujur iman kepada Allah SWT dan menjadikan kita bukan hamba kepada harta.

Antara salah satu ciri orang-orang beriman ialah suka memberi. Memberi tidak terhad kepada duit, tetapi boleh juga dalam pelbagai aspek. Contohnya membantu secara tenaga fizikal, memberi idea, masa dan lain-lain. Sekurang-kurangnya dalam memberi ialah dengan kita tidak berbuat kejahatan kepada orang lain. Dalam rumahtangga, hindarkan persoalan mana hak saya, dan sebaliknya hidupkan budaya suka memberi.

Apakah untungya memberi?
  • Apa saja yang kita berikan tanpa mengharapkan apa-apa balasan keduniaan, seperti yang disebut dalam satu hadis Nabi , “Sebaik-baik yang kamu berikan kepada mukmin ialah kegembiraan.” Jika ada orang pancit tayarnya, kita pun bantu. Kita tidak boleh menjadi masyarakat yang ‘ignorance’. Jika ada orang kena culik, kita cuba bantu walaupun ada risiko, kerana risiko itu akan meninggikan ganjarannya. 
  • Kata Umar Al-Khattab, “Di hari akhirat nanti, sedekah akan membanggakan dirinya sebagai amalan terbaik yang dilakukan oleh seseorang.” Nabi bersabda yang dunia ini untuk 4 golongan: orang yang ada ilmu, harta, bahkan dia bertaqwa kepada Allah, dan menyambung silaturrahim dan dia melunaskan hak-hak Allah, hak harta dan hak ilmu. Inilah kedudukan paling hebat di sisi Allah. Kita boleh juga memberi ilmu -  tapi bagaimana jika tiada ilmu? Hadirkan diri pada majlis ilmu, salin dan sebarkan di 'facebook' atau blog-blog anda. Sebarkan pada rakan.
  • Sedekah yang diberikan secara sembunyi-sembunyi akan memadam kemurkaan Allah SWT. Kita sebagai hamba, ada banyak kesalahan - sama ada yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar seperti solat tidak kusyuk dan seumpamanya. Allah beri kita banyak nikmat sampai bila kita sakit barulah kita sedar, walaupun ada juga orang yang sudah sakit pun masih belum sedar.
  • Mendapat perlindungan daripada bala, bencana, kesusahan, wabak penyakit dan kejahatan. Kita semua tahu ada wabak di Arab Saudi sekarang, jadi untuk yang ingin pergi umrah, amalkan:
بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لاَ يَضُرُّ مَعَ أسْمِهِ شَيْءٌ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tak satu pun, yang di bumi mahupun di langit dapat memberi bencana dan Ia Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui. (3X)

Baca 3 kali pagi dan petang dan banyakkan bersedekah. Namun, kalau ditakdirkan terkena juga, kita akan dijadikan orang yang mampu menghapinya dan menaikkan darjat di sisi Allah.
  • Menutup 70 pintu kejahatan. Jadi, jika kita beri hari-hari, berapa banyak pintu kejahatan yang telah ditutup? 
  • Bila berlaku bencana seperti baru-baru ini – kehilangan MH370, atau bencana lain seperti gerhana, maka Nabi menyuruh kita berdoa, bertakbirlah dan dirikan solat, bertasbih dan bersedekah. Inilah teknik yang perlu dilakukan apabila menghadapi musibah dalam keluarga, masyarakat atau negara. Tetapi, setelah bersedekah, jangan pula kita ternanti-nanti dan mengatakan mengapa bantuan Allah belum tiba. Kita perlu sedar yang bantuan Allah boleh datang dalam pelbagai bentuk yang tak diduga.
  • Mengubati penyakit – sama ada penyakit hati atau penyakit fizikal. Seorang lelaki pernah menghidapi penyakit ketumbuhan pada lutut selama 7 tahun, Ibnu Mubarak menyuruhnya menggali telaga di tempat yang amat memerlukan air, dia melakukannya dan dengan izin Allah, dia sembuh.

Soalan dan jawapan
S: Ada orang memberi sedekah pada orang lain tapi lupa pada ahli keluarga. Mohon pencerahan.
J: Betul, ini adalah satu kesilapan yang berlaku. Walaupun tidak berdosa, dalam memberi kita perlu utamakan ahli keluarga yang terdekat. Kita boleh beri pada saudara Islam di Palestin, atau Syria, tapi jangan dilupakan saudard di sini yang  kesusahan. Nabi SAW ada bersabda yang seorang yang bersedekah pada ahli keluarga akan mendapat 2 kali pahala, yakni pahala bersedekah, dan pahala menyambung silaturrahim. Saudara kita yang kesempitan untuk memenuhi keperluan asasnya adalah lebih utama untuk dibantu.

S: Jika seseorang mendapat imbuhan daripada pelaburan yang tidak jelas halal-haramnya atau bercampur. Dia ingin bertaubat, bolehkah dia menggunakan keuntungan itu untuk membeli tanah dan diwaqafkan dengan tujuan membersihkan hartanya.
J: Dalam hal halal-haram ini, Allah berfirman – “Bagi kamu pokok harta kamu...” Maka, jika dulu di melabur kerana tidak tahu, maka dia boleh mengambil harta pokoknya dan jika dia beli tanah menggunakan wang pokok itu, maka harta itu jadi bersih. Kalau dia tahu jumlah haram/bercampur yang tepat, maka dia boleh mengeluarkan dan memberikannya kepada faqir miskin, seperti yang difatwakan harus oleh Kesatuan Ulama Feqah Sedunia, dan dia tidak boleh ambil apa-apa ‘credit’ atas pemberiannya itu. Namun, jika dalam kes curi, dia perlu memulangkan pada pemiliknya dan tidak sewenang-wenangnya memberi kepada faqir miskin. Allah berfirman yang perbuatan baik akan dapat memadamkan kejahatan dan Nabi menyuruh mengikuti perbuatan tidak baik dengan perbuatan yang baik. Tapi, sekiranya dia telah tahu daripada awalnya pelaburan itu haram, maka dia tidak boleh melabur dengan niat hasilnya akan diberikan kepada faqir miskin, kerana itu akan menjadikan dia membantu kepada perkara yang haram dan dikhuatiri dia meninggal sebelum sempat menbersihkan hartanya itu.

S: Dalam Al Quran ada beberapa ayat menggandingkan solat dan zakat. Tapi, bagaimana jika seseorang menjaga solatnya tapi sangat sukar untuk mengeluarkan zakat?
J: Untuk melihat keberkesanan solat, lihat bagaimana dia mengeluarkan nafkah-nafkah yang wajib. Jika berat untuk mengeluarkan,  itu tandanya solat itu luaran saja dan tak memberi kesan spiritual pada dirinya. Zakat merupakan cabaran yang sangat besar pada orang-orang yang kaya. Tapi, jika, dia adalah orang yang hartanya tidak melalaikan dia daripada mengingati Allah, maka dia akan cepat dalam mengeluarkan zakat. Oleh itu, dia perlu semak semula solatnya.

S: Saya mendapat pemberian daripada anak-anak, dan saya gunakan untuk tujuan amal jariah. Adakah anak-anak saya akan dapat pahalanya juga atau hanya saya?
J: Jelasnya, anak-anak telah melakukan kebajikan dengan memberi kepada ibu bapa. Firman Allah agar kita bantu-membantu dalam hal-hal kebajikan dan taqwa. Jadi, contohnya kita bantu pelajar meneruskan pengajiannya. Jadi, dalam hal ini, jika anak-anak yang tahu sifat ibu-bapanya begini3 dan dia terus memberi, maka dia juga akan mendapat manfaat langsung daripada pemberian ibu bapanya, khususnya jika dia berniat agar dengan pemberian itu, ibu bapanya dapat terus melakukan kebajikan.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan/sarikata kuliah mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab