Tentang KUSYUK - Kuliah Dhuha Muslimat, MDE 20.05.2014

 بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 


Petikan sebahagian daripada Kuliah Dhuha Muslimat Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang, 20.05.2014 bersama Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid*

Surah Al-Baqarah, ayat 238:

“Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”

Bagaimana solat seseorang itu dikatakan kusyuk? Kusyuk ialah menghadirkan diri, tunduk dan patuh kepada Allah di dalam solat.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman, yang di dalam solatnya kusyuk.

Dalam hadis disebutkan, Ilmu pertama yang diangkat Allah SWT daripada muka bumi ialah ilmu kusyuk.

Diangkat oleh Allah bukan bermakna Allah ambil, tak sebab dah tak ada lagi orang nak solat kusyuk atau yang memerhatikan kusyuk di dalam solat sehingga tak lagi wujud di dalam solat al-kusyuk.

Di dalam hadis Nabi SAW diberitahukan nanti di akhir zaman, ada ramai orang solat tapi tak seorang pun kusyuk, kerana solat orang yang kusyuk akan tercermin kesan solatnya pada tutur katanya, matanya, telinganya, tangannya, anggota tubuh badannya, sikapnya kepada orang lain, sebab Allah berfirman:

Sesungguhnya solat itu dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar. 

Tapi zaman kita sekarang, perbuatan jenayah juga banyak dilakukan oleh orang yang solat, perbuatan maksiat juga dilakukan oleh orang yang solat. Bahkan, tidak sedikit orang yang istiqamah solat di masjid, menjadi petugas kepada masjid (bukan merujuk sesiapa tapi ini realiti) mencuri duit masjid. Padahal kerjanya di rumah Allah, solat 5 waktu di masjid, di belakang imam. Di manakah letak silapnya perbuatan mungkar itu? Tiada kusyuk dalam solat!

Kata baginda Rasulullah ﷺ memberikan perumpamaan kepada orang yang dilihat solat tapi melakukan maksiat, Kalau solatnya dilakukan dengan benar, akan mencegah orang itu daripada perbuatan mungkar.

Memang tidak dinafikan seseorang kerap melakukan kesilapan kerana itu adalah kelemahan manusia. Tetapi apabila seseorang melakukan maksiat tetapi tidak menyedari yang perbuatannya itu satu maksiat yang dia perlu bertaubat dan menginsafinya. Jadi, solatnya perlu disemak.

Ada beza solat sah dengan solat qabul. Solat sah ialah solat orang yang menunaikan rukun zahir solat. Solat qabul ialah solat yang sah dan kusyuk di dalamnya. Letak qabul pada solat yang dilakukan seseorang bergantung kepada kualiti kusyuk orang yang solat itu.

Kalau takbiratul ihram saja yang kusyuk, maka takbiratul ihram saja yang diganjar Allah.
Kalau dia kusyuk pada fatihahnya, maka Fatihah itu saja yang diganjar Allah SWT.
Kalau dia kusyuk pada rukuknya, maka rukuk itu saja yang diganjar Allah SWT.

Nabi ﷺ bersabda, Allah tidak menerima (menqabulkan) solat seseorang kecuali sekadar mana dia itu kusyuk dalam solatnya.

Oleh itu, dalam hal ini pentingnya seseorang untuk menilai, mencari tahu kualiti solatnya untuk menjadi kusyuk supaya termasuk daripada golongan orang-orang yang berjaya.

Macam mana seseorang boleh kusyuk? Kita tak faham bahasa Arabtak faham apa yang dibaca tuan imam.

Peringkat kusyuk ada beberapa tahap:

Tahap pertama:
Menyibukkan hati dengan lisan dalam setiap pergerakan, bacaan hati, kalau ikut bersama lisan bermula dengan niat dan takbiratul ihram sampai akhirnya, hati boleh follow apa yang dibaca lisan dan apa yang dilakukan anggota badan, walaupun tak tahu erti. Inilah tahap kusyuk yang rendah. Problemnya, terutama bagi orang yang sudah biasa jaga solat, lidah ini sudah terbiasa baca Fatihah dan bacaan dalam solat sehingga lidah ini boleh berjalan sendiri untuk baca apa yang dibaca sementara fikiran dan hati kita pergi tempat lain. Sedar-sedar sudah Amiin..apa yang dibaca tadi betul dari awal sampai akhir, tapi dia tak fokus dan tak dengar, cuma sedar pada penghujungnya. Dalam tahiyyat pun begitu..lisan jalan terus tapi hatinya tak sedar, tak mengikuti apa yang dibaca oleh lisan. Lisan dan hati terpisah. Demikian juga dengan perbuatan hati terpisah kerana badan sudah terbiasa dengan gerakan-gerakan solat. Oleh itu, langkah pertama untuk kusyuk ialah hati ini boleh follow apa yang dibaca oleh lidah dan apa yang dilakukan oleh tubuh badan.

Tahap kedua:
Berusaha memahami apa yang dibaca daripada zikir dan bacaan dalam solat, bermula daripada takbirnya, Fatihah serta zikir-zikir yang lain. Setelah itu, perlu ada usaha al-takalluf, yakni memaksa kepada hati untuk mendengar bacaan lidah. Bila hati ikut lisan, faham tak faham, dia ikut saja. Tapi, bilamana sudah memahami, hati ini tak perlu lagi mengikut kepada lisan. Seperti saya bercakap sekarang ini, semua yang mendengar boleh memahami apa yang dicakapkan (tanpa perlu mendengar lafaz demi lafaz). Bilamana disebut Bismillah.., hati bukan lagi mendengar lafaz tapi memahami Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Hati ini dilatih untuk mendengar dan memahami. Ini bukan mudah silap-silap boleh lupa bacaan pertama dan lompat entah ke mana J Memang perlu usaha sebab itu adalah fungsi utama syaitan untuk menganggu kepada kita.

Yang tidak sabar akan mengalah, dan kata, Takpe, kita ambil level yang pertama saja, tapi dia tak menyedari kalau dia mendapat rahsia kusyuk di dalam solat, dia takkan hendak keluar daripada solat. Memang susah untuk dapat kusyuk dalam solat. Bercakap memang mudah tapi praktikalnya susah.

Firman Allah, Orang yang mahu bermujahadah kerana Kami (Allah), Kami akan bukakan jalan-jalan Kami. Jadi, tugas kita bermujahadah, berusaha, yang akan menyampaikan ialah Allah SWT.


Sambung dengar kuliah di https://drive.google.com/file/d/0BzJxIOA5sA8JSm9iOV9OYlVock0/edit?usp=sharing

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

Popular Posts