Bersedia 'perang' dengan ILMU - MTDM 24.10.2014

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد واله و صحبه وسلم

Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid


Bahagian 1 - Tafsir Al-Quran


Ayat 196:

‘Al-Ghurur’ – ertinya tipudaya, muslihat orang kafir.

Perpindahan atau gerakan orang-orang kafir dalam hal-hal keduniaan menunjukkan bahawa mereka perantau ulung kerana semua tempat mereka sudah sampai. Tiada yang mampu buat sebegini kecuali dia punya semangat tinggi untuk berpindah – yakni orang itu punya semangat, matlamat dan kekuatan yang tinggi. Akan tetapi kekuatan, tenaga yang dikeluarkan hanya untuk keduniaan – Allah berkata bahawa itu adalah pencapaian yang menipu atau kejayaan yang tidak kekal dan kenikmatan yang sedikit saja.

Maka Rasulullah diseru agar tak terpedaya, kerana apa yang mereka usahakan hanya untuk dunia. Pencapaian mereka tinggi tapi tidak kekal.

Ayat 197:

Pencapaian mereka tinggi tapi tidak kekal (kesenangan yang sedikit). Oleh kerana matlamatnya adalah keduniaan semata. Dunia punya umur. Manusia punya umur. Umur dunia panjang, tapi umur manusia tak mestinya panjang macam umur dunia. Walaupun nampak umur dunia panjang, tapi tak boleh nak dibandingkan dengan dunia akhirat yang tak punya batasan.

Dunia punya batasan tapi akhirat tak. Umur dunia sedikit di sisi Allah.1 hari di akhirat macam 1000 tahun di dunia. Kita pun tak tahu sudah berapa umur dunia. Iktibarnya - umur yang diberikan kepada kita, jika diisi dengan matlamat keduniaan, atau kemasyhuran sahaja -> maka kenikmatan yang diperolehi itu cuma sesaat saja dan tidak akan menikmatinya di akhirat nanti.

Umur manusia adalah jauh lebih pendek daripada umur dunia. Orang akan silih berganti hidup di dunia, dan kita ini entah sudah generasi ke berapa daripada Nabi Adam a.s dahulu.

Kalau kenikmatan umur dunia sudah kecil, apatah lagi dengan umur manusia yang lebih kecil berbanding dengan umur dunia.

Umur manusia < umur dunia < umur akhirat. Oleh itu jangan terpedaya dengan keupayaan orang kafir berpindah ke sana ke mari dan kejayaan mereka kerana itu cuma kenikmatan dunia yang sementara.

Nikmat dunia seperti harta, wanita, dll adalah kenikmatan yang tidak kekal. Tapi Allah mempunyai nikmat yang kekal, yakni syurga bagi orang-orang yang bertaqwa.

Kalau begitu – apa saja yang kita nampak di dunia ini lebih-lebih lagi kejayaan orang kafir, yang memangpun dari segi keduniaan mereka nampak lebih jauh ke depan. Namun, mereka bukanlah orang pertama yang berjaya (di dunia) – mereka banyak belajar dari orang islam, mereka mengambil ilmu daripada ilmuwan Islam. Eropah mundur sebelum ini, dan maju setelah mengambil kekayaan ilmu daripada ilmuwan Islam. Mereka maju kerana mengambil ilmu orang Islam tetapi umat Islam mundur kerana menolak ilmu orang Islam sendiri.

Oleh jangan terpedaya dengan kejayaan mereka, walaupun mereka maju, kaya, dipuji – itu sementara, semuanya akanhabis dengan matinya mereka. Kita jangan terpedaya dengan kenikmatan sesaat saja. Orang beriman akan inginkan kemasyuran dan nikmat yang kekal.

“Tempat mereka neraka jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”

Mereka => orang-orang kafir, yang berjaya, yang sukses, yang namanya dipuji dan disanjung di dunia, tempat kembali mereka di akhirat  ialah Al-Mihad.

‘Al-Mahdi’ (Al-Mihad) itu seperti dibuai, tapi bukan buai yang menyenangkan. Orang-orang kafir yang tidak beriman akan dibuai di neraka Jahanam. Apa kenikmatan yang akan dirasakan jika penghujungnya ialah neraka Jahannam? Adakah akan terasa nikmat jika berada di tempat yang kepanasannya terasa 500 tahun sebelum sampai kepadanya? Walaupun mereka dipuji dan disanjung di dunia, tidak mendatangkan manfaat pujian manusia jika hina di sisi Allah.

Ayat 198:

“Orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka, bagi mereka ‘Jannah’..”

‘Jannah’ – makna asalnya ialah yang tersembunyi. Oleh sebab itu di sebut Jin, kerana mereka tersembunyi.

Jannah diberi nama Jannah yang asal bahasanya tersembunyi di sebabkan keindahannya tersembunyi, kenikmatannya tersembunyi, segala kelazatannya tak dapat dikesan kerana ianya di luar jangkauan manusia untuk membayangkan - tiada mata pernah melihat, tiada telinga pernah mendengar bahkan tak pernah terlintas pun di hati manusia. Disembunyikan Allah kerana manusia tak mampu untuk membayangkan.

Tiada makhluk bernyawa yang tahu daripada apa yang Allah sembunyikan tentang kenikmatan di syurga. Nabi, Rasul, hatta malaikat pun tak tahu bagaimana itu syurga. Keindahannya luar biasa. Ini ertinya – Allah sediakan untuk kamu kenikmatan yang cukup luar biasa – kenapa nak korbankan nikmat sebegitu besar untuk nikmat dunia yang sebentar saja. Walaupun hidup 60 tahun dalam kesenangan – tetapi kecil berbanding nikmat yang bakal diperoleh di syurga.

Di dunia – apabila mendapat nikmat, lama-lama nikmat yang sama akan jadi bosan. Tapi dalam syurga – walaupun rupa sama tetapi nikmatnya tak sama – akan semakin bertambah. Diberikan yang sama tapi tak sama nikmatnya.

Jadi, wahai manusia yang diberikan akal dan iman oleh Allah SWT- jangan korbankan nikmat yang kekal dengan dunia yang sementara. Allah tawarkan kepada kita – kalau nak, kena bertaqwa. Jangan samakan diri dengan orang kafir yang menjadikan dunia ini matlamat. Ingat bahwa umur kamu akan berakhir sebelum berakhirnya dunia ini.

Mereka (orang kafir) itu nanti akan berkata – “Kalau kami dulu mendengar, kalau kami dulu berakal”, walhal mereka ada telinga dan akal tapi digunakan hanya untuk mencari nikmat dunia – mereka nak dunia, jadi Allah berikan dunia, tapi akhirat tak dapat apa-apa.

Maksud firman Allah SWT – “Siapa yang nakkan dunia, Aku akan bagi sesuai kadar yang Aku nak”. Kita bukan penentu apa yang kita inginkan. Maknanya, dunia ini walaupun kita kejar, kita takkan dapat lebih daripada apa yang Allah telah tetapkan untuk kita. Tapi sesiapa yang nak akhirat – Kami (Allah) akan bimbing dia.

Maksud firman Allah Ta'ala: “Siapa nak akhirat, Aku akan beri ganjaran yang BESAR”. Allah SWT bukan sebut ganjaran dua kali ganda tetapi ganjaran yang BESAR. Jangan kita hitung ganjaran Allah dengan matematiknya manusia. Jadi, ambil peluang ini dan manfaatkan umur ini. Jangan terpedaya dengan kejayaan orang lain dalam hal keduniaan, kita tak tahu kedudukan mereka di akhirat nanti.

“Bagi kamu syurga-syurga..”
Bacalah Quran – kedudukan kamu di syurga nanti mengikut sejumlah ayat Quran yang kamu baca. Berapa darjat? Allahu’alam.

“..sebagai tempat sambutan tetamu…”
Sungai yang mengalir air di syurga disediakan sebagai hidangan untuk tetamu. Hidangan untuk tetam akan bergantung kepada kekayaan dan sifat pemurah tuan rumah.  Kalau tuan rumah-Nya ialah Allah SWT – sudah tentu hidangannya sesuatu yang kita tak boleh bayangkan.

“…dan apa jua di sisi Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang abrar.”
Orang-orang abrar -  orang-orang yang menjadikan akhirat sebagai matlamat hidup mereka.

Ayat 199:

Sifat adil Al-Quran nul Kareem dan tak ‘general’kan sesuatu hukum. Contohna – jika ada seorang yang kedekut dalam sebuah, kita takkan nak kata kampung itu kampung kedekut.

Jadi dalam ayat ini, walaupun orang Yahudi tidak beriman kepada Allah Ta'ala dan Rasul-Nya, namun jika mereka ada keimanan, Allah ‘highlight’ mereka.

Ada orang Kristian yang berilmu dan mereka menerima kebenaran Rasulullah . Contohnya: Waraqah ibnu Naufal – dia orang pertama beriman kepada Rasulullah walapun ketika itu belum ada cara khusus untuk melakukannya.

Yang kedua daripada mereka yang masuk Islam ialah – Raja Najasyi dan beberapa pembesarnya.

Ayat 200:

Sabar – dengan 3 hal: 
  • saat dalam ketaatan
  • saat untuk meninggalkan maksiat
  • sabar menghadapi dari musibah.
Segala musibah berlaku dengan izin Allah SWT. Tujuannya untuk menguji sejauh mana kita beriman dan bertawakkal kepada Allah SWT. Orang yang beriman, redha kepada Allah SWT dan mencari kebaikan melalui musibah, dia kan diberikan hidayah oleh Allah SWT. Tiada orang yang hidup di dunia yang tidak diberi msihan

Kata Sayyidina Umar Al-Khattab – musibah akan menjadi nikmat, dengan 4 sebab,
  • musibah tidak mengancam agama atau aqidah.
  • Bila ada musibah lebih besar daripada musibah yang menimpa diri
  • diberi kesabaran daripada melakukan perkara yang dilarang Allah SWT semasa menghadapi musibah.
  • Tidak diharamkan daripada mendapat ganjaran melalui musibah yang Allah Ta'ala berikan.
Tiada orang yang hidup di dunia yang tidak menerima musibah. Kecil besar musibah bergantung pada kehendak Allah SWT. Bila kena musibah, itu barulah kehidupan yang sebenar.

Walau bagaimanapun bukanlah kita berniat untuk meminta musibah. Tidak. Dalam satu kisah - ada seorang yang sakitnya terlalu lama, lalu Rasulullah menziarahinya dan bertanya jika dia akan meminta apa-apa doa khusus. Jawabnya, dia meminta kepada Allah SWT - jika dia berdosa, dia minta azab itu berikan di dunia. Lalu, Rasulullah mengajarkan untuk meminta keselamatan dan perlindungan Allah di dunia dan akhirat. Ilmu Allah adalah yang terbaik untuk menentukan yang terbaik kepada hamba-Nya.

Belajarlah daripada Sayyidina Umar dan cari kebaikan dalam setiap musibah yang menimpa.

“…latihlah diri kamu bersabar dalam menghadapi orang yang mengganggu kamu…”

Makhluk paling sabar yang mengganggu ialah syaitan. Orang kafir juga banyak bersabar dan berusaha untuk mengganggu kaum muslimin. Latih diri bersabar dalam sabar adalah lebih berat. Allah Ta'ala menyuruh umat Islam bersabar, dan sabar dalam bersabar. Kita selalu mengatakan sabar ada batasnya, tetapi sabar tiada penghujung, kita yang membatasinya. Malaikat nanti akan menyeru kepada orang yang berjaya masuk syurga dengan kesabaran mereka.

“Dan bersiap-sedialah menghadapi perang ..”
Perkataan ini bermaksud bersedia seperti kuda yang bersedia untuk bergerak masuk medan perang. Tapi perang hari ini bukanlah perang seperti zaman dahulu. Dahulu, cabarannya dari segi kekuatan, jadi umat Islam bersedia dengan kekuatan. Dulu mereka guna kekuatan pedang – kita sediakan pedang dan panah. Tapi perang hari ini tidak sama dengan perang zaman dulu. Perang kita sekarang ialah berbentuk idealogi, berbentuk pemikiran, bersifat ingin mengganggu aqidah kaum muslimin. Maka, kita kena bersedia dengan senjata yang sesuai iaitu bentengi fikiran dengan ilmu! Mereka sudah ‘fedup’ dengan perang kekuatan dan telah rugi banyak harta dan nyawa. Mereka tak berjaya melalui kekuatan, tetapi mereka masih ingin memperhamba umat Islam. Tapi mereka tak perlu lagi guna senjata, hanya menggunakan peperangan melalui pemikiran. 

Ditimbulkan satu isu, ditaburkan fitnah, ditimbulkan sifat taksub mazhab, ditimbulkan sifat padangannya yang paling benar, dan kemudian diberi senjata kepada si fulan dan si fulan dan di suruh gaduh – mereka tengok saja. Tak perlu lagi dihantar kekuatan untuk mengalahkan umat Islam, cukup mereka menjadikan puak-puak yg bergaduh sebagai boneka tontonan mereka dan mereka hanya melihat umat islam bertelagah sesama sendiri. Apa puncanya peperangan yang berlaku di banyak tempat kaum muslimin? Puncanya idealogi, sebab orang-orang tidak bersedia untuk memperkaya diri dengan ilmu yang dibawa Rasulullah agar tidak mudah terpedaya dan menyerap pemikiran yang merosakkan mereka. Oleh itu bersiap-sedialah untuk menghadapi perang idealogi di zaman sekarang yang lebih tajam berbanding perang senjata. Bila pemikiran sudah kacau, apa saja boleh dilakukan – senjata apa pun boleh masuk: pistol, jet, sembelih, semuanya boleh.

“..supaya kamu berjaya (tuflihun)”.
Al-falah maknanya membelah – benih masuk tanah, jika keluar membelah bumi maka akan mendapat hasil. Oleh sebab itu, petani dalam bahasa Arab disebut sebagai Al-Falah. Maknanya – perjuangan kamu untuk sabar, dan sabar dalam bersabar, bersiap-sedia menghadapi cabaran musuh, dan bertaqwa kepada Allah SWT – 4 perkara ini jika dibuat akan mendapat seumpama benih yang mengeluarkan pokok dan buah yang banyak – itulah hasil yang kamu dapat, yakni pemberian yang tiada hentinya!


Riyadhus Solihin  Bab 63 – ‘Berlumba-Lumba Dalam Hal Akhirat dan Mengambil Banyak-Banyak dari Apa-Apa Yang Membawa Keberkahan’, m/s 300


Ringkasan pengajaran daripada:

Hadis 567:
  • Jika ingin memberi sesuatu, dahulukan kepada orang yang berada di sebelah kanan kita. Sekiranya kita berhadapan orang yang ingin diberikan sesuatu, maka berikan mengikut kanan orang yang diberi.
  • Perbuatan mengambil berkat daripada Rasulullah adalah dibenarkan.


Hadis 568:
Nabi Ayub menyimpan belalang emas itu bukan kerana emasnya itu tapi ingin mendapatkan berkat daripada keindahan keajaiban ciptaan Allah.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

**: mungkin salah ejaan

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab