Perihal Wanita, Anak Yatim and Keutamaan Bersyukur - MTDM 31.10.2014

بسم الله الرحمن الحيم
اللهم صل على سيدنا محمد واله وصحبه وسلم

Majlis Ta’lim Darul Murtadza 31.10.2014
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid

Bahagian 1 - Tafsir Quran: Surah An-Nisa’

Sumber rakaman video: Youtube Darul Murtada

Muqaddimah
Para sahabat tidak akan menghafaz ayat yang baru sebelum melaksanakan pengajaran daripada ayat-ayat sebelumnya. Semoga kita diberi taufik untuk mengamalkan terutamanya apa yang sudah dipelajari bersama-sama.

An-Nisa’ maknanya perempuan sebab surah ini banyak membincangkan hak-hak wanita. Walaupun lelaki mempunyai kedudukan dan tanggungjawab dalam agama, namun tiada surah yang dinamakan dengan nama Ar-Rijal (Lelaki).

Allah Ta'ala meletak wanita pada tempat yang istimewa. Disebut haknya dalam 5 atau 6 surah seperti surah Al-Maidah, Al-Ahzab, An-Nur dll. Allah Ta'ala amat memerhatikan kepada kaum wanita sehingga tatacara pakaiannya pun diperincikan. 

Bacaan ayat 31, surah An-Nur:


Wanita beriman di minta menutup kepala dan leher mereka dengan tudung dan bahagian-bahagian badan yang boleh membawa fitnah. Wanita juga diminta tidak menampakkan perhiasan – tapi bukan dimaksudkan dengan cincin, kalung, atau anting-anting tapi maksudnya bahagian anggota badan yang dipakai perhiasan yang tidak boleh ditunjukkan seperti leher, pergelangan tangan, telinga. Ini termasuk jika berpakaian ketat yang mengikut bentuk badan.

Pakaian ketat, walaupun menutup aurat tetapi menampakkan bentuk badan – yakni bahagian yang mendatangkan fitnah, tidak dikatakan menutup aurat. Allah SWT sebut tentang bentuk pakaian, tudung, cara memakainya juga dibicarakan.

Isteri baginda, Ummu Salamh, bertanya kepada Rasulullah - “Kalau kain kami sehingga buku lali, akan ternampak kaki kami bial melangkah.” Oleh sebab itu, Rasulullah izinkan untuk dipanjangkan lagi sehingga sehasta. Kotor sedikit tak apa, yang utama menutup aurat!

Allah Ta'ala memuliakan wanita dengan menjaga banyak hal tentang dirinya, dan ini tidak boleh dilihat sebagai kekangan. Wanita umpama mutiara/emas yang dijaga dan disimpan rapi. Allah SWT menamakan surah ini khas dengan nama wanita – agar wanita bangga betapa ehsannya Allah Ta'ala terhadap wanita!

Surah An_Nisa’ ada 176 ayat, diturunkan di Madinah kecuali satu ayat di Mekah. Apa ayat itu? Ayat tersebut mengarahkan agar Rasulullah menyerahkan kunci Kaabah kembali kepada Uthman bin Talhah yang ketika itu masih belum Muslim.

Surah An-Nisa’, ayat 1:

Wahai sekalian manusia….”
Ini perintah untuk semua – kepada muslim dan bukan muslim dan
bukan perintah yang wajib kerana jika perintah wajib akan diseru kepada orang-orang yang beriman 
-> “Wahai orang-orang yang beriman” – yakni ayat yang terkandung perintah ibadah.”

“…Takutlah kamu kepada ‘Rabbakum’…”
Kenapa Allah guna Rabbakum – Tuhan yang Memelihara takni Tuhan yang memberi hidup, tubuh badan, kesihatan dan segalanya
Kenapa? Kerana Allah ingin menarik perhatian orang yang diajak bercakap agar mereka kembali dan beriman kepada Allah SWT.

“.. yang Menjadikan kamu daripada satu…”
Satu yang dimaksudkan ialah Nabi Adam as. Allah meceritakan tentang nikmat seseorang itu dijadikan. Bila seseorang rasa berbagai-bagai nikmat di dunia  keluarga, teman, harta, dunia – semua itu berasal daripada nikmat pertama iaitu nikmat dihidupkan. Jadi nikmat dijadikan ialah satu nikmat yang besar.

“.. dan menjadikan daripada itu (Adam) pasangan..”
Allah SWT menciptakan daripada satu nyawa -> pasangannya iaitu Hawa.
Kenapa dinamakan Hawa? Kerana permulaan kehidupan manusia adalah daripada perut Siti Hawa. Hawa daripada ‘hayatan’ yakni asal-usul kehidupan.

Daripada apa Hawa diciptakan? Penciptaan Nabi Adam as disebut banyak kali dalam Al-Quran – contohnya: dari tanah yang keras, dari tanah yang dicampur air.

Tetapi untuk Siti Hawa, Allah tak ceritakan apa yang berlaku. Adakah diambil daripada tulang sulbi Nabi Adam? Banyak pendapat mengatakan ya, tapi ada juga yang menolak. Allah tak ceritakan, jadi, kita jangan sibuk mencari sehingga terikut-ikut teori orang Barat contohnya teori Darwin yang mengatakan manusia berasal dari monyet. Kalau teori itu betul – kenapa monyet hari ini tak berubah menjadi manusia? Dasar pemikiran yang salah akan menghasilkan natijah salah juga.

Manusia diciptakan dalam 4 kategori iaitu:
1. Tanpa ayah dan ibu – Nabi Adam a.s,
2. Siti Hawa melalui Adam, tanpa ibu
2. Ada ibu tanpa ayah – Nabi Isa
3. Dengan ayah dan ibu – manusia lain-lainnya.

Tiada yang mustahil bagi Allah. Segala perkara itu antara Kaf dan Nun untuk Allah SWT. Allah tak memberi penjelasan tentang kejadian Siti Hawa, jadi manusia tak perlu terlalu mencari.

Ada beza penciptaan manusia dan haiwan, agar manusia sedar yang dia dimuliakan. Allah Ta'ala memuliakan penciptaan manusia dengan: 
1. air mani – hukumnya suci berbanding air mani haiwan.
2. berada dalam perut ibunya selama 40 hari 
3. berubah menjadi darah selama 40 hari
4. Berubah menjadi daging selama 40 hari
5. Ditiupkan roh dan malaikat menulis ajalnya, rezeki, amalnya, nasib penghujung sebagai orang terselamat ataupun tidak.

Dalam riwayat lain dikatakan ada satu malaikat khas yang menjaga kandugan semua wanita di dunia dan melaporkan setiap perubahannya kepada Allah SWT, dalam keadaan Allah Maha Tahu. Ini menunjukkan bagaimana pemantauan yang teliti yang Allah berikan kepada penciptaan manusia.

Manusia dilahirkan, tumbuhan dan haiwan juga dilahirkan. Haiwan tidak perlukan penjagaan yang lama. Tetapi manusia dijaga rapi sehingga baligh (15 tahun), dan disusui selama 24 bulan. Allah Ta'ala atur semuanya – Allah jadikan Hawa sebagai makhluk yang mampu (bijak, pandai, sabar) untuk mendidik anak. Bukankah ini satu penghormatan kepada wanita? Ini juga sebagai penjagaan kepada wanita agar tak terlibat dengan kerja yang keras. Walaupun begitu, tugas wanita adalah penting untuk mendidik anak-anak di rumah (urusan dalam negeri).

“.. Allah membiakkan dari keduanya zuriat…”
Ketika diciptakan Adam, diciptakan juga isterinya Siti Hawa, oleh itu sunnah pertama yang Allah lakukan kepada Nabi Adam ialah mengahwinkan mereka.

“.. bertaqwalah kepada Allah dengan selalu meminta dan menyebut-nyebut dengan nama Allah..”
Bila meminta, keraplah meminta bantuan dengan menggunakan nama Allah. Contohnya, “Demi Allah, kerana keimanan kamu bantulah saya.” Oleh itu, sebagaimana kamu guna nama Allah untuk minta bantuan daripada orang lain, takutlah pada Allah.

“… peliharalah hubungan silaturrahim, kerana sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu.”
Apabila seseorang menggunakan pertalian silaturrahim untuk minta tolong dengan mengatakan – “Aku kan saudara kamu..”, jangan dipermainkan kata-kata itu kerana kamu akan dipersoalkan tentangnya di akhirat nanti.

Surah An-Nisa’, ayat 2:

“Dan berilah kepada anak2 yatim harta mereka…”
Al-Fuqaha mengatakan bagi manusia, yatim itu anak yang tiada bapa, tetapi bagi haiwan yatim itu yang tiada ibu kerana perlindungan diberikan oleh ibu.

“.. dan jangan ganti harta anak yatim dengan harta yang buruk…”
Jangan sesekali ambil manfaat daripada harta anak yatim walaupun dengan tukar-ganti. Berikan harta mereka setelah mereka baligh dan sudah pandai uruskan kewangan.

“… jangan makan harta mereka..”
Dahulu para sahabat yang membela anak yatim – mereka masak 2 kali, sekali dengan harta mereka, dan sekali untuk anak yatim agar tak termakan harta anak yatim. Jika ada lebihan makanan daripada anak yatim pun mereka takut untuk makan, sehingga dibenarkan oleh Rasulullah , jika dalam jumlah yang sederhana.

Harta anak yatim tidak boleh dimanfaatkan untuk orang yang menjaga anak yatim. Harta itu boleh diniagakan tapi mestilah oleh orang yang amanah, dan jika dia miskin, dia dibenarkan mengambil upah yang sesuai mengikut ‘uruf.

Bahagian 2 – Kitab Riyadhus Solihin m/s 301
Bab 64: Keutamaan Orang Kaya Yang Bersyukur. 



Muqaddimah bab:
Golongan yang berjaya itu bilangannya sedikit. Kriteria mereka ialah: suka bersyukur. Firman Allah SWT: “Sedikit hamba-Ku yang bersyukur. Sedikit hambaku yang banyak bersyukur.” 

Allah SWT perintahkan Nabi Daud untuk bersyukur –> Katanya, “Bagaimana utuk bersyukur sedangkan keupayaan bersyukur itu juga perlu disyukuri.” Kata Allah, “Jika kamu sedar kamu tak mampu bersyukur atas nikmat-Ku, maka sesungguhnya kamu telah bersyukur.”

Rasulullah banyak bersyukur ketika senang dan juga jika mendapat ujian kesusahan. Jika susah, baginda Rasulullah akan berkata – "Alhamdulillah dalam setiap keadaan yang diberikan Allah Ta'ala.”

Syukur dalam keadaan senang dan juga susah. Apa erti syukur? Syukur itu pujian hamba kepada Allah, dengan lisan dengan ucapan syukur dengan hati.

Contoh syukur dengan lisan: Kisah sahabat yang bersyukur dapat masuk solat berjemaah bersama Rasulullah dan memuji Allah SWT.

Dalam kisah lain, seorang Badawi menambah zikir dalam solat – Rasulullah memberitahu yang lebih daripada 30 malaikat berebut untuk menulis pahala untuknya – dan Nabi tidak katakan perbuatannya itu bidaah. Badawi itu ingin puji Allah mengikut apa yang dirasanya, walaupun tiada yang terbaik kecuali yang terkeluar daripada lisan Rasulullah ﷺ.   – Tidak semua perkara yang Rasulullah tinggalkan kita tak boleh buat, ukurannya ialah selagi tidak menyalahi syarak dan pujian Badawi itu tidak menyalahi rukun solat.

Bersyukur dengan hati ialah apabila seseorang itu menggunakan nikmat sesuai dengan tujuan nikmat itu diberi Allah Ta'ala. Inilah yang lebih penting tuk dilakukan agar menjadi orang yang bersyukur. Nikmat yang disyukuri itu pula mestilah daripada sumber yang halal! Takkan ada keberkatan pada rezeki yang haram.

Huraian ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan di dalam bab:

Surah Al-Lail, ayat 5-7:
Bersyukur nikmat harta ialah dengan bersedekah ikhlas kerana Allah dan percaya balasan syurga yang akan diberi Allah SWT, maka Allah akan mempermudahkan baginya melakukan kebaikan dan amal soleh.

Ketika memberi, jangan anggap pemberian besar. Tapi tengok apa yang Allah akan ganti balik, dengan itu baru nampak pemberian kita itu kecil! Keyakinan itu mesti ada pada orang yang memberi.

Macam orang yang beri umpan pada ikan, dia takkan rasa sayang pada umpannya kerana tahu ikan yang diperolehi itu lebih besar!

Surah Al-Lail, ayat 17-21:
Jadikan sedekah untuk membersihkan diri, yakni orang yang memberi yang mendapat manfaatnya. Orang yang menerima menjadi asbab orang memberi mendapat kebaikan. Oleh kerana manfaat balik kepada DIRI SENDIRI, orang yang memberi tidak sepatutunya mengungkit pemberiannya.

Ada 3 golongan yang Allah tak pandang pada hari akhirat dan di antaranya ialah orang yang ungkit pemberian!!!

Kebersihan apakah yang diperolehi?
  • Kebersihan hati daripada sifat kedekut
  • Kebersihan harta agar ada barakah.

Kesimpulannya dapat bersih jiwa dan juga harta.

Ayat-ayat lain dan 2 hadis yang dibacakan akan dibahaskan pada kelas akan datang, InshaAllah.


*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma suntingan ceramah mereka. Jadi, KKN memohon pembaca mengulangkaji sendiri melalui rakaman video/audio di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik. Pihak KKN mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan.
Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat dimanfaatkan. Wallahu'alam. 



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab