Tanggung jawab kepada Sufaha dan Menulis Wasiat - MTDM 21.11.2014

بسم الله الرحمن الرحيم 
الحمد لله رب العلمين
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Majlis Ta'lim Darul Murtadza 21.11.2014
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*


Bahagian 1 – Tafsisr Surah An-Nisa (ayat 5-10)

Ayat 5:

Ayat ini menyentuh tentang tanggungjawab mengelola harta yang termasuk salah satu daripada maqasid as-syariah. 5 objektif syariah (atau maqasid as-syariah) ialah melindungi agama, harta, nyawa, kehormatan, dan akal.

Sabda Rasulullah dalam haji Wada, “Darah, harta, nyawa kamu diharamkan untuk dinodai.” Yakni nyawa dibunuh, atau harta dipergunakan dengan tidak benar adalah dilarang dalam Islam.

Ayat ini menyuruh kepada auliya atau penjaga golongan as-sufaha. As-Suhafa atau as-safih ialah orang yang akalnya kurang waras, tidak cekap dan tidak bijak mengurus duit, akalnya belum matang untuk mengelola duit, yakni dia tidak mampu menguruskan duit tapi dia berduit, yang mungkin berasal daripada harta warisan. Anak kecil juga termasuk dalam kumpulan ini, tak kira mereka yatim atau tidak yatim. Jadi, tidak dibenarkan memberikan mereka harta dalam jumlah yang banyak kerana mereka tak tahu menguruskannya. Jadi, walaupun harta itu milik mereka, harta tidak boleh diberi kepada mereka.

“Jangan beri kepada sufaha harta kamu…”
‘Harta kamu’ dalam ayat inin merujuk kepada harta yang pengelola jaga (yakni harta anak yatim atau harta as-sufaha). Harta itu bukan milik penjaga, tetapi Allah namakan harta itu ‘harta kamu’ supaya penjaga mengelolakannya sepertimana jika dia mengelola hartanya sendiri juga. Maknanya agar berhati-hati memilih perniagaan yang menguntungkan dan tidak buat sambil lewa kerana harta itu harta orang lain. Jadi, sepertimana mereka jaga harta mereka, maka seperti itulah mereka perlu menjaga harta as-sufaha.

Ini supaya orang yang menjaga menjadi lebih bertanggungjawab agar tak berlaku kerugian dan seumpamanya. Ayat ini halus kepada penjaga para sufaha (atan anak yang  ‘down-syndrome’) – mereka mesti amanah! Mungkin harta itu harta ibu bapa si yatim atau harta yang orang beri kepada mereka.

Kenapa para sufaha tak boleh diberikan harta? Kerana mereka tidak pandai menggunakannya. Mereka mungkin boleh ditipu orang lain – dan ini Nabi memancing orang orang lain menipu dirinya.

“Jangan berikan harta kamu yang telah Allah bagi mereka sebagai ‘qiyaman’ (asas pembangunan kehidupan mereka)..”
Harta ‘qiyaman’ ialah harta yang menjadi sebab kehidupan boleh diteruskan.
Orang yang tak cekap uruskan duit – dilarang diberikan duit dalam kuantiti yang besar. Tetapi penjaga masih perlu berikan rezeki kepada mereka, dan jangan sampai tak beri langsung kepada mereka. Beri cukup-cukup agar tiada peluang berlaku pembaziran.

“..beri mereka belanja dan pakaian..”
Para sufahak berhak mendapatkan rezeki secukupnya dari segi makanan, dan juga pakaian. Jangan pandang rendah padanya dengan memberi kepadanya makanan dan pakaian yang ala kadar saja kerana kekurangan akalnya.

Kamu (penjaga) mesti bertanggungjawab kepada orang yang kamu jaga. Allah ingin beritahu kepada orang yang waras agar bertanggungjawab menjaga orang yang kurang waras. Teorinya ada dalam Al-Quran – agar mereka ini diberi perhatian tetapi orang Barat yang terkedepan menyediakan penjagaan dan pendidikan yang baik kepada golongan istimewa ini. Negara Islam yang mana yang memberikan perhatian seperti ini lebih daripada yang diberikan oleh orang di negara bukan Islam, walaupun teorinya ada dalam Al-Quran! Tetapi kebanyakan orang menyikapi Al-Quran sebagi kitab bacaan bukan kitab praktikal! Tapi orang bukan Islam yang buat praktikalnya.

Jangan kerana kekurangan pada diri mereka, mereka diberi pinggan yang murah, baju yang ala kadar. Apa dosa mereka sehingga diperlakukan begitu? Allah jadikan mereka begitu agar kita bersyukur dengan akal yang kita dapat. Ini adalah tanggungjawab dalam masyarakat – agar mereka tak rasa terpencil.

“…. Dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.”
Katakan kepada mereka dengan perkataan yang BAIK – oleh itu jangan tengking, hina mereka. Kamu yang waras yang mesti berfikir dan berkelakuan lebih rasional.

Kadang-kadang ada ibu bapa diuji dengan anak istimewa – ambil sebagai peluang untuk memberi perhatian lebih kepada mereka – kerana Allah turunkan ayat khas mengajar cara menyikapi mereka.

Golongan khas ini bukanlah tanggungjawab ibu bapa atau penjaga saja, tetapi mereka adalah tanggungjawab semua umat.


Ayat 6:

“Dan ujilah anak-anak yatim itu…”
Allah SWT memerintahkan kepada para auliya, waliyul amri – iaitu orang yang menjaga anak yatim untuk menguji anak yatim, khususnya anak yatim yang berharta. Mereka masih kecil dan belum mampu menguruskan harta mereka, oleh itu harta mereka menjadi tanggungjawab waliyul amri.

Disamping memberi makan, pakaian, pendidikan sekolah, penjaga perlu melatih mereka untuk bersedia mengambil alih hartanya ketika baligh nanti. Setelah baligh, mereka perlu diuji adakah mampu mengelolakan duit mereka sendiri, tetapi sebelum itu mesti dipersiapkan dahulu dengan ilmunya.

“… sehingga mereka cukup dewasa (mencapai umur nikah)..”
Umur nikah ialah setelah baligh. Berapa usia baligh? Dalam mazhab Syafie, baligh di kira sebagai:
  • Ketika keluar air mani pada usia 9 tahun (dan ke atas) bagi lelaki
  • Ketika keluar haid pada usia 9 tahun (dan ke atas) bagi perempuan
  • Berumur 15 tahun (walaupun ada/tidak keluar air mani/haid)


Sayyidina Abdullah bin Umar berusia 14 tahun ketika itu dan Rasulullah mengumpul orang untuk berperang, tetapi Nabi tak izinkan dia ikut. Tahun hadapannya dia diizinkan ikut, yakni setelah dia baligh (berusia15 tahun).

“Bilamana kamu menjumpai dari ujian kamu – kebijakan, kemampuan dalam berfikir, maka berilah harta mereka..”
Maka ini bermakna setelah baligh, mereka perlu mula diuji, bukannya terus diberikan setelah mereka baligh. Dan jika mereka mampu, maka penjaga mesti bersegera memberikan harta mereka untuk diurusn

“Jangan kamu makan harta anak yatim secara melampaui batas dan terburu-buru sebelum mereka dewasa..”
Jangan pula penjaga menghabiskan harta anak-anak yatim dengan cepat sehingga habis sebelum mereka dewasa. Sesungguhnya Allah mengetahui niat para penjaga golongan ini.

“Di antara penjaga anak yatim, sesiapa yang kaya, hendaklah menahan diri daripada mengambil harta anak yatim..”
Penjaga yang mampu dinasihatkan agar tidak mengambil upah menjaga anak yatim, tetapi jika penjaga itu orang susah, maka dibenarkan mengambila upah pada kadar yang sepatutnya sahaja.

“..maka ketika kamu menyerahkan harta mereka, hadirkanlah saksi.”
Untuk mengelak syak wasanga atau kezaliman, maka perlu bawa saksi yang boleh dipercayai ketika menyerahkan harta.

“.. dan cukupklah Allah sebagai Pengawas.”
Yakni, walau jika tiada saksi sekalipun, sepatutnya sudah Allah sudah cukup sebagai saksi. Tetapi memandangkan sifat semulajadi manusia yang kerap berlaku peselisihan, maka didatangkan saksi untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Tidak semua manusia hatinya bersih, hari ini mungkin rasa lain, esok bertukar fikiran pula.

Rasulullah berpesan kepada  Abu Dzar, “Saya melihat kamu ini adalah orang yang lemah. Saya suka kamu macam saya suka diri sendiri. Janganlah kamu menjadi pemimpin dalam kalangan 2 orang, dan jangan kamu menjaga harta anak yatim.”

Ini kerana sifatnya yang lembut meneybabkan dia tak sesuai untuk jadi pemimpin walaupun kepada 2 orang, dan kerana kelembutannya juga mungkin menyebabkan dia bersedekah menggunakan harta anak yatim.

Suatu hari, Rasulullah dan sahabat berjalan dan nampak kelibat seorang lelaki dari jauh. Sahabat tanya siapa itu? Kata Rasulullah itu pasti Abu Dzar. Bila sampai benar kata Rasulullah . Rasulullah pun bersabda, “Semoga Allah merahmati Abu Dzar, berjalan sendiri, dia hidup sendiri, , mati sendiri dan akan dibangkitkan nanti di akhirat sendirian juga.” Ternyata benar apa yang dikatakan Rasulullah . Pada zaman khalifah Sayyidina Uthman bin Affan, beliau dipulaukan di sebuah tempat bersama isterinya, dia meninggal sendirian dan telah berpesan pada isterinya agar meletakkan jenazahnya di laluan kaum muslimin untuk mereka uruskan jenazahnya. Dan nanti di akhirat, beliau akan dibangkitkan sendiri juga sebagai membenarkan sabda Nabi Muhammad .

Maknanya orang yang ingin menjadi penjaga harta anak yatim mestilah seorang yang layak, kerana dia akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.

Ayat 7:

Dahulu kaum Jahiliyyah memandang rendah kepada wanita dan anak-anak, sehingga jika ada yang meninggal, wanita dan anak-anak tiada bahagian daripada warisan.

Kata baginda Rasulullah “Sesungguhnya saya ingin mengingatkan kamu untuk menghindarkan diri dari hak milik 2 orang yang lemah iaitu wanita dan kanak-kanak (atau anak yatim).”

Jangan sesekali lelaki memanfaatkan harta wanita, walau apa pun statusnya. Kecuali jika wanita yang beri dengan suka dan rela hati. Biarkan mereka beri dengan rela hati tapi bukan dengan memujuk atau memaksa mereka. Nak minta tolong, silakan, tapi itu bukan tanggungjawab wanita. Lelaki yang bertanggungjawab untuk beri nafkah.

Wanita boleh beri untuk ringankan beban suami. Oleh itu wanita jangan kedekut pula kerana boleh dapat ganjaran seperti Zainab, isteri kepada Abdullah bin Mas’ud. Zainab nak beri zakat, suaminya berkata di depan kamu ini pun orang yang fakir. Zainab tidak pasti boleh diberikan atau tidak, lalu katnyaa nanti dia tanya Rasulullah dulu. Zainab pun pergi ke rumah Rasulullah tetapi ketika itu Bilal yang menjaga di hadapan pintu. Zainab pun Bilal bertanyanya Rasulullah tetapi diminta dirahsiakan identitinya – ini demi menjaga nama baik suaminya. Apabila ditanya kepada Rasulullah , Rasulullah bertanya siapa yang bertanya. Bilal yang sudah berjanji pun mengatakan “Zainab” - jawapan Bilal itu ‘mengambang’ – tidak jelas yang mana satu kerana terdapat ramai yang bernama Zainah di Madinah ketika itu. Tetapi baginda Rasulullah lebih bijak lalu bertanya kepada Bilal, “Zainab yang mana satu?”. Maka Bilal pun tiada pilihan lain melainkan menyatakan kebenaran demi menuntut perintah Rasulullah . Lalu dinyatakan bahawa Zainab isteri Abdullah bin Mas’ud. Maka jawab Rasulullah , “Boleh, bahkan akan menpapat 2 ganjaran – ganjaran zakat dan mendahulukan memberi kepada ahli keluarga.” Oleh itu, dalam kehidupan suami-isteri, walaupun isteri tak bertanggungjawab, tetapi jika membantu suami dan keluarga, dia akan mendapat ganjaran.

Allah turunkan ayat ini untuk beri warisan kepada wanita dan kanak-kanak.

“… bahagian yang telah ditentukan Allah…”
Peruntukan bahagian Allah SWT yang tentukan, dan tidak sama antara lelaki dan perempuan, atau anak-anak. Semua ada hak walaupun jumlahnya berbeza tetapi inilah yang Allah yang sudah tentukan.

Ayat 8:

Bila hadir kerabat, anak yatim, orang miskin yang tidak layak ketika pembahagian harta, maka berilah mereka walaupun sedikit. Ini bukan sesuatu yang wajib, tapi agar tiada rasa cemburu dan demi menjaga hati mereka.

Setelah diberi, ikuti dengan kata-kata yang BAIK. Jangan sombong dengan contohnya mengatakan, “Kamu datang saja dapat harta ayah aku” dsb. Katakan “Semoga Allah merahmati kamu, semoga Allah memberkati kamu.”

Ayat 9:

Ayat ini larangan ini kepada mereka yang berharta yang sedang sakit tenat dan masih sedar, tapi baru sedar dirinya telah kurang beramal sebelumnya dan timbul rasa beri semua hartanya kepada orang lain (melalui sedekah) sehinggakan tiada yang tinggal kepada ahli keluarganya. Meninggalkan keluarga dalam keadaan miskin adalah tidak dibenarkan, bahkan syarak boleh masuk campur untuk melarangnya. Bahagian yang boleh diberi cuma maksimum 1/3 daripada seluruh harta.

Suatu hari Rasulullah melawat Saad bin Abi Waqas yang sedang sakit. Dia berharta tapi cuma ada anak perempuan sebagai waris. Jadi dia bertanya kepada Rasulullah adakah boleh diberi sedekah 2/3 hartanya, Rasulullah tak izinkan, Kemudia dia tanya jika diberi ½ hartanya dan Rasulullah tak izinkan. Kemudian dia tanya jika 1/3, Rasulullah kata itu pun masih banyak. Oleh itu berilah kurang daripada 1/3, kerana 1/3 itu masih dikira banyak. Sabda Rasulullah , “Sesungguhnya jika kamu meninggalkan keluarga kamu dalam keadaan berharta adalah lebih baik daripada kamu membiarkan mereka menjadi beban kepada orang lain.” Ini nasihat Nabi Muhammad dan tiada sebaik-baik pemberi nasihat. Oleh itu, jika ada orang ingin berwasiat hartanya untuk disedekahkah sebagai amal jariah, maka maksimum hanya 1/3. Walaupun jika seseorang mewasiatakan semua hartanya untuk kebajikan, yang boleh diberikan tetap cuma 1/3. Bahagian yang lain mesti mendapat persetujuan ahli waris jika ingin diberi atau tidak.


Ayat 10:

Dalam hadis Rasulullah menggambarkan diakhirat nanti jika orang itu dibangunkan dengan keadaannya mulutnya keluar api – maknanya dia makan harta anak yatim. Jika seseorang itu dalam keadaan macam kena rasuk, maknanya dia dahulu di dunia makan riba. Setiap orang ada keadaan tersendiri sepertimana perbuatan mereka di dunia. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita, Amin Allahumma Amin.


Bahagian 2 - Kitab Riyadhus Solihin
Bab 65 -  Mengingatkan Kematian dan Mengurangkan Angan-Angan.

Ayat 4 (Surah Al-Mukminun, ayat 112-115):
Walaupun diberi umur yang panjang (1000 tahun) – kaum ‘Ad, kaum Tsamud nanti apabila ditanya berapa lama mereka hidup, mereka akan kata hidup mereka suma sehari atau setengah hari saja. Penghujungnya ialah maut dan tiada siapa yang akan kekal hidup.

Hidup di dunia ini singkat, maka jangan habiskan hidup di dunia ini untuk perkara yang akan habis di dunia ini. Pergunakan masa yang singkat ini, yang sedikit ini untuk mendapatkan kehidupan yang tiada batasan, kenikmatan yang tiada penghujung. Susah sikit di sini tak apa, nanti senang di sana lama. Inilah neraca timbangan mukminin dan mukminat.

Ayat 5 (Surah Al-Hadid, ayat 16):

Hadis 1:
Sayyidina Abdullah bin Umar Al Khattab mengambil pengajaran dari kata-kata Rasulullah yang berkata-kata dengan memegang bahunya, “Jadilah kamu dunia sebagai ini sebagai orang asing atau orang yang sedang mengembara.”

Dipegang bahunya – untuk menarik perhatiannya.

Dunia ini cuma R&R – kalau cuma satu persinggahan, adakah akan duduk lama-lama? Tidak. Semuanya ingin cepat menuju ke destinasinya.

Dunia ini disinggah untuk melintasinya – dunia dengan jawatannya, hartanya, emasnya – semuanya itu cuma R&R.

Orang yang bermusafir berbeza dengan orang yang pindah. Kalau musafir dia akan bawa secukupnya saja, takkan bawa barang berat-berat. Baju sehari boleh guna 2 hari – tak apa asalkan ringan, tak nak ‘overweight’ – buat dunia sebegitu – jadilah orang asing di dunia.

Abdullah bin Umar faham nasihat Rasulullah dan berpesan bila tiba waktu pagi, jangan tunggu malam untuk beramal. Bila tiba malam, jangan tungu pagi. Syaitan suka suruh tunda-tunda agar kita terlepas peluang berbuat amal. Bila ada suara-suara sebegini – tinggalkan segera – baru kita akan menang!

Gunakan masa sihat untuk beramal dan istiqamah, nanti jika sakit inshaAllah akan terus mendapat pahala.

Salah satu tafsir ayat-ayat surah ‘At-Tiin’:

Bagi orang tua yang sudah tak mampu beramal, tetapi dia orang yang beramal ketika muda, maka dia akan tetap mendapat ganjaran yang sama, yang tidak putus-putus.

Kita ini bertarung dengan waktu – jika tak gunakan waktu, kita akan digilis oleh waktu.

Hadis 2:

Hadis Rasulullah ada menyebutkan bahawa, “Siapa yang meninggal dalam keadaan telah menulis wasiat, dia meninggal dalam keadaan yang baik.”

Intipati hadis ini ialah agar menulis wasiat setiap 2 malam (atau 3 malam  atau 1 malam dari riwayat berbeza).

Apa maksud hadis ini? Ingin memberitahu pentingnya seseorang itu bila tidur untuk mengingati yang mungkin tidur itu tidur yang terakhir, dan esok mungkin tak bangun lagi.

Sebahagian para solehin meletak wasiat di bawah bantal –> apa agaknya yang bermain dalam hati seseorang jika menyedari yang tidurnya itu tidur yang terakhir? Tentunya penuh dengan harapan, penuh dengan doa, penuh dengan keinsafan, penuh dengan niat agar Allah menerima dirinya sebagai hamba yang taat dan dimasukkan ke syurga Allah. Harapan itu akan menjadi sebab untuk menarik rahmat Allah SWT.

Disebut untuk menulis wasiat setiap 1 atau 2, atau 3 malam sebagai keringanan kepada seseorang, khususnya bagi orang yang berharta. Bagi orang yang ada hutang, maka wajib baginya menulis wasiat. Jika tiada hutang, maka hukumnya sunat. Orang yang berhutang lebih wajib tulis wasiat kerana mungkin keluarga tidak tahu tentang hutang dan dengan menulisnya akan memudahkan dan keluarga berusaha menyelesaikan hutangnya.

Bila dah tulis wasiat – biar agar ahli waris sudah tahu tempatnya!!! Wasiat mesti ditulis, bukan hanya dengan lisan dan diberitahu di mana tempatnya. Disuruh tulis setipa 1/2/3 malam juga agar dapat diperbaharui, contohnya mungkin hutang telah dibayar.

Contoh wasiat:
Bismillah, selawat, saya fulan, mewasiatakn agar kamu semua bertaqwa kepada Allah Ta'ala – kemudian baru sebut tentang harta.

 *: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma suntingan ceramah mereka. Jadi, KKN memohon pembaca mengulangkaji sendiri melalui rakaman video/audio di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik. Pihak KKN mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat dimanfaatkan. Wallahu'alam. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab