Bersifat Adil, Kelebihan Mas Kahwin, dan Mengingati Kematian - MTDM 14.11.2014

بسم الله الرحمن الحيم
اللهم صل على سيدنا محمد واله وصحبه وسلم

Majlis Ta’lim Darul Murtadza 14.11.2014
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*


Bahagian 1 – Tafsisr Surah An-Nisa (ayat 3 dan 4)

Ayat 3:

Ayat ini bercerita tentang sifat adil dan mengelak sifat zalim. Adil adalah memberi hak kepada orang lain sepertimana kita menuntut hak kita. Ehsan ialah memberi hak orang lain tanpa minta hak diri sendiri, Darjat ehsan adalah lebih tinggi daripada adil kerana ianya lebih sukar untuk dilakukan. Oleh sebab itu, Allah mulakan dengan yang mudah bagi semua orang iaitu dengan sifat adil.

Rasulullah berpesan kepada kaum mukminin (dan kepada kita) agar tidak bersikap tidak adil kepada orang yang menyakiti, menzalimi kepada mereka. Rasulullah sendiri bersifat adil dan ehsan hatta kepada orang kafir.

Dalam Perang Khaibar, Rasulullah  menawan tanah Yahudi, dan sebahagian Yahudi datang meminta izizn agar mereka tak diusir. Rasulullah setuju. Tidak diusir itu sudah jadi satu rahmat dari Rasulullah dan ini menunjukkan yang Rasulullah tak bunuh orang kafir sewenang-wenangnya

Tambahan lagi, mereka minta juga sebahagian dari hasil kebun kurma mereka yang sudah dirampas, dan Rasulullah mengizinkan. Rasulullah beri perlindungan dan keuntungan tanaman kepada musuh negara iaitu Yahudi. Ini strategi pentadbiran Islam yang adil. Jika pada musuh pun Nabi adil, apatah lagi pada keluarga, kawan dan orang-orang beriman. Mereka (Yahudi) kekal tinggal di situ dan terus diberikan sebahagain keuntungan kurma mereka sehinggalah Nabi wafat.

Setiap tahun ketika musim kurma, Sayyidina Abdullah ibnu Rawahah ditugaskan untuk mengira pohon kurma dan mengira sebahagian keuntungan untuk diberikan kepada kaum Yahudi itu, dan selebihnya untuk kaum Muslimin.

Ketua Yahudi cuba merasuah Sayyidina Abdullah dengan mengajarkan agar direkodkan hasil kurma sebagai sedikit, dan lebihnya dibahagi sama rata antara mereka berdua. Namun, Sayyidina Abdullah memberikan jawapn yang sangat bijak, “Aku diutus oleh orang yang paling aku sayang, kepada  orang yang paling aku benci. Tapi aku takkan membiarkan kedua-dua sebab ini menyebabkan aku tidak berlaku adil kepada kamu.”

Yakni, walaupun sayang kepada Rasulullah ﷺ, beliau takkan mengurangkan apa yang menjadi hak kepada Yahudi itu. Seorang ulama Yahudi lagi mendengar kata-kata Abdullah dan berkata, “Dengan sikap sebegini, pentadbiran akan menjadi aman.”

Ini sistem pentadbiran zaman Rasulullah - bermula dari mengatur diri, keluarga, daerah, negara. Semuanya  telah diajarkan. Sungguh terdapat pada Rasulullah contoh teladan yang terbaik.

Dengan keadilan, barulah sesuatu tempat akan aman. Bermula tahun ke-6H, sehingga tahun ke-11H, mereka tinggal di situ. Sehinggalah pada tahun pentadbiran Sayyidina Abu Bakar, mereka masih tinggal di situ. Ketika zaman pentadbiran Sayyidina Umar, barulah mereka dihalau. Itupun berpunca dari kesalahan mereka sendiri yang membunuh salah seorang sahabat. Jika tidak pasti mereka masih di situ.

Kita semua mesti memahami adil dalam semua bentuk perhubungan. Dalam ayat ini disebut:

“Dan jika kamu khuatir tidak adil dalam berhubungan dengan anak yatim…”
Dinyatakan khuatir tidak adil yang bermakna seseroang sudah rasa takut sebelum melakukannya, bukannya setelah dilakukan, baru rasa takut.

Kalau kamu khuatir tidak adil ketika kamu ingin mengahwininya dengan anak yatim, yakni dengan mengurangkan atau tidak bayar mas kahwinnya kerana beranggapan sudah membelanya sejak anak itu kecil, maka jangan nikahi perempuan itu. Lebih baik kamu menikahi perempuan lain.

Kemudian, Allah ulang jika kamu khuatir tidak adil, maka bernikahlah cuma satu. Jadi bagi yang ingin bernikah lebih daripada satu, mesti berfikir untuk adil dari awal, SEBELUM bernikah, dan bukannya setelah bernikah baru nak fikir.

Adil bukan hanya jika beristeri lebih dari satu tapi dengan isteri yang satu saja juga mesti adil. Bagi yang beristeri lebih daripada satu - adil mesti dalam segalanya, bukan  saja dari segi fizikal rumah, tapi penampilan diri juga mesti adil dan sama kepada semua isteri, mesti ‘smart’ (kemas, segak) untuk semua isterinya, sehinggakan orang solehin yang kahwin lebih dari satu mempunyai  selipar yang  sama di kedua-dua rumah isterinya demi berlaku adil.

Tidak dapat dinafikan banyak berlaku masalah dalam poligami kerana suami gagal berlaku adil dan golongan kafir suka menggunakan hal ini untuk menyatakan keburukan Islam.

Orang orientalis suka mengkaji untuk mencari kekurangn Al-Quran. Mereka membawa contoh : Dikatakan dalam ayat ini (3) Allah suruh kalau takut tidak dapat berlaku adil dan dalam ayat lain Allah nyatakan dalam ayat lain yang selama-lamanya kamu tak mampu berlaku adil walaupun kamu nak adil. Jadi mereka mengambil kesimpulan, bahawa manusia takkan boleh berlaku adil dan dengan itu tiada perkahwinan lebih daripada  satu saja.

Kalau tidak memahami ayat ini dari semua sudut memang akan mudah terpengaruh dengan fahaman mereka dan mengatakan yang Quran ini ada kontradiksi. Jawapannya tiada kontradiksi – kedua-dua ayat ini adalah saling melengkapi.

Dalam ayat 3 -> “Jika kamu khuatir tidak adil, maka bernikahlah cuma satu.” Ayat ini merujuk untuk berlaku adil dari segi zahir, yakni waktu, nafkah, keperluan yang bersifat zahir. Ayat kedua pula merujuk kepada keadilan dari segi kasih-sayang.

Maka dalam hal ini Rasulullah bersabda, “Wahai Allah, inilah kemampuan saya mengagihkan semampu saya kepada isteri-isteri saya. Jangan Kau hukum kepada perkara yang saya tak mampu.”

Perkara yang mampu – yang zahir, tetapi dalam hal kasih-sayang, ianya sesuatu yang di luar kawalan manusia. Rasulullah sendiri mengasihi Sayyidatina Aisyah r.a melebihi isteri-isterinya yang lain. Walaupun begitu, ketika baginda sakit sebelum wafat, baginda tetap membahagikan waktunya dengan adil antara kesemua isterinya.

Masalah hari ini ialah sikap umat Islam sendiri yang menyebabkan rosaknya imej Islam di mata orang bukan Islam. Perkara yang telah ditetapkan dalam Al-Quran – tiada siapa pun yang boleh bantah (protes). Kalau tak mampu adil, cukup dengan satu dan dengan yang satu pun mesti adil.

Sayyidina Abu Dzar datang mengadu kepada Rasulullah yang Sayyidina Salman Al-Farisi melaranganya puasa, qiyam pada malam hari. Apabila ditanyakan diceritakan bahawa Abu Dzar beribadat 24 jam sehingga mengabaikan hak isterinya. Oleh sebab itu dinasihatkan, “Keluarga kamu ada hak, badan kamu ada hak, maka berikanlah masing-masing haknya.”

Ini baru adil – ibadah tidak terhad kepada ibadah ‘ritual’ sahaja. Orang yang  menunaikan semua hak-hak yang sepatutnya barulah disifatkan sebagai orang yang adil.

Ayat 4:

“Dan berikanlah kepada isteri ‘nehlah’ (mas kahwin) mereka sebagai hadiah…”
Antara perkara wajib dalam perkahwinan ialah memberikan mas kahwin. Mas kahwin itu nehlah (hadiah) kepada isteri dan kadarnya mengikut ‘uruf (kebiasaan) di tempat tersebut.

Dikisahkan, seseorang yang ingin berkahwin diminta Rasulullah mencari mas kahwin. Katanya dia tiada harta tapi Rasulullah suruh cari biarpun hanya cincin daripada besi, tetapi dia tidak dapat membawakannya kerana tidak mampu. Apabila ditanya ada yang dimilikinya, jawabnya hanya sepasang baju yang dipakainya. Jika diberikan pakaian itu, nanti apa pula yang akan dipakainya. Lalu Rasulullah bertanya adakah dia menghafal Al-Quran, dan jawapannya ya. Lalu Rasulullah mengahwinkannya dengan mas kahwin untuk mengajarkan isterinya Al-Quran. Mudah kerana apa yang mereka cari ialah keberkatan.

Mas kahwin itu wajib sebagai bentuk hadiah. Oleh itu, suami tidak boleh meminta kembali mas kahwin yang diberikan. Tetapi adakah isteri dilarang memulangkan mas kahwinnya?

“…Kalau isteri kamu dengan senang hati menyerahkan semuanya atau sebahagian dengan, ambillah, makanlah sebagai ‘hanian’ dan ‘marian’ (lagi baik kesudahannya).”
‘Hanian’ ialah bentuk makanan yang mudah dimakan, mudah masuk lagi lazat, manakala ‘marian’ pula bermaksud membawa kebaikan. Jadi, di sini Al-Quran mengajar untuk kita memilih makanan yang mendatangkan manfaat, bukan main makan apa saja yang ada. Bukan semua yang halal mendatangkan manfaat. Makan yang halal dan toyyib.

Yakni bilamana isteri menyerahkan mas kahwin dengan senang hati, maka harta itu menjadi harta yang lazat, baik dan tidak mendatangakan mudarat.

Seorang yang sakit datang berjumpa dan mengadu kepada Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. untuk meminta ubat. Sayyidina Ali bukanlah doktor tetapi lelaki itu datang ingin meminta petua daripadanya. Sayyidina Ali mempunyai pemahaman yang luar biasa kepada ayat-ayat Al-Quran sehinggakan kebanyakan perawi tafsir Al-Quran mengambil rujukan daripada Sayyidina Ali. Pelajar beliau yang terkenal ialah Sayyidina Abdullah bin Abbas, Hassan Al-Basri – semuanya orang-orang hebat. Suatu hari seorang lelaki yang agak pelik datang kepada Sayyidina Umar Al-Khattab r.a. dan berkata, “Ya Amirul mukminin, aku ini suka kepada fitnah, tidak suka kepada kebenaran dan lari daripada rahmat Allah.” Sayyidina Umar pun ingin menghukum lelaki itu tetapi Sayyidina Ali berkata yang kata-katanya itu betul. Fitnah yang dimaksudkannya ialah harta dan keluarga seperti yang disebutkan dalam Al-Quran dan siapa yang tidak sukakan harta dan keluarga? Kebenaran yang orang suka pula ialah kematian, dan rahmat yang orang lari daripadanya ialah hujan. Lalu, Sayyidina Umar pun berkata, “Kalau tidak kerana Ali, binasalah Umar.” Yakni Sayyidina Umar telah terselamat daripada mengenakan hukuman yang salah.

Dalam satu kes lain, seorang wanita yang melahirkan setelah 6 bulan ingin dihukum sebagai berzina. Ketika itu, Sayyidina Ali ada bersama dan berkata yang tempoh paling singkat untuk mengandung dan melahirkan ialah 6 bulan, kerana dalam Al-Quran dinyatakan bahawa tempoh hamilnya perempuan sehingga selesai menyusu ialah 30 bulan. Oleh itu, jka menyusu anak selama 2 tahun atau 24 bulan, maknanya baki waktu hamil ialah 30-24= 6 bulan. Kefahaman Sayyidina terhadap ayat ini telah menyelamatkan wanita itu daripada direjam.

Kembali kepada kisah lelaki yang sakit yang datang berjumpa Sayyidina Ali. Dia baru saja menikah dan membayar mas kahwin. Jadi, Sayyidina Ali suruh dia minta daripada isterinya 2 Dirham, dan dengan wang itu beli madu. Madu itu kamu campur dengan air hujan dan baru turun, dan kemudian kamu minum. 

Kata beliau, "Adapun saya suruh kamu membeli madu kerana saya dapati Allah SWT mensifatkan di dlm Al-Quran yang di dalam madu itu ada penawar. Saya suruh kamu mencampur dengan hujan yang turun kerana saya dapati dalam Al-Quran Allah SWT berfirman yang 'Kami turunkan air hujan daripada langit dan air itu membawa berkah.' Adapun saya suruh kamu meminta harta daripada mas kahwin isteri kamu adalah kerana saya dapati dalam Al-Quran Allah SWT berfirman apabila diberi harta daripada mas kahwin, diperintahkan makan dengan lazat dan akan terselamat daripada mudarat.” Jadi dengan keberkatan yang ada madu, air hujan dan mas kahwin, inshaAllah pasti akan mendatangkan manfaat sebagai penawar sakit. 

p/s: Pesan Habib, tapi jangan lepas ni, balik rumah minta duit dgn isteri utk beli ubat pula. 

Bahagian 2 - Kitab Riyadhus Solihin
Bab 65 -  Mengingati Kematian dan Mengurangkan Angan-Angan.


Bacaan ayat 185, surah Ali-Imran.

Bacaan ayat 34, surah Luqman.

Bacaan 34, surah Al-‘Araf.

Bacaan ayat 9-11, surah Al-Munafiqun

Huraian:

Semua orang mesti mati ,dan tiada seorang pun yang akan kekal hidup – itu realiti, kenyataan yang mesti dihadapi setiap makhluk.
Setiap yang bernyawa akan mati. Rasulullah pun wafat, dan manusia lain juga akan meninggal.  Bila semua sedar bahawa mati itu pasti, maka walaupun seseorang meminta panjang umur, dia mesti sedar yang kematian pasti akan datang juga.

Kaum Yahudi berharap untuk hidup 1000 tahun, tapi Allah nyatakan bahawa walaupun umur panjang, kematian pasti akan datang juga dan mereka akan diazab.

Katakan wahai Rasulullah (Muhammad): “Kematian yang kamu lari daripadanya akan mendatangi kamu.”

Lari itu bertujuan menjauhkan diri daripada sesuatu, tapi mati itu tidak bertempat dan mati itu sendiri yang akan datang kepada seseorang.

Dalam ayat lain juga disebut, “Bilamana ajal datang kepada kamu…”
Mati itu akan datang sendirinya, tapi masanya ghaib (tak tahu). Orang yang paling bijak ialah yang paling banyak mengingati mati. Dia menghisab dirinya dan beramal untuk dipetik hasil di akhirat nanti. Tetapi orang yang jahil hidup dengan mengikut hawa nafsu tetapi mengharapkan syurga Firdaus dan dekat dengan Rasulullah . Tiada jalan ‘short-cut’ untuk perjalanan menuju akhirat. Kepada apa kita gunakan kehidupan, itulah yang akan diperolehi di akhirat nanti.

Ayat-ayat ini mengingatkan tentang kematian. Akan tetapi kematian bukan penghujung kepada kehidupan. Orang yang beriman, beramal selagi hidup dan nanti di akhirat baru berehat. Maka, bekerjalah dengan umur yang singkat yang Allah SWT berikan sebagai modal untuk mendapatkan umur yang tanpa sempadan. Orang yang bijak akan menggunakan kehidupan untuk akhirat.

Kematian bukan penghujung tetapi adalah sebagai permulaan untuk mendapat ganjaran yang Allah simpan, bergantung kepada apa yang dilakukan ketika di dunia. Apakah ganjaran yang Allah berikan kepada orang yang mati? Dan orang-orang yang dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke syurga. Allah Ta'ala tak nyatakan cuma orang yang masuk syurga, tetapi Allah juga nyatakan yang seseorang itu dijauhkan dari api neraka sudah merupakan satu nikmat daripada Allah, dan syurga merupakan nikmat yang kedua. Jadi, orang yang tidak memikirkan tentang azab neraka terhadap apa yang ingin dilakukannya adalah orang yang rugi.

Sesungguhnya kenikmatan di dunia ialah kenikmatan yang menipu. Apa maknanya? Ialah kenikmatan itu tidak kekal – orang yang merasakan mendapat nikmat dengan cahaya mata, bila anak dah dewasa pun tak terasa lagi nikmat itu. Orang yang makan akan habis nikmatnya dengan habisnya makanan itu, dan bila didatangkan makanan sama berkali-kali, dia pun rasa bosan. Kenikmatan apa yang kekal di muka bumi ini?

Allah beri buah-buahan kepada penghuni syurga dan nampak rupanya sama seperti buah di dunia. Tetapi buah di syurga, yang pertama lebih nikmat rasanya dari yang kedua, dan seterusnya. Apa saja yang terlintas di hati penghuni syurga, akan diperolehinya serta-merta. Walaupun benda yang diingingi itu tidak disangka wujud. Ringkasnya benda yang mata tak pernah melihat, telinga tak pernah dengar.

Korbankan kenikmatan yang tidak kekal untuk mendapatkan kenikmatan yang kekal.

Ayat ke-2: Kematian itu datang tidak pilih tempat

Tiada seorang pun tahu rezekinya esok, dan di mana ia akan mati.

//Kisah Malaikat Maut mengambil nyawa seorang daripada kaum Nabi Sulaiman.

Sayyidina Khaled Al-Walid berkata ketika sakaratul maut – “Aku mencari kematian ini di medan perang, tetapi ia mendatangi aku di katil ini.”

Kematian itu mendatangi bukannya kita pergi mencarinya. Oleh itu, jangan berada di tempat yang Allah murka, kerana takut ketika di situ, kematian mendatangi kita. Hindari juga maksiat, di tempat-tempat yang haram, kerana takut-takut ajal datang di situ, Wal iya zu billah.

Setelah sebut tentang tempat, dalam ayat berikutnya Allah sebut tentang masa kematian. Masanya takkan terlambat walaupun sesaat. Seterusnya Allah ceritakan tentang perkara-perkara yang melalaikan manusia daripada mengingati mata. Contohnya ialah harta – semakin ingin kepada harta – semakin rakus, semakin ingin hidup panjang. Yang kedua ialah anak-anak – jangan sampai dilalaikan dengan mereka. Orang yang dilalaikan dengan harta dan anak-anak adalah orang yang rugi.

Nafkahkanlah rezeki sebelum datang kematian – orang yang mati meminta sedikit masa untuk hidup kembali dan bersedekah.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma suntingan ceramah mereka. Jadi, KKN memohon pembaca mengulangkaji sendiri melalui rakaman video/audio di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik. Pihak KKN mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat dimanfaatkan. Wallahu'alam. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab