Khuluquna (Akhlak Kami) Bahagian 1 - Habib Umar bin Hafidz


بسم الله الرحمن الحيم
اللهم صل على سيدنا محمد واله وصحبه وسلم

Karangan dan syarahan oleh Al-Alamah Habib Umar bin Hafiz
Terjemahan oleh Habib Soleh Al-Jufri
Masjid Al-Abdul Razak, Singapura, Subuh 12.11.2014

Rakaman audio tausiyah (maaf kualiti kurang baik)


 Petikan bacaan sebahagian daripada kandungan kitab:

‘Khuluquna’ – ‘Akhlak kami’ terbahagi kepada:
  • 1.    Akhlak kami bersama Allah
  • 2.    Akhlak kami bersama makhluk
  • 3.    Akhlak kami bersama diri-sendiri
Akhlak bersama Allah:
  • muraqabah yakni merasa diawasi Allah SWT, ikhlas beribadat kepada-Nya, dan mempunyai wirid harian daripada Al-Quran, memahami dan mentadabbur isinya.
  • Menghadirkan diri dalam solat, berusaha solat berjemaah selagi tiada keuzuran, merasa kerdil di hadapan Allah, bangun malam untuk beristighfar dan rasa gembira bermunajat kepada Allah SWT.
  • Menjadikan Allah tempat utama mengadu dan bertawakal kepada kepada-Nya, banyak mengingati dan bersyukur kepada-Nya, yakin akan janji dan pertolongan-Nya, merendah diri dan bersungguh meminta ketika senang dan susah, mengagungkan syiar Allah dan tidak peduli dengan celaan orang terhadapnya, memelihara batas hukum Allah dan malu terhadap Allah SWT.

Syarahan:
Orang yang betul-betul niat keluar untuk menuntut ilmu, maka dia seumpama berjihad di jalan Allah SWT.

Manusia ada dua bentuk: Lahiriah (zahir) dan batiniah. Bentuk zahir nampak di dunia, manakala bentuk batin akan nampak di akhirat nanti. Bentuk zahir nampak jelas contohnya ialah jasad kita, dan batin itu ialah dalam bentuk akhlak kita. Siapa yang lebih banyak akhlaknya mengikut para Nabi dan siddiqin, maka dia nanti akan berada dimasyarkan (dikumpulkan) bersama mereka.

Apabila manusia itu lebih banyak mengikuti sifat-sifatnys binatang buas, iaitu banyak bengis dan mengganggu orang, maka nanti dia akan berbentuk binatang buas juga di sana. Dan apabila manusia itu sifatnya banyak mengikuti shahwatnya, maka dia nanti akan dibangkitkan seperti khinzir.

Maka amalan di dunia menjadi dasar, gambaran apa yang dilakukannya ketika nanti di akhirat.

Apabila melihat doanya Sayyidina Ibrahim bin Salim*, “Ya Allah, jangan siksa aku di hari kebangkitan nanti, di hari tiada manfaatnya harta-benda dan anak-anak kecuali siapa yang datang kepada-Mu dengan hati yang selamat.”

Banyak orang-orang-orang kekasih Allah yang disingkap hatinya melihat manusia seperti bentuk anjing, khinzir sebagainya. Maka, para wali Allah Ta'ala yang tersingkap sebegitu, mereka tak mampu duduk bersama manusia biasa. Lalu diminta pada Allah Ta'ala untuk dilihatkan yang baik-baik sahaja.
Telah diisyaratkan dalam dalam kitab ini bahawa ada tiga bentuk akhlak, iaitu:
  • 1.    akhlak bersama Allah SWT
  • 2.    akhlak bersama makhluk
  • 3.    akhlak bersama diri sendiri
Surah Al-Israk, ayat 19:

Bacaan kitab ‘Khuluquna’ dimulai dengan ayat di atas. Ini menunjukkan akhlak seseorang menjadikan bagaimana dia di akhirat nanti.

Daripada hadis Nabi Muhammad ﷺ yang maksudnya, “Yang paling aku cintai di antara kalian, dan yang paling dekat denganku ialah yang paling baik ketika di dunia.“

Tiada yang lebih berat untuk diletak di mizan di akhirat nanti melainkan akhlak yang baik. Tidak ada orang-orang yang memiliki akhlak yang mulia yang akan ditimpa api neraka. Kita minta daripada diberi akhlak yang baik.

Al-Arifun mengatakan tidak pernah terkumpul semua akhlak suci yang sempurna kecuali pada satu orang saja iaitu Nabi Muhammad ﷺ, dan baginda memilik kedudukan yang paling tinggi. Kemudian orang yang memiliki budi pekerti yang baik ialah orang-orang yang mengikuti budi pekerti Nabi Muhammad ﷺ dan yang paling mampu mengikuti baginda ialah para Anbiya dan Rasul, setelah itu orang-orang siddiqin dan orang soleh.

Akhlak yang mulia ini merupakan kesempurnaan iman. Nabi Muhammad ﷺ bersabda, “Sesungguhnya orang yang sempurna imannya ialah orang yang paling baik budi pekertinya.”

Dimulai dengan menyebut akhlak kita bersama Allah:
·      merasa diawasi dalam setiap keadaan kita seolah-olah kita melihat Allah SWT
·      tidak mendahului sesiapun sebelum Allah SWT Allah Tuhan segala-sagalanya, dan Penguasa alam ini dan Maha Kuasa atas segala sesuatu

Setelah seorang solehin wafat, ditanya keadaanya dan dia berkata, “Aku dulu berdoa dengan beberapa doa, iaitu: “Ya Allah, Tuhan dari segala sesuatu, dengan segala kekuasaan-Mu atas segala  sesuatu, maka Kau ampunkan segala-segala sesuatu yang ada padaku dan jangan tanyakan atas segala sesuatu dan jangan Kau seksa aku atas segala sesuatu yang ada.”

Maka, kita meminta kepada Allah Tuhan dari segala-galanya, semoga Allah mengampunkan kita atas segala-gala yang kita miliki dan Allah perbaiki dari segala-gala kita, dan Allah tidak menanyakan apa yang ada pada kita dan semoga kita tidak disiksa atas sesuatu yang ada pada kita.

Oleh kerana kita tahu Allah SWT Tuhan segala-galanya, maka kita mesti lebihkan Allah dalam segala-galanya. Dan akhlak kita yang pertama ialah merasa Allah SWT selalu mengawasi kita, melihat kita dan meneliti keadaan kita. Maka, masing-masing kita harus meneliti diri nya – apa yang diucapkan, apa yang diniatkan, apa keadaan kita, apakah Allah redha dengan keadaan kita ataupun tidak?

Dan apabila Allah redha dengan keadaan kita, sudah, jangan pedulikan yang lain-lain. Dan apabila kita sedar bahawa yang kita akan lakukan itu mengundang murka Allah SWT, maka jangan kita lakukan walaupun ada pujuk rayu nafsu, manusia atau apa saja. Orang yang boleh memiliki muroqabah (rasa diawasi) ini adalah merupakan tanda-tanda iman yang sebenarnya. Dan muroqobah merupakan anak tangga memasuki kerajaan ehsan. Malaikat jibril pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ apakah ehsan itu. Baginda Nabi ﷺ menjawab, “Ehsan itu kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu menyaksikan dan melihat Allah Ta’ala.”

Dan makna ‘seperti kamu melihat Allah’ ialah satu darjat yang sangat tinggi dan agung dan masing-masing orang memiliki maqam dan darjat tersendiri.

Cuba kamu rasakan di depan ialah orang yang berwibawa dan diagungkan, bagaimana keadaan kita? Bagaimana pula jika kamu berhadapan dengan Allah SWT?

Sayyidina ‘Ali Zainal Abidin apabila ingin mendirikan solat, wajahnya memerah dan pucat dan apabila ditanya kenapa, katanya, “Tahukah kamu kepada siapa aku akan mengadap sekarang?”

Syeikh Abdul Aziz Dabbab, beliau mengumpamakan bagaimana orang menyembah Allah dengan ehsan dan tanpa ehsan. Orang yang memiliki darjat ehsan dalam ibadat adalah seperti orang yang berjumpa dengan Raja yang memiliki kekuasaan yang tinggi, maka dia menuju kepada istananya Raja, dan tiap kali dia menginap di istananya akan mendapat hibbah yang luar biasa daripada Raja itu, Maka ketika dia sudah ke istana raja itu, maka penuhlah hatinya dengan kewibawaan hebatnya Raja itu. Maka, ketika dia mengadap kepada Raja itu, dia dalam keadaan sempurna dalam dia tunduk, merendahkan diri di hadapan Raja dan berkata dengan singkat memberitahu masalah dan berhajat kepada itu dan ini. Maka ketika Raja melihat budi dan pekerti hamba itu yang tahu mengagungkan Sang Raja dan keadaan tenang dan rendah, dan memiliki harapan yang benar, dan Raja akan memerintahkan untuk diberikan apa yang diinginkannya, bahkan diberi lebih daripada apa yang diinginkannya.

Maka orang lain yang melihat kedaan orang itu mendapat ganjaran yang besar , berjalan sendirian dan mengucapkan ucapan yang sama seperti ucapan orang tadi. Katanya, “Wahai Raja, saya berhajat itu dan ini” tetapi orang itu mengucapkan dengan tidak berasa seperti dia berada di hadapan Raja, dan dalam hatinya tidak ada rasa ta’kzim dan hibbah Raja itu, kerana dia merasakan Raja itu jauh dan dia tidak melihat raja itu. Kemudia dia berkata, “Wahai Raja, kenapa engkau tidak beri aku apa-apa yang engkau beri kepada orang itu? Padahal aku mengucapkan serupa apa yang diucapkan dia itu tadi.”

Dasarnya bukanlah apa yang diucapkan, tetapi keadaan bagaimana ketika dia mengucapkannya. Orang yang mengucapkan dalam keadaan dia merasa melihat Allah SWT tidak sama keadaannya dengan orang yang tidak merasa melihat Allah SWT. Semoga Allah buka pintu hati kita agar bisa muqorobah, dan mencapai ke darjat ehsan. Amin.

Setelah disebutkan tentang muqorobah, disebutkan pula tentang ehsan. Kita harus ikhlas kepada Allah dalam keadaan ketaatan zahir dan batin. Ikhlas juga ialah kita perlu sentiasa mensucikan diri daripada keinginan selain Allah. Apakah miliknya Allah agama yang murni? Beribadah kepada Allah dengan hati yang ikhlas murni – disebutkan dalam hadis Qudsi, “Barangsiapa beramal kerana Aku, kemudian dia campurkan dengan perkara-perkara selain Aku, Aku akan campakkan dia kepada apa yang dia berharap selain dari Aku. Aku ini ialah Dzat yang tidak berhajat kepada sesuatu apa pun.”

Allah SWT memberikan perumpamaan orang yang ikhlas, yang turun ayat ini kepada Sayyidina Ali dan Sasyyidatina Fatimah memberi makan dengan ikhlas kepada anak yatim, orang mikin tanpa mengarapkan apa-apa melainkan keredhaan Allah SWT.

Dulu guru saya, Al Habib Muhammad Al-Haddar, memberi nasihat kepada saya dengan mengatakan, “Dulu guru-guru kita ketika mengajar dan membimbing anak didiknya tidak ada harapan apa-apa dari ucapan manusia atau apa-apa balasan walaupun sekadar ucapan ‘jazakallah kheir’.

Dia menjadikan maksud dan kehendaknya hanya kepada Allah SWT. Sayyidatina Aisyah ketika mengirim sedekah untuk disampaikan pembantunya berpesan, “Setelah kau beri sedekah ini, tolong dengar apa yang diucapkan oleh orang yang menerima sedekah ini.” Apabila disampaikan bahawa orang yang menerima sedekah itu berdoa untuk Sayyidatina Aisyah , maka Sayyidatina Aisyah pun mendoakan dengan doa yang sama kepada penerima sedekah supaya pahala sedekahnya tetap ada, kerana dia juga telah membalas dengan doa yang sama.

Telah disebutkan bahawa pada zaman Habib Abdul Rahmah  bin Fiqih berpesan kepada Sultan untuk memberi kuda miliknya makanan yang murni dan terbaik. Ditanya kenapa dia memberi makanan terbaik hanya pada kuda? Jawabnya, “Aku teringin untuk menerima makanan yang bagus dan sempurna juga nanti di akhirat.

Kemudian disebut juga akhlak dengan firman Allah. Setiap orang beriman hendaknya bersambung dengan kalam Allah. Yang lebih berhak untuk kita dengar ialah kalam Allah SWT. Bagaimana kita lebih suka ucapan ‘newspaper’, ucapan manusia dan kita lupa dengan kalam Allah? Disebutkan bahawa kita harus ada wirid khusus untuk membaca kitab Al-Quran. Maka, hendaknya kita menjaga membaca Al-Quran nul Kareem dan kita tambah lagi untuk menambahkan semangat. Orang yang lancar hendaklah dia membaca 1 juzuk setiap hari, yang tidak begitu lancar, jangan sampai kurang daripada separuh juzuk. Bagus jika kita dapat khatam Quran satu kali seminggu. Dan lebih-lebih lagi jika dapat khatam Quran setiap 3 hari. Dulu, Sayyidina Uthman bin Affan khatam Quran dalam satu rakaat.

Dulu, wiridnya Habib Hassan bin Soleh Al-Bahar ialah dia setiap malam solat sunat 2 rakaat saja. Tapi rakaat pertama membaca 90,000 surah Al-Ikhlas, dan rakaat kedua khatam Al-Quran. Sayyidina Habib Abdul Rahman Al-Saggaf pertama kali khatam siang sekali, dan malam sekali. Kemudian beliau tingkatkan lagi sehingga 2 kali khatam di siang hari, dan 2 kali khatam di malam hati. Kemudian beliau tingkatkan lagi sehingga 3 kali khatam di siang hari, dan 3 kali khatam di malam hati. Kemudian, di akhir hayat beliau tingkatkan lagi sehingga 4 kali khatam di siang hari, dan 4 kali khatam di malam hati. Orang-orang hairan keadaannya yang demikian tetapi itu sebenarnya mudah kepada orang-orang yang hatinya benar-benar terpaut pada Allah Ta'ala.

Beliau meninggal dunia 600 tahun (abad ke-9) yang lalu, dan sekarang ada ahli keturunannya yang Habib kenal yang melakukan yang sama, bahkan lebih daripada 4 kali. Beliau ialah Habib Muhammad bin Soleh bin Abdullah Al-Attas. Habib kenal putranya Habib Abdul Rahman bin Muhammad yang awalnya mendengar ceramah Habib Ali Al-Habsyi yang mengatakan Habib Abdul Rahman mengkhatam Quran 4 kali di malam hari dan 4 kali di siang hari. Kemudian dia balik dan berusaha melakukan yang sama. Setelah berjaya, dia mengutus surat kepada gurunya, Habib Ali Al-Habsyi, dan menyatakan yang dia sudah sama dengan Habib Abdul Rahman.

Kemudian pada tahun berikutnya, dia berjaya menambah 5 kali di siang hari dan 5 kali di malam hari. Beliau ini bila membaca Al-Quran nul Kareem, hatinya sangat luar biasa dan ruhnya mengikuti bacaannya sampai dia memahami makna-makna dari Al-Quran. Kadang-kadang dia baca Quran sambil naik kuda dan terasa berat sehingga kudanya terjatuh dan terduduk.

Selain kita rajin membaca Al-Quran, kita harus menjaga untuk memahami dan mentadabbur isi Al-Quran. Mudah-mudahan Allah berkahi pelajaran kita kali ini, kita diberi akhlak-akhlak seperti ini dan Allah jadikan kita ahli Al-Quran, kerana Al-Quran itu punya ashab dan ahlinya. Ashabul Quran ialah orang-orang yang tiap hari ada wirid untuk membaca Al-Quran. Ahli Quran ialah orang yang membaca dan terpegun dengan kandungan Al-Quran. Ashabul Quran akan mendapat syafaat Quran di akhirat. Kalau ahli Quran, dia akan boleh memberi syafaat kepada orang lain sebab berkatnya Quran. Dalam kedua kelompok ini telah datang 2 hadis. Rasulullah ﷺ bersabda, “Bacalah Quran kerana Quran akan datang memberi syafaat pada hari kiamat nanti.” Dalam hadis kedua, ahli Quran ialah orang yang khusus dan istimewa di hadapan Allah SWT.

//Doa penutup majlis

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma suntingan ceramah mereka. Jadi, KKN me mohon pembaca mengulangkaji sendiri melalui rakaman video/audio di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik. Pihak KKN mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat dimanfaatkan. Wallu'alam. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab