Lelaki dan Perempuan - Berbeza Untuk Saling Melengkapi - MTDM 20.02.2015

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدينا محمد وعلى اله وصحبه وسلم

Majlis Ta’lim Darul Murtadza 20.02.2015
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*


Bahagian 1 – Tafsir Quran Surah An-Nisa ayat 34
Video rakaman: 

Allah SWT menjadikan kepelbagaian bentuk, keadaan pada makhluk-Nya, dan adalah tidak wajar jika semua ciptaan Allah sama bentuk fizikalnya. Allah SWT ciptakan ada malam, dan ada siang, dan masing-masing ada keistimewaan tersendiri yang tidak ada pada yang lain. Antara siang dan malam, walaupun berbeza tidak menunjukkan bahawa yang satu lebih baik daripada yang lain. Begitu juga antara tangan kanan, dan kiri. Walaupun dalam bidang tertentu dikatakan kanan lebih baik daripada yang kiri, orang yang cuma ada sebelah tangan tetap dianggap sebagai tidak sempurna. Dalam bumi ada lautan dan daratan, dan tidak boleh dikatakan bahawa daratan lebih baik daripada lautan. Manusia ada pelbagai jenis kaum, jantina. Maka, kita melihat penciptaan makhluk Allah SWT itu ada kepelbagaian. Setiap makhluk diciptakan ada pasangannya – ada lelaki, ada perempuan, ada malam ada siang. Kesimpulannya – kepelbagaian ciptaan Allah adalah satu kewajaran agar ada variasi dalam ciptaan Allah SWT sehingga satu melihat kelebihan kepada yang lain.

Manusia juga diciptakan lelaki dan perempuan. Di sisi Allah SWT tidak dikatakan lelaki lebih baik daripada perempuan atau sebaliknya, disebabkan kepelbagaian adalah bukan untuk bersaing tetapi saling melengkapi antara satu sama lain. Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl, ayat 97: 


 Tak kira lelaki atau perempuan, siapa yang beramal, dia akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Surah Al-Lail, ayat 3-8:

Ganjaran atau hukum bagi lelaki atau perempuan sama di sisi Allah SWT, tak kira jantina, yang diukur dan dinilai oleh Allah SWT ialah amal. 

Dalam hadis Nabi ﷺ bersabda - "Perempuan itu 'saudara kandung' kepada lelaki." Yakni bermakna bukanlah adik-beradik kandung, tetapi lelaki dan perempuan sama kedudukannya di sisi Allah SWT. “Sesungguhnya yang lebih baik di antara kamu ialah yang paling bertaqwa.”

Maka, dalam hal ini, Allah SWT menjadikan lelaki dan perempuan dalam hubungannya dengan Allah yang terbaik ialah yang paling baik amalnya. Adapun kepelbagaian jantina tiada beza kerana antara lelaki atau perempuan sendiri pun ada kepelbagaian seperti ada lelaki kaya, miskin, segak, tak segak, tinggi, rendah. Jika semua orang ingin sama seperti orang lain, maka tiada keajaiban dalam kepelbagaian ciptaan Allah SWT. Maka, di larang untuk masing-masing bercita-cita menyamai dengan yang lain. Contohnya – lelaki nak sama dengan perempuan, yang miskin nak sama dengan yang kaya, dan semua orang akan ‘complaint’ kepada Allah SWT. Allah SWT melarang seperti firman-Nya dalam ayat 32, surah An-Nisa.

Maka jangan bercita-cita meminta kepada Allah sesuata yang ada pada orang lain. Setiap kejadian Allah dengan keadaan tertentu pasti ada hikmah-Nya. Ketika Allah berfirman ayat  32 di atas, Allah SWT menegur kepada segolongan orang yang menginginkan sama dengan apa yang ada pada orang lain. Ummu Salamah bertanya kepada Rasulullah ﷺ, “Ya Rasulullah, lelaki ini senang kerana mereka boleh berjihad bersama engkau. Dan dalam hal warisan, mereka mendapat dua kali bahagian berbanding perempuan. Kami juga ingin berjihad dan sama bahagian dalam warisan.” Setelah itu, turun ayat di atas.

Allah SWT menjadikan tugasan lelaki dan perempuan dalam hubungannya dengan Allah sama. Dalam beberapa perkara saja yang berbeza tugasan dan kewajipan. Ada perkara yang cuma diwajibkan untuk lelaki sahaja, dan ada perkara yang cuma diwajibkan untuk perempuan saja.
Perbezaan ini adalah apa yang saya ‘explain’ tadi dan menjadi satu kewajaran untuk melengkapi satu sama lain, dan bukan untuk kita protes untuk sama bagi kedua-duanya dalam segala hal, yang sekarang menjadi tuntutan kamu muslimat yang ingin sama semuanya dengan kaum lelaki – ingin meniru kepada orang Barat yang menuntu ‘gender equality’. Kononnya Barat maju kerana persamaan ‘gender’. Adakah benar dakwaan ini? Orang Islam dianggap membelakangkan orang perempuan, contohnya ada negara yang melarang perempuan memandu.

Kita nak tanya kepada mereka yang mendakwa negaranya maju, adakah benar mereka beri hak sama pada wanita atau mereka menjual maruah perempuan? Budaya pakaian songsang, siapakah yang menjadi jurutampil (model)? Bukankah yang diperalatkan itu perempuan? Iklan-iklan menggunakan pakaian seksi, bukankah yang digunakan perempuan juga? Untuk menjadi daya tarikan pun perempuan juga yang digunakan. Mereka memberi hak sama rata kepada perempuan atau menjadikan perempuan sebagai barang yang boleh dijual.

Realitinya, mereka itu tidak mahu mengaku yang mereka menindas kaum perempuan lebih teruk dari zaman jahiliyyah tetapi penindasan itu diperkemas dalam bentuk yang cantik, sementara kita yang disebut dalam ayat ini, bagaimana Al-Quran meletakkan perempuan pada kedudukan yang mulia dan juga tinggi di bawah naungan penjagaan lelaki dianggap menindas kepada mereka. Yang benar dianggap salah, yang salah dianggap benar. Yang maaruf diangkap mungkar, dan yang mungkar dianggap maaruf. Hairannya, orang Islam pun ada yang menerima! Mereka katakan kebebasan berpakaian ialah kebebasan peribadi, dan mereka tidak sedar yang pakaian mereka menjual maruah mereka kepada orang ramai. Mereka tak tahu yang dirinya tak tahu – ini yang berlaku kepada sebahagian muslimat pada zaman sekarang.

Seperti yang telah disebutkan dalam ayat-ayat yang dibawakan sebelum ini – antara lelaki dan perempuan sama, dan hanya sedikit berbeza daripada segi tugasan. Antaranya ialah lelaki bertanggungjawab terhadap: naskah, keselamatan, dan pendidikan kepada perempuan, dan ini tidak diwajibkan ke atas perempuan kepada lelaki.

Ada orang salah faham ayat ini dengan mengatakan, “Kita lelaki, perempuan tak boleh ‘naik atas kepala kita’”. Mereka memahami lelaki lebih kuat dan utama dan sehingga perintahnya tidak boleh dilanggar. Ini menunjukkan keegoan lelaki. Tidak! Tetapi maksud Allah SWT sebagaimana yang dibahaskan ahli tafsir ialah:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan,..”
"Qawwama" - suka berdiri lama ke atas perempuan, yang bermaksud orang lelaki bertanggungjawab melindungi dengan sempurna kepada perempuan dari segi nafkah, tarbiyyah (pendidikan) dan pemeliharaan (keselamatan). Subhanallah, Allah tak sebut suami saja, tapi disebut lelaki supaya termasuk ayah, abang, dsb. Yakni suami bertanggungjawab kepada perempuan, abang atau adik lelaki bertanggungjawab pada adik-beradik perempuan, ayah bertanggungjawab kepada anak perempuannya. Yakni, lelaki bertanggungjawab kepada nafkah, tarbiyyah dan pemeliharaan perempuan, dan bukan suami saja. Allah sebut secara ‘general’ menggunakan perkataan 'lelaki'.

“... oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan,…”
Apa maksud kelebihan yang ada pada lelaki? Iaitu kelebihan tabii dari segi kekuatan, tanggungjawab yang tidak dimiliki oleh perempuan. Oleh itu lelaki perlu jaga perempuan. Bukan dimaksudkan di sini bahawa lelaki lebih afdhol (utama) berbanding perempuan! Lelaki akan jadi lebih baik daripada perempuan jika tugasannya dilakukan dengan baik, perempuan pun sama. Kedudukan siapa yang lebih baik di sisi Allah Ta'ala bergantung kepada amal, bukan kepada fizikal. Oleh sebab itu, kita lihat beberapa golongan yang ingin mencapai apa yang diingini tetapi tidak bersesuaian dengan apa yang Allah SWT telah tetapkan untuknya – sehingga kita dengar kisah lelaki yang ‘operate’ untuk jadi perempuan. Adakah hukum akan berubah? Kalau semua orang nak ikut keinginannya, tiada hukum akhirnya! Lelaki tetap lelaki, walaupun fizikalnya diubah menjadi sebaliknya, kecuali dalam kes khunsa. Kalau dalam hadis lelaki menyerupai perempuan sahaja sudah dilaknat oleh Allah SWT apatah lagi jika seseorang itu buat pembedahan!

“.. dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Tugasan lain yang berbeza tetapi ganjarannya sama. Ummu Salamah datang bertanya – “Perempuan tak wajib berjihad tetapi lelaki disuruh berjihad. Bahkan perempuan tak diizin berjihad selagi masih ada lelaki yang mampu berjihad. Bukan seperti istilah sekarang iaitu “Jihad Nikah”, dan berapa ramai orang Islam yang tertipu kerana tidak belajar, tidak berguru, dan tidak memahami agama dengan sebenar. Allah SWT berikan kelebihan kepada satu pihak berbanding dengan yang lain. Ganjaran sama, tapi cara berbeza.

Rasulullah ﷺ didatangi seseorang yang inginkan pahala berjihad dan Rasulullah ﷺ kata boleh.
Jawab Rasulullah, “Jihadnya orang perempuan ialah haji yang mabrur.” Sudahlah haji itu wajib bagi orang beriman, tapi bagi perempuan boleh dapat pahala jihad sekaligus. Tapi lelaki perlu keluar jihad membawa senjata berhadapan dengan musuh untuk menegakkan kalimat Allah SWT, jika mati fi sabilillah maka mendapat fadhilat jihad di sabilillah. Bolehkah lelaki nak minta supaya hajinya yang mabrur dapat fadhilat jihad juga seperti perempuan? Allah sudah tentukan untuk perempuan, tetapi tidak untuk lelaki. Jadi, adanya perbezaan pada bentuk zahir, hakikatnya tiada beza di sisi Allah Ta'ala. Tugasannya berbeza tapi nilainya sama di sisi Allah SWT. Tugas lelaki bagi nafkah pada perempuan, tugas perempuan taat pada suaminya. Kalau lelaki dan perempuan tunaikan hak masing-masing dan taat kepada Allah Ta'ala, maka kedudukan mereka pasangan suami-isteri sama di sisi Allah SWT, walaupun haknya berbeza. Kalau lelaki tunaikan hak perempuan, perempuan tidak tunaikan hak lelaki, maka lelaki adalah lebih baik. Begitu juga jika sebaliknya. Maka, lelaki dan perempuan perlu mentaati apa yang telah ditetapkan Allah SWT, dan bukan mesti sama apa yang dibuat lelaki mesti dibuat oleh perempuan – tidak begitu!

Kelebihan lelaki dalam tanggungjawab adalah untuk memberi nafkah kepada perempuan. Puncanya lelaki itu perlu bertanggungjawab, dan perlu diterima, diyakini, diamalkan. Lelaki tugasnya bertanggungjawab ke atas perempuan tetapi tidak bermakna lelaki termulia di sisi Allah SWT.  

Dalam Al-Quran, ketika Allah SWT berfirman kepada NabiAdam dan Hawa, “Ya Adam, ini iblis musuh kamu dan musuh isteri kamu, jangan kamu berdua terpedaya (mengeluarkan kamu daripada syurga), kemudian kamu (Adam) akan celaka.”

Awal ayatnya dinyatakan iblis musuh Nabi Adam dan Hawa, tetapi kenapa dihujungnya cuma Nabi Adam disebut? Kerana lelaki bertanggungjawab kepada isterinya. Ini tak bermakna isterinya tak kena, tetapi yang pertama kena tanggung ialah suami. Lelaki akan dipertanggungjawabkan dengan isteri, anak-anak, dan keluarganya. Bukankah dalam Al-Quran Allah SWT menyuruh menjaga diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka. Lelaki bertanggungjawab menjaga ahli keluarganya. Di akhirat nanti yang diselesaikan dulu ialah isteri dan anak-anak, kemudia baru si lelaki itu. Perkahwinan itu sebagai amanah dari Allah kepada lelaki. Allah beri amaran amanah kepada lelaki – jadi lelaki bertanggungjawab dalam pendidikan, nafkah, penjagaan ahli keluarganya. Jangan biarkan orang rumah melakukan perkara yang salah – kerana sebelum isterinya tanggung dosa kesalahannya, suaminya akan tanggung dahulu. Jangan dibiarkan isteri keluar-masuk tanpa pantauan. Tapi ini tak bermakna lelaki boleh guna kekuatan dan kekerasan.

Lelaki mesti jaga keluarganya, kerana dia takkan masuk syurga seorang diri. Kata Rasulullah ﷺ mengatakan, “Barangsiapa yang diberikan 3 orang anak perempuan oleh Allah SWT dan dididiknya dengan baik sehingga baligh, maka anak perempuan 3 orang itu akan menjadi pendinding daripada api neraka.” Seorang ibu bertanya, “Kalau 2 orang bagaimana?” Jawab Rasulullah ﷺ, “Pun sama.” Dalam riwayat lain disebutkan kalau 2 anak perempuan dididik dengan betul akan menjadi sebab ibubapanya untuk masuk syurga. Dalam riwayat lain pula disebutkan kalau seseorang ada 2 anak perempuan dan dididik dengan betul akan macam ni dengan aku (sambil menujukkan kedudukan jari manis dan jari kelingking, yakni bermaksud duduk sangat dengan Nabi ﷺ). Oleh itu, lelaki perlu bertanggungjawab kepada isteri, anak perempuan, adik-beradik perempuan supaya orang perempuan dapat apa yang sepaturnya diperolehi daripada orang lelaki.

“Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.//

Perempuan yang yang dimaksukan secara khusus ialah isteri atau perempuan di bawah jagaan lelaki, hendaklah menjadi solehah sifatnya, taat, dan menjaga kerhormatannya

Dalam hadis Rasulullah ﷺ bersabda, “Sebaik-baik perempuan ialah kalau kamu lihat kepadanya akan menggembirakan kamu, kalau kamu perintah padanya, dia taat, dan kalau kamu tidak ada bersamanya, perempuan itu menjaga kamu pada harta, diri dan maruahnya. Yakni maksudnya bukan ketiadaan suami/bapa/abang/adik membolehkan perempuan keluar ke mana saja seperti keluar dari penjara dan berbuat apa saja yang dia nak. Perempuan yang dihantar bapanya untuk belajar di universiti, duduk di asrama – dia mesti menjaga kehormatannya untuk tidak duduk berdua-duaan dengan lelaki bukan muhrim. (jika tak) dia tak jaga hak bapanya. Tidak boleh keluar melancong dengan  sesiapa yang bukan muhrim agar tidak khianat amanah bapanya. Apa kata Allah Ta'ala dalam ayat ini? Perempuan yang menjaga dirinya (maruahnya) ketika ‘ghaib’, yakni dalam keadaan tidak dilihat oleh penjaganya, baik itu suami/bapa/abang/adiknya. Berapa ramai zaman sekarang ini yang terkadang mak bapa juga mengabaikan anaknya berjalan/keluar dengan siapa, bukan ghaib lagi, tapi di depan mata. Ibu bapa yakin dengan anaknya sedangkan Rasulullah ﷺ tidak yakin. Saba baginda, “Tidak berduaan lelaki dan perempuan kecuali yang ketiga ialah syaitan.” Orang zaman sekarang memanipulasi hadis ini dan kata “Tak apa, mereka takkan buat apa-apa.” (Ini) meletak amanah, keyakinan bukan pada tempatnya. Maka, sifat perempuan solehah adalah menjaga maruahnya ketika ketiadaan lelaki, dengan tidak membiarkan sesiapa saja masuk ke rumahnya! Jaga hak Allah SWT.

“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”
“Nusyuz” – derhaka, tidak taat. “Pulaukan..” bermakna pulaukan di tempat pembaringan (tidur) dan bukan untuk suami tinggalkan untuk tidur di hotel atau ke luar negara. Nabi ﷺ melarang seseorang yang ingin menghukum isterinya untuk meninggalkannya. Yakni, maksudnya dipulaukan untuk tidak dihampiri di rumahnya.

‘Dipukul’ – apa maknanya? Adakah Islam kejam seperti yang diwar-warkan oleh golongan orientalis. Apa maksud ‘pukul isteri’:
1. Kita mesti melihat ayat ini tentang isteri yang derhaka. Saya yakin semua orang sepakat sesiapa yang bersalah, dia layak dihukum. Tak kira jenis pelanggaran undang-undang, jika dilanggar ada hukumannya dan hukum berbeza dan bergantung pada kesalahan yang dilakukan. Adalah menjadi  kebiasaan dalam rumah tangga berlaku perselisihan antara suami atau isteri, tetapi tidak semua permasalahan boleh dianggap sebagai nusyuz dan isteri boleh dipukul. Tidak, bukan seperti itu. Perlu belajar dulu, perselisihan dalam rumahtangga ada kalanya perkara yang wajar. Kita tidak tahu pasang-surut hubungan suami-isteri kecuali ada bergaduh sikit, tapi tak bolehlah sering sangat.

Nabi ﷺ tidak pernah angkat tangan (pukul) isteri, anak apatah lagi orang lain. Dalam jihad pun Nabi ﷺ cuma beberapa kali sahaja ketika orang mencabar kepada baginda. Nabi ﷺ tak pernah angkat tgn untuk pukul orang.

Sayyidina Ali kraw mengatakan ayat ini (boleh pukul isteri) hanya jika isteri derhaka, dan bukan untuk perselisihan yang kecil-kecil.

Dalam rumahtangga Rasulullah ﷺ pun terkadang berlaku perselisihan dengan isteri-isteri baginda.

//Kisah Rasulullah dan Aisyah berselisih faham, dan minta Sayyidina Abu Bakar jadi orang tengah, tetapi akhirnya Aisyah tersilap cakap tentang Rasulullah ﷺ, dan Sayyidina Abu Bakar marah kepada Aisyah dan ingin memukulnya. Aisyah akhirnya bersembunyi di belakang Nabi ﷺ untuk berlindung J

Sayyidina Abu Bakar belum reda marahnya kepada Aisyah, tetapi Rasulullah sudah berbaik dengan  Siti Aisyah. Tiada masalah yang menginap lama di rumah Rasulullah - terus diselesaikan. Namun hari ini, pelbagai warna-warni orang merajuk – sehingga ada yang keluar rumah. Teladani orang yang paling baik, iaitu Nabi Muhammad ﷺ.

Maka, yang dimaksudkan dengan nusyuz bukanlah hal-hal yang biasa terjadi dalam rumahtangga. Tidak dianggap nusyuz jika tidak buat kopi di rumah, atau kurang layanan kerana letih. Tetapi dianggap nusyuz bagi perkara yang prinsip – perbuatan yang memang menghina kepada lelaki, tidak memberi penghormatan pada suaminya, dan sikap yang melanggar kepada hukum syarak. Maka, di sini barulah lelaki boleh tegas menghukum.

Allah suruh nasihatkan dulu, bukan terus pukul. Sampai bila? Sampau sudah ‘fed up’, tetapi nasihat tidak mendatangkan manfaat, kemuadian pulaukan di rumahnya (bukan keluar rumah), jika itu pun tidak bermanfaat juga, baru boleh dipukul. Mesti ikut tertib, dan bukan terus pukul! Mulakan dengan nasihat, pulau, dan kemudian jika tak bermanfaat, baru pukul. Pukulan pula mesti yang tidak memudaratkan, bukan pukulan yang mencederakan. Bagaimana bentuk pukulan?

Nabi Ayub pernah marah pada isterinya, dan bersumpah, “Demi Allah, nanti aku sihat aku akan pukul kamu dengan 100 pukulan.” Kemudian bila sudah sembuh, dia sedar dia telah tersilap sumpah sebelum itu. Tetapi oleh kerana sudah sumpah, sama ada langgar sumpah atau kena tunaikannya. Lalu Allah SWT ajarnya untuk ambil 100 lidi halus, dan dipukul isterinya sekali. Dipukul sekali seakan-akan menyamai 100 kali. Allah SWT ajarkan demikian agar orang tak kejam pada orang rumahnya. Walaupun menghukum, pukulan itu adalah pukulan rahmat dan bukan pukulan melepas geram.

Dalam Al-Quran disebutkan se’detail’ ini tatacara berhadapan masalah dalam rumahtangga. Ini menunjukkan kepentingannya. Rumahtangga anda adalah tanggungjawab anda kepada Allah SWT.

“Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.”

Jika mereka taat, jangan ada tersimpan dendam kepada mereka (isteri).

Ayat berikutnya menceritakan masalah yang tidak boleh diselesaikan antara suami dengan isteri, dan bagaimana menghadapinya. Kalau tengok dalam Al-Quran, ayat tentang hukum hakam sikit saja, tapi ayat dalam hubungan antara manusia, kehidupan rumahtangga, dijelaskan dengan panjang dunia begitu terperinci. Allah SWT mengkehendaki rumahtangga yang harmoni, yang tenteram, damai, tiada bising sehingga dikupas ayat-ayat dalam Al-Quran untuk membimbing dalam kehidupan rumahtangga supaya rukun, harmoni, damai dalam rumahtangga.

Bahagian 2 – Kitab Riyadhus Solihin, Bab 69: Keutamaan Ber'uzlah


Huraian Hadis 5:

Keutamaan beruzlah bila berlaku fitnah yang boleh mengancam akidah. Dalam beberapa hadis, Rasulullah ﷺ menyuruh kita minta perlindungan dari Allah SWT daripada fitnah dajjal. Oleh itu, diajarkan kita membaca doa berlindung daripada dajjal selepas bacaan tahiyyat akhir. Nabi ﷺ suruh kita lari dari fitnah dajjal, yakni kalau kita hidup pada zaman yang ada dajjal, maka jangan seorang pun yang ada rasa ingin tahu – bagaimana rupanya, dll kerana rasa ingin tahu itu akan boleh membawa kepada terkena fitnah dajjal tanpa disedari. Oleh sebab itu, beruzalah untuk beribadat kepada Allah SWT adalah digalakkan bilamana berlaku banyak fitnah yang mengancam keyakinan dan akidah.

Salah satu doa yang Nabi ﷺ amalkan ialah, “Ya Allah, anugerahilah aku amal baik, dan anugerahilah aku dihindarkan perbuatan mungkar, anugerahilah aku suka kepada orang yang miskin, dan bilamana Engkau mengkehendaki fitnah terjadi, cabutlah nyawaku dalam keadaan tidak  terkena fitnah.”

Nabi ﷺ minta mati jika berlaku keadaan yang mengancam akidah. Walaupun ajal tak tahu bila, tetap berdoa sebagai usaha melarikan diri daripada terkena fitnah.
Di antara sabda Rasulullah ﷺ - “Sebelum hari kiamat akan berlaku fitnah umpama malam yang menggelapkan.”

‘malam yang menggelapkan’ – orang tak dapat bezakan mana yang benar, dan mana yang silap.

Fitnah itu akan menyebabkan berlaku pembunuhan sesama Muslimin. Sahabat terkejut dan bertanya adakah ketika berlaku itu mereka punya akal? Maksud ‘akal’ bukannya waras, tetapi merujuk kepada ilmu. Mereka tak punya ilmu untuk membezakan apa yang benar dan apa yang salah.

Sahabat tanya apa yang perlu dilakukan jika bertemu zaman itu? Rasulullah ﷺ suruh duduk di rumah, patahkan pedang atau busur panah. Kenapa? Agar tak terfikir untuk menyakiti umat Islam yang lain. Sahabat tanya jika rumah dimasuki orang dan memaksanya untuk terlibat. Rasulullah ﷺ suruh masuk bilik. Ditanya lagi jika orang yang memaksa ikut masuk bilik. Rasulullah ﷺ suruh pergi masjid, dan letakkan tangan di pergelangan tangan dan hanya sebut “Rabbi Allah” berterusan.

Ketika fitnah berlaku, orang yang tidur lebih baik dari yang berbaring, yang berbaring lebih baik dari yang duduk, yang duduk lebih baik dari yang berdiri, yang berdiri lebih baik dari yang berjalan. Sebab terjadinya fitnah adalah hilangnya ilmu. Orang, bila tak belajar ilmu agama, akan berlaku fitnah. Tanpa ilmu, kejahilan bermaharajalela, fitnah akan berlaku dan pembunuhan akan berlaku. Bagaimana ilmu hilang? Bila ulama meninggal atau ulama tidak didatangi untuk diambil ilmunya.

//Doa Penutup.

Tetamu - Habib Abdullah bin Abdul Kadir Al Habsyi dari Seiyun
Terjemahan oleh Ustaz Asfraff Othman.



*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 




Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab