Pengenalan Taman Syurga dan Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman


بسم الله الرحمن الرحيم
  اللهم صل على سيدينا محمد وعلى اله وصحبه وسلم

Taman Syurga #1 (05.03.2015) TV AlHijrah
Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid



عن أنس بن مالك رضي الله عنه أنه قال, قال رسول الله صلى الله عليه وسلم, «إذا مَرَرْتُم برِياضِ الجنةِ فارْتَعُوا قالوا وما رياضُ الجنةِ قال حِلَقُ الذِّكْرِ» رواه الترميذي

Maksudnya: Anas bin Malik RA berkata bahawa Sabda Rasulullah SAW, "Apabila kamu melintasi taman-taman syurga hendaklah kamu berhenti untuk mengambil manfaat dan hasilnya". Para sahabat bertanya, "Apakah itu taman syurga, wahai Rasulullah?". Jawab baginda, "Majlis-majlis zikir (ilmu)."

Sedikit ulasan akan diberikan tentang apakah itu taman syurga, perintah menghampirinya dan halaqah zikri.

1. ‘Riyadhul Jannah’ ialah ‘plural’ daripada perkataan ‘raudhatun’ yakni
kebun hijau yang dipenuhi pelbagai macam tanaman dan buah-buahan. Kedua, perintah Nabi ﷺ ialah makan dan minum sepuas-puasnya.

2. Nabi ﷺ juga pernah menyebut kaitan taman syurga dengan kubur, kerana kubur itu boleh menjadi satu daripada taman syurga atau lubang neraka. Dikatakan taman syurga kerana alam barzakh merupakan tempat pertama manusia diberi balasan hasil amalannya ketika di dunia.

Antara taman syurga di dunia, dengan taman syurga di barzakh dan taman syurga yang sebenar, mempunyai  kesinambungan yang berkaitan. Untuk mendapatkan taman syurga di barzakh, untuk mendapatkan taman syurga di syurga, bermula dengan taman syurga di dunia.

Apakah taman syurga di dunia? Nabi ﷺ menjawab, “Halaqah zikir”.

Halaqah ialah lingkaran/bulatan, dan intinya ialah apa yang dilakukan dalam halaqah itu. Zikir yang dimaksudkan mempunyai makna yang luas, yakni tasbih, tahlil, tahmid dan macam-macam zikir yang ada, dan zikir yang terbaik ialah Al-Quran nul Karim, dan untuk memahami semua zikir ini, kita memerlukan kepada ILMU.

Oleh sebab itu, Allah Ta'ala menyatakan dalam Al-Quran nul Kareem ‘orang yang berilmu’ dengan panggilan “ahlil zikri”.

“Bertanyalah kepada ahli ilmu kalau tak mengetahui.”

Halaqah zikir yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah halaqah ilmu kerana untuk memahami yang disebut (dizikirkan), kita memerlukan kepada ilmu. Maka halaqah zikir ialah halaqah ilmu.

Dalam hadis ketika Rasulullah ﷺ melihat sahabat duduk secara berhalaqah di dalam masjid, baginda menghampiri dan duduk dalam majlis itu dan bersabda, “Saya nampak rahmat turun kepada kamu, dan saya ingin berkongsi untuk mendapatkan rahmat.”

Mereka duduk berzikir kepada Allah SWT dan sebaik-baik zikir ialah ilmu. Baginda Rasulullah ﷺ juga pernah memilih halaqah ilmu berbanding halaqah yang berzikir kepada Allah Ta'ala kerana manfaat ilmu adalah lebih luas.



Pengenalan kepada buku bertajuk “Nasihat Agama dan Wasiat Iman”, ditulis oleh Imam Abdullah bin Alawi Al-Hadad. Beliau berasal dari Hadhramaut, Yaman, dilahirkan pada malam Isnin, 5 Safar 1044H. Beliau lahir si sebuah perkampungan kecil berhampiran bandar Tarim, dididik oleh kedua ibu bapanya, kerana kedua-duanya orang yang alim.

Qada’ Allah SWT mengkehendaki beliau hilang penghlihatan ketika kecil, akan tetapi Allah SWT Yang Maha Adil tidak akan mengambil sesuatu daripada seseorang melainkan akan diganti dengan kelebihan yang lain. Allah SWT memberikan kepada Imam Al-Haddad kelebihan lain yang lebih penting ialah mata hati yang celik. Sesungguhnya hakikat buta yang sebenar ialah buta hati.
Oleh itu alangkah ringannya ujian orang yang buta mata berbanding dengan orang yang diuji buta mata hatinya.

Imam Al Haddad terdidik daripada keluarga yang soleh, dan para masyaikh dan sebagai satu sunnah yang ditetapkan oleh Allah SWT dalam mengambil ilmu ialah dengan mengambilnya daripada para masyaikh dan ulama. Demikian yang dilakukan oleh Imam Al-Haddad, biarpun beliau tidak dapat melihat. Beliau berpindah dari satu kawasan ke kawasan yang lain mencari para guru untuk mendapatkan ilmu, dan beliau menulis buku ini dan buku-buku yang lain, yang sudah diterjemahkan ke pelbagai bahasa. Kitab ini akan dijadikan panduan dalam rancangan ini. Walaupun setelah lebih 300 tahun beliau meninggal, bukunya masih dipelajari, dikaji, diterjemahkan dan ini melambangkan ketulusannya yang tinggi. Beliau meninggal di kota Tarim pada tahun 1132, pada usia 88 tahun.

Tajuk kitab “Nasihat Agama” ini diambil daripada petikan hadis Nabi ﷺ: “Agama itu nasihat.” Sahabat bertanya untuk nasihat siapa? Jawabnya, “Untuk Allah, untuk Rasul-Nya, untuk kitab, untuk para pemimpin, dan untuk orang awam dalam kalangan masyarakat. Buku ini akan menyentuh kelima-lima bahagian yang dinyatakan dalam hadis itu.

Hak sesama Islam ada 5, dan dalam sesetengah riwayat mengatakan ada 6. Salah satunya ialah jika ada orang minta nasihat, maka nasihatilah dia. Oleh sebab itulah buku ini dinamakan “Nasihat Agama..”

Nasihat dari segi bahasa apa beberapa makna. Pertama - Sari madu yg tidak bercampur dengan satu apapun – perbuatan mengeluarkan sari madu itu dinamakan ‘nasahal ‘asala’, yakni apabila memberikan nasihat, seseorang itu perlu memberikan bahagian yang terbaik sepertimana sari daripada madu.

Erti kedua: menjahit baju yang koyak. Ertinya, bilamana menasihati adalah untuk menutup aib orang yang dinasihati, dan bukan untuk menunjukkan rasa marah kepadanya.

“Wasiat Iman” diambil daripada firman Allah SWT. Kata Imam As-Syafie, “Kalau di dalam Al-Quran nul Kareem tiada ayat selain daripada ayat ini, memadai untuk umat Islam mengambil pengajaran.


Daripada hadis dan ayat yang dibacakan tadi tercetus tajuk untuk kitab ini oleh Imam Abdullah bin Alwi Al-Haddad.

Kesimpulan:

Orang, bilamana hidupnya di dunia menjadikan umurnya mendatangkan manfaat untuk orang ramai, maka orang itu akan kekal disebut namanya walaupun sudah tiada.

Sayyidina Ibrahim pernah berdoa kepada Allah SWT:
“Ya Allah untuk aku lisan sidqin untuk orang-orang setelah aku.” Apakah ‘lisan sidqin’ – pujian yang baik. Kenapa Nabi Ibrahim meminta ‘pujian yang baik’? Tentunya kerana perbuatan baiknya sehingga hari ini orang menyebutnya bahkan melakukan praktikal haji yang pernah dilakukan oleh Nabi ﷺ Ibrahim.

Sehingga hari ini, walaupun telah lebih 300 tahun, kita masih mengkaji kitab Imam Al-Haddad, kerana orang yang alim boleh telah lama meninggal dunia tetapi namanya tidak terpendam bersama jasadnya. Kata Imam Syafie, “Bukanlah orang yang meninggal itu dikatakan mati, akan tetapi orang yang mati ialah orang yang hidup.” Bagaimana orang yang hidup boleh mati? Jika tiada ilmu. Dan kata Imam Syafie, “Orang yang tidak ambil peluang menuntut ilmu ketika muda, angkatlah 4 kali takbir kepada orang tersebut." Yakni, kerana orang itu telah ‘mati’ apabila hatinya kosong daripada ilmu.

Kita berdoa moga-moga masa yang dilalui termasuk daripada umur untuk mendapatkan ilmu, mendapat keberkatan ilmu, diberi rahmat oleh Allah, keazaman untuk mengamalkan ilmu yang kita dapat, dan moga-moga Allah SWT tambahkan lagi ilmu kepada kita lebih daripada apa yang kita belajar. Amin Allahumma Amin.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab