"Redha Dengan Ketentuan Allah SWT" - MTDM 13.02.2015



بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Majlis Ta’lim Darul Murtadza 13.02.2015
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*



Bahagian 1 – Tafsir Quran Surah An-Nisa ayat 32 & 33

Video rakaman: 



Ayat membicarakan tentang apa yang menjadi keinginan kepada masing-masing individu apa yang dicita-citakan. Setiap orang mempunyai citarasa, impian yang bebeza sehingga ada yang terlajak mengimpikan sesuatu yang tak sepatutnya atau dilarang, yakni bercita-cita kepada perkara yang mustahil. Ayat ini bercerita tentang larangan bercita-cita kepada perkara yang Allah SWT sudah tentukan nasibnya.

“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran).”

Allah SWT memberikan peruntukan dalam warisan berbeza untuk lelaki dan perempuan. Allah SWT juga menetapkan kewajipan yang berbeza bagi lelaki dan perempuan. Contohnya, lelaki diwajibkan berjihad dan dijanjikan ganjaran, tetapi perempuan tidak diwajibkan kewajipan tersebut. Maka, perempuan pun datang kepada Rasulullah ﷺ dan berkata, “Lelaki boleh berjihad dan mendapat ganjaran jihad, tetapi kami (wanita) tak dibenarkan berjihad. Kalau diizinkan, kami pun nak pergi berjihad.” Kemudian diriwayatkan bahawa Ummu Salamah datang berkata kepada Rasulullah ﷺ, “Lelaki mendapat 2 bahagian warisan, tetapi perempuan dapat satu. Sepatutnya perempuan dapat lebih kerana kami ini lemah sedangkan lelaki kuat. Kenapa lelaki dapat lebih?” Kaum lelaki pula menjawab, “Kami ini diwajibkan berjihad, dan kami mendapat 2 kali ganda harta warisan, maka kami pasti nanti di akhirat kami akan mendapat ganjaran 2 kali ganda berbanding perempuan.”

Suara-suara persaingan ini muncul pada zaman itu. Maka, mencita-citakan perkara yang tiada pada diri adalah perkara yang dilarang oleh Allah SWT, kecuali angan-angan yang dibenarkan dalam syarak – iaitu bercita-cita menjadi alim seperti si fulan. Dalam hadis dikatakan – 2 jenis cemburu yang dibenarkan ialah kecemburuan untuk mempunyai ilmu seperti orang yang mempunyai ilmu dan menyampaikan kepada orang lain, dan kedua ialah kecemburuan untuk menjadi seperit orang berharta yang berbelanja hartanya ke jalan Allah SWT. Ini cemburu yang terpuji. Cemburu tercela ialah mengharapkan dapat apa yang ada pada si fulan, dan pada masa yang sama berharap kelebihan yang ada pada si fulan di cabut oleh Allah Ta'ala.

Mintalah kepada Allah untuk anugerah dan kelebihan diberikan kepada kamu, yakni diperintahkan untuk meminta kepada Allah SWT, tetapi dilarang meminta peruntukan yang telah Allah SWT tetapkan untuk orang lain iaitu meminta untuk sama antara lelaki dan perempuan.

Suatu hari, sedang Rasulullah ﷺ duduk bersama sahabat, datang seorang perempuan dan berkata, “Ya Rasulullah, orang lelaki senang kerana dapat berjihad bersama engkau, solat Jumaat bersama engkau, belajar bersama engkau, sementara kami ini hanya berada di rumah untuk memenuhi nafsu lelaki dan menjaga anak-anak di rumah.” Ini merupakan persaingan yang positif. Perempuan inginkan ganjaran yang sama seperti lelaki, tetapi bukan nak sama dengan lelaki dalam segala hal. Maka kata baginda Rasulullah ﷺ kepada sahabat di sekelilingnya, “Adakah kamu pernah mendengar soalan yang lebih baik daripada soalan ini?” Rasulullah ﷺ memuji soalan itu sebelum menjawabnya. Kenapa? Kerana perempuan inginkan ganjaran yang sama dengan lelaki, dan bukan minta untuk buat perkara yang sama seperti apa yang lelaki buat. Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Beritahu kepada perempuan-perempuan yang ada di belakang kamu orang Ansar bahawasanya – sebaik-baik kamu berbakti kepada suami kamu, kamu akan mendapat ganjaran yang sama seperti suami kamu dalam jihad, solat jumaat dan apa saja ibadah yang dilakukannya.”

Kedudukan lelaki dan perempuan tiada beza di akhirat melainkan kerana ketaqwaan mereka. Ganjaran di sisi Allah adalah sama – yang beza ialah tugasan. Bukankah perempuan yang hamil, setiap kali merasakan sakit dia diampunkan dosa oleh Allah SWT?, dan itu tidak diperolehi oleh orang lelaki. Bukankah satu tarikan nafas perempuan yang melahirkan akan diampunkan oleh Allah SWT? Lelaki tidak dapat semua itu. Adakah lelaki cemburu dengan perkara ini dan minta yang sama? Mana mungkin perkara ini terjadi kepada lelaki. Apa yang sudah Allah SWT tentukan – tugasan, tanggungjawab dan bahagian yang berbeza bagi lelaki dan perempuan – semua sudah ditentukan oleh Allah Ta'ala dan tidak boleh untuk meminta selain daripada yang telah ditetapkan.

Mintalah kelebihan kepada Allah SWT, tetapi jangan minta untuk sama dalam segala hal (antara lelaki dan perempuan), tetapi mintalah yang terbaik daripada Allah SWT.


Ayat 33:


Setiap orang yang meninggal pasti ada pewarisnya, baik ibu bapa atau adik beradik dll.  Apa maksudnya? Agar orang mengambil berat harta yang ditinggalkan dan tidak diagihkan kepada orang lain sebelum ahli waris yang berhak.
Dua ayat ini mengajarkan untuk kita memahami hak orang lain – baik dalam masalah warisan, atau hak-hak lain yang ditentukan dalam agama seperti hak persaudaraan,  jiran dan sebagainya yang perlu ditunaikan oleh kita.

Kedua: berkenaan redha  dengan ketentuan yang diberikan Allah SWT. Dijadikan sebagai lelaki – kita redha dan tidak meminta atau mengubah melalui pembedahan dll untuk menjadi perempuan atau sebaliknya perempuan ingin jadi lelaki. Demikian juga dengan hukum-hakam peruntukan warisan yang sudah ditentukan, kita menerima kerana kita adalah hamba, dan Allah ialah Tuhan.

Nota: Kelas dipendekkan untuk memberi laluan kepada tausiyah tetamu-tetamu istimewa: Habib Abdul Rahman Toha Al-Habsyi dari Yaman, Syeikh Dr Umar Farouq dari Amerika Syarikat, dan Ustaz  Mostafa Atef.


*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab