"Yang Allah SWT Suka..." - MTDM 13.03.2015

بسم الله الرحمن الرحيم 
اللهم صل على سيدينا محمد وعلى اله وصحبه وسلم

Majlim Ta'lim Darul Murtadza 13.03.2015
Ustaz Ashraff Osman (menggantikan Habib Ali Zaenal Abidin)


Ilmu diukur berdasarkan kandungannya, dan tidak syak lagi, ilmu paling bernilai ialah ilmu Al-Quran. Al-Quran merupakan mukjizat yang satu-satunya kekal dalam dunia ini, masih kekal setelah kewafatan Rasulullah ﷺ  dan sampai kepada kita. Inilah keistimewaan yang Allah SWT beri kepada kita. Baca dengan tahu atau tak tahu makna ada faedah.

Salafussoleh ada banyak pusingan membaca Al-Quran. Satu daripadanya ialah baca laju untuk tujuan qatam, dan pada hari yang sama juga, dibaca perlahan-lahan untuk mentadabbur maknanya, mungkin satu hari satu ayat saja. Makna Al-Quran kalau digali sehingga kiamat pun takkan habis, bahkan ada ayat yang sehingga hari ini pun masih belum diketahui maksudnya.

Bahagian 1: Tafsir Surah An-Nisa ayat 37-40

Ayat 37: 

Pada hujung ayat 36: Allah SWT menyebut yang Allah berfirman:
“Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang takabbur.”

Apa yang ingin dibangga-banggakan sedangkan apa saja yang dimiliki hakikatnya adalah milik Allah SWT. Oleh sebab itu Allah tidak suka.


Kita ada rasa takut tak bila baca "Innallaha la yuhibbb..”, yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tak suka..”? Bagi golongan muqarrabin (orang yang dekat dengan Allah SWT) inilah ayat yang mereka paling takut. Mereka tidak takut pada neraka atau hukuman azab Allah kerana yang mereka takutkan ialah dibenci Allah SWT. Bagi mereka yang tinggi darjatnya dikatakan jika redha Allah SWT itu di neraka sekalipun, mereka sanggup dimasukkan ke sana. Apa yang mereka inginkan hanyalah keredhaan Allah.

Bila berdoa - kita pun minta redha Allah dulu, kemudian baru minta syurga, kemudian minta berlindung dari kemurkaan dan neraka Allah. Allah paling suka orang yang merendahkan dirinya. Seorang hamba itu paling rapat dengan Tuhan-Nya adalah ketika dia sujud, sebab ketika itulah dahi yang dimuliakan itu diletak di tempat yang paling rendah. Maksudnya semakin seseorang merendah diri, maka semakin dia dekat dengan Allah SWT. Sebaliknya, sem
akin seseorang itu sombong, maka dia semakin jauh dari Allah SWT. Wal iya zu billah.

Dalam ayat ini (37), Allah menceritakan sifat-sifat orang yang takabbur, dan salah satunya ialah bakhil. Harta itu datang dari Allah, tapi bila disuruh infak, dia bakhil pula. Oleh sebab itu, orang yang bakhil jauh dari Allah, jauh dari syurga, dan dekat dengan neraka.

“Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil"
Bukan saja dia tak buat amalan, tetapi lebih teruk lagi dia halang orang lain buat amalan. Ini orang-orang yang dimurkai Allah SWT. Oleh sebab itu, kita mesti ajak kepada kebaikan, walaupun kita belum sepenuhnya buat kebaikan itu. Buat amalan adalah satu amalan, dan bila kita ajak orang buat amalan, itu adalah satu amalan yang lain buat kita. MasyaAllah. 

Asbab nuzul ayat ada diceritakan dalam kitab tafsir bahawa ada segolongan pergi kepada kaum Ansar yang membantu Nabi ﷺ  dan kaum Muhajirin yang berhijrah. 

“.. serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurnianya.”
Kalau kita diberi kelebihan daripada ilmu atau harta, hendaklah kita sebarkan kepada orang lain, walaupun sedikit, walaupun satu ayat. 

Doa keluar masjid, “Ya Allah ampunkanlah aku, dan bukakanlah pintu kurniaan-Mu.” Ada yang mengatakan “kurniaan” yang dimaksukan ialah rezeki daripada Allah SWT. 

Walaupun kita tak miliki banyak sangat, tapi kita bantu orang, dan Allah SWT suka sifat itu. Allah tak tengok berapa kadar yang kita beri, tapi Allah suka sifat yang memberi jika ada pada kita. Mungkin kita cuma mampu ajar anak-anak kecil baca Iqra’ saja, atau ajar perkara-perkara kecil seperti rukun-rukun wudhuk. Allah SWT Maha Pemurah dan suka orang yang pemurah. Allah SWT tidak bakhil dan Allah SWT tidak suka orang yang bakhil.

Dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;”

Ada khilaf sama ada ayat ini untuk munafiqin atau kufar Mekah atau orang Yahudi. Kalau kita nak kemuliaan jangan sampai diazab oleh Allah SWT. Sanjungan manusia diberikan kepada orang mulia atau tidak, tetapi kemuliaan yang sebenar dari Allah hanya diberi pada orang yang dimuliakan Allah, sekalipun orang itu hina di sisi manusia.

Kata pepatah: “Tiada kebaikan dalam kebaikan yang penghujungnya neraka. Tiada keburukan dalam keburukan, jika penghujungnya syurga.” Kalau tengok satu perkara/ benda/ orang, kita kena tengok penghujungnya bawa ke syurga atau neraka. Inilah neraca kita dalam menimbang sesuatu.


Ayat 38: 

Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak),…”

Tadi, Allah keji orang yang bakhil, jadi adakah selamat jika seseorang menginfakkan hartanya? Belum selamat lagi jika dilakukan bukan kerana Allah SWT. Inilah tunggak semua ibadah - mesti dilakukan kerana Allah SWT. Oleh sebab itu, jaga niat ketika beramal agar buat semata-mata kerana Allah SWT. Jangan niat beramal untuk dapat pujian, balasan dari manusia.

Orang yang banyak berdoa pada Allah SWT, semakin Allah suka kerana dia merendah diri kepada Allah. Orang yang tidak berdoa ialah orang yang sombong kepada Allah SWT.

“… dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhirat.”
Nikmat iman dan Islam merupakan satu nikmat yang sangat besar. Nanti bila pejam mata saja, kita pasti akan tahu. Dua nikmat ini sudah cukup, kerana jika ada orang dapat semua nikmat kecuali dua ini, nikmat-nikmat yang lain tiada satu nilai apapun baginya.

Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.”
Ada ke orang nak berkawan dengan syaitan? Tapi jangan kita rasa selamat. Berkawan dengan syaitan ini ada byk cara - mungkin dengan menghalang orang buat baik, dsb. Kata Nabi Muhammad ﷺ  kalau seseorang sebut nama Allah ketika masuk ke rumahnya dan makan, maka syaitan akan kata “Tiada tempat tidur dan makanan untuk malam ini.” Oleh itu, jika kita masuk rumah tak baca doa, tak baca Basmallah, maka kita ‘bawa’ syaitan masuk. Kita sayang rumah kita, kalau ayam/itik/kambing masuk rumah, kita marah, tapi kalau syaitan masuk kenapa kita marah? Sepatutnya mana yang kita patut lebih marah? Bila makan tak baca Basmallah, maka syaitan akan makan sekali dengan kita. Kucing nak makan sepinggan dengan kita, kita marah tapi kalau syaitan makan sepinggan dengan kita, kita tak marah pula. Pesan Nabi ﷺ, “Kalau seseorang tak sebut nama Allah ketika pakai baju, maka syaitan berkongsi pakaian dengannya.”

Kenapa syaitan buruk? Kerana dia menjauhkan kita dari Allah. Orang yang menjauhkan orang lain dari Allah juga tidak baik, dan jangan kita jadi begitu, contohnya: tidak beramal dan halang orang lain beramal.

Ajaklah manusia kepada Allah, dengan percakapan, perbuatan, akhlak, amalan kita. Dakwah bukan sekadar di mulut saja, bukan untuk orang yang pandai bercakap saja. Kalau tengok sejarah Islam, lebih ramai yang masuk Islam kerana akhlak berbandingkan kerana syarahan. Kerja mengajak manusia kepada Allah adalah kerja yang paling mulia. Kata Nabi ﷺ, “Kerja itu (dakwah) dilakukan oleh aku sendiri.” Itulah bukti bahawa berdakwah adalah kerja yang paling mulia, kerana diberikan kepada makhluk yang mulia (Rasulullah ﷺ). Orang yang mengajak orang lain kepada Allah SWT, di akhirat nanti, duduknya rapat bersama Rasulullah ﷺ. Orang yang kerjanya menjauhkan orang daripada Allah, dilabelkan sama seperti syaitan. Oleh itu, pastikan bila berkawan, kawan itu dapat membawa kita rapat kepada Allah SWT.


Ayat 39: 

Tak rugi orang yang buat baik. Walaupun orang tak tahu, tak hargai, tapi Allah SWT tahu.

Ayat 40:

Setiap amalan yang dibuat, Allah akan beri ganjaran yang berlipat kali ganda. Siapa yang mengucapkan “ سُبْحَانَ اللّهُ, اَلْحَمْدُلِلّهِ,لا اِلَهَ اِلاَّ اللّهُ, اَللّهُ اَكْبَرُ”, Nabi ﷺ  memberitahu yang Allah SWT akan menumbuhkan pokok dalam syurga yang besarnya kalau nak melintasi bayang-bayangnya saja mengambil masa 500 tahun! Allahu Akbar. Ganjaran yang besar untuk amalan yang tak perlukan modal pun! Tinggal nak buat atau tidak saja. Kata Nabi ﷺ, “Orang yang solat sunat rawatib 12 rakaat, Allah sediakan istana untuknya dalam syurga.” Menurut Habib Abdullah Al-Hasbsyi, yang dimaksukan dengan hadis ini ialah jika satu hari cukup 12 rakaat, maka dapat 1 istana, jika esok buat 12 rakaat lagi, maka akan dapat sebiji istana lagi, dan seterusnya. Soalan: “Dah berapa banyak istana yang kita boleh dapat tapi kita sia-siakan?” Apa ruginya beramal? Orang yang tidak beramal yang sebenarnya rugi. Nabi ﷺ  suruh jangan pandang remeh amal yang kecil, contohnya senyum pada orang lain, mungkin amal itu yang Allah redha.

Bahagian 2: Kitab Riyadhus Solihin
Bab 71: Tawadhuk dan Merendah Diri Sesama Mukmin

Huraian hadis 1:

Allah SWT berfirman kepada Rasulullah ﷺ  agar merendahkan sayapnya kepada kaum muslimin, dan dalam Al-Quran kita disuruh merendahkan sayap kepada ibu bapa. “Rendahkan sayap” merupakan pepatah Arab untuk merendahkan diri. Rasulullah ﷺ pun disuruh merendahkan sayap kepada umat-nya, kita ini siapa untuk tidak mahu merendahkan diri?

Dalam hadis lain Rasulullah ﷺ  mengatakan yang orang yang merendah diri akan diangkat darjatnya. Merendah diri adalah amalan orang yang tinggi di sisi Allah. Manakala meninggikan diri pula adalah amalan orang-orang yang rendah martabatnya di sisi Allah SWT. Jadi kita nak buat amalan orang yang tinggi atau rendah di sisi Allah SWT?

Kalau kita tidak mahu beriman kepada Allah, dan tidak mahu bantu agama Allah, Allah tidak rugi apa-apa. Allah boleh gantikan kita dengan satu kaum yang Allah sayang kepada mereka, dan mereka sayang kepada Allah.Kita akan dapat rasa sayang kepada Allah bila Allah sayang kepada kita. Oleh sebab itu, kita kena buat amalan supaya Allah sayang kepada kita. Bila Allah sayang kepada kita, automatik akan timbul di hati rasa sayang kepada Allah. Begitu juga dengan rasa sayang kepada Nabi ﷺ. Untuk mendapatkannya, kita kena buat amalan yang Nabi ﷺ  ajarkan, biar bila amalan kita dibentangkan kepada Nabi ﷺ , baginda suka, dan bila baginda suka, automatik akan hadir rasa cinta kepada baginda. Itulah rahsia orang-orang yang rapat dengan Allah SWT. 

Allah sebut “Allah sayang mereka” kemudian baru mereka sayang kepada Allah, sebab kasih sayang Allah ini, Allah hanya beri kepada orang-orang yang Allah sayang. Jadi, bilamana seseorang ada rasa sayang kepada Allah, bererti disayangi Allah SWT. Kata ulama, kalau kamu nak ukur martabat kamu di sisi Allah, ukur martabat Allah di sisi kamu. 

Allah cerita ciri-ciri masyarakat yang hebat ialah orang yang merendahkan dirinya kepada orang yang beriman. Kenapa kepada orang beriman? Kerana mereka ada hubungan dengan Allah SWT. Kita tak diajar merendah diri kepada orang yang berharta, atau kerkedudukan dsb. 

Kita tak tahu siapa yang bertaqwa di antara kita - oleh sebab itu, kita perlu muliakan semua orang. Ada satu kisah di kota Shibam, di Yaman yang dikatakan ada ramai wali di dalamnya. Jadi, ada seorang ini ingin mengira bilangan wali yang masuk ke kota itu lalu dia pun duduk di pintu kota itu dengan memegang batu kerikil. Setiap kali nampak orang yang berpakaian seperti wali, dia pun mengambil batu kerikil itu untuk menambah kiraanya. Satu demi satu berlalu, sehingga kemudian dia nampak seorang yang tidak kemas penampilannya, lalu dia pun tak mengira orang itu. Tetapi, orang itu kemudian datang kepadanya dan berkata, “Kira aku sekali, aku sebahagian daripada mereka yang kamu kira itu.” :) Oleh sebab itu, siapa saja yang mengucap kalimah tauhid, kita mesti hormati dia.

Ada 3 perkara yang Allah sembunyikan:

  1. Allah sembunyi redha dalam mentaati-Nya
  2. Allah sembunyi murka dalam maksiat kepada-Nya
  3. Sembunyi rahsia pada hambanya

Jangan ada rasa kagum kepada diri sendiri, walaupun dalam hati. Lihat semua orang lebih baik daripada kita. Kita tak tahu bagaimana kesudahan hidup kita. Hatta bila lihat orang kafir pun kita tak boleh pandang dia hina, kerana kita tahu tahu hujung kehidupannya bagaimana.

Huraian hadis 2:
  • Sedekah takkan kurangkan harta.
  • Sunnah Nabi ﷺ bkn sekadar apa yang kita sarung di badan, atau letak di atas kepala, tetapi kita perlu ambil sunnah kefahahaman baginda (tentang sesuatu perkara) masuk ke dalam pemikiran kita.
  • Biasakan diri jadi orang pertama yang minta maaf. Mengikut pemahaman Nabi ﷺ, orang yang minta maaf dahulu, walaupun dia tak salah, adalah orang yang hebat.
  • Orang yang merendah diri kerana Allah, akan tinggi darjatnya di sisi Allah SWT. 


Bahagian 3: Kitab Syarah Hadis Jibril 
Bab: 4 Sifat Wajib Rasulullah (m/s 29)

Sifat wajib para Rasul dan Nabi adalah:
  1. Siddiq - Jujur, tak pernah menipu sekalipun.
  2. Fatanah - cerdik
  3. Amanah -
  4. Tabligh (menyampaikan) 
Sifat mustahil bagi para Rasul dan Nabi adalah:
  1. Bohong
  2. Khianat
  3. Menyembunyikan atau tidak menyampaikan
  4. Bodoh
Satu sifat harus ialah: sifat biasa yang tak bawa kekurangan pada diri mereka iaitu makan, minum, sakit yang tidak menjauhkan orang daripada mereka atau sakit yang mengaibkan.


*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab