Sesi 2 - Daurah kitab Ayyuhal Walad bersama Habib Kazim Jaafar As-Saqqaf

بسم الله الرحمن الرحيم 
الحمد لله رب العالمين 
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله وصحبه وسلم

Habib Kazim Jaafar As Saqqaf
Terjemahan oleh Ustaz Iqbal Al Jauhari
Sesi 2 (06.06.2015)




Telah disebutkan sebelum ini bahawa Imam Ghazali rahmatullah alaih memulakan penulisannya dengan mendoakan dipanjangkan umur dalam ketaatan. Dalam hadis Rasulullah ﷺ  bersabda, “Sangat bahagia seseorang yang dipanjangkan umur dan baik amalannya.”

Dan juga antara ketaatan ialah memperbanyakkan zikir: سُبْحَانَ اللّهِ وَ بِحَمْدِهِ  سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِ yang ringan di lidah tapi berat di mizan. Maka ianya tidak seberat ibadat lain seperti solat, puasa dsb tetapi ianya adalah amalan ringan yang agung di sisi Allah سبحانه و تعالى. Sesuatu yang telah ditetapkan Allah سبحانه و تعالى boleh diubah dengan doa seperti yang disebut dalam hadis Rasulullah ﷺ. Contohnya jika seseorang berumur 60 tahun, tapi dengan doa seorang wali, mungkin umurnya boleh menjadi sehingga 70 tahun. Cuma hanya ada pendapat ulama mengatakan yang umur manusia tidak bertambah berdasarkan firman Allah bahawa ajal itu tidak akan dipendek atau dipanjangkan walaupun sesaat menurut ketetapan Allah سبحانه و تعالى. 

Ada umur manusia yang 60 tahun - adakah umurnya akan dikurangkan jika tidak beramal soleh, atau adakah akan ditambah dengan amal soleh? Maka dalam sebuah hadis  sahih riwayat Imam Daud, Imam Tarmizi dll, Rasulullah ﷺ  bersabda, “Amalan silaturrahim itu boleh memperbanyakkan harta, memberikan kekayaan dan memanjangkan usia.” Daripada hadis ini dapat diketahui bahawa amal soleh boleh membantu memanjangkan usia. Dan dalam hadis lain dikatakan, “Tidak akan bertambah umur kecuali dengan perbuatan kebaikan (al-Birr).” Dalam hadis lain punya dinyatakan, “Barangsiapa yang berkhidmat kepada ibubapanya, dan menyambung silaturrahim dengan ahli keluarganya, maka ini akan memanjangkan umurnya. Semua amal kebaikan ini - khidmat kepada ibu bapa, silaturrahim, berkhidmat kepada orang lain adalah daripada hadis-hadis yang sahih yang boleh memanjangkan usia seseorang. 

Jadi, kalau begitu apa makna ayat Allah سبحانه و تعالى yang mengatakan apabila tiba ajal seseorang, maka tidak boleh dipercepat atau diperlambatkan walau sesaat. Maksudnya ialah apabila ajal tiba, apabila malaikat maut datang untuk mencabut nyawanya, maka ketika itu jika dia ingin bersedekah, beramal, maka tidak akan dipercepat atau dilambatkan. Tetapi jika seseorang banyak berbuat kebaikan, maka umurnya boleh dipanjangkan, dan boleh diubah ketetapan Allah untuknya. Walaubagaimanapun ada hadis yang mengatakan umurnya boleh dipendekkan, daripada umur yang ditetapkan Allah سبحانه و تعالى tetapi ianya tidak sebanyak seperti hadis Rasulullah ﷺ  yang menyebut tentang umur yang boleh dipanjangkan. 

Ketetapan yang tertulis di Luh Mahfuz tentang ajal, jodoh seseorang, Al-Quran mengatakan ianya telah ditetapkan, atau boleh diubah Allah سبحانه و تعالى. Malaikat boleh melihat si fulan itu berapa umurnya, dan apabila dia melakukan kebaikan, maka akan bertambah umurnya. Malaikat hanya boleh meninjau apa yang tertulis di Luh Mahfuz, tetapi ilmu haqiqi yang dimiliki Allah سبحانه و تعالى mengetahui setiap si fulan itu berapa umurnya yang sebenar. Pada zaman Nabi Bani Israel, ada seorang lelaki yang zalim dan seorang perempuan datang mengadu penganiayaan terhadapnya oleh lelaki itu. Wanita itu meminta Nabi itu mendoakankannya. Tetapi malaikat Jibril datang dan memberitahu yang lelaki itu dipanjangkan lagi untuk satu tempoh. Wanita itu berkata, “Hasbunallah wa ni’mal wakil. Saya sudah bertahan selama 3 tahun, berapa lama lagi saya harus bertahan?” Wanita itu kemudian pergi dan terus mengucapkan “Hasbunallah wa ni’mal wakil” selama 3 hari dan setelah itu lelaki itu pun meninggal. Wanita itu terkejut dan pergi berjumpa kepada Nabinya. Nabinya mengatakan bahawa Allah gembira dengan ucapan “Hasbunallah wa ni’mal wakil”-nya dan memendekkan umur lelaki tersebut. Daripada kisah ini dapat kita tahu bahawasanya umur itu masih berubah.

Sesungguhnya ilmu itu berasal daripada lombong ilmu Rasulullah ﷺ. Sepertimana lombong emas/perak ada zakatnya, zakat lombong ilmu ialah memberikan nasihat kepada orang lain. Maka, sepertimana zakat yang dikeluarkan itu kekal, orang yang mengeluarkan (mengajarkan) ilmu kepada orang lain, maka ia akan menjadi bekalannya untuk akhirat. Imam Ghazali rahmatullah alaih ingin mentarbiah anak muridnya dengan bertanyakan ilmu mana yang telah diamalkan, dimanfaatkan. 

Dikhabarkan dalam Al-Quran kisah Namrud yang mengatakan dirinya boleh mematikan dan menghidupkan, tetapi Nabi Ibrahim a.s.berkata, “Tuhanku dapat menerbitkan matahari daripada Timur, jadi cuba engkau terbitkan matahari dari Barat.” Namrud pun terdiam penuh kekalahan.

Pada zaman Sayyidina Ali r.a. berlaku peperangan dan orang mengatakan Ammar bin Yassir datang untuk melawannya, tetapi Sayyidina Ali memberitahu bahawa Rasulullah ﷺ  telahpun memberi firasat sebelum kewafatannya bahawa Ammar bin Yassir berada di jalan yang benar, dan bukan menentang Sayyidina Ali. Kemudian Sayyidina Ali ditentang dan dituduh membunuh Ammar bin Yassir kerana membawanya berperang bersamanya. Jawabnya, “Kalau begitu, Rasulullah ﷺ  yang membunuh Sayyidina Hamzah dan sahabat-sahabat lain yang gugur di medan perang kerana baginda yang membawa mereka keluar berperang, dan ini menyebabkan orang yang menentangnya terdiam.”


Maksud anak murid Imam Ghazali rahmatullah alaih menulis surat ialah ingin mendapatkan nasihat khusus, dan bukanlah dia tidak mendengar nasihat Imam Ghazali rahmatullah alaih sebelum ini. Tetapi isyaratnya daripada Imam Ghazali rahmatullah alaih mengatakan sudah cukup mengambil ilmunya, dan yang lebih penting adalah untuk diamalkan. Kalau dapat beramal dengan satu hadis Nabi ﷺ, maka itu adalah manfaat. 

Pada zaman awal Islam, para sahabat terkesan dengan satu ayat Quran, dan terus berubah seluruh kehidupannya menjadi lebih baik. Mereka terkesan, terpengaruh dan terus berubah pada satu malam. Ini adalah kesan ilmu yang sedikit tetapi dapat diamalkan dan terus menjadi wali Allah. Ada sahabat bernama Sufian, dan bertanya nasihat kepada Rasulullah ﷺ dengan mengatakan, “Wahai Rasulullah ﷺ  berikan aku nasihat yang dengannya aku tidak lagi berhajat kepada nasihat yang lain?” Nabi Muhammad ﷺ  mengatakan, “Katakan - aku beriman kepada Allah dan kemudian istiqamahlah dengan keimanan tu.”

Sepertimana yang pernah berlaku kepada Syeikh Abdul Hamid bin Maslamah** - guru kepada Imam Bukhari rahmatullah alaih. Guru ini pada awal permulaan hidup seorang yang suka berpoya-poya, melakukan maksiat, peminum arak. Suatu hari dia ke pasar dan ada orang seorang Syeikh memberikan dakwah dengan menyampaikan hadis. Anak muridnya mendengar penuh kusyuk di tepi jalan. Dia yang sedang mabuk ketika itu duduk bersama kerana melihat ada majlis di situ. Bila orang melihat dia, orang memberi laluan sehingga dia duduk betul-betul di hadapan Syeikh tersebut. Setelah itu, dia meminta agar Syeikh itu menyampaikan hadis kepadanya. Syeikh yang dapat menghidu bau arak padanya berkata, “Bagaimana aku boleh menyampaikan hadis Nabi ﷺ  yang suci murni sedangkan kau dalam keadaan mabuk, dan arak masih terhidu daripada kamu.” Dia mendesak lagi dengan berkata, “Kamu menyampaikan hadis kepada begitu ramai orang tetapi kenapa kamu tidak mahu menyampaikan hadis kepada aku seorang?” Syeikh pun berkata yang mereka itu dalam keadaan suci, meninggalkan maksiat, jadi kamu pun perlu begitu untuk mendengar hadis Rasulullah ﷺ. Oleh kerana dia mabuk, dia menghunuskan pisau dan mengugut untuk membunuh Syeikh itu sekiranya tidak menyampaikan hadis kepadanya. Syeikh pun menyampaikan padanya, “Baiklah, aku telah mendengar daripada syeikh aku, dan syeikh aku telah mendengar daripada syeikhnya, dan seterusnya dan seterusnya sehingga kepada Rasulullah ﷺ, bahawa Rasulullah ﷺ  pernah bersabda, “ Apabila seeorang itu tiada rasa malu, maka lakukanlah mengikut kehendak hatinya.” Kemudian katanya, “Ada hadis yang sedemikian daripada Rasulullah ﷺ?” Kata Syeikh itu, “Ya.” Kemudian Syeikh itu mengulang sekali lagi hadis itu. Maka, setelah itu, beliau pun menggugurkan pisau di tangannya dan tersungkur di hadapan lutut Syeikh itu. Katanya, “Sebenarnya yang dimaksudkan dalam hadir itu sayalah! Sayalah yang tiada segan dan malu. Sayalah yang ditujukan Rasulullah ﷺ  hadis tersebut. Sayalah yang tidak malu, sayalah yang bermaksiat. Sayalah pendosa.” Maka, beliau terus menangis bersungguh-sungguh, dan bertaubat dan beristighfar di hadapan Syeikh itu. Kemudian dia meminta nasihat daripada Syeikh itu. Kata Syeikh, “Tiada sesuatu yang lebih mulia melainkan ilmu. Maka, keluarlah kamu mencari ilmu.” Lelaki itu pun mengikuti nasihat Syeikh itu, dan dia keluar mencari masyaikh untuk menuntut ilmu dan telah duduk di Madinah Al-Munawwarah. 

Imam Bukhari telah datang kepadanya di Madinah dan meriwayatkan hadis daripada As-Syeikh xx dan beliau ialah salah seorang daripada masyaikh kepada Imam Bukhari. Setelah cukup kehebatan dan kekuatan ilmunya, dia boleh meriwayatkan hadis sahih daripada Imam Bukhari. Dan daripada biografi guru-guru yang telah dicatatkan oleh Imam Bukhari, salah satu daripada gurunya yang agung dan mulia ialah Syeikh Abdulah bin Maslamah yang pernah menjadi peminum arak, dan pelaku maksiat. 
                                                              
Hatta pada zaman Imam Malik, beliau sempat bertemu dengan Imam Malik. Syeikh Abdulah bin Maslamah juga pernah pada zaman Imam Malik meminta izin untuk membaca kitab Muwatta’ oleh Imam Malik. Kata Imam Malik, “Untuk kamu seorang Imam yang agung , memerlukan kitab yang lain.” Orang ramai juga meminta dia berdoa, dan doanya mustajab ketika itu juga. Syeikh Abdulah bin Maslamah bila masuk ke majlis Imam Malik, maka Imam Malik akan menyuruh anak muridnya bangun sebagai tanda penghormatan padanya. 

Syeikh Abdulah bin Maslamah yang pernah bermaksiat, mendapat kesan yang kuat daripada satu hadis sehingga berubah menjadi ulama yang besar. Maka kita hendaklah bersangka baik dengan sesiapa saja di hadapan kita dan kita mesti optimistik, walau dalam keadaan apa pun seseorang itu. Mungkin nanti dia baca satu ayat/hadis, terus berubah kehidupannya menjadi seorang yang lebih baik.

Oleh sebab itu Imam Ghazali rahmatullah alaih mengatakan dengan penuh rendah hatiya sudah cukup dengan satu hadis dan tak perlu kepada nasihat tambahan lain lagi. Tapi bila melihat anak muridnya bersungguh-sungguh inginkan nasihat, Imam Ghazali rahmatullah alaih pun memberikannya.


Seorang insan itu hendaklah tidak menyibukkan dirinya dengan sesuatu yang tidak bermanfaat. Jika seseorang disibukkan dengan sesuatu yang tidak memberi manfaat, itu juga tanda bahawa Allah سبحانه و تعالى berpaling daripada hamba itu. Kata Imam Yahya - apabila seorang hamba berpaling daripada Allah, Allah سبحانه و تعالى juga akan berpaling daripadanya. Apabila dia menuju kdp Allah سبحانه و تعالى, maka Allah سبحانه و تعالى juga menuju kepadanya. Seorang daripada Imam di masjid Ba’lawi (Tarim) bernama Habib Hamid Umar al-Hamid** - pada zamannya berlaku fitnah yang besar, persengketaan yang kuat berlaku di kota Tarim bedekatan dengan masjidnya. Orang bertanya kenapa dia tidak peduli dengan apa yang berlaku, sedangkan perkara itu berlaku di sebelah masjid kamu saja. Jawab Al Habib, “Aku tahu tapi ianya sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadaku, maka aku sibukkan diriku dengan solat.” 

Sabda Nabi ﷺ  itu, “Daripada keindahan Islam itu, kamu meninggalkan sesuatu yang tidak memberi manfaat kepada kamu.” Khususkan diri kamu dengan perkara yang membawa faedah kepada kamu. Maka, intipatinya jangan duduk goyang kaki tanpa mengisi masa dengan perkara yang tidak bermanfaat dalam perjalanan menuju Allah سبحانه و تعالى. Orang mukmin berusaha menjadikan perkara yang harus sebagai sunat dengan diselitkan niat-niat agar menjadi ibadah. 

Jika berlalu sejam daripada umur seseorang melakukan perkaraa yang dia tidak diciptakan (yakni melakukan selain daripada ibadah), maka itu akan membuatnya menyesal berpanjangan, kerana umur ini ringkas, pendek dan singkat di atas dunia ini. Dia akan menyesal dengan masa yang tidak dijadikan modal untuk meninggikan maqamnya di sisi Allah سبحانه و تعالى. Di akhirat nanti dia akan menyesal berpanjangan. Jika kita tidak mampu menjadikan seluruh detik kehidupan kita sebagai ketaatan berpanjangan, sekurang-kurangnya setiap kali selesai majlis/program/pertemuan, akhiri dengan doa khatam majlis: //. Ini akan menjadi kifarah walaupun majlis itu majlis lagha, alpa kepada Allah سبحانه و تعالى.

Orang soleh menjadikan seluruh masanya ibadah kepada Allah سبحانه و تعالى dengan ibadat itu sendiri, atau memasukkan niat-niat ibadah dalam perbuatan-perbuatan yang harus. Hadis sahih Rasulullah ﷺ, riwayat Bukhari dan Muslim, “Tidak duduk bersama satu kumpulan di dunia ini yang tidak menyebut nama Allah سبحانه و تعالى melainkan di hari akhirat nanti mereka akan menyesal kerana melalui hari-hari di dunia dengan tidak zikrullah.”
Hadis riwayat At-Tabrani, “Tiada yang sesuatu yang disesali oleh ahli-ahli syurga melainkan masa-masa di dunia ini tanpa tidak diisi dengan zikrullah.” Ulama mengatakan penyesalan tersebut setelah dimasukkan ke syurga. Bukan sebelum masuk syurga, tetapi setelah melihat maqam-maqam (tingkat-tingkat) dalam syurga. Mereka menyesal setelah melihat hanya kerana satu “Subhanallah”, seseroang boleh mendapat maqam yang jauh lebih tinggi, dia akan menyesal dan menyesal. Mereka menyesal tetapi kemudiannya Allah سبحانه و تعالى akan memberi redha, gembira di hati mereka, dan takkan ada perasaan hasad di hati mereka.

//Doa

Allah سبحانه و تعالى telah ciptakan 8 peringkat syurga, dan ianya ada 8 pintu. Kunci-kuncinya ada pada tangan orang Islam, yakni kod membuka pintu-pintu itu ialah dengan kalimah syahadah: 

أشهدُ أنْ لا إلهَ إلاَّ الله
وأشهدُ أنَّ محمّدًا رسولُ الله

Pintu ini sentiasa terbuka untuk orang mukmin. Seorang mukmin yang ambil wudhuk dan berdoa selepas wudhuk, maka telah memegang secara batin kunci-kunci syurga. Zikir itu sesuatu yang ringkas, pendek, tetapi dengan membacanya akan terbuka 8 pintu syurga untuknya. 

Maka setiap hari ada 5 waktu solat, dan setiap kali itu berwudhuk dan berdoa, maka 8 pintu syurga ini sentiasa terbuka untuk orang-orang mukmin. Tetapi pembukaan pintu ini pembukaan yang khusus oleh orang yang tangannya mempunyai kunci-kunci syurga. Tetapi apabila tiba bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga akan dibuka seluas-luasnya dan tidak akan ditutup sehingga akhir Ramadhan. Oleh itu ulama mengatakan, orang yang meninggal pada bulan Ramadahan, maka dia ahli syurga kerana pintu-pintu syurga dibuka ketika itu, dan pintu-pintu neraka ditutup.

//Doa

Tingkatan syurga:
  1. Darus Salam
  2. Jannatul ‘idn
  3. Jannatul Ma’wa
  4. Jannatul Na’im
Nama-nama ini terdapat dalam Al-Quran, dan syurga tertinggi ialah Jannatul Firdaus. Syurga Firdaus pula ada 4 tingkat - 2 daripada emas dan 2 daripada perak. Allah سبحانه و تعالى berfirman bahawa Allah menciptakan ‘jannaat’ yakni syurga-syurga, bukan satu saja, tetapi jamak (banyak), lebih daripada 3, iaitu bertingkat-tingkat. Ulama berselisih faham mana yang di atas, dan yang mana yang dibawah, tetapi semua bersepakat syurga yang tertinggi ialah Firdaus. 

Syeikh Abdul Aziz Al-Dabbab** berkata yang paling ramai berada di syurga Firdaus ialah umat Nabi Muhammad ﷺ, dan sangat sedikit yang berada diluarnya. Umat Nabi-Nabi lain pula adalah sangat sedikit berada di syurga Firdaus.

“Barangsiapa yang melepasi umur 40 tahun tetapi kebaikannya tidak melebihi keburukannya, maka bersedialah untuk ke api neraka.” Kedudukan hadis ini dhaif. Ada riwayat yang lebih kuat daripada hadis ini yang mana Allah سبحانه و تعالى memberi peluang kepada manusia sehingga 60 tahun untuk berubah (bertaubat). Setelah itu, jika masih tiada alamat perubahan, maka bersedialah untuk ke api neraka.

Kita mungkin melihat umur 60 tahun itu pendek tetapi jika diisi dengan amal ketaatan, maka ianya akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah سبحانه و تعالى. Berada 3 hari di Mekah adalah bersamaan dengan 1000 tahun, 9 hari di Mekah bersama 3000 tahun. Dan 20 hari berada di Mekah, seolah-oleh telah beribadah selama 7000 tahun. Satu hari pada Lailatul Qadar, segala ketaatan dan ibadah yang dilakukan digandakan seolah-olah beribadah 83 tahun. Mereka yang berselawat sebanyak 80 kali pada hari Jumaat, selepas Asar, seolah-olah dia beribadah 80 tahun. 
Enam rakaat sunat yang dilakukan setelah solat Maghrib seolah-olah dia beribadat 12 tahun.

Berapa banyak amalan-amalan ringkas yang di akhirat nanti akan menjadi ganjaran yang besar sekali. Mereka yang mendahulukan solat dengan bersiwak, seoalah-olah dia solat 70 rakaat, walaupun solat itu solat sunat. Guru kami, Habib Zein bin Sumait, sejak kami menuntut ilmu dengannya semenjak dia muda, ketika di madrasah di Yaman dulu, tidak pernah meninggalkan untuk bersiwak, dan beliau tidak meninggalkan Qiymammullail selama 60 tahun. Semenjak berada di Madinah Al-Munawaarah selama 20 tahun beliau tidak pernah meninggalkan untuk ziarah Nabi Muhammad ﷺ. Inilah satu perjalanan orang-orang yang soleh. Mereka mendapat taufik dan hidayah dari Allah سبحانه و تعالى dan memenuhi hari-hari mereka dengan ketaatan seperti solat malam, puasa, dan amalan-amalan sunat yang lain. 

Maka, kita cuba istiqamah menggunakan siwak sebelum solat, kerana syaitan akan cuba sedaya-upaya untuk melupakan kita untuk bersiwak kerana ia tahu ganjarannya amat besar. Rasulullah ﷺ merupakan seorang yang penuh kasih sayang, dan tidak memberati umatnya dan mengizinkan untuk kita bersiwak dengan apa saja yang bersifat kasar, hatta dengan hujung lengan baju pun boleh. 

Imam Ghazali rahmatullah alaih mengatakan bahwa nasihat yang disebutkan ini, yakni untuk memerhatikan apa yang bermanfaat dan meninggalkan yang tidak bermanfaat pada diirnya, sudah mencukupi sebagai peringatan.

Kemudian, lagi sekali Imam Ghazali rahmatullah alaih mengatakan:


Meminta nasihat itu mudah, tetapi untuk mendengar dan mengikutin nasihat tidaklah mudah. Orang-orang soleh yang hatinya dipenuhi cahaya, mereka sangat menghargai nasihat-nasihat yang datang kepada mereka, kerana itu sebagai tambahan peringatan kepada mereka. Tetapi orang yang hatinya dikuasia hawa nafsu tidak akan suka kepada nasihat yang datang kepadanya. Maka, orang yang hatinya penuh dengan cahaya, akan bersyukur dan berterima kasih pada orang yang menasihatinya, kerana menunjukkan aib dirinya untuk berubah menjadi lebih baik. Sepertimana seseorang yang di dalam beg atau rumahnya ada ular berbahaya, dia akan berterima kasih pada orang yang menunjukkan ular itu. Tetapi orang yang takabbur takkan percaya apabila dikhabarkan ada binatang berbisa dalam beg/rumahnya. 

Nasihat itu parit bagi orang yang mencintai hawa nafsu, dan orang yang hatinya dipenuhi nur, akan berterima kasih apabila diberi nasihat kepadanya.

Suatu hari Imam Habib Abdullah Bin Hassan Al-Attas, masuk ke kota Syibam dan solat sunat 2 rakaat. Kemudian datang seorang yang kasar akhlaknya dan lambat bacaan Fatihahnya, dan menyangka solatnya  Habib Abdullah yang begitu ringkas tidak betul. Pemuda itu pun mengatakan, “Bagaimana kamu solat cepat sangat. Solat kamu ini tidak sah.”. Padahal Habib Abdullah ialah ulama yang mahir ilmu tentang 4 mazhab. Tetapi setelah ditegur, beliau sedikitpun tidak marah kepada pemuda itu. Bahkan beliau bertanya apakah kekurangan solatnya pada mata lelaki itu. Lelaki itu pun mengatakan ada banyak silap. Imam Abdullah pun meminta diajarkan cara yang betul, dan lelaki itu pun mengajarkan mengikut caranya yang lambat bacaannya. Kemudian, Habib Abdullah pun solat sekali lagi seperti yang lelaki itu ajar dan meminta lelaki itu menilainya sekiranya itu betul. Setelah selesai solat, ramai yang kenal kepada beliau beratur untuk bersalam kepadanya. Lelaki itu pelik melihatnya dan bertempik - “Siapa yang kamu salam ini? Aku yang ajar dia solat?” Orang ramai bertanya, “Kepada siapa kamu ajarkan solat? Ini imam yang mahir 4 mazhab.” Lelaki itu berasa tersangat malu dan meminta maaf kepada Habib Abdullah. Namun, Habib Abdullah sedikitpun tidak marah, bahkan mengatakan, “Saya mendapat manfaat daripada kamu.” Inilah akhlak ulama, sedikitpun tidak mengherdik bahkan menerima nasihat tidak mengira daripada siapa. Orang-orang soleh merupakan ahli nur, dan mereka merasakan kelazatan, suatu kesedapan rohani, bila ada orang datang menasihati mereka. Walaupun ada orang ahli hawa nafsu yang datang memberi nasihat dengan keras, tidak mengapa, kita terima nasihat mereka. Dan lebih khusus lagi, nasihat itu susah diterima bagi penuntut ilmu zahir sahaja, kerana mereka rasa cukup dengan ilmu syariat yang zahir, dan tidak rasa perlu kepada nasihat-nasihat. Ini adalah satu cara syaitan menipu kepada penuntut-penuntut ilmu. Ada juga penuntut ilmu yang ditipu daya oleh syaitan sehingga sibuk dengan ilmu dunia sahaja seperti ilmu astronomi sehingga berpuluh-puluh tahun, dan kemudian merasakan ilmu mereka tinggi sehingga bila ada orang datang menasihati akan berkata, “Kamu siapa ingin menasihati aku?”. Insan itu sifatnya lemah, sehingga syaitan masuk dan menipu dayanya sehingga dia menasakan dirinya tidak perlu kepada nasihat. Sesungguhnya dia menyangka ilmunya cukup untuk menyelamatkan dia daripada api neraka tanpa perlu untuk dia beramal. Inilah sifat ahli falsafah seperti sabda Rasulullah ﷺ, “Orang yang paling dasyat azabnya pada hari akhirat ialah orang yang alim, tetapi Allah سبحانه و تعالى tidak memberinya manfaat dengan ilmunya.” Ilmu hakiki yang sebenar ialah ilmu yang memberi faedah kepada dirinya sehingga mempengaruh adabnya, amalnya. Antara tanda seseorang mendapat manfaat dprd ilmu ialah apabila hatinya dipenuhi perasaan simpati dan kasih-sayang kepada semua makhluk Allah سبحانه و تعالى, dan kepada orang Islam dan bukan Islam. Apabila orang menuntut ilmu dan membaca hadis, mereka akan memulakan dengan hadis musalsal iaitu hadis tentang rahmah, iaitu: “Orang-orang yang penyayang akan disayangi oleh Yang Maha Penyayang, Sayangilah orang yang dibumi niscaya kamu akan disayangi oleh Yang di langit.”

Apabila telah mula memahami tentang kasih-sayang, kemudian dia akan belajar ilmu-ilmu yang lain supaya dengan ilmu itu, dia akan jadi ulama yang rahmah, tidak berkasar, dan tidak berakhlak buruk kepada anak muridnya atau kepada orang yang lebih jahil daripada dirinya.

//Doa. 
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 
**: Mungkin salah ejaan



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab