Sesi 1 - Daurah Kitab Ayyuhal Walad bersama Habib Kazim As-Saqqaf


بسم الله الرحمن الرحيم 
الحمد لله رب العالمين 
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله وصحبه وسلم

Habib Kazim As-Saqqaf*
Terjemahan oleh Ustaz Iqbal Al-Jauhari*


Sesi 1: Sabtu 06.06.2015


Pujian kepada Allah سبحانه و تعالى, selawat dan salam kepada Rasulullah ﷺ, ahli keluarga, sahabat beliau, dan mereka yang mengikut baginda.

Kitab ini penuh dengan manfaat dan faedah yang besar kepada rohani, ditulis oleh Imam Ghazali. Kitab ini ditulis khusus untuk seorang penuntut ilmu yang ingin mengetahui saripati sesuatu ilmu. Ilmu terbahagi kepada dua - kulit dan isinya. Ilmu yang akan dibincangkan dalam kitab ini berbentuk intipati dan bukan luaran. Ilmu dalam kitab ini ialah ilmu yang beri isyarat untuk beramal. Ini adalah satu permata. 

Kitab ini dimulakan dengan kalam بسم الله الرحمن الرحيم. Ini adalah untuk meniru Allah سبحانه و تعالى yang memulakan bacaan Surah dengan بسم الله الرحمن الرحيم. Sabda Rasulullah ﷺ, “Sesuatu yang tidak dimulakan dengan nama Allah akan terputus-putus (yakni terputus dari Rahmat Allah, dan kurang keberkatan). Dalam riwayat lain pula dikatakan setiap perkara yang tidak dimulakan dengan الحمد لله رب العالمين akan terpotong dari keberkatan. Maka, penulis-penulis kitab biasanya akan menggabungkan بسم الله الرحمن الرحيم dan الحمد لله رب العالمين.

Hukum membaca بسم الله الرحمن الرحيم dalam feqah ada yang wajib, sunat, makruh, harus, haram. Jadi, apa yang penting ialah kita memulakan setiap pekerjaan yang baik dengan بسم الله الرحمن الرحيم
Imam Muhammad Al-Baqir** mengatakan bahawa بسم الله الرحمن الرحيم merupakan mahkota kepada surah-surah di dalam Al-Quran. 

Ulama solihin mengatakan jika seseorang mendapati jasmani mereka lemah, dalam keadaaan lesu dan tidak bermaya, mungkin kerana dia kurang membaca بسم الله الرحمن الرحيم . Maka hendaklah mengamalkan memulakan pekerjaan mereka dengan بسم الله الرحمن الرحيم.

Bacaan بسم الله الرحمن الرحيم adalah sunnah muaqaddah bila makan, minum, dan menuntut ilmu dan sangat ditekankan oleh para ulama. Begitu juga ditegaskan untuk baca بسم الله الرحمن الرحيم sebelum tidur. Walaupun tiada hadis mengenai bacaan بسم الله الرحمن الرحيم  21x sebelum tidur, namun dengan bilangan tersebut adalah mujarab, yang telah diuji oleh para ulama sebagai satu penjagaan dan pemeliharaan daripada segala macam bahaya dan bencana oleh Allah سبحانه و تعالى ketika seseorang tidur.

Dan dikatakan Allah سبحانه و تعالى mempunyai 3 ribu nama: 1000 hanya diketahui oleh para Nabi, 1000 oleh para malaikat, dan 1000 oleh para Rasul. Maka, sesiapa yang baca بسم الله الرحمن الرحيم seolah-olah dia telah membaca 3000 nama Allah سبحانه و تعالى. Sekurang-kurangnya kita amalkan baca بسم الله الرحمن الرحيم 100x sehari.

Maksud بسم الله الرحمن الرحيم adalah kita mengambil pertolongan, keberkatan dari Allah سبحانه و تعالى.  Oleh itu mulakan segala pekerjaan baik, makan, minum dengan بسم الله الرحمن الرحيم . Tanpanya, seolah-olah tidak mengambil pertolongan Allah, dan tidak mendapat hidayah, taufik dan kekuatan dari Allah سبحانه و تعالى.

Seterusnya, Imam Ghazali rahmatullah alaih menyambung dengan menulis الحمد لله رب العالمين . Daripada hadis kita mengetahui bahawa pahala orang yang menyebut  الحمد لله رب العالمين adalah memenuhi langit dan bumi. Dalam tafsir Imam Al-Suyuti, ada satu ketika Nabi Muhammad ﷺ  ditimpa sesuatu yang berat dan baginda diilhamkan untuk memuji Allah سبحانه و تعالى lalu diangkat bebannya itu. Sahabat yang melihat kejadian ini dan kelegaan pada wajahnya, bertanya, “Ya Rasulullah ﷺ, kamu mempunyai kalimah yang agung?” Jawab baginda, “Ya, benar, kalimah الحمد لله رب العالمين adalah sesuatu yang agung.”

Jika semua makhluk, dan malaikat berkumpul untuk memuji Allah سبحانه و تعالى sekalipun, mereka takkan mampu memuji Allah selayaknya. Oleh sebab itu, Allah سبحانه و تعالى memuji dirinya seperti yang didapati dalam surah Al-Fatihah, Al-An‘am, Al-Kahf, Al-Fathir. Setiap pujian-pujian itu tidak bertentangan bahkan menerangakan Zat-Nya yang berbeza, yakni dalam Al-An’am - puji-pujian kepada Allah yang telah menciptakan langit dan bumi, kegelapan dan cahaya, dalam surah Al-Kahf - puji-pujian kepada Allah yang telah menurunkan Al-Quran, dan dalam surah Al-Fathir - puji-pujian kepada Allah yang telah menciptakan malaikat.

Kemudian Imam Ghazali rahmatullah alaih menulis ‘والعاقبة للمتقين’ yang maksudnya di akhirat nanti, akibat yang baik akan dimiliki orang-orang yang bertaqwa. Kemudian beliau menulis selawat dan salam kepada insan termulia, Nabi Muhammad ﷺ  yang tidak sempurna iman seseorang jika tidak mencintainya. Perlu diingat di sini bahwa Rasulullah ﷺ melarang untuk berselawat dengan selawat batra’, yakni selawat kepada Nabi Muhammad ﷺ  tetapi lupa kepada ahli keluarganya. Oleh itu perlu digabungkan kedua-duanya - selawat dan salam kepada baginda dan ahli keluarganya.

Suatu hari sahabat bertanya bagaimana untuk berselawat kepada baginda setelah turunnya perintah untuk berselawat kepada baginda. Lalu, baginda pun mengajarkan selawat Ibrahimiyyah (yang dibaca dalam tahiyyat akhir).


Kemudian tulisan ini mengatakan bahawa kandungan kitab ini merupakan pesanan ringkas Imam Ghazali rahmatullah alaih kepada anak murid yang meminta nasihat kepadanya, dan yang menulis (mengumpulkan) kitab ini ialah anak murid itu sendiri. Dikatakan - “Kami meminta nasihat kepada Syeikh Al Imam Ghazali rahmatullah alaih.” 

Perkataan ‘Syeikh’ boleh digunakan dalam 3 keadaan - kepada orang yang hafal Quran, tidak kita muda atau tua, kepada orang yang alim, dan kepada orang yang tua, walaupun dia tidak alim atau hafal Quran. Kemudian, perkataan ‘Imam’ pula bermaksud orang yang diikuti. Imam Ghazali rahmatullah alaih juga dikenali sebagai ‘perhiasan agama’. Gelaran lain ialah ‘Hujjatul Islam’ dan gelaran ini hanya diberikan kepadanya seroang, kerana kekuatan hujjahnya dalam melawan kepada ahli-ahli falsafah Greek dan Yunani kuno yang batil, dan mereka yang kufur tauhid kepada Allah سبحانه و تعالى.

Imam Ghazali rahmatullah alaih telah membaca dan memahami semua khazanah umat Islam dan bukan Islam, dan mampu menjawab hujjah dengan tepat dan jitu dalam menjawab hujjah orang kafir untuk mematahkan dalil-dalil dan nas daripada agama Islam mengenai tauhid.

Namanya kuniahnya ialah Abu Hamid, dan nama sebenarnya Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali. MashaAllah - 3 generasinya memilih nama Muhammad. Ada ulama lain yang mempunyai 7 keturunan bernama Muhammad. Ini semua kerana mereka sangat cintakan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah سبحانه و تعالى menyebutkan nama Muhammad dalam Al-Quran sebanyak 4 kali, dan Ahmad sebanyak 1 kali. Maka, hendaklah kita berniat untuk menamakan anak Muhammad jika ada nanti, sebagai satu bentuk takzim kita kepada baginda Rasulullah ﷺ. Apabila telah berniat, bila sudah dapat anak lelaki, jangan kita tukar fikiran pula! 

Daripada mana datang gelaran Al-Ghazali? Kerana bapa atau datuknya merupakan pemintal bulu kambing. Beliau juga dijuluki Al-Tusi, bersempena kampung kelahirannya yang kini berada di Iran. Umurny 55 tahun sahaja, lahir pada tahun 450 H, meninggal pada tahun 505H. Umurnya tidak lama tetapi berkat umurnya dapat mengarang banyak kitab. Beliau mengarang kitab agungnya Ihya’ Ulumiddin pada usia 30 tahun. 

Barangsiapa yang menghadapi masalah dalam agama, kemurungan, atau masalah-masalah tertentu, maka bukalah kitab Imam Ghazali rahmatullah alaih dan bacalah, InshaAllah akan dipertemukan dengan jalan keluar dan diringankan masalahnya. Barangsiapa yang mampu membaca kitab Ihya’ Ulumiddin dari awal hingga akhir, Allah سبحانه و تعالى akan berikan hidayah ke dalam hatinya, dan dikurniakan kedudukan kewalian di sisi Allah سبحانه و تعالى. Salah satu panggilan kepada Imam Ghazali adalah doa “Semoga Allah سبحانه و تعالى mensucikan rohnya”.


Terdapat beberapa riwayat tentang siapa yang meminta nasihat ini - ada yang mengatakan muridnya dan ada yang mengatakan orang yang berkhidmat padanya, yang bertugas mengumpulkan hasil tulisannya. Orang itu(yang meminta nasihat) sering menuntut ilmu dengan Imam Ghazali rahmatullah alaih. Suatu hari dia terfikir yang dia telahpun lama menuntut ilmu dengan Imam Ghazali rahmatullah alaih dan mengusainya, tetapi dia tidak pasti ilmu yang mana yang bermanfaat baginya, yang boleh menemaninya di kubur nanti. Jadi dia ingin mendapatkan intipati ilmu, lalu mendorongnya meminta nasihat itu daripada Imam Ghazali rahmatullah alaih. Antara sebab lain juga adalah kerana hadis Rasulullah ﷺ  yang menyebut tentang ilmu bermanfaat dan yang tidak bermanfaat, dan pelajar itu ingin berlindung daripada ilmu yang tidak bermanfaat. 


Doa Rasulullah ﷺ:
اَللَّهُمَّ إنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعْ وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعْ وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعْ وَمِنْ دَعْوَةٍ لاَ يُسْتَجَابُ لَهُ
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusu’, nafsu yang tidak pernah puas, dan do’a yang tidak dikabulkan.” ( HR. Muslim dan An Nasaa-i )

Ada jenis ilmu yang sentiasa bertambah contohnya ilmu nama Allah yang akan bertambah setiap masa apabila manusia menggalinya. Manusia perlu kepada ilmu ini sebagaimana manusia perlu kepada oksigen dan ada ilmu lain yang diperlukan sebagai nutrien atau makanan yang kita ambil setiap hari. Itulah Ilmu tafsir, ilmu hadis yang merupakan makanan atau nutrien kepada badan kita. Dan ada juga ilmu bersifat ubat yang tidak diperlukan kecuali setelah tertimpa dengannya, contohnya ilmu perdebatan untuk menjawab perbahasan orang kafir yang cuba mematahkan tauhid orang Islam. Ilmu tersebut itu akan jadi benteng kepada ilmu yang kukuh dalam Islam agar tidak roboh, dan ia diberikan sekadar seperti ubat, bila datang baru diberikan. 

Imam Ghazali rahmatullah alaih berkata ilmu Allah سبحانه و تعالى itu amat luas sekali tetapi umur kita amat pendek dan ringkas. Maka jangan sia-siakan masa yang kita ada melainkan kita tambah ilmu. Kita mulakan dengan ilmu yang penting seperti ilmu Al-Quran, hadis Rasulullah ﷺ, sirah Rasulullah ﷺ, keistimewaan dan mukjizat Rasulullah ﷺ. Dan juga ilmu berkaitan ibadah dan syariat iaitu ilmu feqah. Begitu juga adalah amat penting untuk kita belajar ilmu tauhid supaya kepercayaan dan keimanan kita di atas landasan yang benar. Kemudian ilmu-ilmu tentang amal soleh supaya dengan ilmu tersebut bertambah amal soleh dan amal kebajikan kita dari semasa ke semasa. Kita jangan menghabiskan masa dengan ilmu yang tidak mendekatkan kita kepada Allah سبحانه و تعالى. Dan jangan terlalu sibuk dengan ilmu sehingga tertinggal ibadah, dan jangan terlalu sibuk dengan ibadah sehingga tertinggal kepada ilmu.

Imam Malik rahmatullah alaih mengatakan, “Kamu bersungguh-sungguh menuntut ilmu, tetapi jangan sampai ianya memberi mudarat kepada kualiti ibadah kamu. Jangan kamu penuhkan masa kamu dengan ibadah sehingga mudarat masa kamu untuk menuntut ilmu daripada para ulama.” Ada orang yang terlalu sibuk mengambil maklumat, demi maklumat tetapi Dhuha dia tidak kerjakan, amal soleh lain dia tidak kerjakan, maka tiada manfaat bagi dirinya dan hanya ada maklumat. Dan ada juga ilmu yang boleh memberi mudarat seperti ilmu sihir dsb. Ada juga ilmu tidak bermanfaat iaitu daripada surat khabar dan majalah yang ditulis oleh orang kafir. Masanya dihabiskan untuk mengkaji puisi-puisi Shakespeare atau seumpamanya dan tiada memberi manfaat pun kepadanya di dunia atau akhirat. Ilmu yang langsung tidak memberi manfaat untuk dunia atau akhirat, jasmani atau rohani, maka JAUHKAN diri daripada perkara tersebut. 


Perkara ini menyelubungi pelajar itu lalu dia menulis surat kepada Imam Ghazali rahmatullah alaih untuk meminta fatwa (nasihat) dan doa. Apa beza fatwa daripada mufti dan kadi? Fatwa jika diberikah oleh mufti, maka tidak lazim kita mengikutnya dan mufti tidak boleh mewajibkan kita mengikutnya, tetapi jika diberikan oleh kadi, maka wajib kita mengikutnya. 

Apa beza memberi fatwa dan memberi dakwah? Orang yang memberi fatwa wajib seorang yang berilmu, dan berkedudukan dalam ilmu yang tinggi, tetapi untuk berdakwah, tidak diwajibkan ilmu kepadanya. Siapa saja boleh memberikan dakwah. Ianya sebagai satu wasilah untuk dia menyambungkan dirinya kepada Rasulullah ﷺ untuk mengajak manusia kepada agama yang dibawa baginda Rasulullah ﷺ. Seseorang boleh mengatakan, “Wahai manusia, hendaklah kamu solat, bepuasa, membaca Al-Quran, mengingati Allah سبحانه و تعالى, menghubungkan silaturrahim, dan tidak disyaratkan ilmu padanya. 

Maka, yang memberi fatwa mesti orang yang alim, dan bukan orang yang jahil. Jika orang jahil yang beri fatwa, maka akan berlaku kepincangan. Untuk perkara dakwah, semua orang boleh untuk saling nasihat-menasihati antara satu sama lain, yang jahil menasihati yang alim, dan sebaliknya, rakyat menasihati pemerintah. Rasulullah ﷺ  memberikan nasihat bergantung kepada keadaan orang yang bertanya, oleh sebab itu terdapat jawapan yang berbeza walaupun soalannya sama.

Seperti para sahabat sering berjumpa Rasulullah ﷺ  untuk meminta doa, walaupun mereka sendiri sudah dekat dengan Rasulullah ﷺ . Suatu hari Rasulullah ﷺ  sedang memberikan khutbah di atas mimbar, dan seorang lelaki berkata, “Ya Rasulullah ﷺ, doakan supaya kami diberikan hujan.” Rasulullah ﷺ  menyuruh, “Kamu doa dan kami akan aminkan.” Maka lelaki itu pun melakukan dan Rasulullah ﷺ  mengaminkan. Begitulah amalan umat Islam untuk saling mendoakan satu sama lain. Begitu juga pernah beberapa sahabat meminta doa daripada Sayyidatina Aisyah, dan beliau juga mengatakan, “Kamu doa dan aku akan aminkan.” Begitulah sejak zaman awal Islam, amalan meminta nasihat, saling menasihati dan meminta doa dan saling mendoakan telah menjadi amalan.

Baginda Rasulullah ﷺ  juga pernah meminta doa daripada Sayyidina Umar Al-Khattab dengan mengatakan, “Tolong doakan aku wahai adikku yang comel”. Jadi, tiada masalah jika seorang guru atau Syeikh meminta doa daripada anak muridnya. Dia juga berkata walaupun kitab Ihya’ Ulumuddin boleh menjawab persoalan-persoalanku, tetapi hajatku ialah agar Syeikh (Imam Ghazali rahmatullah alaih) menuliskan nasihat dalam beberapa lembaran yang boleh menjadi peganganku sepanjang hayatku. Ini juga menjadi adat menuntut ilmu - mengumpulkan nasihat yang diberikan oleh guru, dan dikumpulkan untuk dijadikan amalan sepanjang hayatnya. 




Dari sini bermula penulisan Imam Ghazali rahmatullah alaih sebagai jawapan kepada apa yang diminta kepadanya dan memulakan jawapan dengan “Ya ayyuhal walad” yang bermaksud “Wahai anakku yang tercinta,…”. Lihat bagaimana Imam Ghazali rahmatullah alaih memanggil muridnya sebagai anak tercinta walaupun itu bukan anaknya sendiri. Beliau memanggil dengan penuh kasih-sayang seperti seorang bapa yang mendidik kepada anaknya. Perkataan al-walad dalam bahasa Arab adalah lebih kepada kanak-kanal kecil lelaki, dan bukan remaja. 

Allah سبحانه و تعالى memberikan kasih sayang kepada manusia yang lebih besar berbanding kasih-sayang ibu bapa kepada anak-anaknya. Imam Ghazali rahmatullah alaih kemudian mengatakan dalam bentuk doa kepada anak muridnya - “Semoga Allah سبحانه و تعالى memanjangkan umurmu dalam ketaatan kepada-Nya.” Ini adalah doa penting kerana ramai orang dipanjangkan umur tetapi umurnya disia-siakan. Daripada lembaran sejarah Islam, rasanya tiada doa yang lebih hebat daripada doa Nabi Musa yang meminta daripada Allah سبحانه و تعالى untuk menjadikan saudaranya Harun kepada seorang Nabi, yakni mengangkat darjat seorang manusia atau wali biasa kepada darjat seorang Nabi. Semoga Allah memberi manfaat dengan wasiat yang telah kita dapat ini. Semoga Allah alirkan manfaat zahir dan batin daripada kitab-kitab yang ditulis oleh ulama-ulama solihin. Semoga Allah golongkan kita dalam kalangan hamba yang solihin dan semoga bertambah ketaqwaan kepadanya, dengan kebaikan, manfaat, dan ‘afiah, Amin Allahumma Amin.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 
**: Berkemungkinan salah ejaan

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab