Tafsir ayat 64-68, surah Ali-Imran, MTDM 28.06.2013


بسم الله الرحمن الرحيم

Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid


Huraian ayat 64:


“Katakanlah …”
Di dalam Al-Quran nul Karim, Allah SWT, bilamana menyuruh kepada baginda Rasulullah untuk memberitahu akan sesuatu perkara, maka Allah akan memulakan ayat dengan “Qul” yang bermaksud – “Katakan Ya Rasulullah, “, atau “Ceritakan ya Rasulullah”.  Apa yang Rasulullah di minta untuk menceritakan? Baginda diminta memberitahu apa yang Allah beritahu kepadanya. Sepertimana seorang pengetua berpesan kepada kakitangan untuk memberitahu anak murid bahawa esok cuti. Maka, guru pun akan memberitahu anak murid bahawa “Pengetua kata esok cuti”. Berita itu bukan datang daripada dirinya (guru), tetapi daripada pengetua. Demikian juga seperti baginda Rasulullah – berita yang dibawakan baginda bukanlah datang daripada dirinya, atau daripada hasil akal fikirannya atau hasil kajian tadabburnya. Jadi, apabila disuruh “Qul..”, maka baginda akan memberitahu apa yang baginda diberitahu. Ini menunjukkan bahawa berita yang dibawa itu datang daripada Allah SWT. Ini adalah untuk menepis pendapat yang mengatakan Al-Quran itu buatan Rasulullah SAW. Jika buatan Rasulullah, tidak perlu baginda menyuruh dirinya sendiri memberitahu orang lain dengan menulis “Katakan Ya Rasululah...”. Sesungguhnya perintah itu datang daripada Allah SWT, dan setiap kali ada perkataan “Qul…”, maka apa sahaja yang disampaikan adalah tepat seperti apa yang disurh Allah SWT.

“… Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, …”
Dalam hal ini, Allah menyuruh Rasullulah SAW menyampaikan kepada ahli kitab -yakni mereka diajak bersemuka untuk berdiskusi dan bertukar fikiran. Apakah perkara yang diajak Nabi SAW untuk berbincang bersama mereka? Mereka tidak diajak untuk membincangkan tentang syariat kerana ianya boleh berbeza daripada satu Nabi kepada Nabi yang lain. Kita tidak boleh mempertikaikan syariat Nabi terdahulu dengan syariat kita. Syariat kita ialah hak kita dan nabi-nabi terdahulu pun tiada hak untuk mempertikaikannya.  Firman Allah, “Masing-masing aku jadikan syariat untuk masing-masing umat itu”. Ini sesuai dengan sifat Allah yang bilamana mengkehendaki sesuatu hukuman di sana boleh, di sini tak boleh, maka terpulang kepada hal al-syariah. Maka, dalam hal ini, perkara yang Nabi SAW ingin bincangkan dengan ahli kitab ialah perkara yang teras, yang tiada beza antara satu Nabi dengan Nabi yang lain, bermula daripada Nabi Adam sehingga kepada Nabi Muhammad SAW, iaitu 3 perkara utama dalam hal akidah  Nabi mengajak mereka kembali kepada satu ketetapan yang sama dan adil iaitu:

Pertama: Mari kita sama-sama berdiskusi dan kembali kepada “kalimatin sawak” – iaitu satu ketetapan yang adil, yang sama, yang tidak berbeza antara nabi yang diutuskan – iaitu untuk kami tidak menyembah kecuali kepada Allah. Subhanallah, dalam Al-Quran, ada ‘balaghah’ dalam perletakan huruf dan ayat itu. Ada orang menyembah kepada Allah, tetapi bersama dengan Allah, dia juga menyembah kepada yang lain. Dia percaya kepada Allah, tetapi bersama-sama itu dia juga percaya kepada perkara lain yang boleh mendatangkan manfaat atau mudarat ke atas dirinya. Tetapi bilamana disebut:

“Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.”

‘Sighah*’ ini sudah menunjukkan bahawa tiada selain Allah yang berhak disembah. Ini ialah perkara yang prinsip dan jelas kepada setiap manusia – wajib mengenal kepada dirinya sendiri – adakah dia menyedari yang dirinya hamba atau tidak? Ini tidak memerlukan kepada pemikiran, tadabbur,  atau tafakkur yang lama. Seseorang itu mesti jelas dirinya itu siapa? Orang yang tidak menyedari dirinya hamba boleh tergelincir mengaku dirinya tuhan seperti yang berlaku pada Firaun dan Namrud. Jika tidak mengaku dirinya tuhan kepada orang lain, seseorang boleh mengaku dia tuhan untuk dirinya sendiri. Orang yang mengenal dirinya sebagai hamba akan mencari Tuhannya. Kata pepatah – “Orang yag tahu dirinya, pasti tahu Tuhannya.”  Orang yang tahu dirinya hamba dan dimiliki, maka dia akan mencari tuannya. Jika kita kata ibu bapa kita memiliki kita, maka siapa yang memiliki ibu bapa kita pula? Jika pemiliknya datuk nenek kita, maka seterusnya siapa pula pemilik kepada mereka itu?  Ini akan bersambung terus-menerus sehinggalah kepada Nabi Adam. Sesungguhnya tiada pemilik mutlak melainkan Allah SWT. Oleh itu, prinsip kepada seorang hamba ialah mengenal pasti dirinya sebagai hamba kepada Allah SWT.

“…, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak  sekutukan dengan-Nya sesuatu jua pun..”

Kedua: Yahudi dan Kristian mengaku bahawa mereka menyembah kepada Allah SWT, tetapi:


mereka tidak dibenarkan menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun. Dalam syahadah, kita mengucap yang bermaksud, “Tiada yang berhak disembah melainkan Allah SWT”. Maka hanya Allah yang layak disembah. Menyekutukan Allah dengan menyembah yang lain adalah bercanggah dalam prinsip akidah.

“..dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja atau didewa-dewakan selain dari Allah….”


itu kata jamak kepada perkataan “Rabbun” yang bermaksud yang memiliki. Jadi, “Arba” bermaksud orang-orang yang memiliki. Apa yang dimaksudkan ialah orang Yahudi dan Kristian menjadikan paderi/ulamak mereka seperti Tuhan, dengan menerima kata-kata ulama/paderi mereka yang menghalalkan apa yang Allah haramkan atau mengharamkan apa yang Allah halalkan. Contohnya” mereka dilarang memancing hari Sabtu, tapi mereka berkata tidak mengapa jika memasang perangkap pada hari Jumaat malam. Contoh kedua: Semasa diminta berperang masuk ke Baitulmaqdis, mereka menjawab, “Kamu pergi dengan Tuhan kamu di sana, kami tunggu di sini. Kalau kamu sudah selesai, baru kami masuk sama.”

Dalam surah At-Taubah, ayat 31:


Dalam ayat ini disebutkan bahawa mereka mengambil “Ahba” (ulama Yahudi) dan “Ruhba” (ulama Kristian) mempunyai kuasa seperti Tuhan. Perkataan “Arbaban” ialah jamak daripada perkataan “Rabbun”. Di antara makna lain “Arbab” ialah mereka sujud ( dengan maksud menyembah) kepada ulama’/paderi atau orang yang mereka agung-agungkan (raja). Inilah masalah yang ada pada kaum Yahudi dan Kristian yang menjadikan raja/ulama mereka mempunyai kuasa seperti. Mereka menjadikan ulama’ atau raja sebagai “Arbaban”. Salah seorang jururunding – Ribi’ ibni Amir yang dihantar Sy. Umar Al-Khattab r.a, untuk berunding dengan Rustum, iaitu Raja Persia. Rustum berkata, “Sediakan segala jenis kemewahan yang kita miliki”. Maka istananya dihias – dipasang permaidani indah yang disepanjangnya diletakkan bantal yang sarungnya daripada sutera untuk menyambut kedatangan jururunding tersebut. Namun, Ribi’ ibni Amir* datang dengan pakaian yang sederhana, masuk dengan tombaknya yang ditusuk ke dalam bantal-bantal bersarung sutera itu, dan berjalan dengan seliparnya yang kotor di atas permaidani indah yang dibentangkan. Matanya sedikitpun tidak terpikat dengan keduniaan menjadi kebanggan bagi mereka. Bagi orang merasa kebanggaannya dengan Allah, maka dia takkan merasa kebanggaan dengan selain daripada Allah. Rustum pun bertanya apa yang diingin oleh Ribi’ yang sedikitpun tidak merasa takjub dengan keindahan istana beliau. Jawabnya, “Kami ialah orang yang diutus oleh Allah.” Kata Al-Habib Umar bin Hafez, Ribi’ mengatakan “Kami diutus Allah”, tetapi bukankah sebenarnya yang diutus Allah ialah Rasulullah? Jadi, kenapa dia cakap begitu? Kami disini merujuk kepada kaum muslimim – kerana masing-masing yang membawa risalah Rasulullah adalah diutus oleh Allah SWT walaupun perutusannya itu bukan bersifat kerasulan atau kenabian, tetapi sebagai pewaris kepada para rasul dan anbiya’, maka mereka juga adalah diutuskan oleh Allah untuk menyebarkan agama Allah.

“Kami diutus oleh Allah untuk mengusir keluar daripada orang menyembah orang lain untuk menyembah kepada Allah SWT, dan untuk mengeluarkan orang daripada kezaliman menuju kepada keadilan di dalam Islam.”

Ketika Rustum keluar, semua menterinya sujud kepadanya. Kata Rabi’i, “Saya tidak pernah melihat orang sebodoh kamu semua – yakni kamu sujud makhluk kepada makhluk.” Orang yang sujud itu pun menyedari, dan berkata, “Betul juga kata dia, mengapa kita sujud hormat kepadanya?”

Ada orang menggunakan ayat ini kepada orang yang taat kepada gurunya dan menganggap mereka menjadikan guru mereka seperti ulama Yahudi/Kristian yang mempunyai kuasa seperti tuhan. Tetapi bukankah kita disuruh untuk bermusyawarah? Dan salah satu adab bermusyawarah ialah mengajak orang yang lebih adil,  dan lebih berwawasan daripada kita. Jadi, salah seorang yang sesuai untuk diajak bermusyawarah ialah guru kita, tetapi ini bukan bermakna orang yang bermusyawarah dengan gurunya itunya menjadikan gurunya sebagai tuhan. Apa salahnya bermusyawarah? Nabi SAW juga bermusyawarah bersama para sahabatnya r.a. Yang menjadi salah ialah apabila menjadikan orang lain berkuasa seperti Tuhan.

“Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling, maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.”

Jika mereka tidak mahu untuk menyembah Allah, dan tidak menyekutukan Allah, dan mereka menjadikan Isa anak Allah, dan sebahagian mereka menjadikan Uzir anak Allah, dan mereka tidak mahu menerima untuk tidak menjadikan satu dengan satu yang lain berkuasa menghalalkan/mengharamkan sesuatu sesuka hati, atau menyuruh orang lain sujud kepada orang lain, maka beritahu sahaja bahawa orang Islam menyerah kepada Allah Ta’ala dan tidak akan melakukan apa yang dilakukan oleh Kristian dan Yahudi.

Rasulullah SAW menghantar surat kepada semua pemerintah kerajaan Rom, Persia dan lain-lain lagi. Salah satunya, Rasulullah megutus Dehya Al-Karim* untuk menghantar surat kepada Hercules. Suratnya berbunyi:

بسم الله الرحمن الرحيم
Daripada Muhammad, hamba Allah dan Rasul-Nya, kepada Hercules, Raja Rom. Saya mengajak kamu memeluk kepada Islam. Jika kamu masuk Islam, kamu selamat dan kamu tidak akan menanggung dosa orang-orang yang ikut kepada kamu.

Dalam surat ini, baginda menjaga adab dengan menyebut “Raja” kepada Hercules walaupun beliau juga merupakan hamba Allah. Baginda menjaga adab dengan meletakkan orang tepat kepada tempatnya dan gelaran itu tidak menjadi halangan untuk kita berinteraksi dengan orang itu, tidak kira jika gelaran itu sesuai atau tidak dengan dirinya. Baginda menggunakan gelaran itu kerana disebaliknya ada tujuan yang lebih agung daripada itu. Baginda menyuruh menghormati orang yang datang kepada kita sepertimana dia dihormati oleh kaumnya.

Huraian ayat 65:

Orang Yahudi mengatakan Nabi Ibrahim beragama Yahudi, manakala orang Kristian pula mengatakan yang Nabi Ibrahim beragama Kristian. Lalu Allah menjawab dengan bertanya kepada mereka bukankah kitab Taurat dan Injil yang menjadi pegangan kamu itu diturunkan setelah zaman Nabi Ibrahim. Bagaimana pula Nabi Ibrahim boleh beragama dengan kitab yang turun selepas zamannya? Jadi, adalah lebih wajar jika mereka mengatakan mereka beragama seperti Nabi Ibrahim, kerana Nabi Ibrahim datang sebelum mereka. Oleh sebab itu, jelas bahawa Nabi Ibrahim bukan beragama Yahudi mahupun Kristian, tetapi berada dalam agama yang hanifah, yakni agama yang lurus. Agama yang dimaksudkan di sini ialah agama yang tauhid. Agama Yahudi dan Kristian yang sebelum diubah memang benar. Kalau kitab Taurat dan Injil tidak diubah, barulah boleh dikatakan agama Nabi Ibrahim sesuai dengan agama Yahudi atau Kristian, tetapi hal ini tidak benar kerana kitab-kitab tersebut telah diubah.

Huraian ayat 66:

Mereka berdebat dengan meninggalkan perkara-perkara iman yang mereka tahu dan mengambil perkara-perkara yang mereka tak tahu kebenarannya. Maksudnya - kaum Yahudi dan Kristian mengetahui sifat-sifat Rasulullah daripada apa yang diceritakan di dalam kitab Taurat dan Injil. Mereka tahu dan melihat banyak bukti. Kata Abdullah bin Salam, “Kami mengenali Rasulullah lebih daripada kami mengenal anak kami sendiri.” dan dia pun memeluk Islam. Tetapi dia meminta perkara itu dirahsiakan kepada kaumnya. Apabila kaumnya ditanya tentang dia, mereka mengatakan yang beliau ialah seorang yang baik, dan anak kepada orang yang baik. Setelah mengetahui yang dia memeluk Islam, mereka mengubah pendapat tentangnya 180 darjah dengan mengatakan yang dia orang yang buruk, dan anak kepada orang yang buruk. Ada ramai juag orang Yahudi yang beriman kepada Nabi kerana apa yang termaktub dalam kitab Taurat.

Dalam beberapa pengepungan yang berlaku, salah satunya apabila satu kaum Bani Buraidah* yang dikepung Nabi selama 15 hari, maka ketua kaum itu pun berkata, “Kita ada 3 pilihan iaitu:
Kita beriman dengan orang ini yang kita tahu dia diutus Allah SWT dan sifatnya ada dalam kitab kita.
Ada yang membankang, lalu ketuanya memberi pilihan kedua: “Kita bunuh anak dan isteri kita, dan kemudian kita keluar untuk melawan mereka. Jadi, jika kita mati maka kita tidak meninggalkan harta untuk menjadi menjadi rampasan kepada pasukan mereka.” Kaumnya menolak juga lalu ketuanya memberi mereka pilihan ketiga iaitu keluar berperang. Pilihan itu pun ditolak juga. Sebenarnya ada banyak kisah lagi yang menunjukkan bahawa orang Yahudi dan Krisitan tahu bahawa Nabi SAW ialah nabi yang benar.

Walaupun sudah jelas sifatnya, mereka tetap menolak kenabian Rasulullah SAW. Mereka meragui hal yang mereka tahu, dan meyakini perkara yang mereka ragui. Mereka tahu tentang sifat Nabi Muhammad SAW tetapi menolaknya, dan mereka mereka mendakwa mereka tahu tentang Nabi Ibrahim sedangkan jarak masa zaman Nabi Ibrahim dengan mereka beribu tahun. Antara Nabi Isa dengan Nabi Musa, jaraknya ialah 2 ribu tahun, manakala antara Nabi Musa dengan Nabi Ibrahim pula lebih kuran seribu tahun lebih. Mereka meragui perkara yang jelas mereka tahu dan meyakini perkara yang mereka tak tahu semata-mata kerana mengikut hawa nafsu. Kata pepatah - Pandangan yang suka kepada sesuatu takkan menampakkan aib padanya, walaupaun aib itu diseluruh badannya.

Huraian ayat 67 & 68:



Orang yang lebih hampir kepada Nabi Ibrahim ialah Nabi Muhammad SAW dan orang yang beriman bersama Rasulullah, dan bukanlah kaum Yahudi atau Kristian kerana mereka telah mengubah kitab yang diturunkan kepada mereka. Jika mereka tidak mengubahnya, maka ajaran kitab mereka akan selari dengan agama Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW, kerana prisip setiap agama yang dibawa para Nabi ialah satu, cuma syariatnya yang berbeza-beza.

Nota: * - Mohon maaf kerana berkemungkinan besar salah ejaan. Mohon teguran jika ada yang tahu. Jzkk.

والله أعلمُ بالـصـواب

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab