Tentang Haji (3) - Tanyalah Ustaz 18.08.2013

بسم الله الرحمن الرحيم

Ustaz Mohd Salahuddin Mohamed

Bacaan surah Al-Baqarah ayat 197:

Fokus hari ini ialah manfaat setelah mengerjakan haji seperti yang dicatat oleh Syeikh Dr. Mohd Zulhairi* dalam kitabnya yang berjudul Fiqh Islami*.

Sabda Nabi SAW dalam hadis baginda, “Barangsiapa yang mengerjakan haji dan didalamnya dia tidak mengucapkan kata-kata yang tidak senonoh, tidak berbuat fasiq, maka dia kembali sebagaimana dia dilahirkan.”

Antaranya catatan Syeikh Dr. Mohd Zulhairi ialah:
  1. Allah menghapuskan dosa kecil. Setelah ulama lain mengatakan dosa besar juga akan dihapuskan
  2. Membersihkan diri dan menjauhkan diri daripada maksiat
  3. Jiwa menjadi bersih dalam tajdid (meneruskan) kehidupan
  4. Menambah sifat ehsan dengan Allah SWT dengan menjaga keikhlasan kepada Allah
  5. Meneguhkan dan menguatkan cita-cita melalui cabaran yang dilalui ketika mengerjakan ibadah haji
  6. Mengukuhkan sangkaan baik kepada Allah – walaupun ada sangat ramai orang, tapi Allah tetap beri ruang untuk setiap yang pergi tawaf, wuquf dan sebagainya.
  7. Menambah dan meningkatkan keimanan – dengan keyakinan iman, kita akan bergantung dan meminta pada Allah semata-mata, dan bukan minta pada Jabal Rahmah, atau pada kelambu Kaabah, dan lain-lain
  8. Memperbaharui tajdid ketaatan kepada Allah SWT – balik dengan azam dan semangat baru untuk patuh pada Allah
  9. Bertaubat dengan penuh keikhlasan dan mengharapkan keampunan kepada Allah SWT
  10. Mendidik jiwa dan melembutkan perasaan kemanusiaan – ketika di sana, kita patuh mengikut turutan ibadah
  11. Menambahkan sifat dan tingkatan ehsan dalam ibadah – di Mekah, kita berpeluang beribadat terus di hadapan Kaabah
  12. Mengimbau nostalgia keagungan Islam – mengimbau sejarah Nabi SAW dan para sahabat memperjuangkan Islam
  13. Mengajar erti kesabaran dan pengorbanan – bersabar ketika dalam ihram, tidak bertengkar dan seumpamanya.
  14. Mengajar kita untuk memahami iltizam dan istiqamah dalam Islam – seperti dalam kisah gajah Abrahah: Gajah itu tidak salah, yang salah tuannya: Abrah. Gajah itu faham yang perbuataanya salah dan melawan. Kita tidak boleh menyembunyikan perkara yang benar terutamanya yang berkaitan hal agama. Setelah balik dari haji, kita perlu memperbaiki diri dan menambah ilmu. Banyakan berdoa untuk diberi petunjuk ketika di Mekah.
  15. Menzahirkan kesyukuran kepada Allah – dengan mentaati perintah dan larangan Allah. Zahirkan juga nikmat harta dan nikmat kesihatan yang Allah beri. Begitu juga nikmat ilmu yang membimbing kita ke jalan yang betul. Nikmat iman juga perlu kita syukuri dan banyak nikmat lain seperti – nikmat ukhuwah, nikmat ketaqwaan, nikmat akal dan banyak lagi.
  16. Menanam roh ubudiiyah yang sempurna dalam diri
Jauhkan sikap sombong ketika menunaikan ibadah haji. Jangan membanding-bandingkan kelebihan pakej-pakej haji yang berbeza.

Dalam apa jua yang kita lakukan, renungkan agar bila kita hidup, pahala kita hidup, dan bila kita mati, dosa kita mati, tetapi biarlah pahala kita terus hidup. Jangan kita biarkan kita mati tetapi dosa kita masih hidup.

Senarai soalan dan jawapan
S: Adakah betul Jabal Rahmah tempat mustajab doa untuk bertemu jodoh?
J: Jabal Rahmah dikatakan tempat Nabi Adam dan Hawa’ bertemu, namun tiada dalil sahih yang menyebut kelebihannya. Ramai orang kita pergi ke sana untuk berdoa, dan menulis nama di batu putih. Ini tidak sepatutnya dilakukan kerana jika seseorang percaya dengan perkara ini, ianya boleh membawa kepada kurafat. Tempat yang baik berdoa ialah di Padang Arafah, ketika wuquf dan di Masjidil Haram.

S: Ada pendapat mengatakan orang yang baru pulang haji tidak boleh keluar rumah kerana takut hilang pahala/berkat hajinya?
J: Perkara ini banyak berlaku dalam masyarakat. Sebenarnya ini ialah fahaman yang salah. Tiada diajar pun kepada kita perkara sebegitu. Perbuatan kita biarlah berpandukan ilmu yang benar. Jangan kita menambah syariat yang tidak wujud dalam agama. Sepatutnya kita lebih bersemangat memperbaiki silaturrahim dan semangat kejiranan selepas haji.

S: Sekiranya hari wuquf pada hari Jumaat, dikatakan Jemaah akan mendapat haji akbar. Mohon penjelasan.
J: Ini memang menjadi persoalan dalam masyarakat. Sebenarnya ibadat haji itu sendiri ialah ibadat yang besar. Imam As-Shauri* telah menjawab bagi mengelak masyarakat membanding-bandingkan nasib orang yang mendapat wuquf pada hari Jumaat dan bukan hari Jumaat. Beliau menyebut bahawa semua orang yang mengerjakan haji mendapat haji akbar dan hari kemenangan. Secara ringkas disebutkan bahawa haji akbar ialah apabila seseorang itu menunaikan wuquf di Arafah, dan haji ‘kecil’ pula ialah umrah. Prof. Dr. Hamka juga ada menyebut berkaitan hal ini, mohon dirujuk untuk mengetahui dengan lebih terperinci. Ada hadis yang disebarkan yang menyebut tentang kelebihan wuquf pada hari Jumaat, namun hadis ini dikatakan batil oleh ulama hadis. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dan tidak menyebarkan sesuatu yang tidak sahih.

S: Ada  yang mengatakan haji tidak sempurna jika tidak dapat solat sunat di Raudhah kerana keadaan yang sesak. Mohon penjelasan ustaz?
J: Jika keadaan tidak mengizinkan, jangan pula menjadi sebab untuk rasa haji tidak sempurna. Tujuan utama kita ialah untuk mendapat kelebihan ibadah haji. Jika tidak dapat solat di Raudhah, kejar saf yang pertama kerana ada disebut kelebihannya dalam hadis Nabi SAW. Jangan terpengaruh dengan kata-kata rakan-rakan sekeliling.  Jangan kerana ingin mengejar Raudah kita menolak dan mengasari orang lain. Kita beribadaha berdasarkan ilmu, bukan cakap-cakap orang sekeliling.

S: Adakah dosa berganda jika dilakukan di Tanah Haram?
J: Dalam hadis Nabi SAW menyebut gandaan pahala solat yang dilakukan di Masjidil Haram. Tetapi tiada disebut tentang gandaan dosa. Namun, jika kita melakukan dosa, maka selain daripada dosa, kita juga tidak menjaga adab sebagai tetamu Allah.

* - Mohon maaf sekiranya berlaku kesilapan dalam ejaan

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab