Bebas Bukan Terbabas (2) - Tanyalah Ustaz 31.08.2013


بسم الله الرحمن الرحيم
Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman


Bacaan surah Yusuf, ayat 32-35:


Semoga hari kemerdekaan yang kita sambut hari ini memberi erti kemerdekaan yang sebenarnya. Kenapa saya memilih ayat berkaitan penjara sedangkan kita bercakap tentang soal kebebasan? Sebab ayat ini memurnikan kebebasan dalam erti kata yang sebenar, dalam erti kata yang lebih menepati maksud kebebasan. Bilamana Nabi Yusuf diuji oleh ibu angkatnya sendiri, ketika dia berusia remaja dengan rupa yang tampan, dia memilih untuk masuk penjara. Kenapa Nabi Yusuf memilih penjara dan berdoa pula dengan mengatakan yang penjara itu lebih baik bagi dirinya? Inilah orang yang memahami erti kebebasan yang sebenar. Menurut Imam Ibnu Taimiyyah – orang yang berada di dalam kesempitan, terutamanya nabi-nabi, akan menukar suasana kesempitan kepada nikmat dan kegembiraan beramal dan bermunajat kepada Allah. Bagi mereka, kebebasan tidak tersekat dengan terkurung di dalam penjara, tetapi kebebasan itu datang apabila mereka bebas untuk mengamalkan agama, bebas mentaati Allah dengan ikhlas dan lepas hati daripada pengaruh dan pujukan manusia. Inilah yang Nabi Yusuf ajar kepada kita – walaupun dia ada pilihan untuk duduk dalam istana yang hebat, namun kerana ujian hebat datang daripada ibu angkat dan wanita-wanita pembesar yang terpikat dengan ketampanannya, maka semua itu menjadi keserabutan dalam jiwanya sehingga dia rela memilih untuk masuk penjara, walaupun fizikalnya akn terkurung tetapi minda, hati dan jiwanya luas bebas untuk bersama Allah Ta’ala. Inilah takrifan sebenar kebebasan dan kemerdekaan.

Manusia biasanya inginkan kebebasan yang tiada hadnya. Namun, inginkan anda jika rumah anda dimasuki sesiapa sahaja tanpa sempadan? Inginkah anda jika anda tengah mandi ada jiran masuk  dan bertanya, “Hai, buat apa tu?”.  Adakah anda ingin begitu atau anda inginkan sedikit kekangan? Semua makhluk yang ada di bumi ini ada had dan batasan yang tersendiri.

Sempena Hari Kemerdekaan ke-56, kita ingin belajar erti kebebasan daripada alam. Pernah tak kita lihat matahari bebas menyinarkan cahayanya sehingga malam hari? Tidak, itu tidak berlaku. Dalam surah Al-Qasas, Allah sebutkan kejadian malam dan siang dan menyuruh kita berfikir mengenainya. Matahari pun tahu batasannya bila untuk bersinar, dan bila untuk melabuhkan tirai sinarnya. Begitu juga dengan angin. Angin tidak bertiup sesuka hatinya. Jika angin buat begitu, maka susahlah kapal-kapal pelayaran. Hujan pun tutun mengikut peraturannya. Ayam pun tahu berkokok pada waktu Subuh sahaja. Anjing yang menyalak pun tahu berhenti. Kita lihat alam ini ada norma dan panduannya. Kita pun perlu mengaplikasikan yang sama dalam kehidupan. Bagaimana dengan pemimpin yang menggunakan kuasa tanpa had? Kita nak ke pemimpin sebegitu? Pemimpin yang menggunakan harta rakyat sesuka hatinya? Bolehkah begitu? Adakah ini bentuk kebebasan yang kita inginkan? Inilah sedikit sebagai panduan. Bayangkan jika kita dah biasa lalu jalan yang ada lampu isyarat, dan suatu hari, lampu isyarat itu rosak. Pada masa itu, baru kita sedar, alangkah bergunanya lampu isyarat itu. Begitulah kepentingan batasan-batasan yang diletakkan dalam kehidupan kita.

Hari ini dibawakan banyak contoh berkaitan haiwan. Bukannya apa - kadang-kadang kerana manusia terlalu bangga dengan kemanusiaannya, dan sibuk memikirkan pelbagai sehingga lupa perkara-perkara yang asas dan melupakan Allah Ta’ala dan tidak mengambil pengajaran daripada alam sekeliling dan makhluk yang Allah jadikan.

Kita mahu bebas dalam dikawal oleh agama. Nabi SAW ada menyebut dalam satu hadis yang bermaksud, “Dunia ini penjara bagi orang Islam, dan syurga dan riang-ria bagi orang kafir.” Hadis ini tarafnya marfu’ bersumberkan daripada Muslim daripada Abu Hurairah r.a. Al-Hasan menyambung untuk menjelaskan hadis ini – Oleh kerana orang beriman itu duduk seperti dalam penjara, maka dia ada had dan batasan dalam perkara yang ingin dilakukannya. Orang yang betul-betul duduk dalam penjara pula ada kalanya menyentuh Al-Quran lebih banyak daripada ketika dia di luar penjara.

Allah SWT mengajar untuk kita mengikuti syariat. Allah berikan kita panduan melalui Al-Quran untuk kita belajar dan memahaminya. Allah beri kita Rasulullah SAW sebagai hadiah terhebat untuk kita belajar sunnahnya dan memahaminya agar dapat kita aplikasikan dalam kehidupan. Oleh itu, mari kita beri makna baru kepada kebebasan, dan mari beri makna yang lebih asli kepada kemerdekaan iaitu merdeka daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan hidup di akhirat, daripada penyembahan total kepada manusia kepada penyembahan total kepada Allah SWT.

Senarai soalan dan jawapan
S: Setengah orang menggunakan alasan kebebasan beragama untuk menukar agama. Mohon penjelasan ustaz?
J: Memang tiada paksaan dalam beragama tetapi agama yang benar ialah Islam. Jika kita sudah ada yang terbaik, mengapa kita ingin memilih sesuatu yang kurang baik? Kebebasan beragama di negara kita bermaksud kita sebagai Islam bebas mengamalkan syariat agama kita mengikut ahli sunnah wal jamaah, dan penganut agama lain bebas mengamalkan agama mereka selagi mereka tidak melakukan apa-apa penentangan kepada agama yang lain. Namun, ada yang menyangka sekiranya mereka berumur 18 tahun, maka mereka bebas untuk memilih agama sendiri. Ini tidak benar bagi seorang Muslim kerana mereka terikat dengan hukum murtad. Orang yang sudah Islam hendaklah memilih jalan yang benar, iaitu seperti yang Nabi SAW sebutkan, “Apa yang aku berada di atasnya, dan sahabat-sahabatku itulah jalan yang akan menyelamatkan daripada api neraka.’ Umat Islam dikatakan akan berpecah kepada 73 kumpulan, dan hanya 1 kumpulan iaitu yang mengikut ahli sunnah wal jamaah yang akan terselamat. Maka inilah yang sepatutnya kita pilih. Jangan kita tertipu dengan syiah yang menyesatkan.

S: Ada pihak menggunakan alasan hak asasi manusia untuk memperjuangkan kebebasan seperti LGBT, feminisma dsb. Apa nasihat ustaz kepada mereka?
J: Kita perlu faham apa ‘asasi’ manusia terlebih dahulu – Manusia perlu bertindak atas asas yang diberi Allah Ta’ala. Orang biasa membincangkan hak asasi manusia (HAM) tapi orang jarang membincangkan hak asasi beragama, hak asasi kepada Allah. Mana boleh lelaki dan wanita untuk diletakkan pada paras yang sama – sebabnya mudah sahaja iaitu perempuan ada haid, lelaki tak boleh ada haid! Lagi satu misalan – pernah tak tuan/puan lihat binatang bebas sehingga tiada had. Contohnya – anjing – bolehkah keluar-masuk rumah orang Islam sesuka hatinya? Tidak, tidak boleh. Kenapa saya bawa contoh haiwan? Jika manusia itu tidak dapat berfikir melebihi haiwan, maka haiwan itu lebih hebat daripada manusia. Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud, “Orang yang ada hati tetapi tidak mahu memahami, orang yang ada mata tetapi tidak mahu melihat dan memikirkan dan menaqqulli, orang yang ada telinga tetapi tidak mahu mendengar apa yang datang daripada Allah, mereka itu umpama binatang ternak, bahkan mereka lebih teruk daripada itu.” Haiwan pun tidak bebas sehingga keluar daripada norma kehaiwanan mereka. Adakah anda pernah mendengar cerita buaya ‘berkahwin’ dengan zirafah? Kenapa saya bawa contoh begini? Kerana jika buaya tahu ia perlu bersama buaya, zirafah bersama zirafah, kucing bersama kucing, kenapa manusia yang sudah dijadikan lelaki untuk bersama perempuan ingin mencari yang sebaliknya? Lihatlah kepada alam ini, kerana alam ini sudah mengajar kita erti kebebasan yang ada had, yang bukan sehingga terbabas dan keluar daripada norma kebiasaan.

S: Bagaimana untuk aplikasi kebebasan untuk anak-anak remaja yang tidak suka dikongkong? Apakah panduan yang diberikan agama?
J: Zaman remaja memang zaman untuk mereka ingin mencuba segalanya. Ada remaja tidak kisah dikurung di rumah kerana mereka menggunakan masa itu untuk membaca buku dan mengggunakan internet untuk menambah ilmu dan mendekatkan diri kepada Allah. Namun kepada remaja yang sebaliknya, sekiranya anda marah kepada ibu bapa sekalipun, apabila susah atau kesempitan, anda pasti akan kembali kepada mereka juga. Kepada remaja yang ingin mengikut budaya hedonisme atau ingin mengikut sesuatu kumpulan contohnya, anda sebenarnya tidak bebas kerana anda terpaksa mengikut apa yang orang lain buat. Orang itu yang akan diadikan ‘tuhan’ anda kerana anda akan mengikut pakaiannya, cara kehidupannya dan segala yang berkaitan. Kebebasan yang hakiki ialah kebebasan untuk mengamalkan syariat Allah SWT. Apa itu syariat Allah? Itulah yang anda perlu pelajari. Semalam telah disebutkan bagaimana remaja Ashabul Kahfi rela berkurung dalam gua asalkan bebas untuk mengikut syariat Allah. Memang tidak dinafikan yang remaja memang ingin mencuba pelbagai perkara, jadi sekiranya perkara itu tidak menyalahi syariat, maka ibu bapa boleh membenarkan. Remaja ialah satu tempoh usia yang sangat hebat, ramai orang termasuk saya sendiri ingin kembali ke zaman itu. Jadi, remaja perlu sedar bahawa zaman itu adalah zaman penuh kekuatan dan sepatutnya menggunakan masa itu untuk mencuba benda-benda yang baik dan memilih perkara yang baik. Setiap perkara yang dilakukan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, jadi fikir dahulu sebelum berbuat sesuatu agar dapat memilih aktiviti yang mengundang redha Allah dan bukannya kemurkaan Allah.

S: Ramai anak muda kita tidak faham erti perjuanagn kemerdekaan dan mereka lebih suka kepada hedonisme (hiburan). Apakah yang perlu dilakukan untuk menyuburkan kembali perasaan ini?
J: Umur 56 tahun ialah umur orang pencen yakni umur kematangan – dalam erti kata lain negara kita sepatutnya sudah matang untuk mengurus tadbir negara mengikut  perkara yang diredhai Allah. Saya ingin betulkan satu perkara – orang kita suka menyebut untuk mengikut acuan sendiri – kita sebenarnya tiada acuan sendiri! Kuih bahulu pun ada acuannya, dan acuan bagi sebagai manusia ialah Al-Quran dan sunnah. Ada beberapa nama pejuang kemerdekaan dahulu seperti Tok Janggut, Mat Kilau dan sebagainya. Mari kita lihat sejarah pada zaman Rasulullah SAW – mengikut ulasan guru penulisan saya – Ustaz Pahrol Mohd Juoi, katanya, “Nabi SAW dahulu duduk dalam kuasa Arab, di Mekad Arab, dan di Madinah pun Arab, tetapi Nabi SAW masih memperjuangkan kemerdekaan daripada Arab Jahiliyyah. Ini menunjukkan bahawa masih ada perkara yang belum selesai walaupun kekuasan pemerintahan berada di tangan orang Arab”.  Para pejuang kemerdekaan tanah Melayu dahulu kebanyakannya terdiri daripada kalangan ulama. Kenapa ulama yang menjadi tulang belakang perjuangan kemerdekaan? Inilah yang sebenarnya jarang disebut! Kerana mereka melihat penjajahan yang berlaku merosakkan agama Islam. Ini kerana penjajah datang dengan agama dan budaya mereka supaya diikuti orang tempatan. Oleh sebab itu, ulama memperjuangkan kemerdekaan agar agama kita terselamat. Kemerdekaan bukan semata-mata untuk memberi peluang orang kita sendiri memerintah. Kita jangan ingat jika orang kita sendiri yang memerintah, negara kita tidak akan rosak. Apa satu pepatah Arab: “Besi tidak boleh disumbingkan kecuali dengan besi”. Orang kita juga boleh meruntuhkan negara yang kita bina bersama. Para pejuang kemerdekaan dahulu berjuang agar kita merdeka untuk mengamalkan agama Allah agar kita mendapat kemerdekaan daripada neraka Allah.

S: Apakah pengajaran yang kita boleh ambil daripada insiden yang menimpa Palestin, Syria, Mesir dan negara Islam yang lain?
J: Kita selalu sebut, “Nasib baik kita duduk dalam negara yang aman”. Bila lagi kita nak merasakan yang ‘cubit peha kiri, peha kanan terasa juga?’. Bila lagi kita nak merasa nasib buruk yang menimpa umat Islam di negara lain itu nasib kita juga? Kita selalu sangat guna istilah – “Nasib baik…”. Saya ingin pinjam kata-kata Ustaz Heryanto yang menyebut tentang ‘chicken minded’ iaitu ‘minda ayam’. Apa dia ‘chicken-minded’?. Sekumpulan ayam berada dalam rebannya, kemudian datang tuannya mengambil beberapa ekor ayam, ayam yang terselamat pun berkata, “Nasib baik bukan aku”. Kemudian, beberapa ayam lain diambil sehingga tinggallah 2 ekor lagi. Kemudian seekor lagi diambil dan tinggal seekor saja. Ayam yang seekor itu fikirkan yang nasibnya baik kerana terselamat, tetapi tidak. Akhirnya ada orang yang ingin membeli ayam dan tuannya pun mengeluarkannya untuk disembelih. Pengajaran yang mudah: Jangan ingat konflik yang berlaku di negara mereka tak boleh berlaku di negara kita. Kita bersyukur pada Allah kerana kita masih selamat tetapi keperitan mereka harus menjadi keperitan kita juga, sengsara mereka harus menjadi sengsara kita juga, kesusahan mereka harus menjadi kesusahan kita juga. Jangan kita terlalu senang dengan kemewahan dan keamanan tetapi kita perlu bersyukur dengan memurnikan ketaatan kita kepada Allah Ta’ala.

S: Hari ini berlaku banyak pergaulan bebas di pejabat sehingga meruntuhkan rumah tangga. Apa saranan ustaz?
J: Selagi mana akhlak kita tidak mengikut syariat, selagi itulah kita akan terbabas. Perkara ini memang banyak berlaku, contohnya suami-isteri bergaduh di rumah dan mengadu dengan rakan sekerja berlainan jantina di pejabat atau mengadu di laman-laman atau aplikasi sosial. Sepatutnya, cuma hal pejabat yang dibincangkan di pejabat, dan bukan hal-hal lain yang tak berkaitan. Betul, jika dibiarkan, perkara sebegini boleh meruntuhkan rumahtangga. Syaitan akan sentiasa menghiasi keburukan sehingga manusia tertarik kepadanya. Manusia akan melakukan keburukan dan syaitan akan mentertawakannya. Akhirnya, apabila runtuh rumahtangga, syaitanlah yang akan ketawa. Manusia takkan ketawa ketika itu, kerana banyak yang perlu diselesaikan – turun-naik mahkamah dan macam-macam lagi. Dan belum tentu lagi seseorang itu akan berkahwin dengan teman yang baru setelah melalui pengalaman perceraian sebelum itu. Oleh itu, berfikirlah dengan kebebasan yang ada untuk melakukan yang lebih baik. Jika ada hasrat ingin menambah isteri, lihat dahulu keadaan dan kemampuan diri. Kita bebas keluar bekerja tetapi jangan sampai melanggar syariat.

  والله أعلمُ بالـصـواب



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab