Bebas Bukan Terbabas (1) - Tanyalah Ustaz 30.08.2013

بسم الله الرحمن الرحيم

Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman


Bacaan surah Al-Kahfi ayat 7-10:

Alhamdulillah kita dihimpunkan dalam ruang majlis ilmu yang sangat diberkati. Hari ini kita akan bincangkan tajuk berkaitan hari kemerdekaan – “Bebas jangan sampai terbabas.”

Kelebihan surah Kahfi ialah untuk dibaca pada setiap hari Jumaat kerana ianya akan memberi cahaya daripada satu Jumaat kepada Jumaat minggu seterusnya. Maksudnya, cahaya surah Kahfi ini tahannya cuma seminggu sahaja – bila sudah hampir seminggu itu maknanya ianya akan gelap semula, dan perlu dibaca semula untuk memperbaharui cahaya tersebut.

Saya memilih untuk membacakan ayat ayat-ayat ini kerana pada ayat ke-9 diceritakan bagaimana Nabi SAW ditanya berulang-kali tentang kisah umat terdahulu untuk menguji kerasulan baginda. Maka, Allah menurunkan wahyu untuk menceritakan kisah umat terdahulu sehingga seolah-olah Nabi SAW berada bersama-sama mereka dan mengalami situasi yang tersebut.

Dalam surah Al-Kahfi ada 4 kisah semuanya, iaitu, dan salah satunya ialah kisah Ashabul Kahfi: iaitu kisah pemuda yang lari bersembunyi ke dalam gua kerana tidak mahu diganggu kebebasan untuk beriman dan beribadah kepada Allah oleh pemerintah yang zalim. Kisah ini membuktikan kekuasaan Allah dalam pelbagai aspek. Mereka berlindung di dalam gua, dan Allah berikan mereka nikmat tidur sehingg 309 tahun setelah mereka berdoa dengan berkata:
“Ya Allah, kami inginkan rahmat dari sisi-Mu. Kurniakanlah kepada kami kemudahan, dan pimpinan kepada kami untuk kami melaksanakan urusan agama kami.” Daripada doa ini, mereka mentafsirkan erti kebebasan sebagai kebebasan untuk menunaikan urusan agama Allah.” Inilah erti kebebasan pada mereka sedangkan banyak masyarakat lain memberi makna kebebasan yang tiada batasan sehingga menyebabkan ramai daripada kita terbabas. Kebebasan mutlak hanyalah milik Allah SWT dan sebagai hamba kita tetap tertakluk pada undang-undang Allah.

Ada banyak bentuk bebas, tetapi apa-pun mesti ada batasannya. Daripada segi kebebasan memilih agama pula tiada kebebasan yang mutlak juga kerana Allah berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 85:

Dalam hal jiwa manusia, juga tiada hak mutlak. Oleh itu, manusia tiada hak untuk melakukan jenayahsewenang-wenangnya seperti membunuh, merogol dan seumpamanya kepada jiwa manusia yang lain.

Ada satu panduan daripada Nabi SAW tentang kebebasan yang sebenar. Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah telah memfardhukan sesuatu kefardhuan, jangan kamu buang/sia-siakan/tinggalkan kefardhuan itu. Allah telah tetapkan had-had, jangan kamu melanggarinya. Allah
Telah haramkan beberapa keharaman ke atas kamu, jangan kamu cuba bolosi keharaman itu. Allah diam terhadap beberapa perkara sebagai tanda rahmat ke atas kamu, jangan kamu terlalu ingin tahu sehingga kamu menjadi susah kerananya.”

Ada perkara yang Allah tidak sebut bukan kerana lupa tetapi sebagai rahmat kepada manusia kerana perkara itu menjadi harus hukumnya. Inilah maksud dan ruang lingkup kebebasan yang sebenarnya. Adakah kita mengguna-pakai prinsip ini dalam rumahtangga kita selama ini? Kita pelu menjaga kebebasan negara yang disayangi ini dengan mendekati dan mentaati  syariat Allah. Jika penduduk sesuatu tempat bertaqwa kepada Allah Ta’ala, Allah akan turunkan rahmat kepada mereka, dan ini ialah janji Allah. Kalau masyarakat itu sebaliknya, adakah kita akan bertaqwa apabila turun azab ke atas kita? Kata Imam Syafie dalam syairnya, “Kalau turun sahaja qadar Allah, dunia yang luas ini pun boleh menjadi sempit.

Senarai soalan dan jawapan
S: Semua orang ingin kebebasan dan tidak mahu dikongkong tetapi ramai yang menyalahgunakannya. Bagaimanakah merdeka daripada segi Islam?
J: Pada umumnya, masyarakat mendefinisi kebebasan sebagai suatu yang longgar, dan yang tiada batasan. Tetapi mengikut Islam, merdeka bukan sekadar merdeka dari sudut georgrafi sahaja, jika pentadbiran, dan pemikiran masih lagi terjajah. Jika dulu kita pernah dijajah oleh British, Portugis contohnya, dan hari ini kita lihat kesannya masih ada. Inilah yang disebut Pak Hamka kepada orang Indonesia sebagai “Lebih Belanda daripada orang Belanda”. Jadi, kita pun jangan “Lebih British daripada British” atau “lebih orang putih daripada orang putih” – iaitu muka Melayu tetapi perangai lebih teruk daripada … kalau disebut nanti jadi mengata orang pula. Oleh itu, kita perlu ikut erti kebebasan seperti yang diajar oleh Ashabul Kahfi ini (rujuk atas).

Dalam surah Ali-Imran, ayat 35:

Dalam ayat ini, ibu kepada Mariam berdoa dan bernazar dengan anak dalam kandungannya. Inilah cara bernazar yang betul – bernazar dengan apa yang kita telah ada, dan orang kita banyak salah mengamalkan dengan bernazar dengan benda yang kita belum ada seperti “Jika anak lulus periksa, aku puasa”. Pada zaman itu, ramai orang meletak anak lelaki untuk berkhidmat di masjid. Jadi, ibu Mariam pun bernazar agar anaknya itu diserahkan kepada masjid juga agar dapat bebas. Mujahid dan ulama-ulama lain mengatakan bebas ini bermaksud bebas melakukan ibadah kepada Allah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah dan bebas kebergantungan kepada dunia.

S:  Daripada berkumpul menyanyi, melalak tak tentu arah, mengapa tidak disiarkan rancangan atau filem berkaitan semangat mempertahankan negara seperti kisah Leftenan Adnan, atau kisah pahlawan Islam seperti Khalid Al-Walid sementara menanti detik 12 malam kemerdekaan?
J: Ini saranan yang sangat baik. Daripada duduk berembun membuang masa, dan berteriak “Merdeka, merdeka, merdeka!” yang tidak difahami pun ada maknanya. Orang yang merdeka sebenarnya tidur dan berehat pada detik 12 tengah malam, tetapi ada orang yang berasak-asak berkumpul di luar rumah pula. Sebenarnya sudah ada sedikit perubahan atau anjakan paradigma dalam masyarakat di mana orang sudah mula pergi qiyammullail pada malam Merdeka. Saya juga pernah cadangkan agar sambutan Hari Merdeka di buat di rumah-rumah Allah. Bila kita rasa merdeka, sepatutnya kita rasa bebas untuk beribadat sebanyak mana yang kita suka. Hari merdeka sepatutnya kita jadikan hari kita merdeka daripada neraka Allah Ta’ala, merdeka daripada kemurkaan Allah Ta’ala. Kita bangun awal pagi untuk qiyammullail. Para pejuang kemerdekaan sebenarnya berjuang untuk kebebasan beragama. Selain contoh Leftenan Adnan, ada seorang lagi iaitu ‘Leftenan’ Ribi’I ibni Amir, yang diutuskan untuk bertemu Maharaja Rom iaitu Rustum. Rustum cuba menghadiahkan pelbagai kemewahan, tetapi kata Ribi’i: “Allah utuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada menyembah kepada kepada manusia yang menyembah kepada Allah SWT, dan untuk mengeluarkan orang daripada kezaliman agama menuju kepada keadilan di dalam Islam dan daripada kesempitah kehidupan di dunia kepada keluasan kehidupan di akhirat.” Inilah satu kenyataan yang cukup kuat. Inilah definisi orang-orang soleh kepada kemerdekaan – inilah yang sesuai untuk kita perdengarkan ketika musim kemerdekaaan. Begitu juga dengan kisah-kisah pembebasan Konstanstinopel oleh Sultan Fateh. Walaupun orang dulu-dulu ada yang berkumpul di padang merdeka, tapi saya yakin ramai juga antara mereka yang sujud syukur kepada Allah atas kemerdekaan yang dikurniakan Allah. Inilah tujuan utama kemerdekaan agar mendapat kebebasan untuk beribadah mengikut syariat Allah SWT.

S: Apa pendapat ustaz dengan kejadian jenayah seperti bunuh, rogol, rompak yang semakin menular?
J: Inilah orang yang menyalah-ertikan kebebasan yang diberikan. Seperti yang disebutkan, manusia tiada hak untuk menzalimi jiwa manusia lain dalam apa jua bentuk, contohnya – bunuh, memfitnah, dll. Nabi SAW ada menyebut bahawa cuma ada 3 nyawa manusia yang dihalalkan untuk dibunuh iaitu orang berkahwin yang berzina, orang yang bunuh orang dan orang yang murtad. Sesungguhnya Nabi SAW telah menyebut tentang kepentingan menjaga hak jiwa, harta, kehormatan orang lain dalam khutbah terakhirnya. Seorang sahabat pernah mendatangi Rasululah SAW dan bertanya, “Apakah itu kebaikan dan keburukan”. Jawab baginda, “Kebaikan itu ialah sesuatu yang jiwa rasa seronok dengannya, adapun dosa dan keburukan pula seperti kudis dalam jiwa/hati dan membuatkan seseorang itu rasa tidak selesa”.  Dalam hadis lain juga ada disebut bahawa keburukan itu ialah sesuatu yang kita tidak mahu orang lain tahu mengenainya. Sebenarnya orang yang berbuat salah tetap berasa tidak tenang, walaupun pada pandangannya nampak bebas berbuat apa yang disukainya. Sebenarnya kita perlu kembali kepada agama, kerana apabila kita terlalu bebas daripada agama, ianya menjadi punca kepada pelbagai jenayah. Walaupun negara kita merdeka, namun kita tidak rasa selamat untuk membiarkan anak-anak kita keluar. Kita perlu kembali kepada agama agar lebih selamat.

S: Dalam rumahtangga, mohon penjelasan ustaz tentang kebebasan yang betul bagi  suami-isteri, kerana ada kalanya suami-isteri tidak pandai menyesuaikan diri dengan perbezaan hidup sebelum dan selepas kahwin sehinggakan setelah berkahwin pun suami/isteri suka keluar bebas ke mana-mana yang disukai, dan ada juga yang bercerai untuk mendapatkan kebebasan?
J: Dalam Al-Quran, Allah berfirman bahawa “Antara tanda-tanda kekuasaan Allah dalam sebuah rumahtangga ialah Allah menjadikan kamu pasangan”. Perceraian bukanlah sesuatu yang memberi kebebasan hakiki, kerana mungkin akan terpaksa menanggung lebih banyak tanggungjawab  dengan adanya anak. Apabila berkahwin, kita sebenarnya telah membuktikan salah satu tanda kekuasaan Allah, jadi takkanlah kita ingin menghancurkannya dengan kelemahan, kekurangan ilmu dan dan kerendahan iman kita. Rumahtangga itu untuk memberi ketenangan. Jadi, lelaki yang berkahwin mesti memahami tanggungjawabnya dan tidak boleh sewenang-wenangnya keluar bebas. Suami tidak boleh mengabaikan hak dan tanggungjawab kepada anak dan isteri. Isteri pula wajib mendapatkan izin suami sebelum keluar. Ikutlah garis-panduan yang telah ditetapkan dalam Islam.

S: Kita hidup perlu bebas menunaikan ibadah seperti yang telah disyariatkan, dengan mentaati suruhan dan meninggalkan larangan. Betulkah ketaatan mengundang rahmat, dan keingkaran mengundang musibah?
J: Soalan ini boleh dijadikan kesimpulan hari ini. Kita perlu ikut suruhan Allah dan jauhi larangan-Nya. Kita bebas mengejar rahmat Allah tetapi kita tidak boleh langgar hak Allah Ta’ala. Kenyataan itu betul, Apabila kita syukur dengan melakukan ketaatan, maka Allah janji untuk menambahkan nikmat-Nya, tetapi apabila kita kufur dengan melakukan kemungkaran, maka azab Allah akan menimpa kita. Kata Ubai bin Kaab, “Jika Allah boleh memberi kamu rezeki tiba-tiba tanpa disangka-sangka, jangan kamu menyangka yang Allah tidak boleh menarik nikmat yang kamu ada daripada sumber yang kamu tidak sangka-sangka.” Oleh itu, kita perlu menjaga hubungan kita dengan Allah. Kita perlu seimbangkan (wasatiyyah) keperluan kehidupan dan akhirat kita. Kita tidak mahu bawa kapal yang senget sebelah. Ini memang tidak mudah untuk dilakukan, namun kita perlu berusaha, dan memohon ampun dan panduan daripada Allah. Berilah hak kepada yang berhak menerima.

 والله أعلمُ بالـصـواب

Popular Posts