Tafsir ayat 56-64, surah Ali-Imran, MTDM 21.06.2013

بسم الله الرحمن الرحيم


Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza, 21.06.2013



Huraian ayat 56:

Dalam rentetan ayat yang lalu, Allah menceritakan bagaimana Nabi Isa mengajak pengikutnya menjadi pembantu kepada agama Allah, yakni membantu dengan menjaga, menegakkan, mengamalkan, dan tidak mengabaikan syariat Allah. Ini kerana Nabi Isa a.s. menyedari rancangan Bani Israel untuk membunuh dirinya yang menjadi penghalang kepada perbuatan mungkar mereka. Jadi, Bani Israel merasa tergugat dengan dakwah Nabi Isa yang menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah kepada yang mungkar sedangkan mereka suka kepada perbuatan yang mungkar itu. Oleh kerana risau tiada orang yang akan menyambung dakwahnya, Nabi Isa pun mencari pertolongan kepada golongan Hawariyyun iaitu penolong agama Allah.

Pengikut Nabi Isa pun terbahagi kepada dua – pertama ialah golongan yang ingin membunuh Nabi Isa dan kedua ialah golongan Hawariyyun yang membantu agama Allah dan membela Nabi Isa. Dalam ayat 56 ini, orang yang kufur kepada Nabi Isa dan orang yang kufur kepada ajaran agama Allah secara keseluruhan akan diazab dengan azab yang pedih. Jika Allah sebut ‘azab’ sahaja, sudah pasti ianya takkan dapat ditandingi oleh mana-mana azab di dunia ini. Tetapi Allah sebut ‘azab yang keras/pedih’ dan perkataan pedih itu relatif kepada kekuasaan Allah. Contohnya, jika seorang budak kecil memukul, dan seorang petinju kelas berat memukul, walaupun perbuatan mereka sama iaitu memukul, tetapi kesannya tidak sama kerana mengikut siapa yang melakukannya. Oleh itu Allah menyatakan dengan ‘azab yang pedih’, maka tiada otak yang akan dapat memikirkan atau membayangkan tahap kepedihannya.

Azab pedih ini bukan saja di dunia, bahkan juga diakhirat nanti. Ada contoh azab kepada mereka pada zaman Nabi SAW ialah bayaran jizyah kepada pemerintah, kekalahan dalam peperangan. Pada hari ini, azab yang diberikan ialah dalam bentuk istidraj, yakni dibiarkan mereka berada dalam kemewahan dan kezaliman. Semakin besar kezaliman yang mereka lakukan, maka semakin besar balasan yang disediakan Allah untuk mereka. Apabila tiba azab Allah, maka tidak ada yang dapat menolong mereka. Walaupun di dunia ada yang membantu perbuatan mungkar mereka, tetapi nanti di akhirat, mereka semua akan sama-sama disiksa di neraka.

Huraian ayat 57:

Di dalam Al-Quran, sentiasa digandingkan perkataan iman dengan amal yang soleh. Ini kerana iman itu perbuatan hati, dan amal soleh ialah perbuatan badan (fizikal). Adalah tidak mencukupi bilamana kita mengakui keimanan di dalam hati tanpa diterjemah dalam bentuk amal perbuatan.

Seseorang itu akan dilabel mengikut amal perbuatannya – contohnya jika nampak seseorang suka pergi masjid, maka barulah boleh dikatakan dia kaki masjid. Jika nampak seseorang suka memberi, maka baru dikatakan dia pemurah. Jika nampak seseorang suka berkongsi ilmu dan ilmunya berkesan, maka baru dikatakan seseorang itu alim. Samalah juga dengan iman – seseorang akan dikatakan beriman bilamana dia menterjemahkannya dalam bentuk amal perbuatan. Tanpanya, seseorang tidak boleh mengaku dirinya beriman – sepertimana orang mengaku pemurah tetapi dia tidak suka memberi dan seumpamanya.

Iman tidak cukup hanya di dalam hati, walaupun itu akarnya. Seumpama pokok, batangnya takkan berdiri tanpa akar yang kuat di bawahnya, yakni iman. Sabda Nabi Rasulullah SAW, “Iman itu yang bersemadi di dalam hati, dan diterjemah oleh amal perbuatan”.

Dalam ayat ini disebut perkataan: , yang membawa maksud ‘amal soleh yang banyak’. Jadi, orang beriman itu banyak amal solehnya. Orang beriman takkan berasa amalnya banyak, kerana setelah melakukan beberapa amalan, dia sedar masih ada amalan lain yang belum dilakukan. Sebagai contoh, jika seseorang sudah melakukan solat sunat ratib, dan qabliyah misalnya, masih ada lagi solat sunat lain seperti solat sunat taubat, hajat yang belum dilakukan. Jadi dia akan senantiasa menambah amalannya.

Huraian ayat 58:

Dalam ayat ini, perkataan  merujuk kepada kisah-kisah kebesaran Allah yang diceritakan dalam Al-Quran. Dalam surah ini, ianya bermula dengan:
  • Kisah ibu Siti Mariam yang telah sekian lama mengimpikan zuriat, tidak mendapatnya sehinggalah pada usia lanjut yang kebiasaanya wanita tidak lagi boleh hamil dan ini merupakan satu bentuk keajaiban.
  • Dengan lahirnya Siti Mariam, beliau ditempatkan di mihrab dan mendapat keajaiban makanan tanpa dibawa orang kepadanya, bahkan makanan yang diperolehi itu di luar musimnya.
  • Seterusnya keajaiban Siti Mariam melahirkan anak tanpa seorang suami
  • Nabi Isa juga adalah sebahagian ayat kebesaran Allah iaitu sedari kecil lagi telah mula bercakap.
  • Nabi Zakaria dan isterinya yang telah lanjut usia juga diberi zuriat dan terus diberi nama Nabi Yahya oleh Allah SWT.

 Ada berapa banyak lagi ‘ayat’ yang Allah ceritakan dalam Al-Quran?

Perkataanmerujuk kepada Al-Quran. Al-Quran mempunyai banyak nama, antaranya Al-Kitab, Al-Zikra dan banyak lagi. Seterusnya disebut Al-Hakim yang bermaksud kebijaksaan untuk meyakinkan pembaca Al-Quran bahawa tiada yang dusta di dalamnya, bahkan setiap kalimah dan lafaznya terkandung kebijaksanaan tersendiri. Bukan setakat itu, terdapat banyak rahsia dan pengajaran yang kita boleh ambil daripada kandungan Al-Quran. Contohnya – kisah ibu Mariam yang bernazar dengan anaknya – walaupun kisah itu singkat, namun ada banyak pengajarannya - inilah ‘hakiim’ yakni kebijaksanaan. Oleh kerana itu, pembaca Al-Quran tidak boleh memikirkan yang Al-Quran mempunyai cerita yang merepek atau yang tidak masuk akal. Kandungan Al-Quran itu semuanya penuh rahsia dan kebijaksanaan.


Huraian ayat 59:


Ayat ini turun dengan sebab – sekumpulan kaum Kristian daripada tempat bernama Najran yang terletak berdekatan Yaman datang ke Madinah dan berjumpa Nabi SAW. Mereka berkata: “Kenapa kamu ini mencaci orang yang mempunyai kedudukan teramat agung di sisi kami (merujuk kepada Nabi Isa)?”. Rasulullah SAW pun bertanya kembali apakah cacian yang dimaksudkan mereka.  Mereka menjelaskan yang mereka marah dengan perkataan Nabi SAW yang mengatakan bahawa Nabi Isa ialah anak kepada Mariam yang suci, dan dihembuskan rohnya ke dalam perut Mariam sehingga melahirkan Isa. Mereka bertanya Nabi SAW, “Bagaimana pandangan kamu tentang seseorang yang boleh ada tanpa ayah? Adakah itu manusia? Jika manusia, tentu ada ayah.  Oleh kerana tiada ayah, maka Isa bukan manusia”. Mereka memberi pendapat mengikut hukum lojik akal mereka. Oleh kerana mereka menggunakan lojik, maka Allah menjawa menjawab dalam bentuk lojik juga, tetapi dengan lebih hebat. Allah menjawab dengan ayat di atas.

Allah menyamakan penciptaan Nabi Adam dengan Nabi Isa. Allah hanya menyebut ‘Kun’ (jadilah), maka jadilah mereka. Tetapi antara mereka, Nabi Adam lebih hebat penciptaanya kerana Nabi Adam langsung tiada ayah atau ibu, sedangkan Nabi Isa sekurang-kurangnya mempunyai ibu. Ini belum lagi dipersoalkan tentang kejadian Hawak, yang berasal daripada sulbi Nabi Adam. Kaum Kristian meyakini hembusan roh kepada perut Mariam itu mempunyai unsur ketuhanan. Oleh itu bagi mereka Nabi Isa itu bukan manusia sepenuhnya, kerana dia mempunyai unsur ketuhanan dalam dirinya. Tetapi mereka lupa yang kejadian Nabi Adam sebenarnya lebih hebat lagi. Sepatutnya, jika dibandingkan kejadian keduanya, mereka sepatutnya mengambil Nabi Adam sebagai tuhan mereka. Tetapi bukan itu yang mereka lakukan. Bahkan yang turut boleh dipersoalkan kepada mereka ialah Nabi Isa hanya ada pada zaman mereka, tetapi sebelum Nabi Isa siapa yang menjadi tuhan kaum mereka yang sebelumnya. Walaupun ada kepincangan dalam kepercayaan mereka, mereka tetapi tidak menerima kebenaran yang dibawa Nabi SAW. Inilah cara pemikiran yang mengikut hawa nafsu, sehingga perkara yang tidak masuk akal pun diolah-olah menjadi seperti satu kebenaran.

Huraian ayat 60 & 61:


Dalam ayat 60, Allah menegaskan agar jangan sesekali kita menjadi orang yang meragui Allah.

Dalam ayat 61: Setelah diberikan hujah secara lojik, namun jika mereka masih menolak, maka Allah menyuruh mengajak mereka bermubahalah. Mubahalah ialah doa minta laknat kepada pihak yang berdusta. Nabi SAW mencabar mereka, dan baginda mengajak membawa anak-anak, perempuan (ahli keluarga) bersama diri mereka. Mengapa anak dan isteri yang dibawa bersama? Ini kerana merekalah orang paling rapat dengan diri kita.

Mereka yang benar akan berdoa jika mereka berdusta, maka laknat akan menimpa diri dan juga keluarga mereka sekali. Oleh itu, hanya orang yang betul-betul yakin sahaja akan berani melafazkan sumpah sedemikian. Kaum Bani Najran itu meminta tempoh malam hari untuk membincangkannya dan berjanji berjumpa keesokan harinya. 

Pada malam itu, baginda Nabi SAW pun memanggil Hasan dan Husin, Ali bin Abi Talib, dan juga Siti Fatimah. Dalam ayat itu disebutkan 3 golongan – anak, perempuan dan diri. Hasan dan Husin didatangkan sebagai mewakili anak Nabi SAW, Siti Fatimah sebagai wakil perempuan dan Nabi SAW dan Ali sebagai wakil dirinya. Ini menunjukkan bahawa Nabi SAW diberi keistimewaan mendapat anak lelaki melalui cucunya, kerana anak lelaki Baginda tiada yang panjang umurnya. Nabi SAW juga pernah bersabda yang bermaksud, “Dua orang ini adalah anak aku melalui Fatimah”. Secara nasab memanglah Hasan dan Husin bin Ali (anak kepada Ali), tetapi di sisi Allah, kedudukan Hasan dan Husin adalah seperti anak Nabi SAW.  

Oleh itu, mereka yang menafikan Nabi SAW tidak mempunyai zuriat lelaki adalah tidak benar kerana zuriat untuk Nabi SAW datang melalui ibu, dan bukan melalui ayah seperti orang biasa. Inilah yang dinyatakan dalam ayat ini iaitu: iaitu anak-anak kami yang merujuk kepada Rasulullah SAW. Kaum Kristian pun bermesyurat dan seorang yang terkenal beranama ‘Aqid berkata, “Tiada orang yang berani mencabar Nabi meminta doa laknat kecuali orang itu akan dibinasakan oleh Allah SWT. Jadi, jika kamu sayangkan diri dan keluarga kamu dan keturunan yang akan dilahirkan daripada kamu, kamu esok jangan keluar kerana kita tahu bahawa dia adalah seorang Nabi yang benar.”

Maka, hasilnya esok mereka pun bertemu Rasulullah SAW dan berkata yang mereka tidak bersedia untuk mubahalah. Mereka cuma meminta agar mereka tidak diperangi, dan mereka bersedia membayar jizyah 2 kali setahun (setiap kali bulan Safar dan bulan Rejab) sebagai tanda mengalah. Maka, baginda Nabi SAW pun menerima perdamaian itu dan tidak memaksa mereka menerima Islam.

Huraian ayat 62 dan 63:

Walaupun Quran ini mengandungi firman Allah Yang Maha Benar, tetapi Allah masih menyebut lagi tentang kebenaran kisah yang dibawakan agar manusia tiada yang ragu-ragu atau mempersoalkan kandungan Al-Quran.

p/s: Mohon maaf dan teguran atas kekurangan/kesalahan yang berlaku.

والله أعلمُ بالـصـواب

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab