Doa Malaikat – Tanyalah Ustazah 2013

بسم الله الرحمن الرحيم

Ustazah Norhafizah Musa

Credit to TV9

Bacaan surah Al-Ghafir, ayat 7-8:

Bagi kita, jika dapat minta orang soleh mendoakan kita, akan sudah rasa lapang hati. Tetapi apabila kita bercakap tentang malaikat, iaitu makhluk yang sentiasa mentaati Allah, maka doa mereka pasti lebih hebat.

Senarai soalan dan jawapan
S: Siapakah malaikat dan makna keimanan kepada mereka?
J: Menurut Syed Thabit dalam kitab Aqidah Mukmin – malaikat ialah kelompok tertinggi yang termasuk hal-hal ghaib. Malaikat ada di sekeliling kita tetapi kita tidak nampak. Untuk meyakini mereka, kita perlu melalui Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Mereka ini disucikan Allah daripada nafsu dan syahwat, daripada maksiat dan kesalahan. Pernah suatu hari, malaikat menyerupai lelaki kacak dan pergi menemui Nabi Ibrahim, seperti yang dikisahkan dalah surah Hud, ayat 69-73. Antara ayat itu berbunyi:

Setelah melihat lelaki-lelaki itu tidak menjamah makanan yang dihidangkan, maka tahulah Nabi Ibrahim bahawa mereka ialah malaikat yang diutuskan Allah dan beliau pun berasa cemas.

Malaikat diciptakan daripada cahaya. Apbila menyebut apa makna iman kita kepada malaikat, maka Imam Sayuthi menjelaskan 3 perkara iaitu:
Membenarkan dan meyakini kewujudan mereka. Kadang-kadang kita tengok ada pari-pari atau ‘fairy’ dalam filem/drama, jangan samakan itu dengan malaikat, itu bukan malaikat. Malaikat itu ghaib.
Menerima mereka sesuai dengan peranan mereka. Jangan merendahkan mereka atau menjadikan mereka sekutu kepada Allah. Inilah yang Nabi Ibrahim ajarkan ketika peristiwa dia ingin dibakar, dan beliau menolak untuk meminta bantuan kepada malaikat Jibril dan hanya meminta kepada Allah.
Meyakini bahawa di antara malaikat ada yang dilantik menjadi pesuruh untuk menyampaikan wahyu kepada manusia ataupun kalangan malaikat sendiri.

S: Boleh tak ustazah berikan gambaran malaikat mengikut hadis nabi SAW?
J: Nabi SAW, ketika bangun tahajjud akan menyebut nama-nama malaikat untuk menguatkan keimanannya kepada kewujudan malaikat. Baginda berdoa dengan menyebut, “Wahai Allah, Tuhan kepada malaikat Jibril, Tuhan kepada malaikat Makail, Tuhan kepada malaikat Israfil, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dan seluruhnya….”.  Antara petikan hadis yang menyebut tentang malaikat berbunyi, Nabi SAW bersabda, “Aku ini diberi Allah beri kelebihan untuk lihat apa yang kamu tidak boleh lihat, wahai manusia, dan aku boleh dengar apa yang kamu tidak boleh dengar”. Antara perkara yang Nabi SAW boleh mendengar ialah jeritan langit. Mengapa langit menjerit? Kerana tiada satu tempat pun di atas langit yang seluas 4 jari, kecuali di sana ada malaikat yang sedang sujud kepada Allah. Subhanallah. Langit yang luas terbentang dipenuhi malaikat yang sujud dan bertasbih kepada Allah. Nabi SAW bersabda, “Jika kamu mengetahui hakikat apa yang aku ketahui, pasti kamu akan sedikit ketawa. Kamu akan selalu menagis, dan kamu rela tinggalkan perempuan-perempuan (isteri) kamu pergi ke bukit-bukit untuk merayu dan merintih kepada Allah Ta’ala. ” Ada gambaran kedua yang Nabi SAW tentang rupa sebenar Jibril yang diperlihatkan kepada baginda.  Nabi SAW menyebut dalam hadisnya, “Jibril mempuyai 600 sayap, yang padanya keluar cahaya-cahaya umpama permata dan berlian. Setiap satu sayap itu, jika dikembangkan akan meliputi ufuk timur dan barat.”. Seperti manusia, malaikat juga mempunyai tingkatan yang berbeza dan ada yang dibezakan mengikut bilangan sayap mereka.

S: Ada tak malaikat mendoakan orang yang buat maksiat / Ada tak malaikat mendoakan keburukan untuk manusia?
J: Menurut Prof. Sulaiman Ashqar: Manusia perlu jaga adab dengan malaikat  yakni jangan disakiti mereka. Malaikat akan sakit apabila manusia membuat maksiat ataupun bau yang busuk dan tajam. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang makan bawang merah atau putih dalam keadaan mentah, janganlah mendekati masjid kerana malaikat akan tersakit dengan bau busuk itu.” Umar r.a pernah menasihatkan agar mematikan bau bawang dengan memasaknya. Pernah sekali ada sahabat yang busuk datang ke masjid, dan dia disuruh Nabi SAW untuk bergerak menjauhi masjid sehinggalah dia berada di perkuburan Baqi’ kerana baginda SAW tidak mahu bau busuk itu menyakiti para malaikat. Namun, secara umumnya, ada beberapa golongan yang didoakan keburukan oleh malaikat:

  • Orang yang kedekut dengan hartanya. Setiap pagi, malaikat akan mendoakan orang yang kedekut dengan doa, “Ya Allah, hancurkan harta orang-orang yang kedekut”. Manakala orang yang bersedekah pula akan didoakan, “Ya Allah, gantikanlah pemberian mereka dengan pemberian yang lebih baik.”
  • Anak-anak yang derhaka kepada ibu-bapanya.
  • Orang yang tidak berpuasa Ramadhan tanpa sebab yang dibenarkan.
  • Orang yang tidak berselawat apabila mendengar nama Nabi SAW disebut
  • Isteri yang mengingkari suami. Apabila isteri menolak ajakan suami untuk bersama, maka malaikat akan melaknat isteri tersebut sehinggalah waktu Subuh. Dalam hadis lain, Nabi SAW menjelaskan bahawa seluruh yang dilangit (tak terhitung bilangannya) akan marah kepada isteri yang menolak ajakan suaminya sehinggalah suaminya kembali redha kepadanya. Namun, sebagai suami pula, mereka perlu menjaga amanah isteri yang telah dinikahi.
S: Apa tugasan hakiki malaikat dan hubungannya dengan manusia?
J: Ada banyak tugas malaikat yang tak mampu untuk diperincikan dalam rancangan yang agak terbatas ini. Namun, yang utama sekali ialah Allah ciptakan malaikat  dengan satu tugas yang besar iaitu sentiasa bertasbih memuji Allah SWT. Oleh itu, sekiranya kita bertasbih, seumpama kita ini bersama para malaikat. Dalam surah Al-Syura, ayat 5:

Daripada ayat ini - Malaikat memohon berterusan untuk diampunkan dosa manusia yang berbuat maksiat. Di Baitul Makmur pula, yang bertempat setentang dengan Kaabah di bumi.  Nabi SAW menyebut bahawa ada masjid (tempat sujud) di langit, dan itulah Baitul Makmur yang Allah ciptakan setiap hari 70 ribu malaikat masuk untuk memuji Allah dan tidak keluar-keluar lagi.

S: Selain daripada 10 malaikat yang kita tahu, ada berapa jumlah keseluruhannya?
J: Tidak terhitung jumlahnya – semua itu tanda kebesaran dan kehebatan Allah. Oleh itu, orang yang berbuat maksiat, perlu sedar bahawa maksiatnya itu sedikitpun tidak menggugat kedudukan Allah. Setiap hari tidak terhitung makhluk Allah yang memuji-Nya, yang kita tak terhitung pun dan itulah tanda kebesaran Allah. Nabi SAW diizinikan menceritakan tentang 8 malaikat yang memikul arasy Allah. Nabi SAW menceritakan bahawa antara hujung telinga dan bahu adalah sejuah tempoh perjalanan 700 tahun. Inilah kebehatan Allah. Antara tugasan malaikat ialah seperti malaikat Jibril yang menjadi ketua malaikat, malaikat Ridhuan yang menjaga syurga, malaikat Malik yang menjaga neraka, dan malaikat yang memberi rezeki dan banyak lagi. Malaikat ada dimana-mana kecuali ditandas dan ketika hubungan suami-isteri. Disamping itu, setiap daripada kita mempunyai malaikat yang menjaga kita disamping 2 malaikat di kiri kanan yang mencatat amalan baik atau buruk kita.

S: Apakah kesan didoakan malaikat?
J: Ada banyak, antaranya:
Malaikat ialah golongan yang dekat dengan Allah, maka hampir-hampir mustahil doa mereka tidak diterima Allah. Dalam kisah perang Badar, di mana cuma 313 tentera Islam perlu menghadapi 1000 orang tentera musyrik, maka Nabi SAW dan para sahabat merayu-rayu meminta bantuan daripada Allah. Maka apa yang berlaku seperti disebut dalam surah Al-Anfal ayat 9:

Berduyun-duyun malaikat yang diturunkan Allah menjadi seperti rupa manusia yang naik kuda dengan bunyi yang sangat menakutkan, dan berkata, “Maralah wahai kuda”. Tentera Muslimin pun terpukau melihat ramainya ‘tentera’ yang baru tiba itu. Kemudian, Umar menceritakan, ketika dia nampak tentera musuh mengeluarkan pedangnya, tiba-tiba kepalanya sudah terpenggal jatuh ke tanah. Umar pun berasa hairan dan ini sebenarnya adalah bantuan malaikat Allah. Jibril pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimanakah sahabat-sahabat yang turun ke Perang Badar, dan Nabi SAW menjawab mengatakan mereka ialah sahabat yang paling utama. Kemudian Jibril pun berkata, “Jika begitu, malaikat-malaikat yang menyertai Perang Badar juga merupakan malaikat-malaikat yang paling utama. Maka, InshaAllah jika malaikat mendoakan kita, kita akan mendapat rahmat Allah.

S: Mohon ustazah menjelaskan ungakapan “Simpang malaikat 44”?
J: Kepada sesiapa yang masih menggunakan ungkapan ini, mohon berhentilah kerana ungakapan ini tiada maknanya pun. Jika ingin perlindungan sebutlah ‘Wal ‘iya zubillah’ yang bermaksud kita memohon perlindungan daripada Allah daripada perkara yang kita takutkan.

S: Jika kita baca surah Ad-Dhukan, dikatakan kita akan didoakan 70 ribu malaikat . Mohon penjelasan ustazah?
J: Sebenarnya, jika kita membaca Al-Quran, tidak kiralah surah yang mana sekalipun, kita akan didoakan malaikat. Malaikat sentiasa mendoakan orang-orang yang berbuat baik. Orang-orang yang meminta doa atau membaca Quran pada waktu Sahur, maka malaikatlah yang menjadi saksi dan mendoakan dia.

S: Siapakah golongan yang didoakan malaikat?
J: Ada beberapa golongan yang disebutkan secara nas. Antaranya ialah:
  1. Orang yang menanti waktu solat, yakni orang yang bersedia lebih awal dan siap berwudhuk ketika waktu masuk. Selama mana dia menunggu, selama itulah malaikat mendoakan  - “Ya Allah ampunkan dia, Ya Allah kasihanilah (rahmatilah) dia”. Dalam hadis lain, baginda Nabi SAW menyebut yang ringkasnya bermaksud, “Sekiranya manusia mengetahui pahala azan dan saf terawal, maka manusia akan membuat undian untuk mendapatkannya. Sekiranya manusia tahu pahala solat di awal waktu, pasti manusia, pasti kamu semua akan berlumba-lumba menyegerakan solat. Dalam hadis lain, Nabi SAW menyebut “Jika manusia tahu pahala solat Isyak dan Subuh berjemaah, pasti manusia akan mendatanginya walaupun terpaksa merangkak.”
  2. Orang yang melawat orang sakit. Orang kita hari ini ada ‘penyakit’ malas menjenguk orang sakit sedangkan Nabi SAW bersabda, “Mana-mana orang yang pergi ziarah saudaranya yang sakit, maka Allah akan mengutuskan 70 ribu malaikat mendoakan kesejahteraan untuknya, rahmat untuknya, keampunan untuknya, jika dia pergi pagi – daripada pagi sampai petang, jika dia pergi petang – daripada petang sampai pagi. Mudah-mudahan selepas ini, kita segera melawat saudara/kenalan kita yang sakit untuk merebut kelebihan ini.
  3. Orang yang duduk ditikar solat selepas solat. Tidak dinafikan, ada orang terus bangkit dengan segera selepas solat kerana sibuk dengan kerja. Tetapi orang yang duduk akan didoakan malaikat selama mana tidak batal wudhuknya, dengan doa “Ya Allah ampunkan dia, Ya Allah kasihanilah (rahmatilah) dia.” Disamping itu, waktu selepas solat merupakan waktu mustajab doa seperti yang disebut dalam hadis Baginda SAW, riwayat Ahmad. Jadi, bila kita duduk sebelum dan selepas solat, kita bukanlah duduk seorang diri di situ, tetapi kita berada bersama lautan malaikat sebenarnya.
  4. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa diketahui saudaranya itu. Doa itu adalah doa mustajab, bahkan dia didoakan pula oleh para malaikat. Sabda Nabi SAW, “Selama mana seorang mukmin mendoakan sahabatnya, maka malaikat akan datang dekat dengan ubun-ubunnya dan berkata, “Amin, amin, amin (Ya Allah, perkenanklah) dan untuk kamu juga sama seperti mana yang kamu minta untuk sahahat kamu.” Oleh itu, kita jangan kedekut doa – kita selalu doa, “Ya Allah, sembuhkan anakku, kayakan aku…”, dan seumpamanya, tetapi semuanya saya, saya, saya. Sekarang kita tukar kepada kami – biar ramai sedikit yang merasa doa kita.
  5. Orang yang berwudhuk sebelum tidur. Biasanya kita dah letih, terus tidur saja. Tetapi Allah telah berikan ‘tawaran’ kepada kita. Sabda Nabi SAW, “Barangsiapa yang tidur dalam keadaan berwudhuk, maka Allah utuskan malaikat tambahan pada ubun-ubunnya khusus untuk mendoakan dirinya dengan doa – Ya Allah, ampunkanlah dosa hamba-Mu kerana dia telah berwudhuk sebelum tidur.” Ada orang pandang remeh soal ini dan terus tidur tanpa wudhuk, tetapi bagi orang yang hatinya kuat dan mengharapkan keampunan Allah, maka dia akan mujahadah untuk berwudhuk sebelum tidur. Bila malaikat mendoakan, kita kan cenderung untuk mudah bangun qiyammullail.
  6. Orang yang berada dalam majlis ilmu. Oleh itu, orang yang berada dalam majlis ilmu biasanya tenang kerana ada banyak malaikat, tetapi janganlah sampai tenang sehingga tertidur pula. 
S: Saya ingin melawat saudara yang sakit, tetapi tidak mengetahui alamatnya. Adakah saya mendapat pahala serupa melawat orang yang sakit?
J: InshaAllah, Allah yang Maha Pemurah akan memberikan pahala yang sama.

S: Adakah menonton majlis ilmu di rumah mendapat sama kelebihan seperti menghadiri majlis ilmu di masjid?
J: InshaAllah akan mendapat pahala dan doa para malaikat, tetapi kita tidak boleh menafikan kelebihan menghadiri majlis ilmu secara bertalaqqi (berhadapan) kerana setiap langkah yang ambil akan meninggikan darjat seseorang berbanding orang yang tidak perlu bergerak sekiranya berada di rumah sahaja. Kemudian, dengan datang ke majlis ilmu akan dapat mengeratkan silaturrahim yang juga akan membawa pahala, begitu juga apabila melihat wajah guru. Oleh itu menghadiri secara langsung adalah jauh lebih baik, tetapi daripada tidak dengar langsung, menonton di TV juga ada manfaatnya.

Rumusan:
Segala yang ustazah sebutkan daripada ayat Al-Quran, dan hadis Nabi SAW – Tidakkah semuanya menggambarkan betapa hebatnya Allah SWT, yang kekuasaaan-Nya meliputi langit dan bumi? Ini sepatutnya menjadikan kita rendah diri dan tawadhuk dengan Allah dan  terasa untuk  ingin bersama-sama golongan malaikat yang bertasbih memuji Allah. Dalam kitab ‘Aqidah Muslim’, tulis Syed Thabit ada disebut siapakah yang lebih istimewa antara manusia dengan malaikat? Agak-agak apa jawapannya? Manusia yang beriman kepada Allah, yang mentaati perintah Allah, menjauhi kemungkaran mempunyai tingkatan yang lebih istimewa daripada malaikat. Ini kerana kita diberi nafsu dan syaitan yang mengganggu, dan apabila kita berjaya melawan mereka, maka kita telah lulus ujian daripada Allah.  Oleh itu, mari kita bersama berusaha untuk menempatkan diri bersama malaikat dengan melakukan segala kebaikan dan jauhkan daripada larangan Allah.

والله أعلمُ بالـصـواب

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab