7 Wasiat Allah SWT dalam Surah Hujurat - Maulid MTDM Feb 2014

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 

Maulid Bulanan Majlis Ta'lim Darul Murtadza (Februari 2014)


Sumber rakaman: 

Tausiyah Jemputan
Ustaz Mohd Hazri Hashim*
Pemimpin Majlis Ta’lim Darul Muhajirin


Bacaan surah Al-Anbiya, ayat 107:

Semakin dekat kita kepada rahmat Allah, maka semakin dekatlah kita kepada kecintaan kepada Allah SWT, dan jalan untuk mendapat kasih sayang Allah Ta'ala adalah dengan mengikuti dan menteladani Rasulullah SAW. Umpama timur dan barat, utara dan selatan, semakin kita dekat dengan rahmat Allah, semakin kita jauh daripada maksiat dan kemurkaan Allah. Kita berpaling daripada rahmat Allah Ta'ala maksudnya kita, Na’uzubillahiminzalik, mendekat kepada kemurakann Allah Ta'ala.

Imam Al-Baghawi menyatakan yang cinta kepada seseorang terbahagi kepada tiga, iaitu:

  • -       Cinta kerana hormat, contoh: cinta kepada ibu bapa
  • -       Cinta kerana perasaan kasihan dan rahim seperti cinta kita kepada anak-anak dan pasangan kita
  • -       Cinta kerana mengharapkan kebaikan daripada orang yang kita cintai sebagiamana cinta antara kita satu sama lain
Namun kecintaan kita kepada baginda Rasulullah SAW  mesti melebihi ketiga-tiga cinta tadi dan kecintaan itu bukan saja datang daripada naluri tetapi juga daripada keimanan kerana ia merupakan tuntutan iman untuk kita mencintai Rasulullah SAW. Oleh sebab itu para sahabat sanggup mengatakan, “Saya jadikan batang leherku sebagai penebus kepada lehermu.” Sebagaiamana yang dikatakan oleh Abu Talhah Zaid bin Zahri** r.a. Begitu juga dengan Talhah bin Ubaidillah dengan kesungguhan beliau menjadikan dirinya perisai yang mempertahankan baginda Rasulullah SAW apabila melihat Rasulullah SAW jatuh tersungkur dalam Perang Uhud. Ketika dalam kecamukan perang, beliau ke depan, beliau ke belakang, beliau ke kiri, beliau ke kanan, beliau menunduk untuk mengangkat baginda Rasulullah SAW yang berpakaian baju besi yang berat sehingga tak mampu untuk Rasulullah SAW bangun, dan Talhah tidak menghiraukan kecederaan pada diri beliau sehinggakan bila beliau ditetak sehingga putus tangannya dan dia tersungkur. Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq atau Sayyidina Ubaidah bin Jarra’ yang datang membantu dan menangkat Talhah dan melihat luka-luka yang dalam itu  sehingga dikatakan ada luka yang boleh dimasukkan tangan. Beliau juga diberi gelaran – “Sesiapa yang ingin melihat seseorang yang telah benar-benar menunaikan rasa cintanya kepada Rasulullah SAW, lihatlah kepada Talhal bin Ubaidillah.”


Tausiyah Maulid – Wasiat dalam surah Al-Hujurat
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid*
Pemimpin Majlis Ta’lim Darul Murtadza


Tiada wasiat yang lebih agung selain daripada wasiat Allah SWT, dan sebaik-baik manusia ialah yang mahu mendengar dan mengamalkan wasiat Allah SWT. Moga Allah SWT menjadikan kita orang yang layak menerima wasiat itu dan menunaikan apa yang menjadi nasihat daripada Allah SWT dalam surah Al-Hujurat.

Wasiat yang diambil adalah daripada beberapa ayat sahaja dan bukanlah keseluruhan surah. Wasiat ialah larangan atau perintah daripada Allah Ta'ala, dan itu yang akan kita ambil dan patuhi.

Surah Al-Hujurat, ayat 1:

Wasiat 1: Jangan sekali-kali mendahului Allah dan Rasulullah SAW.

Mendahului Allah dunia Rasulnya maksudnya:

  • -       membuat keputusan setelah adanya keputusan daripada Allah dan Rasulullah-Nya
  • -       Membuat keputusan sebelum Allah dan Rasulullah-Nya membuat keputusan
Ayat ini turun sebagai teguran kepada beberapa sahabat yang datang beriman, dan meminta seorang Amir untuk menjaga mereka, dan mereka bertengkar dan meminta agar Rasulullah SAW memilih orang yang mereka cadangkan sehingga suara mereka jadi meninggi di hadapan Rasulullah SAW. Jadi ayat ini turun untuk menegur agar lebih beradab di hadapan Rasulullah SAW.

Selepas ayat ini turun, sahabat akan bertanya tentang keputusan Rasulullah SAW sekiranya ianya wahyu atau pandangan yang mereka juga boleh berkongsi apa pandangan mereka. Mereka takut jika apa yang diputuskan merupakan wahyu dan mereka mempunyai pandangan yang bercanggah dengan wahyu sehingga mengolongkan diri mereka dalam golongan yang mendahului Allah dan Rasul-Nya, dan dihukum Allah Ta'ala dengan digugurkan amal dalam keadaan mereka tidak sedar.

//Kisah sahabat bertanya strategi dalam Perang Badar

Sahabat akan bertanya terlebih dahulu sebelum mengemukakan pendapat kepada Rasulullah SAW. Bahkan kalau berjalan pun mereka tak mahu berjalan di hadapan Rasulullah SAW kecuali dalam keadaan darurat seperti ketika dalam peperangan agar jika ada perkara buruk yang datang, akan mengenai mereka dahulu. Sahabat yang berjalan di belakang juga menjaga adab sehingga khuatir jika terpijak bayangan Rasulullah SAW. Tetapi bila dicarinya, tak jumpa bayangan Rasulullah SAW. Daripada mana sahabat belajar adab ini? Kalau zaman sekarang orang kata melampau cara sahabat ini. Tapi bagi sahabat – tiada yang melampau – mereka mempunyai adab yang tertinggi yang tak boleh difahami oleh generasi-generasi setelah mereka.

Oleh itu, jangan membuat keputusan yang telah dibuat Rasulullah SAW dan jangan menolak keputusan yang telah dibuat Rasulullah SAW. Bahkan jangan  terdetik sekalipun untuk rasa tak puas hati kepada keputusan Rasulullah SAW. Tak boleh, walaupun disimpan dalam hati. Jika ada, maka dia perlu bermusahabah kerana perasaan itu bercanggah dengan apa yang Allah kehendaki.

//Kisah Yahudi dan seorang yang ada nifa’ dihatinya

//Kisah sahabat membawa cincin emas kepada Rasulullah SAW

//Kisah garisan parit yang Rasulullah SAW buat dalam Perang Khandaq

Pengajaran kisah-kisah – Patuh pada apa yang Rasulullah SAW telah putuskan dan ambil apa yang datang daripada Rasulullah SAW, walaupun belum tahu apa hikmahnya.

Surah Al-Hujurat, ayat 2:


Ada 2 larangan dalam ayat ini iaitu:

Wasiat 2: jangan meninggikan suara apabila bercakap dengan Rasulullah SAW

Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar pernah berselisih di hadapan Rasulullah SAW sehingga meninggikan suara dan turun ayat ini. Selepas itu, kedua-duanya tidak bercakap kecuali berbisik-bisik di hadapan Rasulullah SAW sehinggakan Rasulullah SAW terpaksa meminta Sayyidina Abu Bakar mengulangi apa yang dikatanya.

Nada suara pun dilarang melebihi kepada nada suara Rasulullah SAW. Namun, larangan ini tidak kena pada orang yang suaranya semulajadi kuat. Ketika ayat ini turun, ada seorang sahabat, Thabit bin Gais**, yang memang semulajadi suaranya kuat menangis dan tidak keluar rumah kerana berasa dirinya yang dimaksudkan dalam ayat itu. Apa yang ada dalam hati para sahabat sehingga mereka mengagungkan Rasulullah SAW sebegitu? Maka, dia berhari-hari tidak datang majlis dan Rasulullah SAW bertanya tentangnya. Diceritakan kepada Rasulullah SAW yang dia menangis kerana turunnya ayat itu dan Rasulullah SAW suruh memberitahu kepadanya yang dia termasuk penghuni syurga.


Wasiat 3:  jangan bercakap dengan Rasulullah SAW sepertimana kamu bercakap antara satu dengan lain (daripada ayat 2)

Jangan kamu bercakap dengan Rasulullah SAW seperti kamu bercakap antara satu dengan lain, yakni jangan panggil Ya Ahmad, Ya Muhammad.

Imam Al-Syauqani menyatakan, ‘jangan berkeras suara dihadapannya’ – bermaksud bukan intonasi suara saja tapi jangan memanggil kepadanya seperti kamu memanggil kepada orang lain yang kamu selesa bercakap dengannya.

Sahabat menjaga adab dan tidak:

  • -       memandang mata Rasulullah SAW ketika baginda bercakap
  • -       tidak memotong ketika baginda Rasulullah SAW  bercakap
Tiada adab  yang lebih tinggi melainkan adab kepada Rasulullah SAW. Semakin seseorang itu beradap kepada Rasulullah SAW semakin tinggi darjatnya di sisi Allah SWT. Beradab kepada Rasulullah SAW bukan hanya ketika baginda hidup, tapi setelah wafatnya juga dengan beradab kepada sunnahnya, sirahnya dan apa yang dibawanya.

Apa ancaman kepada orang yang mengeraskan suara atau menyamakan perbicaraannya dengan Rasulullah SAW? Akan digugurkan pahala amalan kebaikan yang telah dilakukannya!

Subhanallah... jika dikatakan perbuatan itu berdosa, itu sudah merupakan satu musibah, tetapi ancaman Allah bukan hanya dosa bahkan digugurkan amal kebaikan orang yang kurang adab kepada Rasulullah SAW. Kenapa? Supaya orang tahu kedudukan orang ini di sisi Allah SWT. Orang ini istimewa di sisi Allah SWT.

Bacaan surah Al-Hujurat, ayat 6:


Wasiat 4: Ad- dabaiyyun, Al-istidyan - yakni menyelidiki, mengenal-pasti, mempastikan berita yang sampai kepada kita

Pada zaman kita sekarang ini, perkara ini sudah tidak banyak diperhatikan ramai orang. Datang saja 'sms' atau 'whatsapp' atau melalui emel, terus kita komen di situ! Al-istidyan - Perlu juga kita mengambil berat untuk mempastikan berita itu.

//Kisah Harith ibnu Diram**

Orang yang datang bawa berita tak betul adalah orang fasiq dan sikap kita orang yang terima berita – bukan terima bulat-bulat dulu. Ini perlu diamalkan dalam setiap peringkat – keluarga, jiran, persahabatan untuk memastikan berita yang sampai kepada kita adalah benar.

Ambil beritu itu dulu, tengok betul atau tidak, kemudian baru kita beritakan sebagaimana yang sampai kepada kita, kalau perlu kepada penglibatan kita untuk ambil tindakan. Jika tidak, buat apa kita nak libatkan diri dengan perkara yang kita tak dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT.

Bacaan surah Al-Hujurat, ayat 9:


Wasiat 5: Jika ada 2 orang bergaduh, maka tugas kita ialah untuk mendamaikan.

Ada sebab ayat ini turun - //kisah debu keldai Rasulullah SAW lebih mulia daripada Abdullah bin Ubai bin Thalul.

Bacaan surah Al-Hujurat, ayat 11:


Wasiat 6: Seseorang terutamanya kaum wanita tidak boleh menghina atau merendahkan orang lain.

Dalam ayat ini, Allah sebut kaum supaya satu kaum tak boleh hina kaum yang lain. Kaum ialah sekumpulan daripada ramai manusia, yakni gabungan lelaki dan wanita. Tetapi setelah itu, Allah asingkan kaum wanita. Kenapa disebut asing sedangkan telah disebut sekali dalam perkataan ‘kaum’? Kerana sifat ini terdapat lebih banyak pada wanita berbanding lelaki! Inilah kata ahli tafsir.

Memandang rendah boleh berbagai sebab - contohnya kerana keturunan, harta, dll, tapi yang paling merbahaya ialah apabila seseorang memandang rendah kepada orang lain kerana merasakan dirinya lebih baik dalam ketaatan kepada Allah Ta'ala. Dia mengukur orang lain hina kerana merasakan dirinya lebih taat kepada Allah SWT.

Kenapa ini lebih teruk? Kerana perkara inilah yang menjadikan iblis daripada tempat yang tinggi sebelum ini. Tiada tempat di muka bumi ini melainkan iblis pernah sujud. Iblis diangkat Allah ke langit bersama para malaikat kerana ibadahnya melebihi semua bangsa jin yang ada. Dia diangkat darjatnya menyaingi malaikat dalam ibadahnya. Tapi ‘problem’  kepada iblis ialah dia bangga dengan ibadahnya. Orang yang menghina orang lain kerana dia berharta tidak lebih buruk berbanding orang yang merasa baik daripada orang lain kerana ibadah dan amal taatnya. Ramai orang tergelincir kerana berbangga dengan amal baikya, dan iblis pun diusir kerana perasaan itu. Tiada siapa tahu penghujung hidupnya. Orang yang baik tak semestinya mati dalam dalam keadaan baik dan sebaliknya orang yang hari ini tak baik mungkin diberi hidayah dan mendapat husnul khotimah ketika meninggal. Apa yang menentukan ialah penghujung kehidupan seseorang.

Wasiat 7: Jangan memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk atau tidak elok.

Kadang-kadanga namanya elok, tapi dipendekkan atau ditukar dengan gelaran yang tidak baik. Tidak boleh juga menggelari orang yang mungkin dahulunya pernah berbuat maksiat tapi telah bertaubat kepada Allah SWT.

Semoga Allah menjadikan kita orang yang menerima wasiat Allah Ta'ala, beradab kepada Allah, beradab kepada Rasulullah SAW, melakukan sunnah Rasulullah SAW, mencintai Rasulullah SAW, memuji Rasulullah SAW dan mengagungkan Rasulullah SAW lebih daripada segala makhluk.

Amin Allahumma Amin.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

**: mungkin salah ejaan

//Kisah – mohon dengar sendiri kisah daripada rakaman video J

Popular Posts