Awet Muda (2) – Tanyalah Ustaz 2014

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
Ustaz Halim Din*


Bacaaan surah An-Nisa’ ayat 116-121:




Awet muda itu sesuatu yang bersifat kecantikan, keindahan. Dalam hadis Bukhari ada direkodkan hadis yang berbunyi, “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.” Tetapi kecantikan yang kita cari bukanlah semata-mata kecantikan diri tetapi kecantikan yang membawa kita kepada Allah SWT. Nabi Muhammad SAW menunjukkan contoh dirinya sebagai seorang manusia yang indah di luar dan di dalam.

Namun hari ini, ramai orang yang kerana ingin cantik tidak peduli lagi kepada apa yang halal dan haram dan sanggup menggunakan khidmat sihir sehingga membawa syirik kepada Allah SWT.

Penampilan Nabi Muhammad SAW itu sejuk mata memandang – maknanya orang memandangnya berseri-seri. Sebaliknya orang yang tidak terurus nampak seperti orang yang bermasalah.

Nabi Yusuf dikatakan antara orang yang sangat cantik – dikatakan mempunyai separuh kecantikan lelaki dan perempuan. Nabi Yusuf ialah seorang lelaki tetapi Allah beri kecantikan kepadanya.

Tabarruj – wanita yang bersolek, berhias berlebih-lebihan bukan di hadapan suami. Depan suaminya hanya dengan bedak sejuk saja. Jadi, apa niatnya buat begitu di khalayak ramai?

Jika seseorang beramal dengan amalan syurga, wajahnya itu sudah menggambarkan wajah ahli syurga. Tanpa perlu solekan atau tabarruj. Antara amalan yang boleh dilakukan ialah menjaga wudhuk. Jika sebelum tidur, berwudhuk dan meninggal, mudah-mudahan akan berseri-seri berjumpa Allah nanti.

Dunia ini perhiasan, jadi jangan kita lalai. Perbuatan beri salam pun boleh menjadi amalan awet muda, tapi kena beri salam dengan sebutan sempurna dan menjawabnya pun dengan sempurna.

Senarai soalan dan jawapan:

S: Orang yang suka tempuh dugaan dengan kesabaran, dan suka memaafkan orang, adakah jiwanya akan tenang?
J: Ya. Nabi Muhammad SAW ialah manusia hebat dan tenang kerana Baginda sentiasa memaafkan kesalahan orang. Tapi, kita hari ini bermusuh dengan keluarga, pasangan, ibu bapa, anak-anak, sahabat dan tidak mahu memaafkan. Orang yang suka memaafkan bersifat muda di sisi Allah. Allah perintahkan kita memaafkan dan melupakan kesalahan orang kepada kita. Kita jangan terbawa-bawa dengan permusuhan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim. Jadi, bersabarlah dengan ujian, kerana tiada orang yang tidak diuji Allah SWT.

S: Beberapa petua awet muda cara Islam yang saya pernah baca akan diiringi dengan selawat Nabi sebanyak 3 kali. Apakah hikmah di sebalik selawat Nabi ini yang berkaitan awet muda?
J: Kata Imam Al-Qurtubi, sekiranya kita gunakan apapun untuk tujuan kecantikan tetapi memudaratkan, itu hukumnya haram. Tetapi bagaimana hukum dan hikmah untuk awet muda dengan memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW? Para alim ulama ada menyebut: dalam apa pun amalan kita, akan ada kebaikan apabila diiringi dengan selawat – baik berdoa, memulakan sesuatu pekerjaan, terlupa sesuatu. Kata Rasulullah SAW, “Siapa yang berselawat kepadaku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya 10 kali”. Oleh itu, amalan selawat ini adalah amalan harian, jangan ditinggalkan. Kita selawat kepada Nabi Muhammad SAW dengan ingatan yang banyak kepada baginda dan itulah hikmahnya. Nabi Muhammad SAW suka bergurau dan pernah berkata seorang wanita tua, “Takkan masuk syurga orang yang tua.” Wanitu itu pun menangis. Nabi Muhammad SAW pun mengutuskan sahabat untuk memberitahu yang manusia yang masuk syurga umurnya 33, tiada yang lebih tua daripada itu. Oleh itu, orang yang ahli syurga tak perlu untuk awet muda lagi kerana telah diberikan nikmat itu oleh Allah. Jadi, ketika di dunia, kita kena banyak ingatan kepada Allah – mulakan amalan dengan Bismillah, sudahkannya dengan Alhamdulillah. Bila banyak ingatan pada Allah, akan banyak ganjaran yang Allah beri.

S: Mana yang baik – muda tapi kelihatan berusia atau berusia tapi kelihatan muda? Dan benarkan Nabi Muhammad SAW lebih suka orang muda yang nampak lebih berusia daripada usia sebenarnya?
J: Kalau kita lihat pada orang lelaki tak menjadi masalah kerana lelaki makin berusia makin laku J . Biasanya wanita yang lebih suka untuk kelihatan muda, dan lelaki tidak kisah sangat. Saya belum jumpa hadis Nabi Muhammad SAW yang menjawab persoalan di atas. Apa yang Nabi Muhammad SAW hendak ialah orang muda yang rajin beribadat kepada Allah Ta'ala. Allah Ta'ala suka orang beribadat tapi Allah Ta'ala lebih suka orang muda yang beribadat.  Kalau seseorang nampak muda, tapi tidak solat – apa nilai dirinya sebagai hamba kepada Allah? Sultan Muhammad Al-Fateh menawan Konstantinopel pada usia 24 tahun, dan apakah amalannya – dia tak pernah tinggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat sunat tahajjud (solat malam) daripada akil baligh sehingga wafat pada usia 49 tahun. Inilah cara untuk memudakan diri – iaitu dengan beramal. Kecantikan bukan hanya jaga fizikal tapi perlu dijaga amalannya.

Ada juga orang yang memang Allah anugerahkan dirinya kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar. Apabila ditanya antara amalan mereka ialah:
-       mandi dulu apabila bangun. Dahulukan bahagian bawah (kaki) dan kemudian ke atas ketika mandi.
-       Lepas mandi solat tahajud, solat Subuh dan juga baca Quran.
Baru-baru ini dijumpai mayat yang telah meninggal 11 tahun, tetapi bukan saja mayat tapi kain kafannya pun tak reput. Apabila ditanya amalannya, antaranya ialah membaca Al-Quran.

S: Apa hukum orang yang ingin awet sehingga mengambil yang haram?
J: Makanan haram ini ada dua jenis – makanan itu dan sumbernya ianya didapatkan. Makanan haram contohnya khinzir, dan seumpamanya, manakala sumber yang haram boleh jadi kerana mengambil rasuah dan seumpamanya. Kenapa Nabi Muhammad SAW ialah cahaya atas cahaya? Kerana baginda tak pernah ambil yang haram. Orang-orang soleh – separuh yang halal pun mereka tak ambil. Kita ni.. yang haram pun ambil, apatah lagi yang syubhah. Perkara ini memberi kesan kepada kehidupan kita – akan jadi gundah-gulana, tidak tenteram. Oleh itu, jauhilah.

S: Betulkan orang yang rajin baca Quran, berselawat berseri-seri wajahnya dan akan nampak lebih muda daripada umurnya, sebagaimana orang baru balik daripada haji dan mereka dijauhkan daripada penyakit?
J: Antara amalan lain untuk awet mudah ialah bersedekah. Orang yang banyak amalan ini mudanya itu ada nur. Orang seperti ini melihat cermin bukan sekadar melihat, tapi melihat dengan berdoa dan berselawat. Amalan ini mudah saja tapi kita perlu istiqamah dengannya.

S: Orang yang memakai susuk dan orang yang memakaikan susuk – adakah sama-sama berdosa? Bagaimana dengan amal ibadatnya seandainya dia tak sempat membuang sebelum menanggalkannya?
J: Hukumnya haram kerana susuk menggunakan khidmat jin dan syaitan dan ini termasuk menyekutukan Allah. Ini sudah syirik. Jadi orang yang pakai dan memakaikan adalah berdosa. Oleh itu, jangan jadi jahil dan melanggar hukum Allah. Dosa syirik ialah dosa yang Allah tak ampunkan. Ada banyak amalan dalam Islam yang diarakan untuk menjaga awet muda.

PERHATIAN:
*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 

Popular posts from this blog

Tanggungjawab Adik-Beradik (2) - Tanyalah Ustaz 21.06.2012

Tafsir Quran: Ayat 282 surah Al-Baqarah - Majlis Ta'lim Darul Mutadza 09.11.2012

Diet Rasulullah (2) – Tanyalah Ustaz 26 Ramadhan 1433H (15.08.2012)