Sedekah & Hadiah (2) – Tanyalah Ustaz 30.01.2014

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 
Ustaz Jazlan Abdullah*

Sumber asal: Tanyalah Ustaz TV9


Bacaan ayat 261, surah Al-Baqarah:


Sedekah ialah apabila kita memberi kepada orang yang memerlukan.
Hadiah ialah satu perhargaan atau keistimewaan yang diberikan kepada sesiapa sahaja.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Mohon ustaz nyatakan kelebihan orang-orang yang memberi sedekah?
J: Antaranya ialah:
  • Akan mendapat ganjaran daripada Allah seperti yang dinyatakan dalam ayat 261, surah Al-Baqarah.
  • Dimurahkan rezeki. Orang yang diberi peluang bersedekah merupakan orang yang telahpun dimurahkan rezekinya, jika tidak, seseorang itu takkan mampu untuk bersedekah. Orang yang bersedekah dijanjikan Allah bahawa rezekinya akan dilipat-gandakan. Orang yang bersedekah takkan jadi orang susah, dan dijami rezekinya manakala orang yang kedekut bersedekah yang hidup susah. Kenapa? Kerana dia susah hati.
  • Meringankan bebanan orang yang susah
  • Dapat membina ukhuwwah dan mahabbah
  • Menjadi orang yang bersyukur
  • Akan mendapat rasa nikmat dalam ibadah


S: Apakah janji Allah dan Rasul kepada orang yang bersedekah?
J: Antaranya:
  • Akan mendapat rahmat (kasih sayang) Allah – Allah cukupkan rezeki dan keperluan kita. Kita beri sedekah tapi keperluan kita masih cukup dan itu adalah kerana rahmat Allah.
  • Akan dapat memadamkan kemurkaan Allah.
  • Allah sembuhkan penyakit. Disamping mencari ubat, bersedekah dan berdoa agar Allah sembuhkan dan jauhkan daripada penyakit. 

S: Apakah hukum memberi hadiah?
J: Hukum asalnya harus, tapi jadi sunnah apabila kita mengikut apa yang Rasulullah SAW lakukan. Jadi, rajin-rajinlah bagi hadiah pada isteri, ahli keluarga dll. Memberi hadiah boleh jadi haram jika:
  • Hadiah yang diberi dengan tujuan mendapatkan projek/kepentingan peribadi (rasuah)
  • Hadiah yang diberi ialah barang yang haram, contohnya: arak dll. 

S: Bagaimana hukum bagi orang yang menerima hadiah?
J: Hukumnya ada beberapa jenis:
  • Satu tuntutan (wajib), sebagai menyempurnakan hajat orang yang memberi selagi tiada perkara yang menghalang
  • Sunat – menggembirakan orang yang memberi, dan mengukuhkan silaturrahim
  • Haram – jika penerimaan hadiah berunsur rasuah.
  • Kedua-dua pihak – yang memberi dan menerima mesti memberi dan menerima ikhlas kerana Allah.

S: Apakah hukum orang yang menolak hadiah?
J: Jangan sampai orang beri kita hadiah, kita tolak. Maksus Hadis riwayat Imam Bukhari, “Penuhilah undangan, terimalah hadiah dan jangan menaniaya kaum muslimin” Jadi, maknanya Nabi Muhammad SAW arahkan terima hadiah. Walaapun hadiah yang diberi itu tidak kita suka, ambil dulu dan kemudian beri pada orang lain pula. Jadi, kita akan mendapat pahala menerima sedekah dan memberi sedekah pula J. Hadiah hanya boleh ditolak jika ianya boleh menimbulkan fitnah – contohnya perempuan beri hadiah pada ustaz yang telah berkahwin. Jika perlu ditolak, berikan penjelasan yang baik kepada pemberi. Seterusnya hadiah boleh ditolak jika kita tahu ianya berasal daripada wang haram.

S: Apakah hukum mengungkit pemberian hadiah?
J: Ini selalu berlaku dalam masyarakat kita. Mengungkit akan menghapuskan pahala amalan. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 264:


Oleh itu, setelah bagi, kita tutup mulut, jangan mengharapkan orang mengucapkan terima kasih. Sepatutnya, bila orang terima hadiah kita, kita yang ucapkan terima kasih sebab apabila dia menerimanya, berlakulah ibadah pada tangan kita. Bila kita beri dan orang ambil, maka kita akan dapat pahala. Tapi kalau dia tak ambil, bukankah kita juga yang akan rasa malu. Jangan sesekali mengungkit pemberian kerana ianya akan menghina penerima. Orang yang menerima sedekah atau hadiah, perlu memanjatkan rasas syukur pada Allah dan bukan semata-mata berterima kasih pada pemberi. Pemberi sedekah atau hadiah juga tidak boleh merasa bangga dengan hadiah yang pernah diberikan.

S: Apakah hukum orang meminta kembali hadiah yang diberikan?
J: Dalam sebuah hadis, riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Orang-orang  yang menarik kembali hadiahnya sama seperti anjing yang memakan balik muntahnya.” Hinanya orang yang buat begitu. Oleh itu, jika dah beri, jangan sesekali kita minta balik. Apabila sudah diberi, itu sudah jadi hak mereka. Maka, Islam melarang kita melakukannya. Tetapi, ada keadaan di mana ianya dibenarkan iaitu antara ibu bapa/penjaga yang memberi hadiah kepada anaknya, tetapi hadiah itu tidak menjadi manfaat kepadanya. Contohnya – jika diberi motorsikal atau basikal tetapi mendatangkan mudarat kepada anak itu pula.

S: Apakah hukuman memberi dan menerima hadiah daripada orang bukan Islam?
J: Kalau orang Islam yang memberi tiada masalah diberikan kepada sesiapa pun. Masalahnya cuma dalam hal menerima. Nabi Muhammad SAW pernah menerima hadiah daripada Raja-Raja bukan Islam demi melunakkan hati mereka untuk menerima Islam. Jadi, jika kita ada jiran bukan Islam, kita boleh beri makanan atau hadiah pada hari jadi anaknya kerana ianya adalah tuntutan untuk menunjukkan contoh Islam yang baik. Kalau jiran bukan Islam pula beri hadiah – jika makanan – kita perlu terangkan yang kita ada panduan makanan halal dan haram. Kita hanya boleh terima hadiah daripada mereka selagi ianya tidak melanggar syarak. Sayyidina Umar juga pernah memberi hadiah kepada saudaranya yang belum Islam untuk memujuk hati mereka kepada Islam. Orang kita bersedekah kerana nampak ganjaran akhirat. Oleh sebab itu, jika makan ramai-ramai, semua orang pegang ‘wallet’ nak bayar, tapi keluarnya belum tentu ;P

S: Bagaimana untuk memupuk sifat untuk suka memberi hadiah atau sedekah?
J: Betul, perkara ini bukan susah untuk dibentuk. Untuk memupuk sifat ini perlu:
  • Menanam sifat menghargai ibu bapa. Mungkin pada awalnya boleh dipaksa, tapi lama-kelamaan, anak-anak akan jadi biasa.
  • Ibu bapa juga perlu menghargai anak-anak.
  • Suami dan isteri juga perlu saling menghargai.
  • Pujuk hati untuk beri hadiah/sedekah kerana kita tahu itu amalan yang baik. Walaupun kecil nilainya, di sisi Allah nilainya adalah besar.
  • Ingatkan diri bahawa perbuatan ini adalah amalan para Nabi, sahabat dan orang-orang yang soleh
  • Biasakan dengan amalan baik itu, tak banyak tak apa, yang penting ikhlas.

S: Apakah akibat jika kita tak suka beri hadiah/sedekah?
J: Kalau seseorang rasa berat dan tidak suka beri hadiah – maknanya:
- telah pupus sifat menghargai orang lain.
- mementingkan diri sendiri
- ada sifat bakhil. Bakhil ialah rasa susah untuk keluarkan harta, dan jika beri, dia akan rasa menyesal. Sebenarnya bukan orang itu yang bakhil tapi hartanya yang bakhil kepada dia – contohnya dia mampu makan ikan mahal, tapi kerana bakhil dia beli ikan murah. Nikmat harta yang dia ada tidak dapat dimanfaakan dirinya pun. Sebenarnya, Allah kurniakan rezeki adalah untuk kita sendiri menggunakannya juga.
- Allah Ta'ala sempitkan hatinya – dia rasa hartanya tak bertambah, dan risau bila harta berkurang.
- Semua yang ada pada diri, dia rasa rugi untuk kongsi atau beri pada orang.

Kesimpulan
Harta yang Allah berikan kepada kita di dunia adalah harta yang Allah nak kita bawa ke akhirat. Jika kita nak pergi London, kita kena tukar duit Malaysia kepada Pound Sterling. Jika nak pergi Mesir, kita kena tukar duit Mesir. Oleh itu, jika nak pergi akhirat, kita kena tukarkan harta kita dengan amalan bersedekah, memberi hadiah, saling menasihati dsb. Ingat… yang kita minum, yang kita pakai, apa yang ada pada kita akan rosak. Apa yang kekal ialah apa yang kita beri pada orang lain. Jadi, rajin-rajinlah tukar duit kita untuk negeri akhirat dengan kadar yang segera kerana kita tak tahu bila Allah akan menjemput kita ke akhirat. Mudah-mudahan Allah bantu dan beri kita kejayaan di dunia dan akhirat.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Saya cuba menyalin semula sebaik mungkin seperti yang disyarahkan perdakwah tersebut, tetapi ada kalanya saya terpaksa meringkaskan atau menggantikan perkataan untuk memudahkan pemahaman atau memberi kejelasan. Ada kalanya juga, saya tidak dapat 'menangkap' dengan baik perkataan yang disebut dan saya tinggalkan. Jadi, saya mohon pembaca juga menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 
- Admin KKN


Popular Posts