“Roti lagi, roti lagi…” - Bab Keutamaan Besederhana Dalam Hidup

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 

Bab Keutamaan Besederhana Dalam Hidup -  Kitab Riyadus Solihin
Majlis Ta'lim Darul Murtadza 31.01.2014
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid*

Sumber video asal: Darul Murtadza

Photograph: Nasser Nuri/Reuters
Huraian Hadis 513 – 515 (atau 24 -26**) 


Hadis 513(24):
Hadis diriwayatkan Sayyidina Abdullah ibnu Abbas r.a. menyebutkan Rasulullah SAW terkadang bermalam beberapa hari, sementara perutnya itu kosong dan juga ahli keluarganya tidak mendapati makan malam, artinya tidak makan pada malam tersebut. Dan kebanyakan makanan rutin Rasulullah SAW dan ahli keluarganya ialah roti yang diperbuat daripada gandum. Hadis ini menceritakan keadaan Rasulullah SAW yang redha dengan kemiskinan atau hidup yang sangat sederhana sebagai tanda keredhaan kepada Allah SWT akan keadaanya dan sebagai teladan kepada umatnya sepanjang zaman agar keadaan dan sikap Rasulullah SAW dalam keadaan demikian agar supaya tidak ada daripada umatnya yang berasa kekurangan dengan rezeki yang Allah sudah bagi pada mereka berbandingkan dengan apa yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW.

Yang kedua adalah tidak menghina kepada makanan yang dimakan di dalam rumah, walaupun terkadang tidak ada makanan yang bervariasi dan tidak ada bermacam lauk di dalam rumah kita. Katalah, kalau menu itu sama, atau jenis berasnya itu pun sama, mungkin agak kasar pun juga, tidak menghina atau memandang remeh ataupun merendahkan kepada makanan yang dimakan disebabkan oleh kerana Rasulullah SAW kebanyakan makanan ruji yang dimakan adalah yang diperbuat daripada gandum, maknanya sering memakan makanan yang sama, dan Rasulullah SAW tidak mengatakan, “Roti lagi, roti lagi…” Tak ada komen sebegitu daripada Rasulullah SAW dan  kitapun belajar bilamana di rumah kita itu, makanan yang kita boleh makan adalah mungkin makanan yang berulang-ulang, tidak memandang rendah kepada makanan tersebut.

Setelah wafatnya Rasulullah SAW, datang berberapa generasi tabi’in yang tidak pernah berjumpa Rasulullah SAW kepada tukang masak Rasulullah SAW dan mengatakan, “Masakkan kami makanan yang biasa atau persis yang dimasakkan kepada Rasulullah SAW.” Persis kerana pada zaman itu peralatan memasaknya sudah mulai cantik, contohnya – pengayaknya menjadikan tepung lebih halus dan masakannya semakin sedap. Kalau kasar, terlekat di celah gigi dan terpaksa dibuang ketika makan. Kata perempuan yang memasak untuk Rasulullah SAW, “Kamu takkan suka dan takkan mampu makan makanan yang biasa saya masak untuk Rasulullah SAW.” Pasal apa? Dah biasa nyaman, dah biasa selesa, dah biasa sedap makanan yang dimakan pada zaman at-tabiin, berbandingkan pada zaman Rasulullah SAW. Mereka kata, “Tak, nak jugak.” Didapati makanan itu amat sederhana. Ini mengajarkan kepada kita – jangan sekali-kali memandang rendah kepada makanan. 

Dalam hadis lain, Rasulullah balik ke Aisyah, dan bertanya jika ada makanan. Jawab Aisyah, “Tiada”. Rasulullah SAW pun berkata, “Kalau begitu, aku berpuasa.” Kemudian satu hari Rasulullah SAW masuk ke dalam rumah dalam keadaan berpuasa dan diberitahu ada makanan iaitu cuka. Rasulullah SAW pun berkata, “Sebaik-baik lauk ialah cuka” dan berbuka. Rasulullah SAW sangat ‘simple’. Kalau tiada makanan, baginda berpuasa. Tiada baling pinggan kalau makanan itu tak sedap, umpamanya. Jadi, kita belajar teladan yang baik, tapi isteri jangan menguji suami dengan beri makanan tidak sedap terus J

Hadis 514(25):



Kata Rasulullah SAW, “Kalau kamu wahai orang-orang yang miskin dan orang-orang yang lapar, kalau kamu tahu apa yang Allah sediakan bagi kamu di akhirat, kamu lebih suka berada dalam keadaan miskin dan lapar. Masalahnya tak tahu. Mengapa baginda Rasulullah SAW beritahu begini? Agar manusia, bila menghadapi masalah, tidak melihat masalah sebagai masalah. Nabi tidak mengajarkan kepada kita bilamana menghadapi kemusykilan atau apa jenis ‘problem’, tidak melihat kepada ‘problem’ itu sahaja, lihatlah kebaikan di sebalik masalah yang anda hadapi. Oleh kerana itu, kalau kamu tahu apa yang Allah bagi dalam kemiskinan yang kamu

Kalau yang kita nak cari itu besar, pengorbanan yang kita lakukan itu kita anggap kecil. Orang yang nak pancing ikan besar kasi ikan kecil. Umpannya itu untuk dapat yang lebih besar. Anda, bilamana menghadapi masalah, yang disimpan oleh Allah di sebalik masalah yang anda hadapi kalau anda bersabar, anda akan mengharapkan kalau boleh biar bermasalah saja dalam hidup, sebab yang disimpannya lebih besar.

Imam Ali bin Ahmad bin Hussein Al-Habsyi mengatakan, “Kalau permintaan yang kamu minta pada Allah itu tak kunjung tiba, maka hendaklah kamu merasa selesa kerana yang disimpan oleh Allah itu adalah perkara yang baik. Dengan kamu tak diberi apa yang kamu minta, Allah simpan segala rahsia yang terbesar yang Allah nak bagi kepada kamu. Biasakan kamu dengan selesa tidak diberi.

Kenapa kita boleh selesa dengan tidak diberi? Sebab yang disimpan dengan kita selesa tidak diberi itu lebih baik daripada apa yang kita dapat jika kita diberi. Dengan pemberian Allah Ta'ala, yang disimpan adalah lebih baik. Orang yang bijak akan mengharapkan ganjaran yang lebih besar berbanding pemberian yang kecil.

Sifat redha ialah sifat orang yang kembali kepada Allah Ta'ala. Kalau dalam hati ada berbisik kepada kita, “Aku dah buat qiyammullail, aku dah buat doa selamat, aku dah buat infak pada anak yatim, aku dah bina masjid, aku dah.. aku dah..”. Bangkitlah kamu daripada kelalaian kamu sendiri dan tetaplah kamu berdiri di pintu harapan dan jadikan pintu harapan adalah tempat kamu sentiasa berhadap kepada Allah SWT.

Konsep Sayyidina Umar Al-Khattab melihat nikmat dalam musibah yang menimpanya daripada empat sudut – yakni melihat nikmat di dalam musibah, melihat senang di dalam susah,  melihat manis di dalam pahit, melihat ringan di dalam berat. Tapi kalau seseorang melihat besarnya musibah, walaupun kecil akan jadi besar, apatah lagi kalau musibah itu besar!
1.     Selagi masalah itu tidak menimpa akidahnya seperti keraguan kepada Allah atau Rasulullah atau tentang adanya hari akhirat, ianya dianggap nikmat olehnya.
2.     Kalau dibandingkan musibah yang menimpa itu dan ada musibah lain yang lebih berat atau besar daripadanya, maka ia jadi nikmat. Contohnya terkena musibah hilang 1000 tetapi ada orang yang terkena musibah hilang 100 ribu ringgit.
3.     Masih diberi kemampuan untuk mengawal musibah yang datang, yakni tidak membunuh diri umpamanya untuk lari dprd musibah.
4.     Jika musibah itu menjadi peluang mendapat ganjaran yang lebih besar daripada Allah Ta'ala, maka itu adalah nikmat.

Kita gunakan konsep Sayyidina Umar Al-Khattan untuk memandang kepada masalah yang kita hadapi, maka musibah akan menjadi indah dan cantik bilamana kita mampu mengawal keadaan dalam kehidupan kita.

Lebih kurang maksud daripada hadis yang kedua ialah Rasulullah SAW ingin mengajak kita berfikir supaya menghadapi masalah/musibah adalah melihat apa yang disimpan disebalik masalah yang kita hadapi.


Hadis 515 (26):


Hadis ini menyatakan tentang nonsep makan secara sihat mengikut kaedah Rasulullah SAW iaitu 1/3 perut untuk makanan, 1/3 untuk air dan 1/3 untuk lalaun nafas.

Baginda memberitahukan bahawa tiada tempat lebih buruk pada anak Adam melainkan perut. Mata ada tempatnya dengan apa yang dipandang, telinga ada tempatnya dengan apa yang didengar, apa yang dipandang, didengar dan dihidu semuanya masuk ke dalam. Tetapi daripada semua anggota ini perut yang paling teruk. Kenapa? Kalau perut ‘problem’, mata, telinga, semuanya tak boleh berfungsi dengan baik. Orang kalau lapar, batu pun boleh nampak macam makanan, tak dengar suara apa-apa, dengar macam orang jemput jamuan, hidung bau makanan-makanan yang segar. Jadi, perut lebih berbahaya daripada anggota lain. Ini juga simbol kepada sifat rakus – tak berhenti makan kecuali setelah ‘full’ betul.

Tapi kita perlu mencuba untuk berhenti sebelum kenyang! Perut yang terlalu kenyang akan menjejaskan kesihatan dan ketaatan kepada Allah Ta'ala.

Hadis 516(27):


Hadis ini menceritakan tentang hinanya dunia sehingga dikatakan berpenampilan macam kusut adalah sebahagian daripada iman. Tapi, ini bukan bermakna kita mesti berpenampilan kusut. Tidak. Akan tetapi, jika seseorang mesti berpakaian kusut untuk menjaga ketaqwaannya dan agar tidak terpedaya dengan kemewahan yang dicari dalam keduniaan dengan berpakaian rapi, maka berpenampilan kusut itu adalah sebahagian daripada iman.

Allah itu indah dan suka kepada orang yang indah - artinya berpenampilan indah adalah termasuk daripada apa yang disukai Allah Ta'ala. Seorang sahabat datang bertanya adakah dia dianggap sombong sekiranya dia suka berpakaian indah sehinggakan seliparnya pun dia tidak mahu ada orang yang sama dengannya tanpa merendahkan orang lain. Jawab Rasulullah SAW, “Tidak, sombong itu ialah menolak kebenaran dan menghina orang lain.” Jadi, jika kita rasa pakaian kita lebih baik daripada orang lain, walaupun kita tidak sebut dan cuma rasa dalam hati, ataupun kita mencari keindahan semata-mata kerana dunia, maka perkara ini adalah dicela dalam agama. Jadi, berpakaian rapi, tanpa menghina orang lain tidaklah dianggap sebagai sombong dan merupakan sebahagian daripada iman juga.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Saya cuba menyalin semula sebaik mungkin seperti yang disyarahkan perdakwah tersebut, tetapi ada kalanya saya terpaksa meringkaskan atau menggantikan perkataan untuk memudahkan pemahaman atau memberi kejelasan. Ada kalanya juga, saya tidak dapat 'menangkap' dengan baik perkataan yang disebut dan saya tinggalkan. Jadi, saya mohon pembaca juga menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 


** Berbeza nombor kerana rujukan kitab daripada Penerbit yang berbeza

Popular posts from this blog

Tanggungjawab Adik-Beradik (2) - Tanyalah Ustaz 21.06.2012

Memikat Hati Suami (1) – Tanyalah Ustaz 18.03.2013

Diet Rasulullah (2) – Tanyalah Ustaz 26 Ramadhan 1433H (15.08.2012)