Saksi amal kita, larangan minum arak - MTDM 20.03.2015 (Bhgn. 1)

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله و صحبه وسلم

Majlis Ta'lim Darul Murtadza 20.03.2015
Habib Naqjmudin Othman Al-Khered



Bahagian 1: Tafsir Surah An-Nisa ayat 41-43

Ayat 41: 

Siapa saksi yang dimaksudkan? Para Rasul kepada umat masing-masing. Mereka akan menjadi saksi kekufuran setiap umat mereka.

Diriwayatkan oleh Sayyidina Abdullah bin Mas'ud, dia minta diperdengarkan Al-Quran oleh baginda Rasulullah ﷺ. Abdullah pun berkata, "Bagaimana boleh aku membaca kepadamu sedangkan Al-Quran itu diturunkan kpdmu." Jawapan itu bukan menunjukkan keingkaran tetapi menunjukkan tawadhuknya beliau. Dari sini menjadi sunnah juga untuk mendengar bacaan Al-Quran. Oleh sebab itu dengan teknologi hari ini, kita juga boleh mendengar bacaan Al-Quran daripada kaset/CD/rakaman. Nabi saw juga suka mendengar bacaan Al-Quran Abu Ayyub Al-Ashaari kerana suaranya yang merdu.

Sayyidina Abdullah pun membacakan surah An-Nisa sehingga sampai kepada ayat ini, dan Rasulullah ﷺ  suruh dia berhenti dan dia nampak airmata pada mata baginda. Ini menunjukkan betapa kasihnya baginda kepada kita dan baginda tidak sanggup untuk menjadi saksi kekufuran umatnya yang akan menyebabkan mereka diazab. Maknanya, setiap Rasul akan menjadi saksi kepada kekufuran umatnya, termasuklah umat Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi Rasulullah ﷺ diberi kelebihan besar iaitu boleh memberi syafaat. 

Said al-Musayyid mengatakan di dalam athar bahawa ayat ini sebagai saksi bawah amal setiap umat akan dihadapkan kepada Nabi ﷺ setiap hari, baik amal itu pada pagi dan petang. Manakala,
amal akan sampai kepada para Rasul-rasul lain atau amal anak kepada ibu bapanya pula diriwayatkan akan sampai pd hari Jumaat. Hanya khusus untuk Nabi ﷺ  sampai setiap hari. 
Nabi ﷺ tahu dengan terperinci - nama-nama pelaku dan amalan yang melakukan, dan bukan sekadar secara umum. Kita dapat lihat keperihatinan Nabi ﷺ.

Rasulullah ﷺ sungguh prihatin pada umatnya sehingga baginda menyimpan satu doa mustajab yang Allah berikan kepada setiap Rasul, tetapi baginda sahaja yang belum menggunakannya dan disimpan untuk akhirat nanti. Jadi, dalam ayat ini memberitahu bahawa: setiap Nabi menjadi saksi kepada umatnya, dan Nabi Muhammad ﷺ  menjadi saksi kepada kita.

Kalaulah setiap amalan kita ini akan sampai kepada Rasulullah ﷺ  setiap hari, adakah kita dengan amalan kita itu menggembirakan Nabi ﷺ  ataupun menyedihkan baginda Rasulullah ﷺ? Tidak cukupkah Nabi ﷺ  ketika hidupnya merasa risau, mengalirkan airmata berdoa merayu kepada Allah, demi kita umatnya. Tidak cukupkah ketika hidupnya Nabi ﷺ  itu bersusah-payah dengan panas dan sejuk, dengan berdarah, dengan peperangan dengan segala daripada apa yang dihadapi oleh Nabi ﷺ, tapi ketika Nabi ﷺ yang sekarang ini sepatutnya disebutkan alam barzakh itu tempat berehat bagi orang beriman, tiba-tiba kita masih tidak memberi rehat kepada baginda Nabi ﷺ bahkan kita merisaukan dan menyedihkan baginda Nabi ﷺ. Mudah-mudahan kita yang hadir di Majlis Ta'lim Darul Murtadza ini termasuk orang yang menggembirakan hati Rasulullah ﷺ.

Rugi kalau kita datang ke majlis yang mulia (majlis ilmu) seperti ini, tapi bila kita nanti keluar kita saling tak tumpah seperti orang yg menyedihkan Rasulullah ﷺ. Tidak Allah pilih kita untuk hadir ke majlis ini kecuali Allah nak kita dapatkan kebaikan, Allah nak beri rahmat kepada kita, Allah nak masukkan kita ke dalam rahmat dan syurga-Nya, sbb itu Allah letak dan mudahkan untuk kita hadir tapi jangan kita pula yang keluarkan diri dari senarai kebaikan yang diberikan oleh Allah سبحانه و تعالى.

Ayat 42: 

Pada  hari itu, mereka yang kafir, dan yang berbuat maksiat pada Rasulullah ﷺ  berharap akan menjadi seperti tanah tapi itu mustahil (‘lau’). Kalimat 'lau' menunjukkan sesuatu itu mustahil. Oleh sebab itu, dalam menghadapi masalah atau musibah, jangan kita katakan ‘kalau’ kerana itu menjadi jalan, peluang kepada syaitan.

“Kalaulah aku tak keluar rumah…”
“Kalaulah dia tak pergi ke situ…”

 أستغفر الله, semuanya sudah berada dalam ketetapan Allah سبحانه و تعالى. ‘Kalau’ adalah daripada syaitan untuk menghilangkan redha kita kepada ketetapan Allah سبحانه و تعالى Ini yang paling bahaya.

Kenapa mereka nak disamakan dengan tanah, dengan haiwan? Kerana tak sanggup untuk menghadapi azab Allah سبحانه و تعالى yang cukup dasyat. Kalaulah seseorang itu tahu dan dibuka hijab neraka Allah سبحانه و تعالى, pasti kita akan lari menjauhi larangan Allah سبحانه و تعالى dan segera memohon keampunan daripada Allah سبحانه و تعالى. Akan tetapi berita yang disampaikan kepada kita sudah memadai untuk kita meyakini dan memberi kesan kepada kita untuk takut kepada neraka Allah, dan memohon berlindung kepada Allah سبحانه و تعالى daripadanya. Nabi ﷺ  telah membuka jalan untuk kita menjauhi neraka Allah SWT dengan amal soleh dan ketaatan kepada Allah سبحانه و تعالى.

“… mereka tidak boleh menyembunyikan sepatah kata pun daripada pengetahuan Allah..”

Dalam surah Al-an'am - orang kafir bercakap mereka tak syirik pada Allah sebagai usaha terakhir untuk membela diri di hadapan Allah سبحانه و تعالى. Kata Ibnu Abbas, ketika orang kafir tahu yang orang yang selamat hanyalah orang yang beriman, maka orang kafir akan berkata seperti di atas untuk menipu kepada Allah سبحانه و تعالى. Tetapi pada hari itu ditutup mulut mereka, dan anggota badan yang akan menjadi saksi mereka. Ketika di dunia mereka kufur kepada Allah dan Rasulullah ﷺ. Namun, tiada peluang lagi di akhirat - dikatakan “Dunia darul amal, akhirat darul jazak” yakni dunia tempat beramal dan tiada ganjaran, manakala akhirat tempat untuk dapat ganjaran dan tiada amalan lagi. Oleh sebab itu, hendaklah kita beramal selagi masih di sini.

Selagi diberi nyawa, kita diberi peluang yang begitu besar! Jangan kata, “Peluang saya sempit kerana saya banyak dosa.” Tidak, selagi masih hidup, peluang seseorang itu besar. Kalau orang mengatakan sempitnya peluang, kerana dia melihat Allah itu ‘kecil’ (minta maaf), tak melihat kebesaran Allah سبحانه و تعالى,  tak melihat kasih-sayang Allah yang begitu luas, tak melihat pintu taubat yang terbuka seluas-luasnya. Sebab itu Allah mengatakan, “Jangan kamu putus asa dari  rahmat Allah سبحانه و تعالى. Allah ampun dosa kamu seluruhnya apabila kamu bertaubat, walau apa pun dosa kamu.

Di sana tak boleh cakap apa lagi, tidak boleh bercita-cita lagi. Di dunia boleh bercita-cita untuk mendapat syurga, mendapat rahmat Allah dan berusaha mendapatkannya. Walaupun dikatakan kepada orang kafir, tetapi sama juga kepada Muslim yang tidak mahu beriman kepada Allah.

Kata baginda Rasulullah ﷺ, “Sungguh kamu itu senang, mudah untuk masuk syurga, kecuali yang tak nak.” Sahabat bertanya, “Siapa yang tak nak masuk syurga ya Rasulullah ﷺ?” Jawab Rasulullah ﷺ, “Siapa yang taat padaku masuk syurga, siapa yang ingkar padaku, takkan masuk syurga.”

Oleh sebab itu, kita diajar untuk banyak niat. Jasad akan hancur, tapi niat kita akan kekal, dan sampai pada Allah سبحانه و تعالى. Hati kita akan kembali kepada Allah, jadi banyakkan niat yang baik-baik, semuanya akan sampai kepada Allah سبحانه و تعالى.

Ayat 43: 

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk,…” 
Ayat ini termasuk daripada ayat proses pengharaman arak. Ayat ini ialah proses kedua setelah turunnya ayat dalam surah Al-Baqarah (ayat 219). 


Jadi apa pun yang kita buat, pertimbangkanlah adakah buruk atau baik yang lebih besar. Khamar itu disebut ada manfaat-manfaat, tetapi oleh kerana mudaratnya lebih besar, maka diharamkan.

Sayyidina Umar selalu datang kepada Rasulullah ﷺ  untuk menjelaskan hukum khamar dengan sejelas-jelasnya. Tetapi inilah hikmah kebijaksanaan Allah سبحانه و تعالى dalam menyampaikan dakwah, dan menjadi teladan kepada kita. Kata Sayyidatina Aisyah, “Kalaulah Allah terus mengharamkan arak, nescaya orang Arab tak mahu ikut Islam kerana arak sudah sebati dengan mereka.” Inilah kebijaksaan Allah, dan Allah ingin fahamkan ttg peringkat-peringkat dakwah. Jadi dalam berdakwah kepada orang bukan Islam - kita pun beritahu yang mudaratnya lebih besar, sebab itu dilarang.

Tapi Allah larang secara berperingkat - dan peringkat kedua dilarang solat jika mabuk. Ada beberapa riwayat, tetapi semuanya lebih kurang sama, iaitu ada keraian dan mereka minum, jadi setelah mabuk, mulalah mereka saling memburuk-burukkan satu sama lain, dan akhirnya bergaduh. Dalam riwayat lain pula disebut ada beberapa orang mabuk dan setelah masuk waktu, yang jadi imam ialah yang kurang mabuk tapi bacaan jadi lintang pukang dan tertukar makna. Setelah turun ayat ni, mereka pun mabuk pada malam hari saja sebab waktu solat siang hari dekat-dekat.

Ada juga ‘Arifbillah yang mengatakan ‘mabuk' ini juga termasuk orang yang mengantuk atau khayal, kerana dia tak sedar apa yang dibaca. Bahkan ada juga ulama kata orang yang tak kusyuk  juga termasuk dalam ‘mabuk’ ini, kerana dirinya sedang mabuk dengan dunia, dengan ingatan selain Allah سبحانه و تعالى. Tetapi para mufassirin lebih mentafsir ‘mabuk’ ini sebagai mabuk kerana arak. Tetapi Al-Quran ini luas penghayatannya dan ada berbagai pendapat.

“…sehingga kamu tahu apa yang kamu lafazkan..”
Jadi bagaimana dengan orang yang tak faham bacaan dalam solat? Ini seolah-olah suruhan agar kita memahami apa yang dibaca dalam solat. Ini sebagai anjuran yang kuat untuk menghayati makna bacaan dalam solat.

“…Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci.”
Orang yang junub, wanita haid/nifas tidak boleh menetap dalam masjid. Tidak boleh untuk dia duduk dalam masjid, cuma boleh melintasi - ini kerana dahulu pada zaman Rasulullah ﷺ, rumah isteri nabi, para sahabat bercantum dengan masjid. Dalam sahih Bukhari, disebutkan dulu ada banyak pintu dalam masjid Nabi tapi akhirnya baginda ﷺ  menyuruh tutup semua kecuali pintu rumah Sayyidina Abu Bakar. Ini menunjukkan kemuliaan beliau dan sebagai isyarat menjadi khalifah pertama.

Boleh duduk hanya setelah mandi wajib, dan wanita mesti kering darah/nifas dahulu. Syarat mandi - niat dan meratakan air. Ini juga menunjukkan kemuliaan masjid. Wanita yang ingin melintasi juga mesti memastikan tidak berlaku titisan darah. Jikda tidak dapat dipastikan, tidak boleh melintasi. Masjid ini mesti dijaga kerana ianya ialah rumah Allah سبحانه و تعالى dan merupakan sebaik-baik tempat di muka bumi.

“.. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci,…”

Sekiranya kamu sakit pada anggota wudhuk yang tak boleh terkena air atau sedang dalam musafir  yang tiada bekalan air setelah dicari, atau seseorang yang baru lepas buang air kecil atau besar (yakni berhadas kecil) atau menyentuh perempuan (ada bacaan sebut lamasa..).  Al- Imam Syafie/Hambali/Maliki mengambil ayat ini sebagai dalil batal wudhuk apabila lelaki tersentuh perempuan. Tapi Imam Abu Hanifah mengatakan maksud sentuh dalam ayat ini ialah jimak. Oleh sebab itu baginya tak batal jika bersentuhan. Sebab itu ada perbezaan dan khilaf antara ulama. Masing-masing mendatangakan dalil mereka. Saya sebut ini bukan kerana kita fanatik mazhab, tapi ini menunjukkan bagaimana halusnya ulama mengistinbat** kepada hukum dan hendaklah kita cuba memahami perbezaan kefahaman mereka dan tidak menyalahkan pendapat yang lain. Semuanya berpegang kepada nas Al-Quran dan dalil, cuma pemahaman yang berbeza.

Dan ini disebutkan sebab-sebab yang membatalkan wudhuk. Apabila tiada air - hendaklah bertayamum dengan tanah. Antara kelebihan dan kemuliaan umat Muhammad ialah boleh solat di mana-mana saja dan bumi (tanah) ini dijadikan suci dan boleh menyucikan. ‘Sa’idan’ - ada beberapa pendapat - ada yang kata tanah/debu yang suci, tetapi ada yang kata termasuk pokok dan tumbuhan.

Tayammum ganti wudhuk dalam keadaan tertentu. Perlu cari air terlebih dahulu - dalam bab feqah dibahaskan berapa jarak, kadar masa perlu mencari. Sebab kedua jika sakit yang tidak boleh kena air. Dalam kisah Sayyidina Ammar bermusafir bersama Sayyidina Umar, tetapi tidak jumpa air. Sayyidina Ammar dalam keadaan junub dan tidak tahu untuk buat apa, jadi dia guling-guling pada pasir untuk ganti mandi wajib. Setelah balik, dia menceritakan kepada Rasulullah ﷺ, dan baginda ketawa, dan ajar yang dia cuma perlu tayammum untuk membolehkan solat. Tayammum tidak ganti wudhuk, tetapi sekadar membolehkan solat. Setelah ada air, perlu wudhuk. Ini menujukkan akan kemuliaan, dan kepentingan solat.

“… iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu."
Ada beza tafsiran ‘tangan' - Imam Syafie kata sampai siku kerana ikut cara wudhuk, tapi ada imam lain kata ikut hukum hudud potong yang tangan pada pergelangan tangan, jadi memadai sampai di situ. Perbezaan ini wujud, tapi ianya tak bawa pergaduhan, tapi bawa keindahan.

Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” 
Allah memberi keringanan dalam syariat-Nya dan mengampunkan kesalahan manusia.

*: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Ini cuma ringkasan dan sedikit petikan kata-kata mereka. Jadi, saya mohon pembaca menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallahu'alam. 

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab