"Redha dengan yang tak diberi" - Tafsir ayat 33-35, Surah Ali Imram, MTDM 19.04.2013

Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa, KL


Ulasan Ayat 33:


Ayat ini membicarakan tentang kehendak Allah untuk memilih sesuai dengan kehendak, ilmu, qiraadah-Nya sebahagian daripada makhluk untuk menjadi istimewa di sisi Allah SWT. Ada orang yang dipilih kerana amal-ibadatnya, tetapi ada juga yang dipilih secara langsung oleh Allah agar seseorang itu menjadi orang yang rapat, dekat dan dimuliakan oleh Allah. Oleh itu, apabila melihat seorang yang soleh, wali atau orang yang disukai orang lain, maka ketahuilah bahawa orang itu telah dipilih oleh Allah mengikut kehendak-Nya. Ada hamba yang dikehendaki Allah menjadi hamba pilihan dan ada yang sebaliknya. Antara orang yang dipilih Allah ialah para anbiya'.

Nabi Adam juga merupakan salah seorang daripada orang yang dipilih Allah. Tetapi bagaimana Adam dipilih daripada manusia sedangkan Nabi Adam merupakan manusia yang pertama. Ada dua makna ayat ini – Pertama - Nabi Adam as. dipilih sebagai khalifah di muka bumi daripada makhluk Allah yang lain seperti jin atau malaikat. Kedua, Nabi Adam dipilih untuk menjadi datuk kepada insan yang paling mulia iaitu Nabi Muhammad SAW. Datuknya terpilih kerana cucunya ialah orang yang terpilih juga.

Sebagaimana Allah memilih daripada kalangan manusia, Allah juga memilih daripada kalangan malaikat. Sepuluh malaikat dipilih Allah daripada jumlahnya yang tak terhitungkan dan yang terbaik antara mereka yang terbaik ialah Malaikat Jibril a.s. Semuanya adalah dengan kehendak Allah SWT. Moga-moga kita semua juga dipilih menjadi orang yang hampir kepada Allah SWT. Amin Allahumma Amin.

Setelah keturunan Nabi Adam, dipilih juga keturunan Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan keluarganya. Apa yang dimaksudkan dengan keluarga Ibrahim ialah 2 orang anaknya iaitu Ishak dan Ismail. Nabi Ishak merupakan bapa Nabi Yaakob yang mempunyai 12 orang anak, dan salah seorangnya ialah Nabi Yusuf a.s. Allah juga memilih keluarga Imran. Ahli tafsir berbeza pendapat siapa yang dimaksudkan dengan Imran kerana ada beberapa orang yang bernama Imran dalam bani Israel. Imran pertama ialah ayah kepada Nabi Musa. Imran kedua ialah bapa kepada Siti Mariam. Dalam hal ini, ramai ahli tafsir cenderung mengatakan bahawa Imran yang dimaksudkan ialah bapa kepada Siti Mariam. Apa yang juga memeningkan ialah Nabi Musa juga mempunyai saudara perempuan yang bernama Siti Mariam. Oleh itu ada 2 Siti Mariam binti Imran dan yang mana satu yang dimaksudkan di sini? Setelah dikaji salasilah, ahli tafsir mengatakan bahawa ianya ialah Siti Mariam yang bukan saudara kepada Nabi Musa. Kesemua mereka yang disebutkan ini merupakan orang yang dipilih daripada sekalian alam dan merupakan orang termulia pada zaman mereka. Tetapi setelah mereka, Nabi Muhammad SAW merupakan mahkluk yang termulia.

Orang yang dipilih Allah ini ada sifat-sifat yang tertentu. Zaid (Al-Khaid) datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya, “Apa tanda orang itu disayangi Allah dan orang itu tidak disayangi Allah?”. Nabi SAW bertanya semula kepada Zaid, “Apa yang ada pada kamu, wahai Zaid?”. Jawabnya, “Saya suka kepada kebaikan, dan saya suka kepada orang-orang yang berbuat baik. Saya senang bila berbuat kebaikan dan susah hati bila terlepas buat baik”. Jawab baginda Nabi SAW, “Itulah tanda yang ada pada orang yang Allah sayang”. Daripada hadis ini jelas disebutkan 4 daripada tanda-tanda seseorang itu disayangi Allah.

Ulasan Ayat 34:


Kebaikan sesuatu keturunan itu berkekalan selagi mana mereka bertaqwa kepada Allah, dan bukan kerana nasab semata-mata.

Ulasan Ayat 35:


Ada pelbagai tafsiran tentang nama isteri Imran. Dia bernazar untuk menjadikan anaknya bebas daripada pengaruh dunia dengan menyerahkan anaknya kepada masjid semenjak dilahirkan, dan bukannya setelah baligh seperti kebiasaan zaman itu. Dengan cara itu, anaknya itu takkan terpengaruh dengan suasana sekeliling kecuali dengan suasana di masjid untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Setelah dilahirkan, Siti Mariam diserahkan kepada masjdi dan dibela oleh Nabi Zakaria. Itulah besarnya harapan seorang ibu. Semoga ibu-ibu yang hamil meniatkan yang baik-baik kepada janin yang dikandung mereka. Niat ibu akan memberi kesan kepada kandungannya itu. Hari ini, ramai ibu yang terlintas dalam hatinya agar anaknya menjadi seperti pemain bolasepak, atau artis terkenal walhal ini ialah contoh orang yang derhaka kepada Allah. Ibu ini sebenarnya mempunyai peluang untuk mendoakan anaknya menjadi wali Allah, atau boleh berdoa agar anaknya menjadi hafiz Al-Quran, dia boleh mendoakan anaknya menjadi daie agama Allah, atau menjadi seorang yang dibanggakan Rasulullah SAW. Tetapi, oleh kerana sempitnya pemikiran dan tidak mahu belajar, si ibu tidak mendoakan perkara yang baik-baik untuk anak-anak. Segalanya bergantung kepada sejauh mana kita berpegang kepada ilmu dan ilmu itulah yang akan menjadi pembimbing kita.

Setelah berdoa, minta juga Allah kabulkan sepertimana yang dilakukan oleh isteri Imran dan juga oleh Nabi Ibrahim setelah membangunkan kaabah. Jangan tergesa-gesa bangun selepas solat. Zikirkan dahulu Subhanallah 33x, Alhamdulillah 33x, Allahu Akhbar 33x dan berdoa mohon Allah terima ibadat dan doa kita. Kita perlu bersopan dengan Allah, kerana rezeki datang daripada Allah bukan daripada majikan. Itulah adab berdoa – memohon diperkenankan Allah. Pengajaran daripada ayat ini juga ialah agar ibu bapa mendoakan kebaikan kepada anak-anak dan mendoakan agar doa mereka dikabulkan Allah.

Isteri Imran bernazar agar anaknya berkhidmat di masjid. Orang yang bekerja di masjid biasanya lelaki. Tetapi apabila dilahirkan dan didapatinya anaknya perempuan, ibu Siti Mariam tidak merungut atau marah-marah. Inilah adab ibu Siti Mariam. Kalau kita, pasti kita akan merajuk jika hajat kita tidak dipenuhi Allah. Adakah itu sikap orang beriman? Ibu Siti Mariam tidak merungut bahkan menyatakan bahawa Allah Maha Mengetahui jantina anak yang dikandungnya. Seterusnya disebutkan bahawa lelaki tidak sama dengan perempuan. Ada dua pendapat yang mentafsirkan ayat ini. Pendapat pertama mengatakan yang ayat ini ialah kata-kata ibu Siti Mariam kerana orang yang biasanya berkhidmat di rumah Allah itu ialah lelaki, maka tidak samalah antara lelaki dan perempuan. Pendapat kedua mengatakan ini adalah ayat Allah untuk memberitahu bahawa Siti Mariam itu tidak sama dengan mana-mana lelaki dan dia dimuliakan Allah dengan dilahirkan Nabi Isa daripadanya.

Apabila apa yang diidamkan tidak kesampaian, hendaklah seseorang tetap menyimpan harapan baik terhadap apa yang tidak kesampaian itu, terus bersangka baik bahawa tidak mendapat itu adalah yang lebih baik. Kata Imam Ali bin Muhammad bin Zain Al-Habsyi, “Wahai nafsu, bila mana kamu tak dapat apa yang kamu minta, jangan kamu gelisah, kerana hidangan yang Allah ingin berikan kepada kamu itu adalah lebih. Mungkin tidak diberinya itu sebenarnya ialah tanda qabul daripada Allah SWT. Hendaklah kamu itu merasa seronok, merasa selesa, merasa gembira dengan tidak diberi Allah SWT kerana sifat redha itu ialah sifat orang yang hampir dengan Allah SWT. Kalau suara hati kamu bersungut dengan apa yang tidak diberikan, bangun kamu daripada kelalaian itu dan katakan, “Wahai nafsu, kamu ingin bersangka buruk pada Allah? Siapa yang lebih tahu daripada Allah apa yang lebih baik untuk kamu? Adakah apa yang kamu minta atau apa yang Allah beri dengan tidak diberikan apa yang diingini itu yang lebih baik? Oleh itu, jadikan pintu harapan tetap pada Allah SWT. Kita hendaklah redha dengan apa yang Allah tidak berikan dan teruskan meletakkan harapan pada Allah Ta'ala. Jika pintu berterusan diketuk, lama-lama akan dibuka juga. Mustahil tak dibuka oleh Allah. Moga-moga hajat kita ditunaikan dan diberikan apa yang terbaik oleh Allah SWT. Amin  

p/s: "Yang baik jadikan amalan, yang kurang mohon beri teguran" :)

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab