“Ya Allah, aku minta kasih-sayang-Mu kepadaku” - Tafsir ayat 30 dan 31, Ali-Imran, MTDM 12.04.2013

Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muaz bin Jabal, Setiawangsa, KL

Perbahasan ayat 30:

Ayat ini menyebut segala amalan manusia selama berada di muka bumi ini akan tercatit dan ada direkod di sisi Allah SWT. Ianya bertujuan agar amalan baik atau sebaliknya yang dilakukan manusia akan dapat dilihat semula di akhirat nanti. Ini bertujuan agar manusia berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu. Manusia mudah lupa apa yang telah dilakukannya, baik yang baik ataupun yang tak baik. Namun, tidak di sisi Allah, tiada lupa bagi Allah SWT, tiada yang 'miss' di sisi Allah.


Perbuatan baik atau tidak baik, walaupun sebesar zarah akan dihisab di sisi Allah. Tak kira umur kita 60 atau 900 tahun lebih seperti kaum Nabi Nuh. Allah Maha tepat dalam perhitungan-Nya. Namanya pun Allah 'Ya Hasiib' – Yang Maha Menghitung dan tidak diberatkan langsung kepada Allah untuk menghitung segala yang dilakukan oleh makhluknya, baik daripada manusia, jin ataupun haiwan. Allah berfirman di dalam Al-Quran bahawa tiada yang luput daripada pengetahuan Allah. Allah Maha Tahu tentang segalanya, hatta jika sehelai daun jatuh di tengah hutan yang tebal pada gelap pekat malam hari pun Allah pasti tahu.


Pada hari di mana setiap nyawa akan menjumpai amalan baik yang dia buat dihadirkan,..”

'Menjumpai' menunjukkan bahawa sesuatu benda itu telah wujud sebelumnya. Oleh itu, jangan kita sangka sesuatu yang kita lupa itu akan hilang di dalam perhitungan Allah. Sebagai manusia, kita mudah lupa. Di hari akhirat, amalan kita akan dihadirkan di hadapan kita. Di dunia ini, walaupun kita lupa, tetapi jika ditunjukkan rakaman yang kita ada didalamnya, kita akan ingat semula. Ini baru rakaman buatan manusia. Di akhirat nanti, kita akan dibentangkan dengan 'recording' Allah Ta'ala, bermula daripada saat kita baligh sehinggalah kita meninggal. Lengkap segalanya dan kita takkan boleh menolak atau mendustakannya. Berhati-hatilah kerana segala amalan kita ada rekodnya di sisi Allah Ta'ala. Apabila ditunjukkan 'recording' Allah, jika perbuatan itu baik, seseorang akan rasa seronok. Namun jika sebaliknya, seseorang itu akan berharap sekiranya yang dilihat itu bukan dia, dan dia sangat ingin menjarakkan dirinya daripada perbuatan itu. Namun, amalan itu akan menjadi seperti bayang-bayangnya, yang takkan dapat dipisahkan daripada dirinya.

Dalam satu hadis, Nabi SAW menyatakan bahawa hanya amalan yang akan mengikuti seorang hamba setelah dia mati. Ahli keluarga dan harta-bendanya akan pulang meninggalkan dia sendirian. Amalan baik yang dilakukan akan menemankan dan menghiburkan dia di dalam kubur. Sebaliknya, amalan buruk akan berada di sisinya dan menakutkannya. Sudahlah sendirian di kubur, di tempat yang sempit dan gelap, amalan buruk yang ada bersamanya itu menakutkan dan memburukkan keadaan dan walaupun dia meminta amalannya itu pergi, amalan buruk itu akan tetap bersamanya. Siapa yang mencipta amalan buruk itu? Kita sendirilah.


..Dan amalan tidak baik yang diharapkan ada jarak yang jauh dengan dirinya.”

Amalan perbuatan baik dihadirkan Allah di hadapan mata pelakunya, manakala amalan tak baik akan diminta menjauhi daripada dirinya. Perkara itu cuma angan-angannya kerana amalan itu akan kekal bersama mengekorinya kecuali apabila dia diberi pengampunan oleh Alla Ta'ala.

Allah mengingatkan kamu akan kekuasaan diri-Nya...”

Seterusnya Allah mengingatkan kita agar patuh, taat dan kembali kepada Allah. Allah mengingatkan agar tidak melanggar perintah Allah, agar tidak membuat maksiat kepada Allah. Allah mengingatkan untuk menghadirkan Allah bersama-sama kita, bila-bila masa dan dimana-mana saja. Barulah kita akan terpandu dalam segala amalan kita.

Allah amat belas kasihan pada hamba-Nya.

Seorang guru akan mengancam muridnya dengan kesusahan dan kegagalan. Tetapi Allah dalam ayat ini mengancam manusia dengan kekuasaan-Nya tetapi menutup ayat ini dengan kata-kata bahawa sesungguhnya Allah itu amat belas kasihan sifat-Nya. Oleh itu, jika terbuat silap perkara yang dilarang Allah, kita perlu ingat bahawa Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Oleh itu, jika kita tersilap, jangan dilihat besarnya dosa itu sehingga berasa putus asa kerana sesungguhnya rahmat Allah itu lebih besar.

Perbahasan ayat 31:


Ayat ini mempunyai makna yang sungguh mendalam dan agung. Ayat ini berbicara tentang kasih-sayang Allah. Ayat ini mengajarkan kita cara untuk mendapatkan kasih-sayang Allah. Allah mengesahkan bahawa ada kasih sayang dan cinta hambanya kepada Allah. Cinta kepada Allah perlu mengikut syariat yang Allah tetapkan, barulah cintanya itu akan diterima. Jika tidak, tiada makna cintanya itu.

Apakah yang menyebabkan manusia cinta dan hormat kepada Allah? Orang yang mendapat nikmat pasti bersyukur dan rasa sayang kepada Allah. Begitu juga dengan orang yang diberi kejayaan dalam kerjaya contohnya. Jika begitu, dasar seseorang itu cinta kepada Allah ialah melihat kepada besarnya nikmat yang diberi Allah kepadanya. Tapi adakah rasa cinta dan sayang kepada Allah sebegini mencukupi? Tidak. Orang yang mendapat kerja yang diidam-idamkan dan bersyukur pada Allah, tetapi kemudian berlaku zalim dalam pekerjaannya tidak mengikut cara cintakan Allah yang sebenarnya. Mana boleh seseorang menunjukkan kasih kepada Allah sedangkan dia juga bermaksiat kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, dalam ayat ini dinyatakan, “Ikutilah daku..”. Mengikuti kepada Rasulullah ialah 'manual'* (jalan) untuk mendapatkan cinta Allah. 'Manual' dibuat untuk kebaikan pengguna bukan untuk kebaikan syarikat pengeluarnya. Oleh itu, Allah mensyaratkan hamba yang mengaku sayang kepada Allah dengan arahan agar mengikut Nabi SAW, demi kebaikan diri sendiri juga. Walaupun mengikut kepada Nabi itu berat, tak sesuai dengan mindanya, susah, tetap kena ikut juga. Oleh itu ikutlah Nabi 'with no question!'.

Sy. Umar berkata ketika mengucup Hajarul Aswad, “Demi Allah, jika aku tidak melihat Nabi mengucup kamu, pasti aku tidak akan mengucup kamu”. Sy. Umar melakukannya semata-mata mengikuti apa yang pernah dilakukan Nabi SAW. Begitu juga dengan Sy. Abdullah bin Umar bin Khattab yang pernah singgah di satu tempat kerana beliau pernah melihat Nabi SAW singgah di tempat yang sama. Abu Ayub Al-Anshari pula tidak makan bawang merah atau putih setelah melihat Nabi SAW tidak makan bawang. Seleranya pun ingin mengikut kepada Nabi SAW.

Oleh itu jika benar cinta Allah, mesti ikut kepada Nabi SAW sebagai tanda atau syarat sahnya kasih sayang kepada Allah Ta'ala. Jika dibuat begitu, maka Allah akan kasih juga kepada kamu. Ramai orang berkasih sayang, namun ada yang merasa cukup jika dia mengasihi seseorang tanpa mendapat balasan. Buat apa kasih kepada seseorang jika dia tidak kasih kepada kita? Kasih seperti itu hanyalah mengikut hawa nafsunya untuk mencari alasan membenarkan apa yang ingin dilakukannya. Sy. Al-Mutanabbi berkata, “Kamu, adalah orang yang saya kasihi. Akan tetapi, saya berlindung daripada menjadi pengasih yang tak dikasihi”. Oleh itu, adalah menjadi harapan orang yang mengasihi Allah untuk mendapat kasih-sayang Allah SWT kembali.

Dalam hadis disebutkan bahawa Nabi SAW berdoa, “Allah, aku minta kasih-sayang-Mu kepadaku”. Jika kita ingin bersandarkan kepada keupayaan kita untuk mengikuti apa yang dibawa Nabi SAW, dalam kepelbagaian maksiat yang kita lakukan, ianya amatlah kurang untuk mendapatkan kasih-sayang Allah. Oleh itu, kita perlu meminta agar Allah mengasihi kepada kita. Orang yang sayang pada Allah dan mengharapkan kasih-sayang Allah tidak akan merasa apa yang datang daripada Allah itu berat. Dia tidak akan menganggap dugaan yang datang sebagai musibah. Dia tidak akan menganggap kesusahan dalam hidup sebagai beban. Tapi dia menjadikannya peluang dia meraih kasih-sayang Allah SWT. Rasulullah SAW, ketika pulang dari Taif, setelah dicederakan kerana ditolak dakwahnya, berkata, “Selagi apa yang berlaku pada aku ini bukan tanda Engkau murka kepada aku, bukan tanda Engkau tidak suka kepada aku, aku tidak peduli apa mereka buat. Yang penting aku nak Kau kasih kepadaku. Aku tak nak Kau murka kepadaku”. Tumpuannya adalah kasih-sayang Allah SWT. Orang yang merasa manisnya mahabbah Allah SWT akan menganggap semua yang datang daripada Allah itu manis walaupun berat, walaupun pahit pada hakikatnya.

Kata Rabiatul Adawiyah, seorang wanita solehah, "Andai hubungan aku dengan-Mu manis, walaupun hidup ini pahit. Andai Engkau redha kepadaku walaupun manusia itu tidak suka kepadaku. Andai hubunganku dengan-Mu mesra walaupun aku terputus hubungan dengan orang lain. Kalau kau anugerahkan kepadaku Ya Allah, kasih-sayang daripada Engkau, wahai segala tumpuan aku kepada Engkau, segala yang ada di tanah ini kembali kepada tanah juga”. Apa maksudnya? Hidup susah, berpenyakit, miskin atau apa jua keadaannya, akhirnya akan masuk ke dalam tanah juga. Maka, penghujungnya tetap kepada tanah, daripada tanah datang, dan kepada tanah kembalinya. Maka, tak berubah hidupnya walau apa jua yang dihadapi dan tumpuannya tetap menjaga hubungan yang manis dengan Allah SWT demi mendapatkan kasih-sayang Allah SWT. 

Moga-moga Allah SWT berikan kepada kita kasih-sayang kepada Allah SWT, dipandu jiwa ini untuk taat mengikuti Rasulullah SAW, merasakan apa yang kita lakukan daripada perintah Allah sebagai satu ghurbah kepada Allah SWT, dan moga-moga Allah SWT akan memberikan kasih-sayangnya kepada kita. 

Ya Allah, kami minta kasih-sayang-Mu kepada kami. 
Ya Allah, kami minta kasih-sayang-Mu kepada kami. 
Ya Allah, kami minta kasih-sayang-Mu kepada kami. 
Ameen Allahumma Ameen.

p/s: *Semasa ceramah, perkataan asal yang Habib gunakan ialah 'katalog', namun pada pendapat saya, maksud Habib ialah perkataan 'manual' jika diterjemah ke dalam Bahasa Melayu dan saya menggantikannya untuk memudahkan pemahaman. Mohon ampun dan maaf atas kekurangan penyampaian drpd pihak KKN.

Popular posts from this blog

Tanggungjawab Adik-Beradik (2) - Tanyalah Ustaz 21.06.2012

Diet Rasulullah (2) – Tanyalah Ustaz 26 Ramadhan 1433H (15.08.2012)

Memikat Hati Suami (1) – Tanyalah Ustaz 18.03.2013