Tausiyah Istimewa Habib Salim bin Umar, MTDM 12.04.2013

Habib Salim bin Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz
Terjemahan oleh Habib Ali Zainal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
MTDM 12.04.2013, Masjid Mu'az bin Jabal, Setiawangsa, KL



Dengan nama Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah SWT. Tuhan yang Esa lagi Tunggal. Tiada sekutu bagi-Nya. Allah bersaksi bahawa tiada Tuhan selain diri-Nya. Begitu juga para malaikat serta orang-orang yang berilmu bahawanya Allah ialah Dzat Yang Maha Adil. Saya naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah utusan Allah. Moga-moga Allah SWT menggolongkan kita bersama baginda, ahli keluarga dan sahabatnya.

Kita semua berada dalam acara yang dinisbahkan sebagai warisan Nabi SAW, disebabkan para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mereka mewariskan ilmu dan barangsiapa yang mengambilnya, sungguh mereka telah mengambil bahagian yang terbaik. Majlis seumpama ini, mereka yang menghadirinya, telah mengambil bahagian daripada wasiat Nabi Muhammad SAW.

Di setiap zaman dan tempat, ada pelbagai jenis perhimpunan. Mereka, ada yang berkumpul kerana harta, kerana kuasa, atau untuk mendapatkan kemasyhuran. Ada juga yang berkumpul untuk memenuhi hawa nafsu tapi kita berkumpul di sini untuk mendapatkan warisan Nabi SAW.

Juga didapati di setiap zaman dan tempat, perhimpunan yang diadakan oleh badan-badan yang tertentu, syarikat-syarikat tertentu atau yayasan-yayasan tertentu atau negara-negara tertentu. Terdapat pelbagai jenis perhimpuan yang penganjurnya pelbagai jenis juga. Tetapi kita semua berada dalam majlis yang dianjurkan Allah SWT.

Juga dalam perhimpuan di luar sana, ada yang menilainya melalui keselasaan mungkin kerana prasarananya seperti dewan, padang yang terbentang luas atau jalan raya. Tetapi kita berkumpul di rumah Allah dan inilah tempat yang lebih mulia.

Alangkah agungnya perhimpunan dan pertemuan kita ditempat ini. Alangkah agungnya pemberian yang diberikan Allah Ta'ala kepada kita malam ini. Kita berhimpun di rumah Allah SWT, dalam rangka untuk mencari warisan Rasulullah SAW, ditemani bersama para malaikat Allah SWT. Mana ada perhimpunan yang lebih agung daripada perhimpunan kita ini?

Jika dibuka hijab untuk kita melihat dan menyaksikan para malaikat yang duduk menemani kita sampai setinggi langit, tak seorang pun akan bangun meninggalkan tempat ini kerana nikmatnya duduk bersama malaikat. Yang memberitahu kita tentang ini ialah orang yang pernah berdusta selamanya. Malaikat yang hadir bersama dengan kita itu menyertai dan berkongsi bersama dengan kita. Kalau kamu berdoa, malaikat mengaminkan. Bilamana kamu memohon sesuatu kepada Allah, malaikat itu akan menjadi sebab syafaat doa kamu kepada Allah. Bilamana bersurai, Allah akan menghadiahkan dengan pengampunan, dan digantikan dosa itu dengan kebaikan oleh Allah.

Malaikat mengatakan kepada Allah, “Ada si fulan datang bukan kerana majlis ilmu, tapi kerana hajat yang lain”. Allah menjawab kepada malaikat itu, “Dia aku ampunkan oleh kerana duduk bersama orang-orang yang aku ampunkan”. Maka, dengan sedemikian, janganlah ada sebab apa pun untuk kita mengatakan ada majlis lain yang lebih mulia, lebih agung daripada majlis seumpama majlis kita ini. Menghadiri majlis ilmu juga adalah satu daripada amalan yg soleh. Ada disebutkan dalam satu athar bahawa menghadiri majlis ilmu itu lebih baik daripada mengikuti 1000 jenazah, menziarahi 1000 orang sakit atau solat 1000 rakaat. Maka, kita bersyukur kepada Allah dengan nikmat ini.


Kita berada dalam masjid yang diberi nama masjid Muaz ibnu Jabal. Sy. Muaz ibnu Jabal ialah seorang yang terkemuka dalam keilmuannya dalam kalangan sahabat Nabi. Dalam sebuah riwayat, baginda Rasul SAW mengatakan orang yang paling 'alim tentang halal dan haram ialah Muaz. Sy. Muaz ibnu Jabal mengenali Rasulullah SAW ketika baginda masih berada di Mekah. Beliau juga hadir dalam Baiatul Aqabah bersama sahabat Nabi yang lain. Beliau itu seorang daripada kaum Ansar dari Madinah dan salah seorang yang menyambut kehadiran Nabi SAW ke kota Madinah. Beliau ikut bersama dalam perang Badar, Uhud dan peperangan-peperangan yang lain. Beliau banyak mengambil ilmu daripada Nabi SAW, mengambil kefahaman keilmuan, dan yang paling hebat daripada itu ialah mengambil cinta dan kasih sayang Nabi SAW. Dalam hadis sahih, baginda Rasulullah SAW berkata, “Wahai Muaz, aku ini cinta dan kasih kepadamu”. Untuk kita mencintai Rasulullah adalah satu anugerah yang besar, akan tetapi untuk kita mendapat cinta daripada Rasul SAW atau disayangi Rasulullah, itu adalah perkara yang lebih hebat.

Tanda cintanya Nabi SAW kepada Muaz, diberikan hadiah dengan baginda bersabda, “Wahai Muaz. Aku sayang kepada engkau. Jangan engkau tinggalkan setiap kali selepas solat:

اَللَّهُمَّ أَعِنِّيِ عَلَى ذِكْرِكَ وشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ


Walaupun Nabi SAW tahu yang Muaz seorang yang alim, akan tetapi baginda mengajarkan cara bersyukur, memuji dan menyempurnakan ibadah kepada Allah Ta'ala. Daripada hadis ini, perlu kita fahami bahawa belum cukup sekadar mendapatkan ilmu, tetapi perlu ditambah dengan hati yang bersyukur, lidah yang berzikir dan badan yang beribadah kepada Allah Ta'ala.

Nabi SAW pernah mengutuskan Muaz ke negeri Yaman dan beliau berada disana sehingga Nabi SAW meninggal dunia. Ketika Sy. Abu Bakar menjadi khalifah, Sy. Muaz kembali ke Madinah. Di dalam hadis yang menceritakan Nabi SAW menghantar Muaz dalam perjalanannya ke Yaman, baginda mengizinkan Muaz menerima hadiah daripada orang Yaman, tetapi orang lain tidak dibenarkan menerima. Ini adalah kerana sifat amanah yang dimiliki Sy. Muaz Ibnu Jabal. Kata Sy. Abu Bakar, “Jika kita biarkan apa yang ada pada Muaz daripada keistimewaan yang diberikan Rasulullah, maka orang akan mencari ilmu untuk mendapatkan kepercayaan harta atau mendapatkan kepercayaan dalam hal lain. Maka, baik kita ambil apa yang ada pada Muaz daripada ilmunya, dan yang lain kita serahkan kepada kaum Muslimin”. Maka, ketika itu Sy. Abu Bakar meminta Sy. Umar meminta harta yang diamanahkan kepada Sy. Muaz agar dikembalikan. Kata Sy. Umar kepada Sy. Muaz, “Kamu, wahai Muaz, menjaga harta ini kerana ilmu yang ada pada kamu sedangkan ilmu itu tidak dicari atau didapati kecuali kerana Allah”. Kata Sy. Muaz, “Itu ialah hak saya yang diberikan oleh Rasulullah SAW”. Lalu dibiarkan Sy. Umar pergi dan Sy Muaz datang kepada Sy. Abu Bakar. Katanya, “Wahai Khalifah, ambillah apa sahaja yang ada padaku. Sesungguhnya segalanya telah kusedekahkan di jalan Allah Ta'ala”. Ini ialah sifat orang yang alim. Semua hartanya adalah halal dan dikeluarkan kepada jalan Allah Ta'ala. Maka orang yang mencari ilmu semata-mata kerana dunia tak boleh mendapatkan hal yang sedemikian. Orang yang alim seperti Muaz ibnu Jabal, hartanya adalah kerana Allah Ta'ala. Beliau ialah seorang yang alim dan tahu berbudi pekerti yang baik kepada seluruh manusia. Ini yang sepatutnya menjadi sifat orang yang mencari ilmu.

Berkata Abdullah bin Mas'ud dan Anas bin Malik r.a, “Muaz ibnu Jabal ialah seorang yang pemaaf dan pemurah, tidak diminta sesuatu daripadanya melainkan akan diberikannya”. Maka, dia telah tinggi kedudukannya di antara para sahabat. Seorang tabiin bernama Masruq duduk bersama Abdullah ibnu Mas'ud. Abdullah bin Mas'ud berkata, “Muaz ini ialah seorang makhluk yang taat dan patuh kepada Allah”. Masruq salah faham menyangkakan itu ialah Nabi Ibrahim, kerana dia yang dikatakan sebagai orang yang taat dan patuh kepada Allah didalam Al-Quran. Masruq berkata kepada Abdullah ibnu Mas'ud, “Mungkinkah yang kamu maksudkan itu Ibrahim?”. Jawab Abdullah, “Tidak, saya tidak lupa. Saya tetap ingat. Saya ini mengumpamakan sifat Muaz kepada sifat Ibrahim a.s. Adakah kamu tahu apa erti ummat? Adakah kamu tahu apa erti orang yang taat pada Allah?”. Masruq menjawab, “Tidak”. Terang Abdullah, “Adapun Muaz itu ummat adalah kerana ramainya orang yang mengikutinya dan dia ialah orang yang diikuti. Adapun kedudukan dia ialah orang yang patuh dan taat kepada Allah kerana tiada dalam dirinya kecuali semuanya ditujukan kepada Allah SWT”.

Disebutkan dalam satu hadis dengan sanad yang hasan daripada Rasulullah SAW, “Sy. Mu'az nanti akan dibangkitkan dan berada dihadapan para ulama'”. Kalau kita semua yang berada dalam majlis ilmu ini istiqmah dengan apa yang kita belajar, in sha Allah kita akan digolongkan bersama dengan Mu'az bin Jabal. Berada dalam golongan para ulama' yang beramal dengan ilmunya. Tiada faedah ilmu tanpa amalnya. Ilmu tanpa amal umpama pokok tanpa buah. Sedikit ilmu dengan amal lebih baik daripada banyak ilmu tanpa amal.

Sungguh saya amat gembira hadir di majlis ini bersama kamu semua disebabkan dalam majlis ini dibacakan firman Allah, hadis Rasulullah dan ilmu pewaris kepada Rasulullah. Maka sempurna penyampaian ilmu di tempat ini. Tiada yang lebih berharga daripada apa yang kita dilakukan di dunia ini. Ataupun di akhirat. Yang ada bersama kita ini ialah firman Allah dan sabda Rasulullah. Orang-orang yang ada di dunia ini, setinggi mana kefahaman mereka, tak boleh mencapai akan keagungan apa yang Allah beri kefahaman kepada apa yang kita hari ini. Kita semua ini pada hakikatnya hidup di alam akhirat walaupun masih berada di dunia. Malaikat berada bersama kita. Allah menyebut nama kita dan redha kepada kita. Tempat kubur kita akan disinari dengan amalan yang kita buat pada malam ini. Bukan hanya kubur kita, bahkan kubur orang tua kita dan orang terdahulu daripada kita.

Diceritakan ada seorang yang diazab di dalam kubur. Pada suatu hari, azab itu diangkat oleh Allah. Orang itu pun memuji Allah dan berkata, “Atas sebab apa azab itu diangkat oleh Allah untukku pada hari ini”. Malaikat memberitahu, “Kerana hari ini anakmu ada pergi belajar Al-Quran dan menyebut 'Bismillahirrahmanirrahiim', maka diangkat azab daripadamu”. Apakah agaknya pandangan kamu semua jika apa yang dibaca bukan sekadar Basmallah, bahkan ayat-ayat Allah, hadis Nabi dan kalam-kalam ulama solihin? . Kita memohon kepada Allah sebagaimana Allah mengizinkan kita nikmat ini, moga-moga Allah SWT tidak menghilangkan anugerah ini daripada kita. Moga-moga Allah memberikan kita istiqamah menghadiri majlis seumpama ini. Dan moga-moga Allah SWT memberikan ilmu kepada kita dan kekuatan untuk beramal dengannya. Dan moga-moga Allah memberi taufik kepada kita untuk kita mengajarkan ilmu yang telah kita pelajari. Dan moga-moga semua yang kita buat itu diterima di sisi Allah SWT. Dan moga-moga Allah SWT membersihkan daripada hati kita sifat riyak, bangga diri, dan cinta kepada dunia. Dan moga-moga Allah SWT membersihkan jiwa kita daripada bergantung kepada selain Allah SWT. Dan moga-moga Allah SWT yang Maha Mengetahu segala hajat yang ada bagi mereka yang ada bersama kita, moga-moga Allah memenuhi segala hajat mereka yang di dunia dan juga di akhirat.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab