"Aku Tidak Bersendiri" - Celik Hati (1) TV9
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
Prof. Dr. Muhaya Muhammad
Sebentar tadi ditunjukkan klip seorang remaja yang terasa
dirinya sendirian dan amat gundah gulana. Tetapi, adakah kita benar-benar
bersendirian? Mari kita renungkan semula, 20 tahun yang lampau, di manakah
remaja tadi? Ketika itu, dia masih bayi yang comel dan ditatang dengan penuh
kasih-sayang. Sembilan bulan sebelum itu, berlaku persenyawaan dalam rahim
ibunya. Daripada 360 juta sperma ayahnya, cuma 1 yang terpilih untuk bersenyawa
dengan ibunya untuk membentuk dirinya yang istimewa. Daripada 2 sel menjadi 4,
16 sehingga 100 billion sel kita sekarang ini – Siapakah yang menjaga sel itu?
Siapakah yang menjaga sel itu untuk membentuk organ-organ yang tertentu? Itulah
Allah bagi umat Islam dan Pencipta bagi penganut ugama lain. Ketika di alam
roh, kita taat pada Pencipta kita dan tidak pernah menyoal mengapa belum
dijadikan jantung atau telinga dan seumpamanya. Ketika dilahirkan, kita belum
berakal tetapi bahagia dan senang dibahagiakan. Setelah berakal, barulah kita
mula sedar akan kehidupan ini tidak lama dan kita perlu mencari apakah tujuan
kehidupan ini.
Kita ada mata fizikal yang melihat dan ianya mudah dirawat.
Tetapi mata hati kita tidak semestinya melihat seperti yang sepatutnya. Kita biasanya
melihat sesuatu peristiwa pada zahirnya sahaja, dan tidak melihat kepada
Pemberi peristiwa. In sha Allah dalam rancangan ini, kita akan cuba melihat
siapa kita, dari mana kita datang dan apakah tujuan kita hidup kita – adakah
semata-mata untuk memuaskan mata fizikal sahaja? Tentulah tidak!
Kembali kepada remaja tadi yang kesedihan kerana putus cinta
dengan manusia. Jika mata hatinya celik, dia pasti sedar yang dia mencari kasih
yang tidak kekal, daripada manusia yang juga tidak kekal. Alangkah baiknya jika
kita meningkatkan makanan rohani iaitu cinta kepada Pencipta kita? Remaja tadi
menangis kesedihan tetapi alangkah baiknya jika air mata itu digunakan untuk
melihat diri kita dan takut kepada azab Allah.
Pada malam Jumaat yang indah ini, mari kita renung diri.
Orang yang bijak selalu merenung dirinya sendiri dan tidak melihat orang lain.
Orang yang hebat akan selalu bertanya pada dirinya sendiri, “Adakah benar apa
yang saya lakukan ini?” Orang yang hebat akan memeriksa dirinya daripada dalam
ke luar. Segala apa yang berlaku di sekelilingnya adalah hasil daripada apa
yang ada di dalam jiwa kita.
'Tweet' 1 – “Sesungguhnya
dengan mengingati Allah, hati akan tenang. Kalau hati tidak tenang, tanya diri
berapa kali kita mengingati Allah”. – Prof. Dr Muhaya
Saya ada mengumpulkan cerita inspirasi daripada pengalaman
saya menjadi doktor selama 27 tahun dalam sebuah buku. Apabila kita celik hati,
setiap yang berlaku akan dapat kita ambil pengajaran daripadanya. Saya ingin
petik kisah orang yang ajaib daripada buku ini. Orang atau mukmin yang ajaib
ialah seorang yang bersyukur apabila senang dan bersabar apabila kesusahan. Ada
satu kisah seorang berumur 40 tahun yang disahkan menghidap leukemia. Pada
awalnya dia amat putus asa dan kerap bertanya kenapa perkara itu berlaku pada
dirinya. Setelah mendapat nasihat yang baik, dia kemudiannya redha dan
Alhamdulillah kini, dia telah sembuh dengan baik, bahkan dia juga menjadi lebih
dekat kepada Allah SWT.
Ada satu lagi kisah tentang seorang remaja yang kita boleh
ambil pengajaran. Pada suatu hari, saya ingin pergi ke satu wad tetapi saya
mendengar pekikan yang kurang menyedapkan hati. Apabila dilihat, saya dapati
ada seorang remaja lelaki yang sangat kacak, tetapi terlantar kerana telah
lumpuh seluruh badannya. Rupa-rupanya dia kemalangan kerana memandu laju kereta
yang baru diperolehi daripada ayahnya yang sangat kaya. Ayahnya kaya tetapi
tidak berjaya mendidiknya dirinya dengan akhlak yang baik. Remaja itu tidak
solat, marah-marah dan bersikap kasar kepada kakitangan hospital yang banyak
membantu dirinya. Dia menyesal kerana ketika sihat dahulu tidak pernah
menggunakan kaki untuk solat dan ke masjid. Segala nikmat yang Allah beri,
Allah boleh ambil dalam sekelip mata sahaja. Oleh itu, setiap detik dan nikmat
yang Allah berikan, perlu kita gunakan untuk mengabdikan diri kepada Allah
Ta’ala.
Mari kita sama-sama fikir kembali – Adakah kita hidup ini
untuk mencari redha Allah atau penghargaan manusia? Apabila kita berbuat
sesuatu, pasti kita akan terfikir apa agaknya orang akan kata -> Mari kita
ubah persepsi dan sebaliknya memikirkan –> “Apa yang Allah lihat dalam
setiap perbuatan kita?!” Mari sama-sama kita pindahkan diri daripada kiri ke
kanan. Mari kita ubah daripada kehidupan kesedaran keegoan (pentingkan apa yang
kita ada, pakai, pangkat kita) kepada kesedaran ketuhanan, iaitu fokus pada apa
yang kita boleh beri, bukan apa yang kita boleh dapat. Ibu bapa sekalian, cuba
perhatikan bagaimana kita didik anak kita. Adakah kita mengajar mereka mencapai
keputusan pelajaran yang baik untuk mendapat sanjung manusia atau untuk memberi
makna dalam kehidupan mereka?
Kita jarang merenung diri. Cuba perhatikan – adakah kita ini
seorang yang banyak masalah atau banyak ujian? Jika kita banyak masalah, kita
akan mudah tenggelam dalam masalah itu. Mari renung diri dan cuba hidup dari
dalam ke luar. Apabila kita menjaga fikiran menjadi positif, ianya akan
menghasilkan emosi yang positif, yang kemudian akan menghasilkan tindakan yang
positif dan hasilnya juga in sha Allah positif.
'Tweet' 2: “Jangan
khuatir orang tidak menghargaimu, khuatirilah sama ada kamu menghargai orang
lain atau tidak” – Kung Fu Zhe
“Orang tenang akan menang” - Orang yang tenang akan
mengeluarkan hormon-hormon yang baik dan merubah enzim badan kita kepada
kebaikan. Orang bukan Islam yang berharap pada Penciptanya juga akan mendapat
ketenangan.
Dalam blok terakhir ini kita perlu melakukan transformasi
diri. Untuk itu, kita perlu ada pelan tindakan iaitu kita perlu sediakan skrip
kehidupan kita sendiri. Ada 5 prinsip yang perlu kita amalkan ada kita berasa
bahagia dan bersama pencipta kita:
- Kasih sayang tanpa syarat pada semua makhluk ciptaan Tuhan.
- Memaafkan semua orang – siapa yang kata payah untuk dilakukan, pasti akan payahlah urusannya itu!
- Sentiasa murah hati – adakah orang kedekut yang tenang, dan orang murah hati yang tidak tenang?
- Tentukan mempunyai hubungan yang rapat dengan Pencipta – walaupun badan berada bersama manusia, tentukan yang hati kita bersama Pencipta kita.
- Setelah melalui keempat-empat ini, in sha Allah akan sampai kepada tahap kelima iaitu orang yang memiliki nafsu mutmainnah iaitu jiwa yang tenang. Mereka ini akan mendapat syurga di dunia lagi.
Setelah itu, tambah tiga prinsip lagi iaitu:
- Waktu terpenting ialah sekarang – oleh itu tak perlu risau yang telah berlaku ataupun yang akan datang
- Siapakah orang terpenting? Itulah orang yang berada di hadapan kita. Oleh itu, jangan lupa buat baik, terutama pada pasangan masing-masing, kita tak tahu mungkin itu kali terakhir kita bersama.
- Perbuatan terbaik ialah buat baik, tak kita pada siapa sekalipun.
Di samping itu, mari amalkan formula berikut: “Ada, beri,
dapat”. Kita hanya boleh beri apa yang kita ada. Jika kita ada benda
baik, baru kita boleh beri yang baik. Untuk ada benda baik, kita perlu celik
mata hati terlebih dahulu. Bila mata hati sudah celik, barulah jelas tujuan
setiap apa yang kita lakukan – adakah mencari keredhaan Allah ataupun
penghargaan manusia. Dalam menghadapi situasi negatif, jangan fokus pada
situasi itu, tapi renungkan kepada Pemberi situasi. Contohnya, jika berlaku
kecurian – adakah kita ingin marah atau renung semula diri kita? Mungkin juga
kita telah terambil rezeki yang haram, dan kita sepatutnya berterima kasih pada
pencuri itu yang telah mengambil bahagian yang haram daripada rezeki kita. Itulah
sikap orang celik hati!
Buatlah skrip kehidupan dan amalkan prinsip-prinsip yang
telah disebutkan tadi. Di samping itu, kita juga perlu jaga 3 perkara:
- Apa yang kita cakap pada diri sendiri? -> adakah perkara yang positif atau negatif?
- Apakah tenaga di sekeliling kita? –> apakah rancangan TV yang kita tonton, radio yang kita dengar, berita yang kita baca, ‘tweet’ yang kita ikuti dsb.
- Apakah manfaat yag telah kita berikan? – >tentukan apa yang kita sebut, ‘post’, ‘tweet’ adalah perkara yang memberi kebaikan.
Setiap hari, kawal fikiran kita kerana ianya akan mengawal
emosi dan tindakan kita dan akan memberi kesan kepada kehidupan kita. Lihat
diri dan hidup dari dalam ke luar. Hentikan melihat orang lain. Teruskan
mencari ilmu dan bersama lagi minggu depan dengan tajuk – “Belajar Menerima
Cinta”.