“Belajar Menerima Cinta” - Celik Hati (2) TV9


بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

Prof. Dr. Muhaya Muhammad


Segmen 1: Refleksi Diri

Video tadi menunjukkan abang berusia lingkungan 4 tahun mengajar adik perempuan berusia lingkungan 2 tahun mengaji. Sungguh comel gelagat mereka. Pada usia begitu, semua orang gembira, tidak tertekan, tiada yang sakit hati. Walaupun mereka berebut, tetapi tidak sampai bergaduh. Kita mesti belajar daripada mereka. Dahulu kita pun begitu, tetapi setelah meningkat dewasa, kita semakin ‘stress’ dan ingin dicintai. Jadi, saya ingin kenalkan rancangan ini yang bertujuan mencelikkan mata hati – agar dapat mengubah pandangan kita terhadap sesuatu dan agar kita melihat kepada Pencipta sesuatu dan bukan semata-mata kepada ciptaannya sahaja.

Mari bayangkan, apabila bangun pagi dan lihat dalam cermin, apa yang kita nampak? Adakah kita suka dengan apa yang kita lihat dalam cermin? Adakah kita rasa bahagia bila tengok diri dalam cermin? Selalunya tidak – kita rasa rendah diri, rasa berdosa, rasa diri tiada apa-apa yang istimewa! Kenapa saya bangkitkan perkara ini? Kerana inilah yang biasa berlaku kerana kebanyakan kita biasanya dibesarkan dalam suasana di mana kita sering disbanding-bandingkan dengan orang lain.

Saya ingin kongsi satu kisah – Ada seorang datang mengadu mengatakan yang ibunya sangat garang dengan ayahnya. Jika ayahnya bermain dengan cucunya, ibu suruh cucunya pulang seolah-olah ibu benci pada suaminya sendiri. Mereka pula diberitahu yang ibu disihir orang. Bagi kita yang berakidah Islam, adakah kita ingin terus percaya dengan kenyataan ini? Saya tanyakan bagaimana sikap neneknya (ibu kepada ibu)?. Anaknya menberitahu yang neneknya sangat garang. Budaya orang tua kita dahulu kala memang mendidik anak dengan garang. Pada mereka, anak tidak boleh dipuji kerana dengan itu, mereka akan besar kepala. Sebenarnya cara didikan memberi kesan yang besar kepada seseorang. Orang yang benci dirinya akan membenci orang lain juga, hanya orang yang cinta dirinya boleh memberi cinta dan belajar menerima cinta. Jadi, saya berpesan agar dia tidak meneruskan budaya garang dalam mendidik anak-anaknya pula.


Tweet 1:
“Orang yang bahagia ialah mereka yang merasa bahagia melihat orang lain bahagia. Kebahagiaan ada di dalam hati kita, jadi buatlah keputusan untuk bahagia.
Bahagia dengan Allah, maka manusia lain juga merasai kebahagiaan dengan kita. Apabila kita mendapat kasih sayang Allah, akan dapat kasih sayang manusia, In sha Allah”
Petikan buku “Refleksi Diri

Segmen 2: Inspirasi Diri

Petikan tadi menunjukkan video suami isteri bergaduh. Jika kita putar 10 tahun sebelum itu, alangkah indahnya – buat majlis kahwin dengan meriah, ada kompang, ada tema warna, hantaran, album gambar dan sebagainya. Tetapi sayangnya, kebanyakan pasangan cuma merancang perkahwinan tetapi tidak merancang kehidupan selepas perkahwinan. Agak-agaknya orang yang bergaduh mempunyai kesedaran keegoaan yang tinggi atau kesedaran ketuhanan yang tinggi?

Sebenarnya orang yang marah pada orang lain, marah pada dirinya sendiri. Kita cuma melihat apa yang mata hati kita lihat, apa yang ada dalam jiwa kita. Oleh itu, bagi pasangan suami-isteri, jika terasa ingin bergaduh – cuba bayangkan dahulu yang itu mungkin kali terakhir bersama pasangan, in sha Allah akan reda perasaan tersebut.

Salah satu perkara yang menbawa masalah kepada seseorang ialah apabila mereka tidak boleh menerima diri sendiri – mereka membenci diri sendiri, merasa dirinya tidak elok dan merasa hidup ini tidak indah. Bagaimana ini terbentuk?

Cuba bandingkan - Satu keluarga membesarkan anak-anak dalam keadaan memuji dan memberi kasih-sayang, tetapi satu lagi keluarga membesarkan anak dalam suasana garang dan marah-marah. Anak-anak akan terlalu dibanding-banding dan ini akan membuatkan mereka merasa rendah diri dan mudah memberontak. Oleh itu, perhatikan jika ada suami yang panas baran, cuba lihat ibunya, atau neneknya. Ini kerana cara seseorang itu dibesarkan akan menentukan paradigma dan imej dirinya.

Cinta ialah suatu emosi dan emosilah yang menentukan kualiti hidup kita. Tetapi, apakah yang menentukan emosi kita? Biasanya kita rasa positif apabila kita berfikiran positif. Contohnya – jika suami balik lewat – kita boleh fikir negatif yang dia ada perempuan lain atau fikir positif yang dia bekerja lebih untuk kesenangan keluarga. Tapi apa yang mengajar kita untuk memilih berfikiran positif? Itulah system akidah dan system nilai yang dididik kepada kita semenjak kita kecil lagi. Media juga mempunyai pengaruh yang besar dalam hal ini. Oleh itu, saya menyeru kepada pengusaha filem dan drama agar menghentikan filem/drama berunsur ganas kerana imej-imej ini akan masuk ke dalam minda masyarakat dan memberi kesan yang negatif dalam kehidupan mereka.

Dapatan daripada satu kajian oleh Dr. David Hawkins* menunjukkan bahawa emosi yang paling rendah ialah rasa bersalah, kemudian marah, dendam, benci. Oleh itu, apabila mempunyai perasaan sebegini, magnet diri kita akan menjadi negatif dan getaran badan pun menjadi negatif dan kita akan menarik perkara-perkara negatif juga.

Pemanggil:
Seorang suami yang pernah melakukan kesalahan kepada isteri. Telah bertaubat nasuha dan memberi kasih-sayang kepada isteri tetapi isteri masih belum dapat menerima sepenuhnya.

Ulasan Prof.:
Kepercayaan yang diberi, apabila terguris amat sukar untuk diperolehi semula. Oleh itu, suami perlu merasakan dirinya di tempat isteri. Suami perlu bertanyakan isteri apa yang membuatkan dia masih kecil hati. Kebiasaanya, jika kes melibatakan orang ketiga, isteri akan merasa rendah diri, tidak cantik lagi sehingga suami mencari wanita lain. Disamping bertaubat, suami perlu berdoa agar Allah mengubah hati isteri. Suami juga perlu mendapatkan semula kepercayaan suami dan menangani imej-imej negatif yang isteri rasakan, contohnya merasa diri tidak menarik lagi untuk suami. Kita orang Asia, kurang memuji, oleh itu, suami perlu banyakkan puji isteri.

Mari kita renungkan, apakah emosi yang pre-dominan dalam diri kita:
  • Bersyukur atau mengeluh?
  • Suka memberi atau menerima?

Lihat diri kita dan ketahuilah pintu kebahagian ada di dalam diri bukannya di luar diri.

Tweet 2:
“Bila adanya cinta, di situlah wujud kehidupan”. 
– Mahatma Gandhi

Segmen 3: Transformasi Diri

Di tangan saya ada buku “Chicken Soup For The Soul” – saya rasa ramai orang sudah tahu tentang buku ini dan PTS sudahpun menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu. Ada satu kata-kata yang sangat bagus oleh William James*:
“Penemuan terulung dalam generasi kita ialah manusia mampu mengubah kehidupan dengan mengubah sikap”.

Apakah sebenarnya sikap? Itulah gabungan 3 perkara: Fikiran, emosi dan tindakan. Kita kena selalu ingat ‘syllabus’ kita – Fikir, rasa, beri, dapat. Dengan itu, barulah kita akan mendapat hasil kehidupan iaitu ketenangan, kebahagiaan, kesihatan dan kewangan kita.

Setelah tahu akan kepentingan transformasi diri – kita perlu ada jurnal yang menjadi pemerhati diri kita. Berapa ramai daripada kita yang ada jurnal kesyukuran? Sebelum tidur, kita sepatutnya menulis, “Alhamdulillah hari ini saya bersyukur kerana ….”. Dengan ini kita akan dapat meningkatkan kesyukuran kita.

Kedua, kita kena refleksi apakah fikiran negatif yang menghalang saya menerima cinta?

Ketiga: Apakah tabiat negatif saya yang menyebabkan saya tidak boleh menerima cinta?
Keempat: Apakah satu tindakan yang saya akan lakukan untuk belajar menerima cinta.

Ada satu kisah: Ada seseorang yang cuba mencari jodoh tapi sangat sukar. Tetapi ada pula orang lain yang walaupun sudah putus satu jodoh, mudah pula bertemu jodoh yang lain. Oleh itu, jika ada ibu yang anaknya belum bertemu jodoh, cuba kenangkan ada tak semasa kita membesarkan mereka kita fokus pada menyayangi mereka atau kita garang dan tegas untuk mereka mendapat keputusan akademik dan kejayaan dalam kerjaya saja.  Kadang-kadang kita rasa kita didik anak dengan kasih sayang tapi kita tak tahu sama ada kita nak dia berjaya untuk kita atau untuk dia? Apa guna anak kita berjaya dalam kerjaya pekerjaan dan mendapat perhargaan manusia tetapi tidak mendapat kasih-sayang? Ingat tweet tadi: “Bila adanya cinta, di situlah wujud kehidupan”.

Tahu tak apakah kuasa paling besar dalam dunia ini? Itulah kasih-sayang! Oleh itu, kalau kita marah dengan orang, senang saja nak hilangkan perasaan negatif itu. Kita tanya diri kita – kalau saya sayang dia, kalau saya cinta dia, apa yang saya akan buat? Kita ingin tingkatkan emosi syukur, memberi, bahagia dan membahagiakan.

Nak tak belajar cara mencintai diri dan membetulkan diri? Begini…

  • Semua orang duduk atas kerusi dan tenangkan diri
  • Pejam mata, tarik nafas, bayangkan siapa yang kita ingin jadi – jika ingin mencintai diri dan menerima cinta – bayangkan kita bahagia, seronok, semua orang senyum pada kita, kita nampakan semua imej ini dalam imaginasi kita sendiri.
  • Kemudian jika ada orang yang kita marah – walaupun ibu kita sendiri – kita kecilkan mereka sehingga menjadi anak kecil berusia 5 tahun. Bila lihat anak berusia 5 tahun, adakah kita akan marah?  Kita pandang mereka dengan penuh kasih-sayang dan katakan, “Saya sayang anda, dan saya faham anda”.

Percayalah, jika kita setiap saat memberi kasih-sayang, memberi cinta, memang kita akan menerima cinta. Hanya orang yang ada sesuatu dalam dirinya boleh memberi kepada orang lain. Ingat formula – “Ada, beri, dapat”. Untuk mendapat cinta, kita perlu memberi cinta. Untuk memberi cinta, kita perlu ada cinta terlebih dahulu. Tetapi kita tidak boleh hanya cinta sesama manusia, sebaliknya kita perlu kepada cinta Pencipta kita juga. Setiap hari kita bangun, rambut makin panjaang, kuku pun begitu juga? Siapa yang menggerakan semua sel kita ini jika bukan Pencipta kita? Oleh itu, apa kata kita jadi pemerhati diri dan adakan jurnal diri. Sebelum tidur, kita minta maaf dan ucapkan kasih-sayang kepada pasangan dan keluarga kita. Kita juga perlu selalu luahkan, “Alangkah bertuahnya saya ada anda semua!”. Kemudian, setiap kali jumpa orang, kita suka untuk menghargai mereka. Orang yang bijak ialah orang yang buat orang lain rasa penting dan seronok tentang dirinya. Jangan sesekali kita buat orang lain rasa tidak seronok tentang dirinya.

Jangan lupa ‘re-tweet’ kerana jika ada manfaat kepada orang lain, in sha Allah akan ada pahala untuk kita dan itulah yang terpenting sekali apabila kita meninggal nanti.

Semoga sesi kali ini membuatkan kita lebih melihat diri, dan ingin mencintai diri dan Pencipta kita dan berkongsi apa yang kita ada. Ingat, kualiti hidup kita bukanlah apa yang kita dapat, tetapi apa yang kita beri.

والله أعلمُ بالـصـواب

p/s: * Maaf, admin tidak pasti ejaan nama yang betul dan segala kekurangan mohon dimaafkan dan ditegur. Jzkk.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab