Sudahkah Bersyukur? - Tanyalah Ustazah 2013 (Episod 24)


بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
Ustazah Norhafizah Musa

Sumber video: My Islam Media

Bacaan ayat 12, surah Luqman:

Dalam ayat ini, Allah nyatakan bahawa kebaikan bersyukur akan pulang kepada diri kita sendiri juga. Jika tidak bersyukur, Allah tak rugi apa-apa tetapi kitalah yang rugi. Secara jujurnya, berapa ramai yang bangun pagi tadi mengucapkan doa kesyukuran bangun tidur? Tidak ramai nampak gayanya, padahal kita telah tidur dan roh kita telah keluar daripada tubuh kita. Penanda aras utama kesyukuran ialah apabila kita mensyukuri nikmat hidup. Nabi SAW bukan sekadar mengamalkan doa itu, tapi turut menambah satu lagi doa iaitu, yang bermaksud: “Segala puji dan syukur kepada-Mu Ya Allah, Engkau telah memberi kesejahteraan kepada jasadku ketika aku tidur. Syukur Ya Allah, Engkau kembalikan rohku kepadaku dan Engkau izinkan aku untuk mengingati-Mu seawal aku bangun dari tidur”

Dalam surah Al-Kahfi, Allah menceritakan bagaimana 2 orang telah diberi kebun yang sangat subur dan memberi hasil yang lumayan. Tetapi, seorang daripada mereka merasakan kehebatan kebun itu adalah kerana dirinya, dan seorang lagi pula memuji Allah atas kelebihan yang Allah berikan. Dengan sebab itu, kebunnya tidak dimusnahkan dan diberi keberkatan oleh Allah. Sebaliknya, orang yang besar diri, Allah boleh lingkupkan nikmat yang diberi-Nya dalam sekelip mata sahaja.

Senarai soalan dan jawapan

S: Apa maksud syukur dalam pandangan Islam?
J: Ustazah ingin menjelaskan bahawa segala hak syukur hanyalah kepada Allah SWT. Oleh itu, walaupun kita perlu berterima kasih dengan orang, atau nak puji orang, jangan kita puji lebih-lebih. Sebenarnya tiada orang yang layak dipuji selain Allah. Jika sekalipun seseorang itu pandai dalam sesuatu hal, kepandaian itu bukanlah datang daripada dirinya sendiri, tetapi dipinjamkan Allah kepadanya. Menurut pandangan ulama: Syukur itu kamu mengiktiraf nikmat itu datang daripada Allah, kamu melihat siapa yang memberi nikmat, kamu menjaga diri supaya tidak buat maksiat dan kamu laksanakan ketaatan kepada Yang Memberi Nikmat

Ulama membincangkan dan menambah makna syukur dalam kehidupan - ada beberapa kedudukan syukur iaitu:
  • Syukur ialah tujuan kehidupan – tujuan amal ibadat kita, tujuan hidup mati kita. Dalam Al-Quran, ketika Allah bercakap tentang puasa, haji, solat, zakat - semuanya Allah kaitkan dengan syukur. 
Contohnya dalam surah Al-Baqarah, ayat 185:

Contoh lain - surah Al-Baqarah, ayat 158:

Contoh lain - surah Al-Maidah, ayat 6:

Dalam setiap ayat ini Allah nyatakan untuk kita bersyukur kerana kekuatan untuk beribadat itu semuanya datang daripada Allah SWT.
  • Kedudukan kedua ialah untuk menjauhkan diri daripada azab.
  • Kedudukan ketiga ialah sebagai syarat untuk menambahkan nikmat. Siapa yang tidak mahu nikmat dalam kehidupan ini ditambah? Oleh itu, jalannya ialah dengan membanyakkan bersyukur.


S: Apakah tanda seseorang itu telah benar-benar bersyukur kepada Allah Ta’ala?
J: Dalam hal ini, jangan kita pandang orang lain, tetapi pandanglah diri kita sendiri. Nabi SAW, dalam menzahirkan rasa syukurnya sanggup solat begitu lama sehingga bengkak dan melecet kakinya. Ada 3 rukun dan 2 ada berkaitan syukur iaitu:

Rukun 1: Mengiktiraf nikmat datang daripada Allah
Contohnya pagi tadi bila tengok wajah di cermin, apa yang kita ucapkan? Adakah kita cuma merungut kerana nampak jerawat di muka? Bukan begitu sifat orang bersyukur. Orang bersyukur akan sentiasa mengenangkan nikmat yang Allah beri. Apabila dapat bangun pagi kita rasa nikmat. Apabila dapat solat Subuh dengan kusyuk kita rasa nikmat, sempat baca Quran pun satu nikmat, sempat senyum pada suami dan anak-anak dan mengembirakan ahli keluarga pun satu nikmat. Jangan kita berterima kasih bersungguh-sungguh kepada manusia terutamanya apabila mendapat wang daripada mereka kerana kita perlu ingat bahawa manusia hanyalah saluran tetapi rezeki yang sebenar hakikatnya datang daripada Allah SWT. Ada banyak implikasi apabila kita terlupa bersyukur pada Allah iaitu:
Kita jadi pembodek, lupa pada Allah, jadi hina kerana terlalu memuji makhluk walhal semua pemberian adalah daripada Allah - semua yang kita tahu, yang kita tak tahu, yang kita sedar, yang kita tidak sedar, yang kita minta, yang kita tidak minta – semuanya adalah nikmat daripada Allah. Kita sendiri biasa mengucapkan, “Bilalah Allah nak maqbulkan doa ini?” Tergamak kita bercakap begitu dengan Allah sedangkan sebelum kita minta lagi telah banyak nikmat yang Allah berikan. Ada banyak nikmat yang kita dapat tanpa perlu meminta. Bila bangun pagi, kita tak perlu pun minta, “Ya Allah berikan sukatan gula yang betul untuk badanku, tekanan darah yang betul, jantung yang berdegup dan sebagainya lagi”, semuanya telah Allah uruskan. Oleh itu jangan sesekali merungut bertanyakan “Bilalah Allah nak mustajabkan doaku ini?” kerana dikhuatiri kita telah tidak bersyukur kepada Allah SWT.

Rukun 2: memuji Allah dengan nikmat tersebut. 
Nabi Daud pernah memuji Allah SWT sepanjang malam dan kemudian bertanya kepada Allah – Adakah makhluk lain yang lebih banyak memujimu?” Allah menjawab, “Ada”. Agak-agak siapa itu? Rupa-rupanya makhluk itu ialah katak - jadi sebenarnya suara katak yang berbunyi-bunyi itu merupakan pujian kepada Allah SWT. Oleh itu, kita perlu malu dan banyakkan bersyukur pada Allah SWT.

Rukun 3: Menggunakan nikmat yang Allah beri untuk mencari keredhaan Allah. 
Pancaindera, harta dan kelebihan yang diberikan perlu kita gunakan pada jalan Allah. Ulama mengatakan yang kita ada 360 sendi dan kita disarankan melakukan solat dhuha untuk mensyukuri nikmat sendi ini. Orang yang berat untuk solat dhuha boleh diibaratkan orang yang tidak bersyukur dengan kurniaan sendi yang memudahkan segala pergerakan kita.

Adab 1: Merasa cukup dengan pemberian Allah
Kita boleh berusaha untuk memdapatkan lebih, tapi jangan kita merungut dan merasa tidak cukup selalu.

Adab 2: Memberi dan berkongi nikmat dengan orang lain. 
Nikmat boleh jadi dalam bentuk wang, tapi nikmat dalam bentuk ilmu juga perlu dikongsikan. Dalam hadis ada disebut bahawa jika seseorang berkongsi walaupun sebiji tamar tapi dengan penuh keikhlasan, Allah akan pelihara sedekah itu baginya dan memberi ganjaran pahala setinggi gunung.

S: Bagaimana menzahirkan kesyukuran dengan pancaindera yang kita miliki?
J: Selain pancaindera seperti mata, hidung, telinga, lidah, hati juga merupakan salah satu daripadanya. Jalan-jalannyan ialah melalui 'Tafakur' – berfikir semula dengan segala apa yang kita lihat, dengar dan seumpamanya. Apa yang kita lihat, apa yang kita dengar, kita fikir balik. Contohnya, apabila melihat buah strawberi, atau durian, janganlah makan terus, tetapi perhatikan betapa indahnya ciptaan Allah itu.

S: Kita sudah bersyukur, tapi masih diuji. Adakah itu petanda yang kita masih belum cukup bersyukur?

J: Sebenarnya, ustazah lupa menyatakan pada awal rancangan tadi – Sebanyak mana sekalipun usaha kita untuk bersyukur, kita takkan mampu membalas segala nikmat yang Allah berikan. Contohnya, jika sesorang itu sujud sepanjang masa sekalipun, ianya takkan dapat menandingi nikmat kita dilahirkan sebagai Islam. Oleh itu, kita perlu sentiasa ingat bahawa walau sebaik manapun amalan yang kita lakukan, itu sekadar usaha kita yang dibantu dengan kekutan  yang Allah berikan dan kita belum dapat mencapai taraf menjadi hamba yang benar-benar bersyukur, yang setimpal dengan lautan nikmat yang Allah berikan. Nabi Musa, dan Nabi Daud bermunajat dan merayu-rayu kepada Allah, “Ya Allah, Bagaimana lagi cara untuk kami bersyukur kepada-Mu?. Maka Allah pun menyebut, “Pengakuan kamu itulah tanda kamu bersyukur”. Oleh itu , jika kita telah laksanakan segala yang diminta dan bertanya-tanya lagi cara bersyukur, semoga Allah melihatnya sebagai hamba yang bersyukur. Namun, pada asasnya ianya belum setimpal dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita. Oleh itu, terpulang pada Allah sekiranya Allah melihat masih ada dosa-dosa dan kekurangan, maka Allah beri ujian sebagai kafarah kepada dosa tersebut. Jika Allah ingin beri kedudukan yang tinggi dan syurga, tetapi amalan seseorang itu belum mencukupi, maka Allah uji juga untuk membaiki kedudukannya.

S: Apakah hukum menyalahgunakan nikmat yang Allah beri dengan berbuat maksiat?
J: Syukur itu bukan sekadar di bibir sahaja. Tiada guna mengucapkan ‘Alhamdulillah’ jika nikmat tangan yang ada digunakan untuk mencuri. Syukur yang sebenar ialah kita menyebut dengan lidah, meyakini dalam hati dan menggunakan segala nikmat yang Allah beri kepada keredhaan Allah. Jika sebaliknya, orang itu belum bersyukur kepada Allah.

S: Mohon ustazah huraikan maksud ayat 23, surah Al-Mulk?

J: Banyak ayat Al-Quran yang menyebut bahawa sangat sedikit orang yang bersyukur, sehinggakan Sy. Umar merintih meminta doa, “Ya Allah, jadikanlah aku daripada kalangan yang sedikit”. Hanya sedikit orang yang mengingati Allah ketika senang dan juga susah, Dalam surah Al-‘Araf, ayat 179, Allah berfirman:

Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa orang yang kufur nikmat itu lebih dasyat daripada haiwan dan lebih sesat daripada orang-orang yang lalai. Kita semua tak mahu tergolong dalam golongan sebegini - iaitu yang tidak menggunakan pandangan mata untuk mendekatkan diri kepada Allah dan merenung nikmat Allah, tidak menggunakan telinga untuk mendengar ilmu-ilmu Allah, tak guna fikiran dan hati untuk merenung nasib kita di akhirat. 

Ustazah ingin kongsi kisah yang berlaku pada diri sendiri – Dahulu, ustazah ada sebuah kereta baru yang selalu rosak tingkap dan pintunya, oleh sebab itu, ustazah selalu merungut dan meminta suami untuk menukarkan kereta yang lain. Suatu hari, semasa ingin ke kuliah, tingkap kereta ustazah tidak boleh ditutup rapat dan kelihatan hari seperti hendak hujan. Dalam perjalanan, betul hujan turun lebat dan tempias air hujan menyebabkan habis basah buku-buku ustazah. Dalam hati ustazah sungguh bengkak ketika itu, dan muka pun ‘muncung’ ke depan. Rasanya tidak sabar untuk bertemu suami dan mengajak menukar kereta yang lain. Takdirnya Allah ingin menunjukkan pada ustazah, ustazah pun berhenti pada sebuah lampu isyarat. Ustazah nampak di sebelah kiri, pakcik yang biasa menjual dadih terpaksa menolah troli dadihnya ke tempat lain kerana hari hujan lebat. Semasa dia menolaknya, dua tiga orang anak-anaknya yang masih kecil mengejar dari belakang dan mereka ketawa riang dalam hujan itu, walaupun pada hakikatnya dia tidak mendapat menjual dadih pada hari itu. Melihatkan itu, ustazah terasa seperti Allah ingin memberikan pengajaran, “Wahai ustazah! Kamu duduk dalam kereta, tak kena hujan tapi muka kamu tidak lebih manis seperti penjual dadih yang kebasahan itu. Muka kamu muncung sedangkan peniaga yang tidak dapat berniaga itu menunjukkan pada kamu bahawa nikmat Allah itu luas. Tidak dapat sekarang, petang nanti boleh dapat”. Selepas itu, ustazah istighfar banyak-banyak, terasa sangat teguran daripada Allah dan banyakkanlah bersyukur. Alhamdulillah, selepas 2,3 tahun, ustazah pun dapatlah kereta baru J

S: Salah satu cara menyatakan kesyukuran ialah dengan melakukan solat sunat syukur. Mohon ustazah nyatakan hikmahnya dan adakah ianya dilakukan ketika mendapat nikmat sahaja?
J: Benar, Nabi SAW juga pernah menghadap kiblat melakukan sujud syukur. Sy. Abdul Rahman bin Auf menyatakan bahawa Nabi SAW pernah sujud syukur yang sangat lama sehinggakan beliau menyangkakan baginda Rasulullah telah wafat. Setelah bangkit dan melihat Sy. Abdul Rahman ketakutan, baginda pun bertanya kenapa? Sy. Abdul Rahman menyatakan kerisauannya dan Baginda pun menjelaskan bahawa, “Jibril telah datang kepadaku dan berkata mana-mana umatku yang berselawat kepadaku, maka Allah akan berselawat kepada umatku itu. Maka aku pun mensyukuri nikmat tersebut”. Oleh itu, sujud syukur ialah amalan yang ada dalam Islam. Namun, sujud syukur bukan sekadar dilakukan ketika mendapat nikmat, tetapi juga ketika terselamat daripada musibah. Contohnya, seseorang terlibat dalam kemalangan tapi tidak cedera, maka dia sebenarnya telah dilindungi Allah dan ada keharusan untuk sujud  syukur di situ. Ada khilaf antara ulama dalam cara menunaikan sujud syukur – ada yang kata perlu wudhuk dan ada yang kata jika sukar mengambil wudhuk, maka boleh terus mengadap kiblat dan sujud syukur. Ada banyak doa yang boleh dibaca, dan begitu juga ada khilaf mengatakan perlu bagi salam dam tidak beri salam. Jika ada yang ingin melazimi sujud syukur, pada pendapat ustazah tiada masalah.

S: Apa pula tanda orang yang tidak bersyukur dan bentuk azab kepadanya?
J: Satu falsafah menyebut bahawa, “Syukur atas pemberian nikmat itu lebih tinggi nilainya berbanding nikmat yang diberikan”. Itulah nikmat yang tertinggi. 

Bagi orang yang tidak bersyukur:
  • Mereka jauh dari Allah dan mendapat ancaman daripada Allah. Tidak takutkan kita dengan ancaman Allah? Sesungguhnya azab Allah amat pedih.
  • Hatinya tidak tenang dan sentiasa keluh-kesah. Oleh sebab tu, ada kata-kata hukama, “Yang menjadikan hidup kamu dukacita bukanlah kerana kamu tidak diberi apa-apa oleh Allah, tetapi kerana kurangnya rasa syukur dalam diri kamu”. Ada satu kisah sepasang suami-isteri – mereka pergi kursus motivasi dan disuruh menulis segala yang mereka tidak puas hati tentang pasangan masing-masing atas kertas. Mereka pun pergi beli kertas A4 dan masing-masing berjanji meluahkan perasaan selepas Maghrib. Ketika berhadapan, suami pun bertanya siapa nak mula dahulu. Isteri segera menjawab untuk memulakan dan meluahkan 333 perkara yang dia tidak puas hati terhadap suaminya. Setelah meluahkan, isteri rasa lega. Ketika sampai giliran suami, didapati walaupun kertasnya tebal, namun cuma helaian pertama yang bertulis. Kata suaminya, “Mulanya saya memang ingin tulis banyak, tetapi setelah menulis perkataan yang pertama ini, saya tidak jadi menulis yang lain-lain. Dia pun menunjukkan apa yang ditulisnya kepada isterinya: "Alhamdulillah, segala puji bagi Allah di atas segala perkara sama ada yang saya suka ataupun yang saya tidak suka". Katanya, “Memang saya ada niat menulis yang awak suka marah-marah, tetapi kemudian saya bersyukur kerana awaklah yang mengandungkan dan melahirkan anak saya. Saya ada niat menulis yang awak suka membazir, tetapi kemudian saya bersyukur kerana awaklah yang ringan tangan memasak untuk saya”. Dengan kata lain, syukur mejadi ubat kepada jiwa.
  • Dibenci Allah dan manusia, sebaliknya, orang yang bersyukur akan disayangi Allah dan juga manusia. Isteri biasanya merintih-rintih minta disayangi suami, sehingga ada yang bangun pagi-pagi lagi dah tanya suami sayangkan dirinya atau tidak, walhal formula sangat mudah. Jika kamu bersyukur, Allah akan menyayangi dan membuka pintu hari manusia untuk menyayangi kamu.

S: Mohon tip dan pencerahan untuk menjadi hamba Allah yang bersyukur dalam erti yang sebenarnya.
J: Syukur ini sangat luas penrbincangannya dan ustazah sempat sebut sedikit sahaja di sini. Secara ringkasnya ustazah kongsikan tip yang diberi Nabi SAW:
  • Jika ingin jadi orang bersyukur, lihatkan orang yang lebih rendah kadar nikmatnya daripada kamu, dan jangan lihat orang yang lebih besar nikmatnya daripada kamu. Lihat kehidupan orang yang lebih susah dan bawa anak-anak bertemu dengan anak-anak yatim, terutamanya dalam bulan Ramadhan.
  • Kita mesti mengenal Allah Ta’ala – oleh sebab itulah kita digalakkan menuntut ilmu kerana hanya dengan ilmu, kita akan dekat dengan Allah. Bila sudah kenal Allah, baru kita akan sedar bahawa seluruh nikmat yang ada milik Allah SWT. Kita ini cuma penjaga sahaja - ibarat penjaga parkir kereta; sekejap masuk kereta BMW, sekejap masuk kereta Toyota Camry, sekejap masuk kereta Kancil, tapi dia ‘relax’ sahaja. Adakah dia akan tahan jika ada kereta Mercedes yang ingin keluar? Tidak, tidak boleh kerana kereta itu ada tuannya. Dia cuma menjaganya sementara sahaja. Kita juga perlu ada perasaan begitu, seperti penjaga parkir kereta,  semua yang Allah berikan cuma sementara dan ada tempoh masanya. Bila-bila masa, Allah boleh ambil balik. Oleh itu, kesempatan yang Allah berikan itu, kita gunakanlah sebaik-baiknya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  • Dalam surah Taha, Allah ajar tip seterusnya iaitu dengan menjaga pandangan. Kenapa? Kerana apabila mata tidak dijaga mulalah mata dan nafsu menginginkan yang tidak sepatutnya. Allah menyuruh kita menjaga pandangan agar tidak terpesona dengan nikmat yang Allah beri kepada orang lain sebagai ujian kepadanya. 
Kesimpulan:
Tujuan utama kita perbincangan hari ini ialah untuk menilai diri kita sendiri. Kelak, kita akan ditanya apa yang dilakukan dengan penglihatan, kehidupan, rezeki, harta benda yang diberi,  dan bagaimana kita mensyukuri nikmat dilahirkan sebagai Islam.

والله أعلمُ بالـصـواب

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab