Kelembutan Dalam Kehidupan – Islam Itu Indah 28.09.2011*


بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
Prof. Dr. Muhaya Muhamad


Pagi tadi saya mendengar ‘audio book’ saya daripada buku bertajuk “Bimbingan Mukminin” yang menyebut – “Apabila seseorang itu bernasib baik, Allah akan memberikan dia sifat lemah-lembut. Siapa yang tidak bernasib baik, dia tidak ada sifat lemah-lembut ini.” Saya jadi takut mendengarnya dan tertanya-tanya adakah saya ini orang yang bernasib baik atau tidak. Sambungan audio book: “Apabila Allah ingin beri rahmat pada seseorang itu, Allah akan berinya sifat lemah-lembut. Jika Allah ingin beri rahmat kepada sesebuah keluarga, seluruh ahli keluarganya Allah akan buka pintu hati mereka berikan mereka sifat lemah-lembut.” Jadi, hari ini kita ingi merenung diri kita – adakah kita termasuk dalam golongan orang yang kasar ataupun yang lemah-lembut?

Allah jadikan kita daripada tanah yang sifatnya lembut pada asalnya. Kemudian dimasukkan roh oleh Allah yang bersifat suci. Sebab itu, kita lihat bayi sifatnya lembut dan suci, tiada bayi yang jahat. Tetapi kenapa tanah (manusia) boleh menjadi keras? Pertama kerana api – iaitu yang berasal daripada syaitan. Kedua – apabila dibiarkan begitu saja, dengan kata jika seseorang itu hidup dalam kalangan orang yang kasar, maka kebiasaan dirinya juga akan menjadi kasar.

Cuba kita renungkan, jika kita kasar, apakah sebabnya? Bukankah Islam boleh melembutkan seseorang? Contohnya, Sy. Umar yang sangat kasar sebelumnya menjadi lembut hatinya dan akhlaknya dengan Islam. Oleh itu, kita perlu mempertingkatkan keislaman kita agar dengan itu kita akan dapat menunjukkan betapa indahnya Islam itu.

Perhatikan cara kita bercakap, cara kita berdakwah. Untuk menegur orang, kita tak perlu cakap kuat-kuat seperti berpidato. Saya minta maaf kerana ingin sebut – kadang-kadang ada orang cakap terlalu banyak, tetapi isinya sedikit, lawak dan contohnya terlalu banyak, nadanya terlalu tinggi sehingga kadang-kadang sakit telinga mendengarnya. Tetapi jika orang berilmu bercakap, cakapnya lembut saja tetapi sampai kepada hati kita. Kita, bila jumpa orang, kita akan suka orang yang lembut, bukannya orang yang cantik saja.

Ada beberapa jenis lembut, iaitu:
  • 1 lembut hati. Pohon yang keras akan mati, tetapi pohon yang lembut dahan dan daunnya yang terus hidup. Orang lembut hati mudah menangis mendengar kesusahan orang lain. Orang yang keras hati tidak peduli hal orang lain di sekelilingya.
  • 2 lembut kata-kata – seumpama madu yang keluar daripada mulut kita.
  • 3 lembut tindak-tanduk – cara kita bersalam, berjalan. Jika kita terlalu gopoh-gapah, orang nak tegur pun takut.
  • 4 lembut dalam beribadah – cuba perhatikan cara orang solat - ada yang lemah-lembut dan ada yang kasar caranya, sedangkan kita ingin menyembah Zat Yang Maha Berkuasa. Allah tidak suruh kita berdoa dengan suara yang lantang-lantang, oleh itu ketika berjemaah bacalah doa dengan lembut dan kusyuk sebagaimana kita bersendirian, kecualilah jika dilakukan doa qunut nazilah dan seumpamanya. Amat penting bagi pemimpin orang-ramai kepada Allah untuk bersifat lemah-lembut agar orang bukan Islam lebih mudah tertarik pada agama kita. Cuba kita perhatikan apa yang selalu menjadi isi ucapan para ketua agama lain – “love, kindness, joy”, tapi kita bagaimana? Cuba kita perhatikan apa yang kita sebut bila kita jumpa orang – kita selalu tunjukkan kesalahan orang dan kata dia buat salah dan akan masuk neraka. Kita tak boleh macam tu – kita kena hormat dia dulu, menangi hatinya terlebih dahulu.

Ada 4 sifat yang kita perlu ada setiap hari:
  • hormati semua makhluk Allah
  • bersifat lemah-lembut
  • ikhlas berbuat baik tanpa mengharapkan balasan
  • sentiasa bertanya – apakah manfaat yang boleh diberi kepada orang lain?

Adakah hidup kita ini gembira sahaja? Apakah tujuan kita masuk laman-sosial? Gunakan mata kita, minda kita untuk mencari kebaikan dalam fb. Jangan kita melayan rakan-rakan yang meletak gambar tidak menutup aurat dan menunjuk-nunjuk hal keduniaan saja. Manusia ini ada roh dan jasad. Memang bagus jika kita makan makanan sunnah, tetapi kita lebih perlu mengamalkan sunnah agar menjadi makanan kepada roh kita pula.

Iman kitalah yang menentukan apakah pilihan kita hati kita. Hati akan menimbulkan akhlak dan dari situlah akan timbul kelembutan. Kita sepatutnya mulakan dengan muqadimah ini tadi – 
“Ilahi, Engkaulah yang kutuju, redha-Mu yang kucari, kurniakanlah pada diriku untuk mengenal dan mengasihi diri-Mu.”

 Kalau boleh sebelum kita beri komen, atau tanya soalan dalam fb, tanya balik apakah tujuan kita. Biarlah tujuannya adalah untuk mencari redha dan kasih-sayang Allah, bukan nak tunjuk kita hebat, atau pandai. Saya juga mendoakan agar saya tak jadi begitu.

Saya ingin kongsi kisah yang saya dengar tentang Abdullah bin Mas’ud, seorang ahli hadis terkenal. Wangnya telah dicuri. Semua sahabatnya mendoakan orang yang mencuri wang itu ditimpa bala, tetapi dia tidak. Itulah bezanya orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Dia mendoakan, “Ya Allah Ya Tuhanku, jika orang yang mencuri duitku kerana keperluannya yang mustahak, Kau berilah keberkatan duit itu pada dirinya. Kalau dia mencuri kerana jahat walaupun tahu perbuatannya itu salah, aku mendoakan inilah kali terakhir dia mencuri”. Inilah cara berfikir orang berilmu – tidak mementingkan diri sendiri – sanggup menyedekahkan wang yang dicuri dan mendoakan kebaikan kepada orang yang buat jahat kepadanya.

Senarai soalan dan jawapan
S: Saya mendidik anak dengan lemah-lembut tapi ada yang menasihatkan sebaliknya kerana dikhuatiri anak mudah dibuli pula. Mohon pendapat Prof.?
J: Anak-anak berumur 0-6 tahun masih kosong ‘software’-nya, jadi kita kena lemah-lembut. Ketika ini dan jangan sekali-kali kasar. Ini akan menjadi ‘blueprint’ anak dan ketika mula membesar ‘blueprint’ ini akan menghasilkan akhlak yang lembut. Setelah anak berumur 7-14 tahun, barulah kita bezakan apa yang kita perlu tegas dan perlu lemah-lembut. Dalam hal agama, aurat, ibadah kita perlu tegas. Setelah itu, pada umur 14-21, anak akan mengikut model yang ada disekelilingnya terutamanya kawan-kawan. Oleh itu, saya menyeru ibu bapa dan guru terutamanya agar tidak kasar kepada anak murid kerana anak murid akan cepat meniru apa yang ditunjukkan guru di sekolah.

S: Mohon beri tip bagaimana menjaga kusyuk dalam solat?
J: Saya minta maaf kerana tidak layak membincangkan hal ini. Pada saya mendirikan solat itu dengan roh dan mengerjakan solat pula semata-mata dengan fizikal. Datin Mahani berpesan pada saya agar membacakan ayat berikut selepas membaca surah An-nas sebelum memulakan solat:
“Ilahi, Engkaulah yang kutuju, redha-Mu yang kucari, kurniakanlah pada diriku untuk mengenal dan mengasihi diri-Mu.”
Sebenarnya, kata-kata ini elok diamalkan sebelum kita melakukan apa saja – agar jelas tujuan pekerjaan kita.

S: Ustaz-ustaz suka bercerita tentang masalah dalam khutbah tapi tak memberi cara penyelesaian. Mohon ulasan Prof.
J: Orang yang bijak tidak menjadikan masalah sebagai masalah. Dalam menghadapi masalah, manusia ada dua jenis – menjadikannya sebagai batu loncatan atau batu penghalang. Dalam istilah bahasa inggerisnya – orang bising dan cakap banyak tanpa menghasilkan sesuatu digelar ‘duck’, manakala ‘eagle’ pula tidak pedulikan orang lain dan terbang bersendirian kerana dia tahu dirinya ada misi tersendiri.

S: Jika kita mengutamakan orang lain, bagaimana pula dengan diri kita?
J: Kalau kita lihat betul-betul, dengan memberi kepada orang lain, kita sebenarnya memberi kepada diri sendiri. Contohnya, katakan kita beli 10 helai baju raya untuk diri sendiri, adakah kita akan seronok selepas itu? Seronoknya sekejap saja, selepas itu akan fikir bila nak pakai, nak simpan di mana. Tetapi, cuba kita beli 2 untuk diri dan lebihnya 8 pasang lagi untuk orang lain. Kita pasti akan rasa lebih gembira. Apabila kita memberi, kita sebenarnya memberi makanan kepada rohani kita. Ada 3 jenis makanan – makanan fizikal, emosi dan rohani. Orang yang kenyang dengan kasih sayang Allah takkan peduli orang lain. Orang yang kurang makanan emosi (kasih-sayang manusia) akan makan banyak makanan fizikal. Bila puasa, kita ingin beri makan pada rohani kita dengan ibadah yang dilakukan. Oleh itu, kita tidak mahu ‘pulun’ beribadat dalam bulan puasa saja, tetapi tinggalkan semuanya di luar Ramadan. Kita ingin jadikan amalan di bulan puasa menjadi satu tabiat dan berterusan di luar Ramadan.

Ada 3 jenis manusia:
  • Ada orang tidak mahu tolong orang lain – cuma pentingkan diri sendiri dan inilah sifat yang paling rendah
  • Akan tolong jika mendapat balasan – kasihan pada orang sebegini kerana dia akan kecil hati jika orang tak menghargai bantuannya.
  • Orang yang mencari redha Allah – inilah orang yang sedekah dengan tangan kanan sehingga tangan kiri pun tak tahu.

Orang yang kenyang dengan kasih-sayang Allah takkan menagih kasih-sayang manusia. Orang yang bahagia dengan Allah, akan bahagia dengan manusia lain. Oleh itu, jika kita lihat orang yang tidak baik perangainya, kita perlu kasihan padanya kerana sebenarnya hatinya sedang sakit.

S: Kita kena maafkan orang tapi kadang-kadang kita terluka. Bagaimana menghadapinya?
J: Betul, itu banyak berlaku. Tetapi di akhirat nanti, orang yang masuk syurga ialah golongan yang sedikit. Jadi kita nak masuk golongan mana? Saya pernah dengar sebelum ini jika seseorang itu memaafkan orang yang dia ada hak untuk memarahinya kembali, akan mendapat layanan yang istimewa di akhirat nanti. Oleh itu, apa kata kita maafkan saja. Menurut kajian saya pun, orang yang memaafkan akan lebih kuat otot-ototnya. Sebaliknya jika marah-marah, otot jadi lemah, sisitem imuniti dan badan pun jadi lemah.

S: Prof. sangat positif, tapi tak semua orang mempunyai personaliti sekuat itu. Mohon Prof. ulas.
J: Personaliti seseorang bergantung kepada cara didikan ketika dia kecil. Tapi jika kita sudah berumur, bagaimana untuk mengubahnya? Melalui ilmu! Hadiri majlis ilmu, baca buku, cari kitab Bimbingan Mukminin, Riyadus Solihin. Syeikh Yusuf Al-Qardawi berkata, “Kau tunjukkan aku buku apa kau baca, aku tahu siapa engkau. Kau tunjukkan aku apa kau suka, aku tahu siapa engkau. Kau tunjukkan aku siapa kawan kau, aku tahu siapa engkau.” Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa audit diri kita – ke arah manakah kita pergi? Mendekati syurga atau neraka? Untuk menguatkan lagi – ada 2 jenis kehidupan - Orang yang berada di sebelah kiri: tidak berilmu, takut, risau, sakit, ‘stress’, miskin. Di sebelah kanan pula orang yang berilmu, redha, yakin, sihat, kaya. Sebelah mana yang kita inginkan? Dua perkara boleh masukkan kita ke syurga – ilmu dan harta. Dua benda yang sama juga, jika disalah guna akan bawa kita ke neraka. Kita boleh dengki dalam hal kebaikan, contohnya ingin berilmu sepertimana orang berilmu dan kaya sepertimana orang kaya yang pemurah. Cari ilmu di tempat yang betul.

S: Bagaimana mahu mendidik sifat lemah-lembut dalam diri? Apa beza lemah-lembut dengan sopan-santun?
J: Seperti yang pemanggil tadi kongsikan – orang yang lemah-lembut ini pemaaf, cinta pada Allah, sensitif dan kasihan pada orang lain. Untuk mendidik diri, tanya diri sifat lemah-lembut mana kita nak mulakan dulu? Contohnya, kata pada diri: “Hari ini saya ingin jadi orang yang pertama senyum pada orang lain.” Amalkan juga 5 S – senyum, sapa (bertanya khabar), salam (beri salam bila masuk lif, jumpa orang), sentiasa sopan dan santun. Sopan ini ialah bahasa badan kita dan santun ialah sifat mendahulukan orang lain. Contohnya, jika buka pintu, pegang dan tahan untuk orang lain juga, jangan terus ‘lempar’ muka pintu pada orang lain. Mulakan tabiat dan kekalkan sehingga 21 hari berturut-turut dan otak akan mendaftakan akhlak itu sebagai tabiat. Pilih buku dan kawan yang baik.

S: Prof. ialah seorang ikon wanita yang berjaya dalam kerjaya dan rumahangga. Mohon Prof. kongsikan bagaimana Prof. menyeimbangkan masa untuk diri, keluarga dan kerjaya?
J: Saya bukanlah ikon dan ada banyak kelemahan yang orang tak tahu – orang kenal saya setelah saya berubah begini, sebelum ini orang tak tahu saya bagaimana. Tetapi saya kongsikan sedikit daripada pengalaman:

Pertama sekali niat mesti betul – niat mesti dengan Allah bukan kerana manusia. Apabila kita sudah niat dengan Allah, seolah-olah, kita telah ‘lock’ GPS arah tujuan hidup kita. Masa kecil dulu, ayah saya selalu berpesan, “Muhaya, belajar bukan untuk jadi doktor biasa, tetapi untuk jadi doktor mukmin”. Kerana pesanannya itu, saya pun belajar kerana Allah dan niat untuk bantu orang. Mungkin kerana keberkatan itu, Allah izinkan saya lulus dengan cemerlang dan tak perlu ‘defer paper’, balajar mudah ingat, pensyarah pun sayang. Kebetulan mudah kerja saya.

Mungkin juga kerana ketika itu bila saya belajar, saya suka tolong orang. Saya suka mengajar – lepas kuliah, saya akan ajar orang. Jadi, bila kita ajar orang, kita akan ingat 100% apa yang kita belajar. Jadi, walaipun saya tak belajar pun, saya mudah ingat dan boleh ‘score’. Kemudian, saya kahwin awal untuk mencari redha Allah dan takut terlibat dengan maksiat. Saya buat benda yang orang lain tidak buat tetapi saya tak fikir apa orang kata kerana saya cuma peduli apa Allah kata. Mungkin kerana didikan dari kecil untuk saya mengutamakan Allah dahulu.

Setelah berkahwin, saya beritahu suami yang kepentingan saya ialah suami dulu, kemudian baru belajar. Jadi, jika sedang belajar dan suami suruh buat air, saya tinggalkan belajar dan buat air dulu. Bila saya buat macam itu dengan suami, suami pun baik dengan saya dan rumah tangga pun tenang tiada pergeseran, syukur pada Allah.

Bila mendidik anak pula, saya akan sentiasa sebut dosa, pahala, syurga, neraka. Jika saya sibuk, saya akan beritahu anak bahawa saya sibuk adalah kerana saya membantu orang. Jadi, anak-anak telah dididik sejak kecil dengan budaya menolong orang dan saya rasa adalah penting untuk mendidik anak dengan budaya memberi. Jika membeli-belah, ingatkan anak untuk beli untuk sepupu contohnya. Jangan ajar anak terlalu kekitaan (pentingkan diri sendiri).

Saya juga mengalami ujian keguguran dan seumpamanya tetapi saya tidak risau kerana saya yakin Allah akan tolong kerana niat saya kerana Allah. Jadi, sakit pun terasa nikmat. Tuhan pun inzinkan bila periksa, saya lulus semua. Para pelajar, ingin saya kongsi kepentingan solat hajat. Saya belajar ini daripada Prof. Datuk Luqman, bekas dekan di UKM dahulu. Saya bertanya bagaimana dia boleh lulus peperiksan FRCS, jawabnya, “Muhaya, saya solat hajat”. Bila saya dengar itu, saya terus ikut. Jadi, bila kita jumpa perkara baik yang orang lain lakukan, kita terus ikut buat juga. Jangan lengah-lengah dan kata nanti saya cuba. Jangan kata, “I will do my best”, sebaliknya kata, “I do my best”.

Dari segi kerjaya, cuba tolong dan baik dengan orang lain dan jangan sakitkan hati orang. Bila kita baik dengan orang, pertolongan akan datang. Saya rasa formula untuk segala-galanya ialah jadi baik, jangan sesekali kita sakitkan hati orang. Kalau boleh, biar orang sakitkan kita, kita jangan sakitkan orang.

Kemudian, biar tinggi mana sekalipun pangkat kita, isteri jangan sombong dengan suami. Betul, memang payah untuk dapatkan sesuatu pangkat atau gelaran, tapi bila dah dapat tiada apa-apa pun sebenarnya. Biar kita kejar akhirat, kerana di situ baru ada makna dalam setiap apa yang kita buat. Jangan kejar cita-cita, tapi kejarlah makna kehidupan. Apa yang akan kita tinggalkan selepas kita mati dan jadikanlah Ramadan ini seolah-olah yang terakhir untuk kita.

S: Apa motivasi terbaik untuk hindarkan diri dari buat dosa?
J: Ingat mati. Kita ada pilihan raya setiap hari – iman vs nafsu, dosa vs pahala, syurga vs neraka, taat vs maksiat, dan Allah redha vs Allah murka. Saya ingin ‘quote’ apa yang saya dengar daripada kitab Bimbingan Mukminin – disebut ada 5 jenis nafsu tapi saya sempat salin 4 sahaja:
Manusia yang suka seronok sahaja – inilah orang yang rugi
Manusia yang suka perhiasan sahaja – contohnya, wanita suka menghias sehingga keterlaluan. Kata pepatah inggeris, “Don’t collect stuffs, collect virtues”, terjemahannya, “Jangan kutip barang, tapi kutip nilai”. Sepatutnya kita berusaha membentuk nilai yang baik sehingga menjadi tabiat diri.
Sukan berlawan megah – suka membandingkan pangkat suami, keputusan periksan anak-anak, perabot dan seumpamanya.
Sibuk mencari harta dan pengikut – sedangkan bila mati, bukan ada pengikut yang akan menemani pun. Pemimpin yang tidak membawa orang dipimpinnya kepada jalan Allah akan bertelagah sesama mereka kelak di akhirat.

S: Saya pernah difitnah dua kali dan saya tidak dapat memaafkan kerana akan terkenang apa yang telah berlaku. Bagaimana untuk mengatasi?
J: Sangat mudah untuk mengatasinya dengan membuang 2 emosi yang tidak sepatutnya ada dalam diri kita iaitu:
Sakit hati dengan orang
Menyesal tak sudah-sudah – Mungkin orang pernah fitnah kita 10 tahun yang lalu, kesan sebenarnya mungkin ambil masa sebulan, tetapi kita masih sakit hati padanya sehingga hari ini dan perbuatan ini seolah-olah kita telah memberikan umur kita kepadanya.

Orang bijak tidak akan membiarkan orang lain menentukan emosi dirinya. Apabila dikritik, dia akan menerima dengan baik dan berterima kasih pada pengkritik. Jika kita tahu orang yang mengkritik itu salah, kita diamkan dan sebut dalam hati yang kita yakin dengan Allah dengan apa yang kita lakukan. Orang sebegini takkan peduli dengan ada pandangan orang terhadapnya. Inilah golongan yang sedikit. Kita nak jadi orang yang kuat personaliti dan kuat iman. Tanpa iman yang kuat, personaliti kuat boleh memberi pengaruh untuk menyesatkan orang lain. Jadi, jangan hidup di masa lampau – jangan gali lubang kubur sendiri.

S: Dahulu saya kasar tetapi sudah insaf dan ingin berubah sekarang. Tetapi kesan saya kasar itu dapad dilihat pada anak-anak. Bagaimana untuk mengubahnya kembali?
J: Minta maaf pada anak-anak – Kita selalu rasa diri lebih bagus daripada mereka, sedangkan anak-anak kurang dosa berbanding kita. Kita jangan ‘judge’ orang kerana manusia akan bertindak mengikut ilmu yang ada padanya. Kita berikan contoh yang baik pada anak dengan bersikap lembut terlebih dahulu.

S: Bagaimana untuk membentuk anak agar tidak terpengaruh dengan rakan-rakan yang kasar disekolah?
J: Kita nak didik generasi yang mampu mendidik dirinya dan kemudian mendidik masyarakat pula. Kita tak mahu masyarakat yang mendidik anak kita. Kita ingin jadi seperti ikan yang masuk ke laut tetapi tidak masin kerana dalam dirinya ada sistem yang menapis keluar garam yang masuk itu. Begitulah yang kita ingin jadi.

Walaupun ada anasir tidak baik dari luar, anak akan mampu membuat pilihan dan memilih yang terbaik. Oleh sebab itu, jika ada anak yang masih belum berumur 6 tahun, masukkan ‘software’ yang betul ke dalam pemikirannya – kenalkan dia pada Islam, pada dosa/pahala, pada syurga/neraka. Perhatikan ‘channel’ apa yang kita pasang di rumah. Jangan hanya pasang hiburan semata di rumah.

Ajar anak amalkan 5 s – senyum, sapa, salam, sopan-santun. Jangan buat 3 m – merungut, marah, menyesal. Kalau jumpa orang – sebut kebaikan mereka, hargai mereka dan jangan kritik mereka. Setiap hari – fikir yang baik, cakap yang baik dan buat yang baik. Sayang pada semua orang – orang baik kita sayang, orang jahat kita kasihan dan doakan dia. Walaupun anak saya sudah besar, saya masih sebut perkara yang sama walaupun dia sudah jemu mendengarnya. Emak saya sendiri menegur saya walaupun saya telah berumur 40 tahun dan saya menerimanya dengan gembira.

Kesimpulan:
Saya ingin bawa kisah Nabi SAW berpesan kepada Aisyah r.a untuk berlembut dan senyum pada wajah. Mulanya saya ingat senyum biasa sahaja, tetapi rupa-rupanya baginda SAW menyuruh senyum ketika marah. Subhanallah – sebab itulah Nabi SAW berpesan, jika senyum ketika rasa biasa tentulah Nabi SAW tak perlu berpesan. Semua orang boleh senyum ketika gembira, tetapi berapa ramai yang boleh senyum ketika marah?

Seperkara lagi yang disukai Nabi SAW ialah apabila seseorang memudahkan urusan orang lain. Contohnya, orang berniaga – sekali tawar terus diberinya. Nabi SAW sangat suka sifat ini, oleh itu, tak kiralah apa jawatan kita – guru, petugas kaunter dan sebagainya – permudahkanlah urusan orang lain. Semoga dengan itu, Allah mudahkan urusan kita pula. Versi bahasa Inggeris, “If we help enough people get what they want, you will get all that you want.” Jadi, mari kita niatkan untuk tolong orang setiap hari. Dan ingat, bila kita tolong orang, kita telah menolong diri sendiri dengan memberi makanan pada rohani kita. Mohon maaf jika tersalah, tersilap atau tersalah beri ilmu dan mohon beri teguran.

* Nota: Rupanya dah 3 tahun lepas rakaman ini tapi pengisiannya masih relevan sehingga hari ini. Sumber ramakan

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab