“Adalah aib bilamana seseorang itu menunda-nunda daripada melakukan kebaikan”
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid
Tafsir Quran Surah Ali-Imran, ayat 113-116, MTDM 17.01.2014
Sumber video Darul Murtadza: http://bit.ly/1ij8Nbq
Photo credit to Darul Murtadza |
Ayat 113:
“Ahli kitab itu tidak sama …”
Ayat ini mempunyai hubungan dengan ayat sebelum ini tentang
ahli kitab – mereka ada kitab Taurat/Injil yang didalamnya ada kebenaran
tentang kebenaran Nabi Muhammad SAW tetapi mereka mengkufurinya. Lebih daripada
itu, ulama-ulama mereka menyembunyikan atau memalsukan ayat-ayat yang didalamnya
ada sifat-sifat tentang Nabi Muhammad SAW demi mengelirukan pengikut-pengikut
mereka. Tetapi tidak semua ahli kitab bersifat begitu, tidak semua tidak beriman
kepada Rasulullah SAW, tidak semua ahli kitab yang tidak mengenali Rasulullah SAW. Ada juga antara
mereka yang beriman kepada Allah Ta'ala. Di sini, Allah Ta'ala menyatakan yang
tidak semua ahli kitab tidak beriman.
Allah memberitahu agar umat Nabi Muhammad SAW supaya jangan
melabel semua ahli kitab sebagai tidak beriman. Kebanyakan tidak bermakna
keseluruhan. Di situ ada Warafah Ibnu Naufal yang beriman kepada Allah Ta'ala.
Dia orang Kristian yang beriman kepada Rasulullah SAW, yang asalnya dia ialah
orang Arab yang beragama Kristian. Ketika baginda Rasulullah SAW mendapat
wahyu, Sy. Siti Khadijah membawa Rasulullah SAW berjumpa Warafah Ibnu Naufal.
Dia juga mempunyai hubungan kerabat dengan Sy. Siti Khadijah.
Sebelumnya, Sy. Khadijah selalu belajar dengan Waraqah Ibnu
Naufal dan Siti Khadijah memahami akan Al-Ubudiyyah, yakni ketuhanan,
ketunggalan, dan keesaan Tuhan. Siti Khadijah mempercayainya hasil pembelajaran
dengan Waraqah dan ini tentunya berlaku sebelum diutusnya Rasulullah SAW, yakni
Sy Khadijah tidak percaya pada berhala-berhala yang disembah dan mencari Tuhan
Waraqah ibnu Naufal boleh berbahasa Ibrani sehingga dia dapat belajar daripada
orang-orang Kristian dan memeluk kepada agama Kristian.
Di Mekah, bilangan mereka yang beragama Kristian boleh
dikira dengan jari, dan salah seorang ialah Waraqah ibnu Naufal.
Ketika dibawa bertemu Ibnu Naufal, dan Rasulullah SAW
menceritakan apa yang berlaku, dia berkata, “Itu adalah malaikat yang membawa
wahyu kepada Nabi sebelum kamu (yakni Nabi Musa dan Nabi Isa).” Yakni, dia
mengetahui melalui kitab Injil bahawa yang turun kepada Rasulullah SAW ialah
wahyu Allah melalui malaikat Jibril. Kata Waraqah ibnu Naufal – “Andai saya ini
masih muda, saya akan bantu kamu ketika kamu diusir dari tempat ini”. Nabi
Muhammad SAW bertanya, “Adakah mereka akan usir aku daripada tempat ini?”.
Jawabnya, “Tiada orang yang menerima wahyu seperti kamu, melainkan dia akan diganggu dan disakiti mereka.” Yakni,
Nabi Muhammad SAW pun akan disakiti mereka. Waraqah sudahpun mengisytiharkan keimanannya
kepada Rasulullah SAW, cuma belum dilafazkan dengan syahadah.
Waraqah ibnu Naufal ialah ahlul kitab yang beriman kepada
Rasulullah SAW. Begitu juga dengan Raja An-Najasyi, Abdullah ibnu Salam, Zaid
Ibnu Sa’annah – semuanya ahli kitab yang beriman dengan Allah Ta'ala. Tidak
semua ahli kitab itu sama sikapnya iaitu kufur kepada Rasulullah SAW. Jadi, kita
tidak boleh mengatakan yang semua ahli kitab adalah sama – ada yang beriman.
Ini juga merupakan satu sifat insaf Al-Quran nul Karum iaitu – yang betul,
betul dan yang salah, salah. Di situ, walaupun majoriti ahlul kitab tidak
beriman, namun ada majoriti yang beriman dan Allah sebutkan mereka ini.
“..Diantaranya ada golongan tetap (qaimatun), mereka membaca
ayat-ayat Allah pada waktu malam dan mereka membaca ayat-ayat Allah semasa
mereka sujud..”…”
‘Qaimatun’ ialah orang yang mendirikan solat.
Bagaimana mereka membaca ayat Allah ketika sujud? Nabi
Muhammad SAW pernah bersabda yang ketika rukuk digalakkan mengagungkan Allah
Ta'ala, dan ketika sujud kita digalakkan memperbanyakkan doa. Jadi, sunnah
ketika sujud ialah berdoa disamping bertasbih. Jadi tak disunnahkan membaca
Al-Quran kecuali jika ayat Al-Quran yang dibaca dengan tujuan berdoa, kerana doa
yang paling baik ialah doa yang ada dalamAl-Quran.
Jadi apa maksud ayat ini? Maksudnya - solat. Jadi, kenapa
tak disebut ‘solat’ saja dalam ayat ini? Ini adalah untuk menunjukkan bahawa
keadaan terbaik dalam solat ialah sujud. Dalam hadis Nabi Muhammad SAW menyebut
bahawa kedudukan paling hampir seorang hamba dengan Tuhan-Nya ialah ketika
sujud. Yakni, bila solat, perhatikan (utamakan) ketika kamu sujud. Hakikat
daripada sujud ialah sujudnya hati juga! Berapa ramai orang yang kepalanya
sujud, tapi hatinya bongkak, takabbur! Ketika sujud, hati juga mesti sujud.
Jangan anggap diri hebat berbanding orang lain. Sujudlah dengan dahi dan juga
hati supaya mendapatkan rahsia (hikmah) yang ada pada sujud.
Firman Allah dalam surah Al-Fath, ayat 29, yang
sebahagiannya bermaksud:
Tanda yang menunjukkan
mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud
(dan ibadat mereka yang ikhlas).
Tapi kesan sujud ini bukan sujud anggota semata-mata, tapi
sujud dengan hati.
Dahulu, pada zaman Al-Imam Alwi bin Abdulllah ibnu Shahab, di
pedalaman Hadramaut ketika itu terdapat orang Badawi yang kehidupan mereka paling
mudah. Jika sudah bosan di satu tempat, mereka lipat khemah dan berpindah ke
tempat lain - tak perlu nak sewa rumah, bayar cukai pintu itu ini dsb.
Pada zaman itu, agak susah untuk berhubung dari satu tempat
yang lain dan ini menyebabkan ramai yang jahil dalam urusan agama.
Dia menghantar anak muridnya untuk berdakwah kepada mereka
diajar solat. Mereka bertanya: “Bagaimana nak solat?” Lalu diajarkan satu
persatu. Kata mereka, “Yang lain, aku boleh buat, tapi aku tak mahu sujud.
Boleh tak?”. Anak murid kata tak boleh, dunia Badawi pun kata yang dia tak mahu
terima. Anak murid pun pulang meminta bantuan gurunya, Imam Habib Alwi ibnu
Shahab. Gurunya pun berjanji akan datang. Apabila gurunya datang, baru saja
tengok wajah gurunya, orang Badawi itu bertanya kepada anak muridnya, “Adakah
orang ini juga meletakkan wajahnya ke tanah?” Jawab anak muridnya, “Ya. Ini
guru kami, dia yang mengajar kepada kami untuk sujud.” Orang Badawi itu pun
berkata, “Baiklah, kalau begitu aku pun akan sujud”. Baru tengok wajah, dan
gurunya pun belum sempat berkata apa-apa pun. Inilah kesan kesolehan seseorang
yang nampak pada wajahnya.
Melihat wajah orang soleh boleh membawa kesan positif kepada
orang yang melihatnya. Ini bukan sekadar kata-kata tanpa bukti. Rasulullah SAW
di dalam Sahih Bukhari bersabda, “Akan datang satu zaman nanti, kau berperang akan
tetapi tak menang dalam peperangan itu. Jadi kamu menyeru, “Siapa yang pernah
melihat wajah Rasulullah SAW? Maka kalau ada (yakni sahabat), orang itu akan
diberi pegang bendera orang Islam. Dengan adanya seorang yang pernah lihat
wajah Rasulullah SAW, maka Allah SWT akan beri kemenangan.
Ini kelebihan sahabat yang pernah lihat wajah Rasulullah
SAW. DIberikan kemenanagan kerana sahabat pernah lihat wajah Rasulullah SAW.
Lebih menakjubkan lagi, dalam hadis yang sama, baginda
Rasulullah SAW bersabda, “Akan datang satu zaman, kaum Muslimin lambat untuk
memenangi peperangan itu, lalu diseru, “Siapa antara kamu yang pernah melihat
wajah Rasulullah SAW?” Tiada yang menjawab kerana semua sahabat sudah meninggal
dunia. Maka, ditanya pula, “Siapa antara kamu yang pernah tengok orang yang
pernah tengok Rasulullah SAW?” Kalau ada, diberikan bendera itu padanya. Allah
SWT memberi kemenangan kerana orang itu iaiatu orang yang tengok orang yang
tengok Rasulullah SAW.
Yang ketiga, kemenangan diberi kepada ada orang yang tengok
orang yang tengok orang yang tengok Rasulullah SAW.
Jika melihat muka orang solehin tiada makna, kenapa Rasulullah
SAW khaskan dalam hadis ini kepada as-sahabah, tabiin dan tabi’ tabiin. Melihat
kepada muka orang yang soleh dan ada hubungan dengan yang sebelumnya adalah
menjernihkan kepada hati dan jiwa kita untuk terkait dengan pandangan itu untuk
inayah daripada Allah SWT. Kalau tidak mengapa Allah turunkan pertolongan
kepada kaum muslimin disebabkan orang yang tengok Rasulullah SAW dan orang yang
tengok orang yang tengok Rasulullah SAW? Pasti ada kesannya. Ahli sains membuat
kajian tentang kura-kura dan mendapati ibu kura-kura boleh mendidik anaknya
dengan mata saja. Orang percaya dengan ahli sains tapi tak percaya dengan
risalah Rasulullah SAW.
Oleh itu, tanda orang-orang yang soleh itu ialah sujud dahi
dan juga hatinya dan kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.
“…semasa mereka sujud (mengerjakan solat).”
Ertinya, walaupun pada asalny mereka ahlul kitab, tapi bila
mereka solat maknanya mereka berubah memeluk kepada agama Islam.
Ayat 114:
“Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat…”
Ini hubungan iman antara Allah dan manusia. Hubungan iman
antara manusia ialah dengan menyuruh yang baik dan mencegah yang mungkar.
“…dan mereka adalah cepat dalam melakukan kebajikan .”
Allah sebut perkataan ‘segera’ yakni cepat. Lawannya lambat.
Orang yang segera akan ‘memotong waktu’, yakni jimat waktu atau menggunakan
waktu dengan baik, tidak menunda-nunda dan tak membuang masa. Ada beza antara
orang berbuat baik dengan orang berbuat baik dengan cepat. Orang berbuat baik
dengan cepat adalah dipuji oleh Allah Ta'ala. Ahli tasawwuf mengatakan, “Adalah
aib bilamana seseorang itu menunda-nunda daripada melakukan kebaikan.” Jangan
tungu esok atau nanti, jika ada peluang sekarang, buat sekarang.
Sy. Umar bin Abdul Aziz, ketika beliau menjadi khalifah dan
berehat, datang anaknya dengan satu hajat. Orang yang menjaga ayahnya melarang
anaknya untuk mengejutkannya kerana memikirkan keadaan Sayyidina Umar yang kurang rehat. Anaknya
mendesak dan suara mereka bertengkar menyebabkan Sayyidina Umar terjaga dan
mengizinkan anaknya untuk masuk.
Kata anaknya, “Wahai ayahku. Saya mendengar engkau berazam
untuk mewaqafkan sesuatu di jalan Allah?”
Jawab ayahnya, “Ya, benar, anakku. InsyaAllah esok aku akan lakukan apa yang aku azamkan”.
Jawab ayahnya, “Ya, benar, anakku. InsyaAllah esok aku akan lakukan apa yang aku azamkan”.
Kata anaknya, “Wahai ayahku, siapakah yang menjamin engkau untuk hidup sehingga esok ?”
Jawab Sy. Umar, “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan anugerah kepada saya dengan seorang anak yang mengingatkan kepada ayahnya.” Dan Sy. Umar
pun terus mewakafkan harta yang dihajatinya. Kata Sheikh Al-Sha’rawi, anak
zaman sekarang akan ucap “Alhamdulillah” jika ayahnya lupa untuk berbuat baik
tapi anak Umar Abdul Aziz mengingatkan ayahnya untuk segera berbuat baik.
“.. dan mereka itu adalah orang yang soleh”
Mereka yang solat, membaca Al-Quran pada waktu malam, menyuruh
kepada kebaikan, mencegah kemungkaran, memberi kepada yang meminta dan segera
berbuat kebaikan itu adalah orang yang soleh. Apa itu soleh? Dari segi bahasa ertinya
baik atau orang yang baik. Tetapi bilamana dinisbahkan kepada seseorang dan
menjadi sifat, maka dia mempunyai makna yang lebih luas. Dari segi agama, ianya
mempunyai makna yang lebih luas. Orang yang baik mungkin baik untuk dirinya sahaja,
tetapi yang lebih baik ialah orang yang baik dan memperbaiki orang lain juga.
Katakan ada satu perigi tempat orang mengambil air. Orang
yang melihat boleh ada beberapa pandangan, iaitu:
- Orang baik akan biarkan perigi untuk terus digunakan orang ramai.
- Orang tak baik akan rosakkan perigi itu.
- Orang soleh akan memikirkan cara memudahkan orang untuk mendapatkan air perigi tanpa bersusah payah mengangkut air (dengan pasang pam, paip contohnya).
Orang soleh ialah orang yang baik dan mendatangkan kebaikan
kepada orang lain. Al-mukmin diumpamakan Rasulullah SAW seperti pohon kurma
kerana bermula daripada akarnya, buahnya, daunnya – semuanya dapat
dimanfaatkan.
“Perumpamaan orang beriman umpama pokok”, kata Nabi Muhammad
SAW dan baginda bertanya “Apakah pokok apa?” dan para sahabat semuanya diam. Sayyidina
Abdullah ibnu Umar tahu jawapannya tetapi dia cuma menjawab dalam hati kerana
menghormati sahabat yang lebih tua tetapi tidak menjawab dan dia tidak mahu
mendahului mereka. Jawab baginda, “Pokok itu pokok kurma.” Balik rumah, berkata
Abdullah ibnu Umar pada ayahnya, “Wahai ayahku, tadi ketika Rasulullah SAW
bertanya apakah pokok itu, aku nak jawab kurma”. Kata Sayyidina Umar, “Kenapa
kamu tak jawab? Kalau kamu jawab, kamu dapat doanya Rasulullah SAW kerana
menggembirakan hati Rasulullah SAW dengan menjawab soalan baginda.” Kalau
jawapan yang diberi betul, itu akan menunjukkan cerdasnya orang itu dan itu
akan menggembirakan Rasulullah SAW.
Jadi, orang yang soleh mendatangkan kebaikan kepada
orang lain, seumpama pokok kurma yang memberi kebaikan kepada orang lain.
Buahnya, batangnya, daunnya, kayunya, bijinya, semuanya boleh dimanfaaatkan.
Ayat 115:
“Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka tidak
sekali-kali akan diingkari…”
Maknanya, setiap kebaikan yang mereka lakukan pasti akan
diganjar Allah SWT. Contohnya:
- Ahlul kitab yang berqiyammullail
- Ahlul kitab yang baca ayat Quran
- Ahlul kitab yang beriman pada Allah dan Rasul-Nya.
- Ahlul kitab yang menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran
- Ahlul kitab yang bersegera melakukan kebaikan
Mereka pasti akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.
Barangsiapa yang beramal soleh, maka ganjarannya akan
kembali kepada dirinya sendiri. Demikian juga orang yang berbuat tidak baik,
keburukan pun akan diberikan kepadanya. Kesemuanya kembali kepada orang yang
mahu berbuat. Demikian, Allah sebagai Tuhan yang memiliki Hari Pembalasan akan
membalas orang yang berbuat baik dengan kebaikan, dan menghukum orang yang
tidak berbuat baik.
Apa hikmah Allah meletakkan keimanan kepada timbangan?
Dalam surah Al-Anbiyaa’, ayat 47, Allah berfirman:
Tapi bukan kebaikan saja, setiap perbuatan yang buruk juga
akan diadili. Sifat adilnya Allah Ta'ala akan memberi kebaikan dengan kadar kebaikan
yang dilakukan orang itu atau ditambah Allah SWT. Demikian juga, perbuatan
tidak baik akan mendapat hukuman daripada Allah SWT.
Dalam hadis yang lalu, saya bahaskan tentang seorang yang
berada di neraka dan ingin diselamatkan Allah SWT dan malaikat bertanya
kepadanya, “Ada tak walaupun satu kebaikan yang pernah dilakukan?” Jawabnya,
“Ya, ada. Saya suka beri maaf pada orang yang beli barang pada saya dan bayar
tidak cukup.” Sebab itu diterima dan menjadi sebab Allah membalasnya dengan
kebaikan. Tetapi, bezanya, Allah bilamana membalas dengan kebaikan, kebaikan
yang Allah SWT balas adalah jauh lebih baik daripada kebaikan yang manusia lakukan.
Tetapi, keburukan yang manusia lakukan akan dibalas sesuai dengan keburukan.
Kita semua sedia maklum yang 1 kebaikan yang dilakukan, Allah balas dengan
minimum 10 ganjaran, dan boleh sampai 700 kali ganjaran atau terkadang Allah
lipat-gandakan kepada sesiapa yang Allah kehendaki. Kita tidak boleh guna
matematik biasa untuk menghitung gandaan yang Allah ingin berikan.
Dalam surah Al-Baqarah, ayat 261, Allah berfirman:
Matematik manusia sampai kiraan 700 kali ganda, matematiknya
Allah SWT ialah dilipat-gandakan seperti yang dikehendaki Allah SWT. Maka,
bertuah kalau seseorang diberikan lipat-ganda oleh Allah SWT. Maka, dalam hal
ini, ganjaran pahala Allah SWT adalah lebih besar berbanding kebaikan yang
dilakukannya. Contohnya, kita baca 3 huruf - “Alif Laam Miim..”, Allah beri 30
ganjaran. Tapi kalau perbuatan maksiat 1, dosanya 1. Tapi kalau 1 dosa dihukum
10 atau 700 atau dilipat-gandakan..Wal iya dzubillah. Ini merupakan rahmatnya
Allah SWT – bahagian pahala di lipat-gandakan, bahagian dosa dihukum sesuai
dengan perbuatannya. Inilah sifat adil Allah SWT.
“.. Allah sentiasa mengetahui keadaan orang-orang yang bertaqwa.”
Kenapa Allah tak mengatakan “Allah Ta'ala Maha Tahu kepada
orang-orang yang beramal” sedangkan ayat ini bercerita tentang amal.
Hai orang-orang yang beramal baik, jangan kamu
mengandaikan amalan kamu dengan dengan melihat amal kamu adalah perbuatan yang
baik bilamana kamu simpan dalam hati kamu maksud selain daripada kebaikan.
Contohnya – kamu nak beramal biar tujuannya baik. Jangan
kamu pergi masjid, iktikaf, beri sedekah dan sebagainya dengan maksud agar
orang tahu yang kamu orang soleh, atau kamu kaki masjid dan seumpamanya. Jangan
rosakkan amalan kamu dengan niat tidak baik dalam hati kamu.
Ketaqwaan ketika kamu beramal itu ada di dalam hati kamu.
Bilamana kamu ingin beramal dengan amal yang baik, perhatikan bukan amal sahaja
tapi nawaitu (niat) amal (roh amal), yang dengan roh amal itu akan diterima
Allah SWT dan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Kalau tidak amalan kamu akan jadi
luaran saja dan tidak diterima Allah Ta'ala. Saya pernah kisahkan dua orang
yang sama-sama bersedekah, tetapi cuma satu yang diterima kerana dia ikhlas,
dan yang lagi satu tidak. Ikhlas itu tanda taqwa dan tidak ikhlas tanda tiada
taqwa.
Ayat 116:
Anak-anak dan harta selalu menjadi sandaran orang yang
berfikiran material. Mereka akan selalu bergantung pada kebendaan. Berapa ramai
orang yang ingin anak, khususnya anak lelaki dengan harapan akan mendapat
menjaga dirinya kelak bila sudah tua dan tidak dapat bekerja lagi. Adakah kita
sebagai hamba yang dimuliakan oleh Allah dengan iman, yang dengan iman itu kita
mesti berfikir akan tujuan yang mulia dengan anugerah anak yang diberikan oleh
Allah. Jangan berfikiran cetek dengan mengharapkan anak akan beri makan kelak.
Burung yang tak punya apa-apa keluar pagi hari dengan perut kosong dan pulang
kekenyangan ke sangkarnya pada petang hari. Fikiran seperti ini adalah
ditujukan kepada orang-orang kafir – bergantung dan berlindung dengan harta.
Mereka yakin akan dapat buat apa saja dengan anak-anak dan harta yang dimiliki.
Allah beri contoh dengan Namrud yang ada banyak harta dan anak-anak. Allah cuma
hantar nyamuk dan dia tidak mampu buat apa-apa. Nak keluarkan nyamuk dengan
duit? Tak, tak boleh.
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir, takkan dapat
mencukupkan mereka dengan harta dan anak-anak mereka…”
Orang kafir yang bergantung dengan anak dan harta – baik
untuk menghancurkan kaum muslimin atau melakukan kerosakan di muka bumi ini,
atau untuk menyelamatkan diri di akhirat nanti, takkan dapat dicukupkan dengan
kedua-duanya itu.
Dalam surah Al-Syu’araa’, ayat 89, Allah berfirman:
Tapi ada kalanya orang dapat mendatangkan manfaat daripada
anak dan hartanya, yang ketika di dunia dia menggunakan harta dengan cara yang
sebenarnya dan anaknya dididik dengan sebenarnya. Maka, kedua-duanya akan
menjadi sebab orang itu untuk diselamatkan oleh Allah SWT.
Semoga Allah SWT memberikan kepada kita rezeki yang halal
dan dengan rezeki itu menyebabkan kita melakukan kebaikan dan ketaatan dan
menjadi sebab keselamatan kita di dunia dan diakhirat. Mudah-mudahan Allah bagi
rezeki kepada kita, baik berupa harta dan anak-anak yang membawa kebaikan dan
tidak menjadi fitnah dan membawa keburukan kepada kita.
Amin, Allahumma Amin.
p/s: Segala kekurangan, admin mohon maaf dan teguran. Moga ada manfaatnya. Amin.