Tafsir Quran Surah Ali-Imran, ayat 104-107, MTDM 27.12.2013

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid 
MTDM 27.12.2013

Ayat 104:

“Dan hendaklah ...”
Ayat ini adalah ayat anjuran daripada Allah yang juga mempunyai makna cabaran kepada orang yang ingin menyahut seruan tersebut. 

“… ada di antara kamu..”
Tanpa menentukan jantina/bangsa/negara/keturunan/warna kulit, siapa antara kamu yang ingin menjadi…

“..golongan (umat) yang menyeru kepada kebaikan…”
Seruan ini datang daripada Yang Maha Pencipta kepada makhluk yang dicipta-Nya. Setiap hamba itu, kepada tuannya, hanya ada satu sifat sahaja - iaitu dengar dan patuh. Akan tetapi di situ, ada hamba yang mendengar, yang patuh dan bertindak cepat dalam menyahut seruan (‘respond’). Allah Ta'ala ketika menyeru kepada hamba-hamba-Nya untuk mentaati perintah Allah, adalah dengan cepat dalam menyahut seruan.

Dalam ayat 24, surah Al-Anfaal, Allah berfirman:

Daripada ayat ini, bilamana Allah dan Rasul-Nya menyeru dan kamu bertindak cepat menyahut seruannya, maka Allah akan hidupkan kamu. 
Kehidupan yang bagaimana? Bukankah kita sudah hidup? Allah akan memberi kehidupan hati (roh) yang lebih baik, yang ada ketenangan (saadah) di dalamnya, dan itulah kehidupan yang sebenar. Kehidupan zahir dikongsi oleh semua makhluk, sebab itu contohnya: haiwan pun hidup.

Nabi Muhammad SAW bersabda, “Perumpamaan orang yang berzikir (sentiasa menyebut dan mengingati nama Allah) dengan orang yang tidak berzikir ialah seperti perumpamaan orang hidup dan orang mati.” 

Walaupun pada zahirnya, kedua-duanya hidup, namun orang yang tak berzikir, hatinya mati dan tiada ketenangan dalam jiwanya. Allah Ta'ala akan memberi kehidupan dalam bentuk ketenangan, kemantapan iman dan kekuatan dalam jiwa berdasarkan cepatnya seseorang menyahut seruan Allah Ta'ala dan Rasul-Nya. 

“.. golongan (umat) …”
Perkataan ini mempunyai banyak erti di dalam Al-Quran – antaranya ialah:
Golongan atau pengikut atau bangsa, 
Masa – seperti yang disebut dalam surah Yusuf, ketika diceritakan takwil mimpi.
Agama - satu orang yang mempunyai sifat-sifat baik terkumpul pada dirinya. Contoh: Firman Allah Ta'ala dalam Al-Quran, “Sesungguhnya Ibrahim itu adalah umat..” - walaupun Nabi Ibrahim itu seorang, tapi terdapat pada dirinya sifat-sifat yang baik daripada umat, kerana tingginya nilai dan kedudukan dirinya.

 “… dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik…”
Ada beberapa bahagian maknanya:
Dalam komuniti umat Islam, MESTI ada yang mengajak kepada kebaikan, contohnya seperti para ulama, dan asatizah.

Makna yang lebih tepat, oleh kerana makna Al-Quran sangat luas, dan boleh ada banyak tafsir oleh ulama yang berbeza. Makna kedua menurut Imam Al-Sha’rawi “Pada setiap kelompok yang ada di antara kamu, tak kira kecil atau besar, mesti ada yang mengajak kepada kebaikan.” 

Dalam peringkat keluarga, dalam taman, dalam kampung, bandar, negara, organisasi, pertubuhan dan apa saja. Dengan itu, barulah akan lurus. Kalau dalam keluarga, ada yang ‘concern’ untuk mengajak ahli keluarganya kepada kebaikan, maka keluarga itu akan jadi keluarga yang baik. Kalau pada peringkat taman/kampung, kalau ada disitu orang yang mengajak ahli qariahnya kepada kebaikan, maka kampung itu akan jadi negeri baik, yang subur dengan iman. 

Kalau di situ ada orang yang mengajak kepada kebaikan sehingga anak-anak menjadi anak-anak yang baik, orang tuanya menjadi orang tua yang baik, sekolah menjadi sekolah yang baik. Dalam peringkat bandar, organisasi, negeri akan diberkati kerana umumnya mengajak kepada kebaikan dan itu adalah tujuan Allah agar semua berbuat baik tapi mesti ada yang mengajak dan mengingatkan kepada kebaikan kerana manusia sifatnya adalah lalai! 
Dalam Al-Quran nul Karim, sentiasa Allah Ta'ala menyuruh perkara kebaikan itu dikongsi dengan orang lain. Oleh itu, anda, bilamana ingin berbuat kebaikan, jangan berbuat untuk diri sendiri saja.

Surah Al-Asr:

Dalam surah ini, adakah cukup jika manusia itu beriman dan beramal soleh saja? Manusia mesti berkongsi dan saling memberi wasiat (mengingatkan).

Jangan sesekali merasa iri hati jika ada orang lain terkedepan dalam mengajak orang kepada kebaikan. Sebaliknya, kita kena bersyukur kerana ada orang bantu kerja mengajak kepada kebaikan.

Oleh kerana itu, Allah Taala berfirman “Wahai manusia (yang berkulit putih, hitam, berkulit warna apa saja, keturunan siapa saja, berlainan jantina), siapa daripada kamu yang mahu mendengar firman Aku dan bertindak dengan cepat untuk menjadi golongan yang mengajak orang lain kepada kebaikan.”

Sungguh bertuah bagi orang yang mahu mendengar, tapi bukan saja mendengar, tapi bertindak, dan bertindak dengan cepat. Dengar dan jawab dengan cepat! Dan orang seperti inilah yang diberitahu Allah Ta'ala sebagai orang yang beruntung.

“ dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah …”
Bagaimana mengajak orang lain kepada kebaikan? Dengan mengajak orang berbuat yang baik dan melarang orang daripada berbuat yang mungkar.

Maknanya ada dua perkara:
Orang yang mengajak orang lain berbuat baik, adalah dia diminta untuk berbuat baik terlebih dahulu, lalu kemudian mengajak orang lain berbuat baik. Tetapi, bukan bererti orang yang mengajak orang lain berbuat baik tapi dirinya tak berbuat baik, dan orang yang diajak berbuat baik itu boleh mengatakan, “Kamu tak buat tapi suruh aku buat."
Orang yang melarang orang lain berbuat mungkar tapi dirinya sendiri masih berbuat mungkar, dan orang yang dilarang juga tiada hak mengatakan, “Kamu larang aku buat tapi kamu buat."

Kenapa dalam ayat ini Allah SWT menumpukan satu tugas untuk menyampaikan kepada orang lain, yang orang lain itu hanya dituntut kepada yang satu itu – iaitu suruhan berbuat baik atau larangan berbuat mungkar. Anda tiada hak untuk menghukum kepada orang yang mengajak kepada kebaikan atau yang melarang kepada kemungkaran.

Tanggungjawab orang yang berbuat maksiat adalah dengan Allah SWT. Tanggungjawab anda, bilamana orang ajak anda buat baik atau larang anda buat mungkar, anda tiada hak mengatakan, “Kamu tak buat tapi suruh aku buat atau kamu buat, suruh aku tak buat”.

Sifat orang yang disuruh Allah ialah mengajak kepada kebaikan.

“Wahai manusia yang sampai kepada anda seruan kebaikan melalui orang lain, tugas anda ialah menyahut seruan itu”. 

“Wahai manusia yang sampai kepada anda seruan untuk mencegah diri daripada yang mungkar, maka sahutlah seruan itu”.

Pada orang yang mengajak tetapi dia sendiri tak lakukan, ada firman Allah yang lain untuknya, “Adakah kamu mengajak kepada kebaikan yang kamu sendiri tidak buat?”. Yakni, ayat teguran Allah SWT kepada bani Israel. 

Manusia selalu nampak silap orang tetapi dia tak nampak silap sendiri. Jadi dalam ayat ini, Allah menyuruh untuk menyeru untuk berbuat baik dan mengajak orang lain buat kebaikan juga. 

Maka, dalam hal ini tidak dibenarkan bagi seseorang mengatakan yang saya ini masih belum cukup baik untuk ajak orang berbuat baik. Anda sepatutnya mengajak orang berbuat baik dan berusaha memperbaiki diri untuk cuba yang terbaik, bukan menggunakan alasan belum memperbaiki diri untuk tidak mengajak orang kepada kebaikan. 

Bak kata pepatah: “Tak boleh semua, jangan tinggal semua”, yakni kalau anda tak mampu nak meninggalkan larangan, jangan jadikan itu alasan untuk tidak ajak orang lain buat kebaikan.

“…dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang beruntung.”
Perkataan ‘mufleh’ (beruntung) ini berasal daripada perkataan ‘tanaman atau petani’ – kerana petani, jika tanam menggunakan sebiji benih, tapi hasil buahnya akan jadi banyak.

Jika seseorang ajak orang lain buat baik, dan orang itu ikut ajarannya. Orang yang mengajaknya, walaupun sudah mati akan mendapat pahala, selagi mana orang yang diajaknya itu melakukan kebaikan. Jadi, anda bilamana mengajak kawan ke majis-majlis yang baik seperti majlis ilmu, dan orang itu terkesan dengan majlis ilmu itu, mendapat hidayah dan berubah sikapnya, terimalah khabar gembira daripada Allah SWT kalau setiap perbuatan baik sabahat itu akan membawa ganjaran baik kepada anda kerana andalah penyebab hidayah sampai kepadanya. 

Sesungguhnya orang yang menunjukkan jalan kebaikan akan mendapat ganjaran yang sama dengan orang yang berbuat kebaikan tersebut, tanpa mengurangkan ganjaran kepada orang yang melakukannya. Inilah perniagaan yang menguntungkan tetapi ramai orang yang mengabaikannya. Ajak orang ke majlis-majlis yang baik. Anda bukan pemberi hidayah – anda sebab! Anda ialah kunci yang boleh membuka pintu hati orang dengan izin Allah SWT. Oleh itu, ajak orang berbuat baik melalui sms, whatsapp, email dsb dan ambil peluang besar untuk mendapat ganjaran yang besar sekali. 

Kenapa beruntung? Kerana dia mengajaknya/mengajarkan sekali, orang itu terus berbuat baik dan dia terus-menerus mendapat ganjaran. Kalau orang itu ajar orang lain pula, dia juga akan dapat ganjaran. Siapakah orang paling berjasa di dunia ini? Rasulullah SAW, kerana Baginda bersusah-payah mengajarkan Islam sehingga sampai kepada kita hari ini. Oleh sebab itu, bila kita berziarah kepada makam Nabi Muhammad SAW, kita mendoakan semoga Allah membalas segala kebaikan Baginda kepada kita. 

Ayat 105:

Sebelum ini ayat seruan berbuat baik, dan sekarang ayat ini ialah ayat larangan untuk berpecah-belah. Berbeza ideologi tak semestinya membuat kita berselisih.
Apabila berselisih, kesannya kehancuran dan tiada faedah di dunia apatah lagi di akhirat.

Ketika zaman Rasulullah SAW: Ada 2 orang budak - seorang daripada kaum Muhajirin, dan seorang daripada kaum Ansar berebut untuk mengambil air perigi. Seorang daripada mereka mula beteriak, “Wahai orang Muhajirin”, dan seorang lagi juga membalas dengan memanggil – “Wahai orang Ansar”. Mereka mula mempermainkan isu perkauman, dan nafsu apabila bermain, dia akan melupakan nilai-nilai murni yang wajib dijaga. Apa yang berlaku selepas itu? – masing-masing sudah mula menghunus pedang kepada satu sama lain. Nabi SAW dengan muka merah padam berkata, “Adakah kamu ingin menghidupkan kembali prinsip/perangai jahiliyyah sementara saya berada di tengah-tengah kamu? Buanglah perangai ini kerana sesungguhnya perbuatan ini berbau busuk.”

Ayat 106:

Wajah yang putih dan hitam dalam ayat ini bukanlah seperti putih/hitam kerana warna kulit seperti di dunia ini. Perbezaan warna kulit di dunia bukan menunjukkan Allah tidak suka kepada sesetengah manusia, tetapi Allah menjadikan warna kulit sesuatu bangsa, sesuai dengan tempat asal mereka. Contohnya, orang berkulit hitam sesuai dengan keadaan geografi di sekelilingnya. 

Wajah hitam di hari kiamat ialah wajah yang dibenci Allah SWT.Allah tidak membezakan manusia kerana warna kulit kerana Sy. Bilal telah pun kedengaran tapak kakinya di syurga oleh Rasulullah SAW, walaupun kulitnya hitam. 

Wajah yang hitam atau putih di sini tidak merujuk kepada warna kulit. Kadang-kadang, ada orang yang walaupun kulitnya hitam, tetapi sedap dipandang kerana di dalamnya (hatinya) yang cantik. Tanda-tanda kebaikan itu nampak pada wajah mereka.

“…Ada pun orang yang hitam legam wajahnya, mereka akan ditanya dengan ditempelak, “Patutkah kamu kufur ingkar setelah kamu beriman?”
Kufur setelah beriman mempunyai 3 makna iaitu:
Orang yang murtad, 
Orang yang mendakwa dirinya Islam tapi tidak mengimani perkara berkaitan akidah – contohnya mengimani Rasulullah SAW tetapi pada masa yang sama percaya ada lagi Nabi selepas Rasulullah
Kufur setelah mengaku Allah sebagai Tuhan di alam roh.

Ayat 107:

Orang yang putih wajahnya tentulah kerana amal perbuatan yang baik. 
Wajah-wajah yang nanti di hari akhirat cerah, ketawa dan gembira adalah wajah yang dahulunya takut kepada Allah Ta'ala ketika di dunia. 

Allah takkan kumpulkan dua sifat di dua tempat – yang merasa aman di dunia, pasti berasa takut di akhirat dan yang merasa takut di dunia, pasti bahagia di akhirat. Orang yang  banyak menangis di dunia akan banyak ketawa di akhirat dan yang banyak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat. 

Hiasi wajah ini yang kita jaga, yang kita rawat bukan hanya di dunia. Jadikan wajah ini agar bersedia untuk tengok kepada Allah nanti di akhirat. ‘Sediakan’ wajah ini dengan amal perbuatan soleh ketika di dunia. . ‘Sediakan’ wajah ini dengan banyak menangis agar ceria di akhirat. Kurangkan ketawa di dunia untuk ketawa di akhirat”. 

Sikitkanlah ketawa di dunia dan banyakkan menangis di dunia kerana yang banyak menangis di dunia akan ketawa di akhirat.

Walluhu’alam.
p/s: Admin mohon maaf atas segala kekurangan. Moga ada manfaatnya. Amin.

Popular posts from this blog

Tanggungjawab Adik-Beradik (2) - Tanyalah Ustaz 21.06.2012

Memikat Hati Suami (1) – Tanyalah Ustaz 18.03.2013

Diet Rasulullah (2) – Tanyalah Ustaz 26 Ramadhan 1433H (15.08.2012)