"Yang dipanggil adalah hati..." - Tafsir Surah Ali-Imran, ayat 116-119

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 

Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza 24.01.2014

Sumber video asal: http://bit.ly/Mu7Ekc


Ayat 116:

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelematkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.”
Antara perkara yang manusia harapkan untuk memberi perlindungan dan pergantungan apabila menghadapi kesusahan ialah harta, takhta atau anak-anak. Bilamana ini yang menjadi keyakinan kaum Kafirin, dan apabila Nabi Muhammad SAW mengingatkan mereka tentang akhirat, mereka mengatakan bahawa anak, harta dan takhta akan menyelesaikan masalah dan melindungi mereka. Maka, Allah SWT berfirman dalam ayat ini ‘lan tughni’ -  sekali-sekali tidak mungkin dapat mencukupi kepada mereka atau membela mereka (orang kafir). Apa yang tidak dapat membela mereka? Harta, dan juga anak-anak mereka, takkan mampu melindungi mereka daripada hukuman Allah pada hari kiamat nanti.

Allah SWT ingin meletak kepada apa yang menjadi keyakinan orang-orang kafir – yakni harta dan anak-anak – takkan boleh melindungi kepada mereka.

Subhanallah, dalam Al-Quran nul Karim, banyak sekali Allah Ta'ala sebut ‘harta dan anak-anak’, contohnya:

Surah Al-Anfaal, ayat 28:
Surah At-Taubah, ayat 55:

Allah ingin mengazab kepada orang kafir dengan harta dan anak-anak yang mereka bangga-banggakan itu. Allah menghukum mereka dengan harta dan anak-anak yang Allah beri kepada mereka, kerana mereka bergantung padanya dan meninggalkan kebergantungan kepada Allah.

Kadang-kadang, harta dan anak-anak boleh menjadi sebab ‘ukhubah’ dari Allah SWT. Tapi, dalam ayat yang lain (ayat 88 dan 89, surah Al-Syuaraa), setelah Allah menyebut yang harta dan anak-anak boleh menyebabkan malapetaka kepada tuannya/orang tuanya, disebut juga KECUALI yang beriman kepada Allah – yakni hartanya menjadi sebab dia mendapat nikmat daripada Allah SWT. Harta dan anak-anak boleh menjadi sebab azab daripada Allah Ta'ala, tetapi dalam masa yang sama boleh menaikkan darjat seseorang di sisi Allah Ta'ala. Apa yang membezakan? Iman dan ketiadaan iman!

Surah Al-Syuaraa, ayat 88 dan 89:

Yang beriman dengan Allah Ta'ala tahu cara bertaamul dengan harta dan anak-anak yang diberikan kepadanya, dia nanti termasuk dalam golongan orang-orang yang mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

Bukankah Rasulullah SAW pernah bersaba:
“Sebaik-baik harta ialah bilamana berada pada orang orang yang baik.”

Sebanyak mana harta, jika dimiliki oleh orang tidak baik, maka akan menjadi tidak baik.

Ayat 117:
Kadang-kadang kita tengok orang yang kaya, yang banyak berbuat baik dan banyak membantu, tetapi mereka adalah kafir. Allah Ta'ala memberi perumpamaan kepada harta yang mereka berikan, walaupun tujuannya untuk membawa kebaikan dan manfaat untuk manusia, adalah seperti angin yang membawa hawa yang sangat dingin, menimpa tanaman kaum mereka, orang kafir yang menaniaya diri sendiri dan angin itu merosakkan tanaman.

Tanaman itu… kalau tumbuh, dan kalau ada angin bala’, ia akan tumbang dan tidak dapat dimanfaatkan lagi – pokoknya atau buahnya. Tanaman itu… sesuatu yang diletak di tanah untuk tumbuh dan dimanfaatkan. Tapi, bilamana tanaman itu adalah tidak diasaskan kerana Allah SWT, maka tumbuhnya buah daripada tanaman yang ditanam di bumi Allah akan dihancurkan oleh Allah SWT dengan angin.  Perumpamaan yang diberikan akan nafkah yang diberikan ke tempat yang baik tapi tak mendapat ganjaran – umpama seseorang menanam yang tidak mendapatkan buah. Orang yang tanam, dia pasti petik kepada apa yang ditanam, tapi ada kalanya orang menanam tak dapat apa yang dipetik seperti tanamannya orang-orang kafir. Tanaman di sini bukan semestinya tanaman..tapi tanaman amal. Dunia ini darul amal – dunia ini tempat beramal, dan akhirat tempat memetik tanaman (amal) yang kita tanam di dunia.

Tapi orang kafir yang menanam di dunia, tanamannya baik, amalnya baik, infaknya baik tapi tak dapat dipetik di akhirat. Kenapa? Sebab, tujuan daripada menanam amalan yang baik ketika di dunia tidak ditujukan untuk mendapatkan ganjaran di akhirat. Kaedah yang ada dalam ugama – yang menamam di dunia dipetik di akhirat, sementara orang kafir menanam di dunia tidak mengharapkan untuk petik di akhirat , nakkan petikan (hasil) itu di dunia. Satu - menanam atas tujuan dasar kemanusiaan dan satu dunia pun mengakuinya, yang menghantar makanan umpamanya, atau doktor membantu atas dasar kemanusiaan mendapat apa yang diniatkannya.

Dalam agama Islam, amalan yang akan diterima oleh Allah ialah amalan yang ditujukan kepada Allah SWT. Amalan yang tidak ditujukan kepada Allah SWT, tak kira oleh orang Islam atau bukan Islam, tidak akan mendapatkan apa-apa di sisi Allah SWT. Orang Islam yang beramal, bersedekah tapi tujuannya untuk mendapatkan populariti, sanjungan, jawatan, gelaran umpamanya, dia akan mendapat apa dia nak tapi tak mendapat apa-apa ganjaran di akhirat.

Angin sejuk ini akan merosakkan pokok dan buahnya. Pokok pada asasnya bertujuan baik, tapi perbuatan baik orang kafir umpama pokok yang tidak kuat. Tujuannya… sebab itu..itu yang dia nak, itu yang dia dapat. Allah SWT ingin meletakkan satu konsep – amal ibadah mesti ditujukan kepada satu saja – Allah SWT.

Barangsiapa yang mengharapkan ganjaran daripada Allah Ta'ala jangan menyekutukan dalam ibadahnya kepada Allah dengan sesuatu apa pun.

Setiap institusi kerajaan atau syarikat ada syarat-syarat sendiri yang telah ditetapkan di dalam syarikat itu atau jawatan itu yang tidak boleh dilanggar. Kalau seseroang ingin masuk bekerja dan syarikat menetapkan umur mesti 17 tahun. Jadi, walaupun ada seorang berumur 11 tahun dan boleh melakukan kerja yang sama, tapi disebabkan umurnya tak menepati syarat, maka dia takkan diterima.

Demikian juga amal yang dilakukan di dunia, mesti ditujukan kepada Allah. Walaupun amal itu dilakukan dan tidak ditujukan bukan kepada Allah, maka tidak ada apa-apa ganjaran di sisi Allah.

“.. dan ingatlah Allah tidak menzalimi mereka tetepai merekalah yang menzalimi kepada diri mereka sendiri.” 
Kenapa? Kerana mereka tidak beriman kepada Allah walaupun nyata kebenaran di depan mata. Apa yang Allah lakukan - dengan tidak memberi ganjaran kepada mereka di akhirat adalah bukan bermakna Allah zalim kepada mereka. Banyak orang pun bertanya, “Kalau ada orang kafir tak beriman pada Allah Ta'ala, mula dari kecil sampai meninggal dunia – tapi kerjanya baik dan bantu orang saja, adakah akan dihukum Allah Ta'ala?” Na’am (Ya), kerana Allah inginkan perbuatan baik itu berdasarkan iman dan bukan berdasarkan orang itu kepada sesiapa pun juga. Prosedur Allah mesti dipenuhi. Jesteru, kalau Allah SWT memberikan kebaikan kepada orang yang tidak mengikut prosedur, itu menyalahi undang-undang. Allah SWT mempunyai undang-undang yang tidak  boleh disalahgunakan.

Ayat 118:

Dalam Al-Quran, bilamana Allah memulakan ayat dengan “Wahai orang-orang beriman…”, maka mesti ada larangan atau suruhan daripada Allah SWT. Akan tetapi, suruhan atau larangan yang diberitahukan, Allah terlebih dahulu memanggil kepada orang-orang yang bukan yang bukan sekadar orang yang biasa. Tidak..bukan yang dipanggil itu ialah orang yang mempergunakan akalnya walaupun akal perlu untuk dipergunakan. Tetapi yang dipanggil ialah orang-orang yang beriman. Tidak dipanggil oleh Allah SWT, “Wahai orang-orang yang berakal…”

Dan ada beza di dalam Al-Quran, bilamana Allah memanggil dengan “Wahai sekalian manusia atau Wahai orang-orang beriman...” Jika memanggil orang beriman, akan berkaitan dengan suruhan/larangan. Kalau panggilan wahai manusia, ayat adalah bersifat berita atau perkara umum mengenai Al-Ubudiyyah (ketuhanan) yang mesti diakui oleh semua orang.

Tapi kalau panggilan “Wahai orang-orang beriman...” yang dipanggil adalah hati.  Terkadang beberapa perkara itu tak boleh diterima oleh akal tapi boleh diterima oleh hati sebagai tanda iman kepada Allah SWT.

Apa itu iman? Iman itu keyakinan di dalam hati, terungkap melalui lidah, dan diterjemah melalui perbuatan.  Tapi yang pertama ialah percaya di dalam hati. Maka perkara-perkara yang datang daripada Allah, yang terkadang tidak boleh diterima oleh akal, tetapi bilamana datangnya daripada Allah, Allah menuntut iman seseorang itu kepada Allah SWT sehingga perkara yang tak diterima oleh akal, mesti diterima dengan hati.

Ketika Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a ketika diberitahu Abu Jahal, “Ya, Abu Bakr, kamu tahu apa kata teman kamu itu semalam?” Tanyanya, “Apa dia cakap?” Sambung Abu Jahal, “Dia beritahu kami yang dia diperjalankan dari Mekah ke Masjidil Al-Aqsa di Palestin sana.” Perjalanan biasa Mekah ke Masjid Al-Aqsa mengambil masa 1 bulan pergi dan 1 bulan balik. Ikut hukum logik, siapa boleh percaya Nabi pergi dalam masa setengah malam saja. Itu Nabi Muhammad SAW belum cerita yang Nabi pergi ke langit. Baru cerita pergi masjidil aqsa, sudah ada yang pegang kepala dan menanggap mustahil sebab mereka menggunakan akal. Tetapi Sayyidina Abu Bakar menggunakan iman dan katanya, “Kalau dia cakap begitu, apa yang dicakapnya itu benar.” Dia bercakap dengan iman, dan percaya dengan perkara yang tidak boleh dipercayai oleh akal. Oleh sebab itu, tuntunan daripada iman ialah percaya kepada yang ghaib – kita percaya syurga itu ada, neraka itu ada, sirat itu ada, timbangan itu ada, padang masyar itu ada walaupun ktia tidak nampak semuanya.

Oleh itu, bilamana Allah SWT menyebut, “Wahai orang-orang beriman...” – letakkan akal fikiran untuk menerima, dan gunakan akal fikiran untuk mencari hikmahnya. Tapi bukan menggunakan akal untuk tengok apa yang Allah cakap ini boleh diterima akal atau tidak, sebab panggilan Allah kepada orang beriman memerlukan kepada hati untuk menerima walaupun tidak masuk di akal. Oleh sebab itu, di dalam hukum-hakam yang ditentukan Allah SWT, bilamana disebut, “Wahai orang-orang beriman...”, nak sebutkan perintah atau larangan, jangan sekali-kali kamu menggunakan akal fikiran nak cari apa sebab Allah suruh. “Aku akan terima apa yang Allah suruh kalau aku faham maksudnya, kalau aku tahu hikmahnya, kalau tidak tunggu dulu.”

Perkara-perkara yang diharamkan – daging babi contohnya - di zaman turunnya Al-Quran nul Karim, di zaman itu tiada teknologi untuk lihat apa kandungan daging babi itu. Kaum muslimin mendapat larangan untuk meninggalkannya, dan mereka pun meninggalkannya. Mereka tak pula kata, “Nak ‘check’ dulu apa yang ada dalam daging babi.” Jangan mencari ‘illah’ kepada hukum-hakam Allah untuk diterima, tapi terima, baru cari illahnya. Beza orang cari sebab dan hikmah hukum-hakam Allah untuk diterima atau orang menerima, lalu dicari hikmah disebalik hukum-hakam Allah SWT. Yang beriman akan terima dulu, sebab datangnya daripada Allah SWT, yang Maha Mengetahui akan perintah dan larangan-Nya. Tak faham tak apa, cari hikmahnya dan akan dibuka hikmahnya oleh Allah SWT. Tapi kalau dia menggunakan akal fikirannya, Allah suruh, dia tunggu dulu dan nak fikir dulu – ini ada hikmahnya atau tidak. Kalau nak tunggu dulu, setelah 14 abad, baru ditemui orang hikmah akan mudarat daging babi. Jadi, takkan selama 14 adab, hukum Allah tidak dilaksanakan?

Jadi, bilamana disuruh Allah SWT, “Wahai orang-orang beriman...” – Allah menyentuh tentang hati yang merupakan tempat iman yang tujuan daripada iman hakikatnya percaya apa saja yang datang daripada Allah SWT. Sikap orang beriman, bilamana disebut, “Wahai orang-orang beriman...” – kita mesti buka untuk menerima, tak faham tak apa, terima sebab datangnya daripada Allah SWT. 

Apa suruhan Allah dalam ayat ini?

“… janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi teman karib yang dipercayai kerana mereka tidak henti-henti menimbulkan kemudharatan kepada kamu …”
Kaum muslimin, khususnya ketika berada di Madinah, mereka dahulu sebelum memeluk Islam mempunyai hubungan baik dengan kerabat-kerabat termasuk dengan golongan Musyarikin. Tetapi, setelah orang-orang Madinah yang dikenali dengan nama Ansar akhirnya memeluk kepada Islam dan sebahagian daripada ahli kerabat masih tidak memeluk Islam, mereka masih meletakkan kasih-sayang dan mengharapkan bantuan daripada mereka yang tidak beriman.

Allah berfirman seperti di atas. Apakah maksud ayat ini? Adakah kita perlu putus hubungan dengan orang kafir? Kita pulaukan orang-orang kafir? Kita, bilamana memahami ayat, hendaklah memahami secara keseluruhan.

Allah SWT di dalam Al-Quran, berfirman tentang adab anak yang mempunyai orang tua yang bukan Islam.  Allah SWT melarang anak derhaka kepada orang-tuanya yang bukan Islam. Bahkan dilarang berkata ‘tidak’ kepada mereka termasuk walaupun mereka bukan Islam, kecuali bila ibu bapa bukan Islam menyuruh berbuat perkara yang bercanggah dengan hukum-hakam dan syarak Allah SWT. Bahkan, bukan saja ibu bapa bukan Islam kita tidak boleh taat, jika ibu bapa Islam menyuruh yang sama pun kita tidak boleh taat. Adik-beradik yang bukan Islam, teman yang bukan Islam, jiran yang bukan Islam – tentang perhubungan yang menjadi hak mereka ditunaikan sebagaimana digariskan oleh agam yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

Tapi yang tidak diperbolehkan ialah meletakkan kepercayaan kepada mereka yang menginginkan dan menanamkan kebencian kepada kita dan ingin menimbulkan kemudharatan dengan menyesatkan kepada kita. Mereka membawa kita kepada cara hidup mereka, membawa kita melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. Itu golongan yang tertentu daripada orang bukan Islam yang menginginkan keburukan kepada orang-orang Islam yang berusaha dengan pelbagai tipu muslihat untuk menyesatkan orang Islam – diajaknya minum arak, diajak melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, menghadiri tempat yang dimurkai Allah Ta'ala. Bukankah sekarang terdapat banyak program yang ada untuk menyesatkan orang Islam? Dan banyak pun kaum muslimin yang terpengaruh dengan budaya mereka. Golongan yang seperti ini -  jangan kamu dekat, rapat dan meletakkan kepercayaan kepada mereka walaupun mereka itu adalah kerabat kamu, walaupun mereka itu hubungan silaturrahimnya rapat dengan kamu.

Lalu, bagaimana? Adakah perlu memutuskan tali silaturrahim dengan mereka?

Dalam sahih Muslim, diriwayatkan Nabi SAW bersabda memanggil kepada ahli keluarga baginda yang dekat dan yang jauh, dan mengajak kepada mereka untuk memeluk Islam. Kata baginda, “Jika kamu menolak, sesungguhnya ada pertalian silaturrahim dengan saya. Saya akan sambung pertalian silaturrahim antara saya dengan kamu – saya basahi” Ini kiasan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak memutuskan tali-silaturrahim kepada keluarga walaupun bukan islam. Maka, dalam ayat ini, Allah menggariskan tentang golongan yang bukan Islam yang termasuk daripada kerabat tapi mengkehendaki perkara yang buruk kepada kerabatnya atau kaum Muslimin secara amnya. Mereka yang seperti itu jangan didekati atau menjadi wali kepada mereka atau minta tolong kepada mereka.

“…Telahpun nyata kebencian mereka pada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu memahaminya.”

Ada batasan hak orang kafir yang tertentu yang kita mesti tunaikan iaitu:
  • Hak kejiranan
  • Hak keluarga
  • Hak orang tua, dan
  • Hak orang kafir yang menginginkan keburukan (seperti yang disebut dalam ayat ini).
  •  

Ayat 119:

“Awaslah! kamu menyukai mereka tapi mereka tak menyukai kamu…”
Orang munafik menyimpan (menyembunyikan) kekafiran kepada Allah dan bilamana bertemu orang-orang beriman, mereka mengaku beriman dan memasukkan tipu-muslihat untuk menyesatkan orang-orang beriman. Sekarang ada banyak usaha-usaha seperti ini – mereka mengaku beriman dan berkahwin, tapi selepas itu tidak mempratikkan tuntutan kepada iman. Bukankah ini banyak terjadi? Kalau tidak di sini, mungkin berlaku di negara-negara di mana mereka hanya menginginkan menikah dengan orang Islam sahaja, sedangkan di dalam Islam – tak sah pernikahan dengan seorang muslimat Islam kecuali lelakinya peluk kepada Islam. Oleh itu, perlu berhati-hati walaupun Islam hanya menghukum kepada yang zahir sahaja.

“… tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit jari..”
Kenapa? Mereka marah sangat kerana tak dapat menyesatkan kepada kaum muslimin. Perbuatan ini dilakukan apabila bersama sesama mereka sahaja – mungkin di rumah mereka dan tiada siapa yang tahu tapi Allah beritahu.


Wallahu ‘alam.

p/s: Mohon ambil perhatian yang teks ini bukan disediakan oleh pendakwah seperti yang namanya tertera di atas. Saya cuba menyalin semula sebaik mungkin seperti yang disyarahkan perdakwah tersebut, tetapi ada kalanya saya terpaksa meringkaskan atau menggantikan perkataan untuk memudahkan pemahaman atau memberi kejelasan. Ada kalanya juga, saya tidak dapat 'menangkap' dengan baik perkataan yang disebut dan saya tinggalkan. Jadi, saya mohon pembaca juga menonton video di sumber asal untuk pemahaman yang lebih baik dan saya mohon maaf dan teguran atas segala kekurangan. Semoga, di sebalik segala kekurangan, masih ada yang dapat kita manfaatkan. Wallu'alam. 
- Admin KKN

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab