"Kekuatan kaum muslimin ini ialah apabila hati mereka bersatu" - MTDM 20.12.2013
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Tafsir ayat 102-103, surah Ali-Imran
Ayat 102:
Antara satu sunnah yang dimulakan oleh Allah Ta'ala, walaupun
yang dilakukan oleh Allah Ta'ala adalah bukan menjadi suatu kewajipan kepada
Allah untuk melakukannya disebabkan Allah Ta'ala ialah Tuhan dan tidak dipersoalkan
apa yang dibuat, dan tiada yang menghukum kepada Allah.
Allah Ta'ala melakukan sesuatu perbuatan sebagai teladan untuk
ditiru hamba-Nya. Dalam Al-Quran terdapat beberapa perkara yang Allah Ta'ala
sendiri buat, di antaranya ialah Allah Ta'ala berselawat ke atas Nabi Muhammad
SAW.
Di antara perbuatan yang Allah Ta'ala lakukan juga untuk
diteladani ialah Allah berwasiat taqwa.
Wasiat taqwa itu adalah pesanan Allah Ta'ala kepada seluruh makhluk.
Apa wasiatnya? Supaya kamu bertaqwa kepada Allah Ta'ala. Oleh
kerana yang demikian, apa yang dilakukan Allah Ta'ala dalam mewasiatkan taqwa
dan tidak meninggal melainkan sebagai Islam itu diikuti oleh para Anbiya’
Allah Ta'ala. Di antara mereka yang direkodkan Allah Ta'ala ialah Nabi Ibrahim
dan Nabi Yaakub, (dalam ayat 132, surah Al-Baqarah).
Apa isinya pesanan Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub? Agar
anak-anaknya memilih Islam dan jangan mati dalam kecuali dalam keadaan Islam.
Allah memulakan dan diikuti oleh hamba-Nya.
Maka, dalam hadis Nabi Muhammad SAW bersabda, “Berakhlaklah
kamu dengan akhlaknya Allah SWT.”
Macamana berakhlak dengan akhlak Allah SWT? Apa yang Allah
lakukan, itu yang kamu mesti meniru kepada Allah SWT. Walaupun kita meniru Allah,
terus bukan kita menaik-taraf menjadi Tuhan. Tak, meniru perbuatan Allah SWT untuk
mendapat pemberian sunnah mengikut Allah SWT. Macamana meniru akhlak Allah SWT?
Kalau Allah berselawat kepada Nabi, kita pun meniru berselawat kepada Nabi. Kalau
Allah berwasiat taqwa, kita pun mesti berwasiat taqwa.
Macamana kita berwasiat taqwa? Kata baginda Rasulullah SAW, “Tidak
seharusnya bagi seorang Islam yang tidur di waktu malam melainkan mesti ada
wasiat yang ada diletakkan di sampingnya.” Mesti ada wasiat. “Barangsiapa
yang meninggal dalam keadaan dia mempunyai wasiat, maka dia meninggal dalam
keadaan sunnah.” Yakni, sunnah mengikut kepada sunnahnya Allah yang diikuti
oleh Nabi Muhammad SAW – wasiat ini menjadi sebab syafaat kepada orang yang
meninggal dunia dalam keadaan memberikan wasiat.
Wasiat adalah dimulai dengan taqwa kepada Allah dan baru lepas
itu pesanan-pesanan yang lain. Fahimtum? Wali haza…cara juga mengikuti
Allah SWT - memahami nama-nama Allah yang baik.
Kalau Allah Maha Pengampun, jadi, kita biasakan diri mengampunkan
kesilapan orang lain kepada diri kita.
Kalau Allah Maha Pemaaf, jadi, kita pun membiasakan diri
memaafkan kesalahan dan melupakan kesilapan orang lain kepada diri kita.
Kalau Allah itu Maha Kareem, Maha Pemberi dan Maha Pemurah, kita pun
mesti meniru Allah SWT untuk bersifat pemurah.
Waha kaza, cari makna pada nama-nama Allah SWT dan bilamana kita
meniru pada makna nama Asma’ul-Husna, maka kita termasuk orang
yang meniru kepada akhlak Allah SWT.
Huraian ayat:
“Wahai
orang-orang yang beriman!...”
Yang disebut siapa? Orang yang beriman. Bukankah iman sudah
memadai dengan taqwa?
Iman ialah asas (‘foundation’) kepada ketaqwaan
kepada Allah Ta'ala . Tanpa iman, taqwa tidak akan mempunyai makna –
asasnya mesti dengan iman. Dengan taqwa, iman akan menjadi semakin subur. Kalau
asas kepada taqwa ialah iman, maka taqwa merupakan tiang yang akan menguatkan
iman yang tiada penghujungnya. Iman mempunyai awalan tapi tidak mempunyai
penghujung. Oleh itu, tidak sama darjatnya orang yang bertaqwa kepada Allah
Ta'ala –
masing-masing mempunyai batasan tersendiri. Darjat para anbiya’
sesuai dengan taqwa para anbiya’. Taqwa pada auliya berbeza dengan
taqwa orang-orang biasa. Taqwa orang-orang biasa berbeza dengan taqwa
orang-orang yang masih ada berbuat maksiat kepada Allah Ta'ala.
Dalam Al-Quran (surah Al-Hujurat, ayat 13), Allah Ta'ala memuliakan
darjat orang-orang yang bertaqwa kepada Allah Ta'ala:
Mungkin dua orang itu adik-beradik, atau seperguruan, atau senegeri,
atau mungkin satu sekolah, atau mungkin meninggalnya pun sama-sama. Tetapi,
seorang yang lebih bertaqwa akan lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah
Ta'ala.
“Bertaqwalah kamu
kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa…”
Apa yang menarik dalam ayat ini ialah “… dengan sebenar-benar taqwa”.
Masyarakat selalu disuruh bertaqwa – seperti yang biasa diucapkan dalam
khutbah Jumaat. Bagaimana untuk bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa? Bagi orang
yang dasar pengetahuannya sederhana – yang penting ialah mereka tak buat
maksiat. Tapi, bagi orang yang darjatnya lebih tinggi di sisi Allah Ta'ala, itu
sudahpun merupakan perbuatan maksiat, yakni: orang yang tidak berbuat maksiat
dan pada masa yang sama tidak berbuat taat, pada pandangan orang yang lebih
tinggi darjatnya – orang ini merupakan golongan yang derhaka kepada Allah
Ta'ala.
Maka yang dikatakan ‘Hasanatun abrar’ - perbuatan baik yang dilakukan oleh orang-orang yang levelnya ‘abrar’ – bagi orang muqaraabin, yang darjatnya lebih tinggi – itu adalah perbuatan dosa. Perbuatan baik, tapi bagi level orang yang lebih tinggi adalah dianggap sebagai satu perbuatan dosa. Perbezaan maqam membezakan cara amalannya itu. Wali haza, seorang Syaiban Ar-Rai, seorang yang hidup di zaman al-Imam As-Syafie, ditanya 2 atau 3 soalan.
Maka yang dikatakan ‘Hasanatun abrar’ - perbuatan baik yang dilakukan oleh orang-orang yang levelnya ‘abrar’ – bagi orang muqaraabin, yang darjatnya lebih tinggi – itu adalah perbuatan dosa. Perbuatan baik, tapi bagi level orang yang lebih tinggi adalah dianggap sebagai satu perbuatan dosa. Perbezaan maqam membezakan cara amalannya itu. Wali haza, seorang Syaiban Ar-Rai, seorang yang hidup di zaman al-Imam As-Syafie, ditanya 2 atau 3 soalan.
Soalannya yang pertama:
1. Apa
hukum orang yang lupa dalam solatnya, 3 atau 4 rakaat, apa perlu dia buat?
Orang yang bertanya ini nak uji sejauh
mana kepandaiannya Syaiban Ar-Rai. Maka Syaiban Ar-Rai menjawab, “Kamu nak saya jawab ikut mazhab kamu
atau mazhab saya?” Kata di penanya itu, pelik juga, ada 2 mazhabkah dalam hal
ini? Selalunya orang sudah tahu jawapannya, cukup jelas tapi ini diberitahu ada
2 mazhab. Si petanya pun cerdik juga, “2 mazhab, mazhab kau dan mazhab saya.”
Diberitahu oleh Syaiban Ar-Rai, “Kalau
dalam mazhab kamu, orang yang lupa sama ada 3 atau 4, maka dia perlu meyakini yang
sedikit, tambah lagi menjadi 4 rakaat dan lepas itu sujud sahwi.”
Kata si petanya, “Betul, tapi kalau
mazhab kamu bagaimana?”
Jawabnya, “Kalau ikut mazhab saya, orang ini kena
perlu disebat! Macam mana masuk ke dalam solat, dia lupa kepada Allah Ta'ala.
Dia menghadap kepada Allah Ta'ala tapi boleh lupa kepada Allah? Orang yang lupa
kepada Dzat yang dia sedang menghadap kepada-Nya patut dihukum dan bukan
digantikan dengan sujud as- sahwi.”
Ditanya pula tentang hukum zakat –
kalau kambing berapa kita kena keluarkan zakatnya? Ditanya pula “Mazhab
saya atau mazhab kamu?” kata si petanya, “2 mazhab”.
Dijawab, “Kalau mazhab kamu, orang punya 40 ekor
kambing, 1 ekor kambing dikeluarkan kerana Allah. Dalam mazhab saya, harta dan tuan
empunya harta milik-Nya Allah, maka semuanya utk SWT – 40 ekor kambing,
40 ekor kambing untuk Allah SWT.”
Levelnya beza, antara kedudukan
masing-masing orang diukur dengan kadar makrifahnya kepada Allah SWT, akan berbeza
cara amalannya kepada Allah SWT.
Baginda Rasulullah SAW berpuasa terus sambung,
berpuasa hari ini terus sambung sampai esok hari, dan kalau malam, terkadang baginda
Rasulullah tidak tidur, sepanjang malam dia bangun. Waktu, ada sahabat yang
ingin meniru Rasulullah untuk berpuasa terus dan qiyammullail terus tak tidur. Nabi
kata, “Jangan
kau buat.” Kata sahabat, “Ya Rasulullah, engkau melarang satu
perbuatan yang engkau sendiri buat.” Yakni puasa berterusan ataupun
sepanjang malam bangun. Nabi jawab, “Saya
ini tak sama dengan kamu. Levelnya saya tak samu dengan kamu. Sesungguhnya saya
setiap malam bersama dengan Allah Ta'ala, Allah bagi saya makan dan minum.”
Perbezaan kedudukan seseorang di sisi Allah adalah membezakan status amalan
seseorang kepada Allah SWT. Hassanatun abrar sayyiatun muqarrabin.
Jadi, ini adalah suruhan Allah Ta'ala
untuk bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa. Jadi, bagi para sahabat yang
makrifah mereka kepada Allah cukup tinggi berkata kepada Rasulullah, “Ya
Rasulullah, bagaimana untuk kami menunaikan hak taqwa kepada Allah Ta'ala?”
Sahabat datang dan mengakui kelemahan mereka kerana merasa takut kepada Allah
dan takut kapasiti mereka tak mencukupi untuk menunaikan apa yang menjadi hak
Allah Ta'ala. Mereka sedar betapa agung dan besarnya Allah dan betapa kecil dan
kerdilnya diri mereka. Jadi mereka datang kepada Rasulullah SAW dan mengatakan
demikian. Setelah beberapa lama, turun ayat yang menyuruh seseorang bertaqwa
mengikut kemampuan dirinya.
Wasiat yang kedua dalam ayat ini ialah:
“… jangan kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
Macam mana untuk kita mati dalam
Islam? Kematian bukannya dalam tangan kita. Kematian bila datang, tidak meminta
izin daripada kita juga. Ertinya - ambillah langkah-langkah awal yang anda
dengan amalan-amalan itu boleh kita meninggal dalam keadaan Islam. Jika anda
ingin mati dalam satu-satu keadaan yang baik, maka lazimkan amalan itu. Jika anda
khuatir untuk meninggal dalam keadaan yang tidak baik, maka hindarkan amalan
itu kerana dikhuatiri nyawa akan diambil ketika melakukan perbuatan itu. Jika
ingin mati dalam keadaan membaca Al-Quran, atau sujud umpamanya, maka
lazimkanlah diri anda untuk melakukannya, maka anda akan diberi Allah Ta'ala
untuk mati dlm keadaan itu.
Sy. Ali bin Abi Talib berkata
apabila ditanya apa itu taqwa, “Taqwa ialah takut pada Allah.”
Takut itu ialah perbuatan hati
dan bukan perbuatan tubuh badan – yang hanya tahu adalah orang itu sendiri.
Sejauh mana rasa takut seseorang kepada Allah Ta'ala, setinggi itu darjatnya di
sisi Allah Ta'ala.
Bagaimana takutnya kepada Allah berada
dalam hati? Hendaklah anda menjadikan Allah pengawal dan pengawas yang
mengamati anda dalam segala keadaan. Bilamana anda sampai kepada peringkat
bahawasanya Allah Ta'ala senantiasa mengawasi setiap perbuatan anda, maka anda adalah
orang yang bertaqwa kepada Allah.
Dan di antara hikmah ayat ini
adalah:
1. Takut kepada Allah dan ia
adalah perbuatan hati dan
2. Beramal dengan perbuatan tubuh
badan dengan mengamalkan apa yang Allah turunkan melalui Al-Quran nul Karim.
3. Redha dengan sedikit yang
Allah bagi dan bersifat qanaah dengan apa yang Allah beri.
4. Bersiap-sedia untuk anda pergi
berjumpa kepada Allah Ta'ala.
Bilamana empat sifat ini ada,
orang itu adalah bertaqwa kepada Allah.
Bagaimana untuk:
1 Takut pada Allah? Bayangkan
hukuman Allah bilamana anda melanggar hukuman Allah. Hadirkan keagungan Allah
bilamana anda melanggar perintah Allah Ta'ala. Bilamana anda tidak merasa
bersalah ketika berbuat salah kepada Allah, anda adalah tidak bertaqwa kepada
Allah Ta'ala. Jadi, hadirkan keagungan Allah Ta'ala dan rasa bersalah bilamana
melakukan kesalahan dan tidak merasakan nikmat bilamana bermaksiat terhadap
Allah Ta'ala.
2 Taat dengan tubuh badan yakni
melakukan amalan kepada Allah mengikut kemampuan anda.
3 Redha dengan yang sedikit kerana
manusia adalah sifatnya tamak dan rakus. Manusia selalu berasa kekurangan dalam
hal keduniaan kecuali setelah masuk ke liang lahad. Maka, orang bertaqwa redha
dengan apa yang Allah Ta'ala beri walaupun sedikit. ‘Ridha bil khalil’
itu puas dengan sedikit yang Allah Ta'ala bagi walaupun anda mampu untuk dapat
lebih. Ia berbeza dengan orang yang tak boleh dapat banyak, maka dia berasa
cukup dengan apa yang diperolehi, tetapi ini bukan qanaah. Qanaah ialah anda
mampu dapat lebih tapi anda redha dapat yang sedikit demi meluangkan masa lebih
untuk Allah Ta'ala.
4 Bersiap-sedia untuk anda bertemu
Allah Ta'ala. “Berbekallah kamu, sesungguhnya, sebaik-baik bekal ialah
taqwa kepada Allah Ta'ala.”
Keempat-empat ini mesti ada, tapi
yang terakhir mesti bermula dengan yang pertama: takut pada Allah Ta'ala di
dalam hati, beramal dengan tubuh badan, redha dengan yang sedikit walaupun
mampu mendapatkan yang lebih, dan anda bersedia untuk berjumpa dengan Allah
Ta'ala dengan bekalan taqwa. Seterusnya, anda perlu berdoa kepada Allah Ta'ala
agar mendapat mati yang husnul khotimah dan mati dalam keadaan Islam –
doa setiap kali selepas solat setiap hari.
Ayat 103:
Ayat ini menyentuh tentang
perkara yang teramat diperlukan di zaman kita ini.
“Berpeganglah kamu dengan tali Allah dan jangan kamu berselisih…”
Ada 2 perkara penting dalam ayat
ini:
1-suruhan
Allah untuk berpegang pada tali Allah DAN
2-larangan
untuk jangan berselisih.
Bukankah orang yang berbeza dalam
pandangan, mazhab umpamanya, masing-masing berpegang pada tali Allah tetapi
masing-masing pun berselisih juga?
Bolehkah kita berpegang kepada
tali Allah Ta'ala tanpa berselisih? Kalau itu yang boleh dilakukan oleh kaum
muslimin, maka bendera Islam akan kembali gemilang sepertimana di zaman
Rasulullah SAW.
Kaum Aus dan Khazraj pada asalnya mereka ialah adik-beradik sebapa seibu.
Tetapi berlaku perselisihan faham antara mereka sehingga menyebabkan pembunuhan
dan perselisihan faham itu diwarisi oleh keturunan yang seterusnya sehingga
mereka berperang selama 120 tahun. Pihak yang menyalakan api permusuhan antara
keduanya ialah kaum Yahudi yang berada di Madinah. Kaum Aus dan Khazraj sibuk
bergaduh dan Yahudi mengambil kesempatan ke atas keduanya. Maka, baginda Rasulullah SAW yang menjadi
sebab pada persatuan dan persaudaraan Aus dan Khazraj. Pada Baitul Aqabah, kabilah
daripada Aus dan Khazraj pergi ke Mekah untuk menunaikan haji lalu baginda menawarkan kepada mereka untuk
mendengar apa yang Nabi Muhammad SAW cakap dan pada akhirnya mereka pun
mendengar dan berkhidmat kepada Rasulullah SAW. Mereka dipersaudarakan oleh
baginda Rasulullah SAW – persaudaraan yang tak pernah wujud kecuali pada
waktu itu sahaja, dan kita berharap mudah-mudahan persaudaraan seperti itu akan
kembali kepada umat Islam sekarang.
Ada banyak tafsiran tentang apa itu tali Allah – ada yang
mengatakan itu Al-Quran, ada yang mengatakan itu Rasulullah dan ada yang
mengatakan itu adalah jemaah. Kalaupun ditafsirkan tali Allah itu Al-Quran atau
Rasulullah - ianya adalah saling melengkapi.
Berpeganglah kamu dengan tali
Allah –
yakni Al-Quran atau Rasulullah SAW, wahai seluruh manusia. Tetapi tidak cukup
hanya dengan berpegang pada tali Allah SWT, kamu juga tak boleh berselisih.
Anda tak dibenarkan menolak
penafsiran atau pandangan orang lain yang tidak secocok dengan pandangan anda.
Kata Imam Syafie, “Apa yang saya faham dan benar bagi saya mungkin dianggap
salah pada orang lain, dan apa yang benar pada orang lain, mungkin salah pada
pandangan saya. Tiada yang berhak mengatakan “I am the best” atau “Aku
yang paling benar”. Al-Quran adalah mempunyai makna yang lebih luas. Jika anda
memahami sesuatu daripada Al-Quran, jangan sekali-kali anda menaik-tarafkan
pemahaman anda sama macam Al-Quran. Jika anda faham sesuatu hadis, jangan
sekali-kali anda menaik-tarafkan pemahaman sama macam hadis sehingga jika ada
orang bercanggah fahaman dengan anda, anda katakan orang itu bercanggah dengan
hadis.
Hadis mempunyai pemahaman yang lebih luas. Di zaman Rasulullah SAW, sahabat
yang merupakan generasi yang belajar langsung daripada Rasulullah SAW juga
mempunyai pemahaman yang berbeza tentang hadis Rasulullah SAW.
Baginda bersabda: “Jangan ada seorang pun daripada kamu yang solat Asar
selagi belum sampai ke tempat Bani Quraidah.”
Sahabat semua bergerak pergi dan dalam perjalanan, masuk waktu asar, dan
kata segolongan kaum Muslimin, “Kami nak solat di sini.”
Tetapi yang lain mengatakan, “Kamu tak dengar yang Rasulullah SAW tidak suruh solat
Asar kecuali di Bani Quraidah?”. Satu golongan faham makna zahir jangan solat
selagi tak sampai di Bani Quraidah – maka mereka tidak solat. Satu golongan
lagi memahami suruhan Nabi Muhammad SAW sebagai gesaan supaya mereka bersegera
bergerak tetapi bila tiba waktu solat, mereka berhenti solat. Jadi, satu
golongan solat dan satu lagi tidak solat. Dalam satu riwayat disebutkan bahawa
mereka tiba ketika hampir waktu matahari terbenam dan baru mereka solat di sana.
Perkara ini disampaikan kepada baginda Rasulullah
SAW tetapi kedua-dua golongan tidak dipersalahkan baginda Nabi SAW. Antara
mereka juga tidak menyalahkan pihak yang tidak sependapat dengan mereka. Tetapi
yang berlaku di zaman kita, terdapat golongan yang mengambil pemahaman mereka,
walaupun ianya disandarkan kepada pemahaman ulama, dan menjadikannya sama
seperti hadis, dan bilamana ada orang yang berbeza pemahaman dengan mereka,
mereka mengatakan orang itu bercanggah dengan hadis Rasulullah SAW.
Bilamana ada perbezaan dalam pemahaman, jangan selubungi ianya dengan
perselisihan atau permusuhan. Anggap perbezaan itu sebagai kepelbagain dalam
memahami hadis dan Al-Quran. Ikhtilaf yang wujud juga boleh membawa manfaat.
Contohnya - ketika haji - kerana ada mazhab lain, ianya dapat memudahkan urusan
tawaf kita. Demikian juga dalam keadaan lain yang tertentu. Jadi, berbeza
pendapat menjadi satu nikmat bilamana difahami dengan sewajarnya.
Perbezaan pandangan yang ada padanya perselisihan dan permusuhan akan
mendatangkan malapetaka tetapi perbezaan pandangan yang digunakan untuk
memahami keluasan maksud Allah dan
Rasul-Nya, maka ianya akan membawa manfaat khususnya kepada orang awam.
“… Dan ingatlah
nikmat Allah yang Allah berikan kepada kamu wahai kaum Muhajirin dan juga kaum
Ansar, ketika kamu dulu berselisih wahai Aus dan Kahzraj, lalu Allah cantumkan/satukan/serasikan antara hati-hati
kamu, dan menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara.”
Kekuatan kaum muslimin ini ialah apabila hati mereka bersatu. Allah tidak
menyatakan yang Allah jadikan mereka bersaudara, walaupun dalam ayat yang lain
Allah berfirman, “..kamu menjadi bersaudara..”, tapi
persaudaraan itu setelah disatukan hati. Persaudaraan boleh berlaku tapi belum
tentu hati kita bersatu.
Kaum Aus dan Khazraj yang bermusuhan selama 120 tahun dapat dipersaudarakan
oleh baginda Rasulullah SAW. Bahkan persaudaraan Aus dan Khazraj diperluaskan
kepada kaum Muhajirin yang datang dengan tidak membawa apa-apa ke Madinah.
Mereka didahulukan oleh orang Ansar dengan kelebihan harta yang mereka miliki
sehinggakan diizinkan orang Muhajirin mewarisi harta kaum Ansar, tetapi hukum
ini telah dimansuhkan.
“.. dan
menjadilah kamu dengan nikmat Allah
itu orang Islam yang bersaudara.”
Apakah nikmat Allah SWT yang dimaksudkan? Nikmat itu ialah Rasulullah SAW,
sebab yang mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj ialah Nabi Muhammad SAW, dan
dipersaudarakan mereka satu demi satu, dan kalau salah satu daripadanya
meninggal dunia, yang hidup layak mewarisi hartanya.
Balasan yang diberikan Rasulullah kepada kaum Ansar yang mengorbankan untuk
Rasulullah SAW apa saja yang mereka miliki. Rasulullah SAW memberi mereka satu
anugerah yang cukup besar kedudukannya di sisi Allah SWT dan menjadi ukuran
kepada kaum muslimin sepanjang zaman. “Cinta
kepada Ansar ialah sebagian daripada iman, benci kepada Ansar ialah sebagian
daripada orang-orang munafiq”, kata Rasulullah SAW. Kata para sahabat, “Kami
dapat tahu siapa di antara mereka yang beriman dengan melihat kecintaan atau
kebencian mereka kepada kaum Ansar.
Dalam perang Hunain, terdapat banyak harta perang yang diperolehi
Rasulullah SAW dan ketika itu ramai ramai penduduk Mekah yang baru berjinak-jinak dengan
Islam, jadi Nabi Muhammad SAW memberi hadiah itu kepada mereka untuk menarik
hati mereka kepada Islam. Tetapi, ada orang Ansar yang cemburu, terutamanya
orang muda dan mereka berkata, "Pedang kita belum kering dengan darah
mereka, dan Rasulullah sudah memihak kepada mereka." Berita itu sampai ke telinga
Rasulullah SAW. Baginda bersabda agar dikumpulkan semua orang Ansar. Kemudian,
setelah dikumpulkan, Rasulullah SAW bertanya adakah ada di antara mereka yang
bukan kaum Ansar. Jawab mereka tiada melainkan Sy. Abu Bakar dan Sy. Umar yang
memang senantiasa bersama Rasulullah SAW. Kemudian baginda bersabda, “Wahai
sekalian orang-orang Ansar, apa berita kata-kata yang telah sampai kepada kami?
Adakah kamu mengatakan kalau aku, yakni Rasulullah SAW, berpaling daripada
bangsa Ansar kepada bangsa aku, yakni orang Mekah, kerana aku berasal daripada
Mekah? Adakah itu yang kamu katakan?” Kata orang-orang tua dalam kalangan orang
Ansar, “Ya Rasulullah, bagitahu kepada kami siapa yang mengatakannya dan kami akan
potong lidah orang itu.” Kata baginda Rasulullah SAW, “Wahai
sekalian orang-orang Ansar, kalau bukan kerana Hijrah, maka aku nak jadi orang
Ansar. Wahai sekalian orang-orang Ansar, kalau kamu berjalan di satu lorong,
dan orang lain berjalan di lorong lain, maka aku akan ambil lorongnya orang
Ansar. Wahai sekalian orang-orang Ansar, tidakkah kamu mahu orang Mekah pulang
dengan harta mereka yang aku beri kepada mereka dan kamu pulang bersama
Rasulullah SAW?” Inilah balasan Rasulullah SAW kepada pengorbanan
orang Ansar yang membela dan setia kepada baginda dan diceritakan Allah SWT
dalam Al-Quran nul Karim.
Berselisih dalam ayat ini
bukanlah bermaksud berbeza pendapat yang aman tetapi berselisih yang
menimbulkan permusuhuan dan itu adalah larangan Allah Ta'ala dan menyebabkan
terangkatnya pertolongan dari Allah Ta'ala. Tidak akan diturunkan pertolongan
Allah Ta'ala bilamana hamba-Nya berselisih dan bermusuhan.
Firman Allah, “Kalau
kamu berselisih, kamu akan gagal dan akan diangkat pertolongan Allah Ta'ala
terhadap kamu.” Jadi, jangan mengharapkan pertolongan Allah Ta'ala bilamana
kamu berselisih, tetapi pertolongan Allah Ta'ala akan tiba apabila kita bersatu
hati. Oleh itu, hati-hati jika anda berselisih dengan orang beriman, jangan
sampai ianya membawa kepada permusuhan. Kita boleh berbeza idealogi dalam
mazhab, dalam apa pun jua – yang nak pakai songkok, yang nak
pakai serban, yang tak nak pakai serban, semuanya boleh berbeza pendapat tetapi
jangan mengatakan orang yang tak sependapat dengan kita salah.
Wallahu’alam.
p/s: Saya ada ringkaskan beberapa bahagian kerana rakaman audio kurang baik kualitinya. Mohon maaf atas segala kekurangan.