Fiqh Al-Sirah #60 – Rentetan Perang Khandaq (Perang Ahzab)
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Sumber audio di Youtube: Fiqh Al-Sirah #60
Masjid Khandaq yang dibina untuk memperingat Perang Khandaq |
Dalam siri lalu telah dibincangkan sebab terjadi perang Khandaq yang berlaku pada tahun ke-5H pada bulan Syawal. Sebabnya kerana dasar hasad dengki kaum Yahudi daripada Bani An-Nadir yang menghasut kaum Quraisy untuk mengumpulkan kekuasaan dengan bani-bani lain untuk mengkhianati perjanjian Yahudi dengan Rasulullah SAW. Mereka memberi tekanan yang hebat kepada orang muslimin dengan mengepung mereka dari berbagai arah. Tetapi Allah SWT mempunyai pentadbiran-Nya sendiri dan mengkehendaki sesuatu lain yang berlaku. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW, “Orang bilamana bergabung dengan pihak mana-mana untuk mendatangkan manfaat, tidak akan dapat mendatangkan manfaat kecuali bila Allah mengkehendakinya. Dan bilamana ramai bergabung untuk mendatangkan kemudaratan, tidak akan dapat mendatangkan kemudaratan itu kecuali bila Allah mengkehendakinya.” Semuanya tertakluk kepada kehendak Allah SWT.
Begitulah yang terjadi walaupun pihak Yahudi bergabung
tenaga untuk membunuh dan membantai kaum muslimin, namun hampa keinginan,
harapan dan misi mereka dengan ketentuan Allah Ta’ala iaitu Allah menghantarkan
2 cara yang menyebabkan kaum musyrikin bersurai dan tidak menyebabkan
pertumpahan darah yang banyak. Cuma beberapa orang sahaja yang terluka.
Salah satu sebab ialah Allah menghantar angin yang cukup
kuat yang merobohkan khemah mereka dan melarikan bekas-bekas memasak makanan
mereka sehingga Abu Suffiyan mengarahkan mereka balik ke kota Mekah. Sebab
kedua ialah salah seorang ketua kaum musyrikin yang bernama Nuaim ibni Mas’ud
datang kepada Rasulullah dan mengistiharkan keislamannya. Dia datang pada
asalnya sebagai musyrikin dan kemudian senyap-senyap bertemu Rasulullah dan
memeluk Islam. Baginda Saw meminta dia merahsiakan agar dapat bersama kaum
musyrikin. Nabi SAW bersabda kepada Nuaim, “Kamu adalah sebahagian daripada
kami. Lakukan tipu-daya semampu kamu kepada mereka kaum musyrikin. Sesungguhnya
peperangan itu adalah tipu-daya.”
Di dalam Islam, menipu adalah dicela dan salah satu sifat
mazmum (buruk), tetapi dibenarkan dalam keadaan perang atau untuk mendamaikan
dua orang Islam yang sedang berselisih. Menunjukkan aib orang juga perbuatan
mazmum, tetapi dibenarkan dalam keadaan tertentu contohnya di hadapan hakim. Pernah
juga seorang sahabat, Abu Ujanah yang diberikan bendera oleh Rasulullah dalam
Perang Uhud, mengambil kain berwarna merah dan meletakkan di kepalanya dan
berjalan dengan cara yang yang sombong. Baginda Rasulullah SAW berkata,
“Berjalan seperti ini adalah dibenci Allah kecuali dalam keadaan seperti ini”.
Yakni dibenarkan berlaku sombong dalam peperangan untuk menampakkan kehebatan
walaupun sifat itu sifat yang biasanya dicela. Begitu juga dengan menghitamkan
rambut. Dalam mazhab Syafie ianya dilarang tetapi dibolehkan dalam peperangan
untuk menampakkan tentera mudah dan gagah.
Maka, Nuaim ibnu Masud pun melakukan tipu-helah
ditengah-tengan kaum musyrikin. Kaum Yahudi dijanjikan berbagai ganjaran jika perang
itu dimenangi kaum musyrikin. Nuaim pun pergi kepada kaum Yahudi dan bertanya,
“Adakah kamu yakin kamu akan dapat apa yang dijanjikan kaum Quraisy selepas
perang tamat? Tidakkah kaum khuatir mereka akan meninggalkan kamu selepas
perang ini dan ada saki-baki sahabat Muhammad yang mungkin menuntut balas
terhadap kamu. Tetapi, jika kamu ingin mendapat jaminan apa yang dijanjikan,
kamu mesti meminta tebusan daripada orang-orang mereka.” Orang Yahudi (Bani
Quraidah) pun terhasut dengan kata-kata ini dan bersetuju dengan kata-kata
Nuaim dan berpakat mendatangi orang Quraisy untuk meminta tebusan. Nuaim
kemudian pergi pula kepada orang Quraisy dan mengatakan yang dia mendengar
cerita bahawa orang Yahudi akan meminta tebusan daripada orang Quraisy, yang
mana tebusan ini akan dibunuh atau diserah kepada Nabi Muhammad sebagai tanda
kekesalan mereka melakukan pengkhianatan terhadap baginda Nabi SAW. Nuaim
sebenarnya cuba melaga-lagakan kedua-dua kaum ini.
Maka dengan demikian, kaum Yahudi pun pergi menuntut tebusan
untuk menjamin keselamatan mereka tetapi orang Quraisy memahami bahawa tebusan
yang diminta adalah untuk diserahkan kepada Nabi Muhammad SAW dan mereka tidak
memberikannya. Kedua-dua kaum (Yahudi dan Quraisy) ini pun saling bertelagah
dan mempercayai hasutan yang dilakukan oleh Nuaim. Inilah yang menjadi sebab
utama Abu Sufiyyan meninggalkan tempat itu setelah menunggu beberapa lama namun
perang tidak terjadi kerana terhalang dengan binaan parit yang begitu besar.
Akhirnya, orang Quraisy kembali ke Mekah dan orang muslimin pun kembali ke
Madinah.
Cuma ada beberapa orang yang tercedera terkena panah. Salah
seorang ialah Sy. Saad ibnu Muadz, daripada kaum Ansar. Dia berdoa kepada Allah
SWT dengan luka yang dialaminya, “Ya Allah, bilamana Engkau menetapkan akan
berlakunya peperangan dengan kaum Quraisy selepas ini, maka biarkanlah saya
hidup untuk menghadiri peperangan itu. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha
Mengetahui bahawa tiada yang lebih saya sukai melainkan memerangi orang-orang
yang mendustakan Rasul-Mu, maka jangan Engkau matikan aku setelah Engkau
tunjukkan nasib dengan Bani Quraidah”. Nasib Bani Quraidah belum lagi
ditentukan dan perlu dilakukan satu penghakiman tetapi saat Ibnu Muaz terkena
panah itu, dia belum mengetahuinya kerana penghakiman belum lagi dilakukan.
Maka kaum Muslimin kembali ke kota Madinah bersama
Rasulullah SAW dan beberapa orang yang terluka. Sampai ke kota Madinah, baginda
masuk ke rumah dan mandi. Jibril datang dan bertanya, “Adakah kamu sudah
meletakkan senjatamu wahai Rasulullah SAW?”. Jawab baginda, “Ya.” Jibril
menyambung, “Demi Allah, sesungguhnya kami belum lagi meletakkan senjata kami.
Pakailah pakaian perang kamu dan keluarlah.” Baginda SAW bertanya, “Ke mana?”
Jibril menjawab, “Menuju kepada Bani Quraidah.”
Baginda Nabi SAW pun menyeru kaum Muslimin agar mereka semua
keluar dan menuju ke perkampungan Bani Quraidah. Baginda SAW bersabda, “Ingat,
jangan seorang pun daripada kamu yang solat Asar kecuali di tempat Bani
Quraidah.” Seruan ini tentunya dilakukan sebelum waktu Asar. Kedudukan kampung
Bani Quraidah tidak jauh daripada kota Madinah. Jadi, dalam perjalanan ke
kampung Bani Quraidah masuk waktu Asar dan sebahagian daripada kaum muslimin
ingin berhenti untuk solat. Lalu, sebahagian yang lain pun mengingatkan pesan
Nabi SAW iaitu, “Ingat, jangan seorang pun daripada kamu yang solat Asar
kecuali di tempat Bani Quraidah.” Kata mereka yang ingin solat sebelum sampai
ke situ berkata, “Maksud Rasulullah ialah supaya kita bersegera bergerak menuju
ke perkampungan Yahudi Bani Quraidah, tetapi bila masuk waktu, kita boleh solat.”
Kumpulan kedua tidak bersetuju dan ingin mentaati perintah zahir seperti yang
diucapkan baginda Nabi SAW. Dalam kisah ini, ada 2 golongan yang memahami hadis
Nabi SAW dengan pemahaman yang berbeza. Kumpulan yang memahami bahawa Nabi
memaksudkan untuk bersegera bergerak solat di dalam perjalanan. Manakala,
kumpulan kedua yang memahami maksud zahir agar solat Asar di tempat bani
Quraidah, solat setelah sampai walaupun riwayat mengatakan mereka sampai sudah
hampir waktu terbenam matahari. Mereka melakukan ini bukan kerana tidak mampu
solat awal, tetapi kerana ingin mentaati perintah zahir Nabi SAW.
Nabi SAW mengetahui tentang perbuatan kedua-dua kumpulan dan
baginda tidak menyalahkan atau mencela atau memarahai mana-mana pihak. Hadis ini
mempunyai manfaat yang besar kepada cara menangani perbezaan dalam ijtihad
seseorang. Nabi SAW tidak menyalahkan mana-mana pihah kerana kedua-duanya cuba
untuk memahami kebenarana hadis yang disampaikan Nabi SAW. Itulah ijtihad –
berusaha semaksimum mungkin untuk sampai kepada kebenaran.
Kedua-dua kumpulan ini berusaha untuk memahami hadis ini.
Yang menjadi masalah ialah apabila kita cuma menerima pehamanan kita sehingga
menganggapnya sebagai satu hukum. Pemahaman cuma pehamanan, dan orang yang
tidak sefahaman dengan kita tidak boleh dianggap sebagai menyalahi dalil atau
bidaah atau sesat dan seumpamanya. Ini adalah perkara yang amat penting kepada
mana-mana pihak yang berusaha ingin sampai kepada kebenaran. Kefahaman
seseorang tidak boleh dijadikan dalil/nas sehinggakan orang yang tidak
sefahaman dengannya dianggap salah/tidak benar/sesat/seumpamnya.
Imam Syafie mengatakan, “Pandangan yang saya lihat itu benar
mempunyai kemungkinan tidak benar. Pemahaman orang lain yang tidak benar
mempunyai kemungkinan benar.” Yang benar ialah nas Quran dan hadis, tetapi
pemahaman boleh jadi benar atau tidak benar. Baik benar atau tidak benar dalam
cubaan memahaminya, kedua-duanya adalah diganjar Allah SWT sebagaimana dalam
hadis Nabi SAW, “Barangsiapa berijtihad, dan dia benar maka dia mendapat 2
ganjaran. Adapun orang yang berijtihad dan silap dalam ijithadnya akan mendapat
1 ganjaran.” Ini merupakan kaedah asas dalam menghadapi orang yang mempunyai
pendapat yang berbeza dan merupakan satu pencerahan tentang sikap Nabi SAW
dalam memahami perbezaan pendapat.