Fiqh Al-Sirah #63 - Perjanjian Al-Hudaibiyah
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid @IKIM fm
Perjanjian Al-Hudaibiyah
Dalam siri lalu telah dibincangkan muqaddimah berlakunya
perdamaian Al-Hudaibiyah.
Orang tengah yang dihantar oleh kaum musyrikin untuk bertemu
Rasulullah SAW dan menyampaikan hasrat mereka ialah Urwah bin Mas’ud Al-Saqafi.
Selepas kembali daripada pertemuan dengan Rasulullah SAW, Urwah bin Mas’ud
Al-Saqafi menceritakan, “Demi Allah, saya tidak melihat Rasulullah SAW meludah,
kecuali bilamana ludah itu jatuh ke tangan salah seorang sahabatnya, maka
sahabat itu akan mengambil ludah dan mengusapnya pada wajah dan kulit badannya.
Kalau Rasulullah menyuruh sesuatu, maka mereka bersegera melakukannya. Jika
berwudhuk, mereka hampir berselisih untuk mengambil bekas air wudhuk Nabi SAW.
Jika kaum muslimin berbicara di hadapan Rasulullah, mereka merendahkan suara
mereka. Mereka juga tidak mengangkat kepala mereka ketika berbicara dengan
Rasulullah kerana mereka segan untuk memandang wajahnya sebagai tanda hormat
padanya.”
Urwah bin Mas’ud berkata lagi, “Demi Allah, saya pernah
datang kepada Raja-raja yang ada – saya pernah berjumpa dengan Kaiser di Rom,
saya berjumpa dengan Raja Kisrar di Persia,
saya berjumpa dengan Raja Najasyi. Sungguh, saya tidak pernah melihat
orang lain mengagungkan seseorang sebagaimana sahabat Muhammad mengagungkan baginda.
Saya menasihati kamu semua untuk menerima tawaran Rasulullah SAW. Sesungguhnya
dia telah memberikan tawaran yang baik.” Tawaran yang dimaksudkan ialah
rundingan damai antara kaum muslimin dan musyrikin. Pada asalnya, kaum musyrikin
bertekad untuk berperang dengan kaum muslimin. Setelah mendengar kata-kata
Urwah, barulah mereka bersetuju menerima tawaran baginda Rasulullah SAW.
Setelah itu, kaum musyrikin menghantar seorang jururunding
iaitu Suhail ibnu Amar untuk mencatit hasil rundingan. Sebelum itu, Nabi SAW
telah bertanya akan siapa yang akan menjadi jururunding dan sahabat memberitahu
bahawa Suhail ibnu Umar. Lalu baginda SAW pun berkata, “Urusan ini akan menjadi
mudah.” Suhail itu bererti mudah, daripada perkataan ‘suhaidin’. Nabi SAW
meletakkan harapan baik pada nama tersebut dan begitulah sifat Rasulullah SAW –
meletakkan harapan baik pada nama yang baik. Jika ingin berhenti di satu-satu
tempat, baginda SAW akan bertanya dahulu nama tempat itu, jika baik baru
baginda SAW berhenti, jika namanya tidak baik, baginda SAW akan meneruskan perjalanan.
Baginda SAW suka kepada menyimpan harapan baik kepada nama-nama yang baik.
Ketika Suhail datang kepada Rasulullah SAW, maka baginda SAW
pun duduk berhadapan dengannya dan memanggil Sy. Ali bin Abi Talib untuk
menulis salinan naskah perjanjian tersebut untuk simpanan pihak muslimin. Satu
lagi naskah akan ditulis oleh Suhail untuk pihak musyrikin.
Sy. Ali pun disuruh oleh Baginda SAW untuk memulakan dengan
menulis kalimah ‘Bismilahirrahmanirrahim’, maka ditulis oleh Sy. Ali. Suhail
mengatakan, “Kami tidak tahu apa itu Ar-Rahman, atau Ar-Rahim.” Maka Nabi SAW
pun menyuruh memadamkannya dan menggantikan dengan “Bismikallahumma”. Suhail
berbuat demikian untuk menunjukkan bahawa kaum musyrikin mempunyai kuasa yang
lebih tinggi dan tidak mahu tertakluk kepada sistem yang digunakan oleh Nabi
SAW. Maka, Sy. Ali pun menurutnya. Baginda SAW pun menyuruh Sy. Ali menulis
lagi, “Ini adalah yang telah diputuskan oleh Muhammad Rasulullah kepada Suhail
ibnu Amar.” Sy. Ali pun menulisnya. Kemudian, Suhail berkata, “Demi Allah, jika kami tahu
dan kami yakin kamu itu Rasulullah, kami tak akan perangi kamu dan kami tak
akan halang pun kamu daripada memasuki kota Mekah. Saya tidak setuju, jadi
tulis Muhammad bin Abdullah.” Sekali lagi Suhail sengaja ingin menunjukkan
kekuatan kaum musyrikan dan menghina kaum muslimin.
Namun, belum tentu orang yang dipandang rendah itu hina, dan
belum tentu lagi orang yang dipandang tinggi itu mulia. Kaum musyrikin menganggap
diri mereka mulia dan dengan itu mengeluarkan kaum muslimin daripada kota
Mekah, tetapi Allah SWT menjawab, “Kemuliaan itu ada pada Allah, pada Rasul-Nya
dan pada kaum mukminin”. Oleh itu, jangan kita mencari kemuliaan di mata
manusia tetapi kita hancur di mata Allah. Tetapi carilah kemuliaan di mata
Allah, walaupun hina di hadapan manusia. Manusia pada hakikatnya takkan dapat
memberi apa-apa manfaat kepada kita, tetapi kehinaan di mata Allah akan membawa
hukuman kepada kita. Manakala kemuliaan di sisi Allah pula akan membawa darjat
dan pangkat yang tinggi di sisi-Nya.
Suhail ibnu Amar melihat bahawa orang muslimin ingin masuk
ke kota Mekah yang tertakluk kepada pemerintahan orang musyrikin. Oleh sebab
itu, dalam penulisan pun dia ingin orang muslimin tertakluk kepada mereka. Oleh
sebab itu dalam hal kalimah Bismillahirrahmanirrahim dan Rasulullah SAW, beliau
sengaja membiarkan Sy. Ali menulisnya terlebih dahulu, dan kemudian baru
mengatakan yang dia tidak setuju dan meminta ianya dipadam. Dia ingin menunjukkan
yang kaum musyrikin lebih berkuasa. Namun, Nabi SAW mempunyai pandangan yang
jauh dan mengetahui bahawa kemuliaan ada pada pandangan Allah dan bukan pada
pandangan manusia.
Maka, Sy. Ali pun diperintah menghapuskan kalimah Rasulullah
SAW. Namun, Sy. Ali enggan dan berkata, “Demi Allah, saya takkan memadamnya.”
Kata Rasulullah, “Saya ini tetap Rasulullah walaupun mereka mendustakannya.
Tunjukkan saya di manakah letaknya kalimah Rasulullah itu untuk saya hapuskan?”
Sy. Ali pun menunjukkan dan Baginda SAW meletakkan jarinya ke dalam air dan
kemudian memadamkan perkataan Rasulullah SAW dengan tangannya yang mulia. Lalu
kalimah itu diganti dengan ‘bin Abdullah’ seperti yang diminta oleh Suhail.
Dalam hal ini, Sy. Ali menolak permintaan Nabi SAW untuk menghapuskan
kalimah Rasulullah bukanlah kerana beliau melanggar arahan baginda Nabi SAW. Sy.
Ali merupakan orang pertama yang terdidik daripada madrasah Rasulullah SAW
kerana diambil sebagai anak angkat oleh Rasulullah dan terdidik di rumah
baginda sendiri. Beliau adalah kanak-kanak lelaki pertama yang memeluk Islam.
Beliau ialah lelaki pertama yang tahu turunnya wahyu kepada Rasulullah kerana
beliau hidup di rumah Rasulullah sehingga beberapa riwayat mengatakan, ketika
awal Islam dan tiba waktu solat, mereka melihat seorang wanita dan seorang
kanak-kanak bermakmumkan kepada Rasulullah SAW. Wanita yang dimaksudkan itu
ialah Sy. Khadijah, dan kanak-kanak itu Sy. Ali. Beliau juga digelar
‘Karamullahuwajha’ yang bermaksud ‘Supaya Allah merahmati wajah kamu’ kerana
dia tidak pernah menyembah berhala.
Nabi SAW tidak pula berkata kepada Sy. Ali, “Kamu tidak
patuh pada arahan saya.” kerana baginda memahami maksud sikapnya untuk
melindungi Rasulullah di hadapan seorang musyrikin yang sedang menhina baginda
SAW. Sahabat Nabi SAW amat setia kepada baginda SAW dan amat cemburu kepada
orang yang ingin menghina Baginda SAW.
Setelah digantikan perkataan Rasulullah seperti yang
diminta, maka ditulis beberapa isi kandungan perjanjian. Antaranya ialah:
- Orang muslimin tidak boleh memasuki kota Mekah tahun ini, tetapi hanya tahun hadapan.
Kaum musyrikin mengatakan demikian agar kaum muslimin yang
sedang dalam dalam perjalanan tidak meneruskan perjalanan mereka kerana jika
begitu, ianya akan menampakkan yang kaum musyrikin telah tertekan sehingga
terpaksa membenarkan kaum muslimin masuk juga. Kaum musyrikin ingin menujukkan
kekuasan mereka dan Nabi SAW bersetuju dengan permintaan itu.
Perkara kedua yang dipersetujui ialah:
- Perjanjian damai untuk tidak memerangi satu sama lain, tidak berkhianat dan tidak mendatangkan mudarat kepada satu sama lain selama 10 tahun.
Isi perjanjian ketiga yang dipersetujui ialah:
- Jika ada orang musyrikin yang datang ke Madinah dan ingin masuk Islam, maka Nabi SAW mesti mengembalikannya kepada kaum musyrikin. Jika ada sahabat Nabi SAW yang kembali kepada Quraisy, maka kaum Quraisy tidak perlu memulangkan mereka kepada Nabi SAW. Baginda SAW bersetuju dengan isi itu.
Perkara-perkara yang dipersetujui ini nampak berat sebelah
dan nampak seolah-olah Nabi SAW bersetuju dengan semua permintaan kaum
musyrikin. Perkara ini menimbulkan kerisauan kaum muslimin terutamanya Sy. Umar
Al-Khattab. Sy. Umar bertanya, “Ya Rasulullah, adakah kita akan mengembalikan orang
yang beriman daripada mereka untuk disiksa dan disakiti sementara mereka tidak
berhak mengembalikan daripada kami yang datang kepada mereka?” Jawab baginda
SAW, “Ya. Siapa antara kita yang kembali ke kota Mekah, semoga dijauhkan oleh
Allah (yakni semoga Allah menjauhkan rahmat daripada mereka yang kembali kepada
agama musyrikin). Tapi yang datang kepada kita, kita akan pulangkan kepada kaum
musyrikin, dan saya berdoa semoga Allah memberinya jalan keluar.”
Maka, Sy. Umar yang risau dan tertanya-tanya apa maksud disebalik
perjanjian itu, dan jika melihat perjalanan perjanjian itu, baginda SAW tidak
bermesyuarat pun dengan para sahabat. Semasa keluar untuk melangsungkan umrah
ke kota Mekah, dan diberitahu bahawa orang musyrikin sedang berkumpul untuk
menghalang rombongan baginda, baginda SAW bermesyuarat bersama para sahabat
sama ada untuk meneruskan perjalanan atau tidak. Tetapi ketika tiba tawaran
perdamaian di Hudaibiyah, Nabi SAW tidak lagi bermesyuarat dan terus bersetuju
dengan permintaan-permintaan kaum musyrikin. Dalam hal ini – dimanakah letaknya
kebiasaan Rasulullah SAW bermusyawarrah (mesyuarat)?. Nabi ialah orang yang
paling banyak bermusyawarah, tetapi dalam hal wahyu, Nabi tidak lagi perlu
bermusyawah dengan sesiapa kerana arahan datang daripada Yang Maha Kuasa, Yang
Maha Mengetahui. Maka, dalam hal ini, arahan dari Allah tidak lagi boleh
dibahaskan sama ada untuk ditunaikan atau tidak ditunaikan. Apabila datang
arahan Allah, perlu patuh dan taat untuk menerimanya dan demikian yang dilakukan
oleh Rasulullah SAW.
Sy. Umar berkata, “Bukankah kamu ini Rasul, yang benar-benar
Rasul?”
Jawab Nabi SAW, “Ya.”
Sy. Umar berkata lagi, “Bukankah kita berada di pihak yang
benar, dan musuh berada di pihak yang batil?”
Jawab Nabi SAW, “Betul.”
Sy. Umar berkata lagi, “Bukankah kaum mukminin yang mati
daripada kami masuk syurga, dan orang-orang yang mati daripada kalangan mereka
orang musyrikin masuk neraka?”
Jawab Nabi SAW, “Ya.”
Kata Sy. Umar, “Lalu, mengapa kita memandang diri kita
rendah sementara kita berada di pihak yang benar (yakni bersetuju dengan permintaan
kaum musyrikin melalu Suhail ibnu Amar) ?”
Jawab Nabi SAW, “Saya ini Rasulullah. Saya tidak akan
bermaksiat kepada yang menyuruh saya dan Dia pasti menolong saya.”
-> Maksud Nabi SAW ialah apa yang dilakukan itu bukanlah
kehendak baginda, tetapi adalah kehendak Allah SWT.
Maka Sy. Umar yang risau dengan apa yang berlaku datang pula
kepada Sy. Abu Bakar dan mengulangi soalan yang sama:
Kata Sy. Umar, “Bukankah dia itu Rasulullah?”
Jawab Sy. Abu Bakar, “Ya.”
Kata Sy. Umar lagi, “Bukankah kita berada di pihak yang
benar, dan musuh berada di pihak yang batil?”
Jawab Sy. Abu Bakar, “Betul.”
Kata Sy. Umar pula, “Bukankah kaum mukminin yang mati
daripada kita masuk syurga, dan orang-orang yang mati daripada kalangan mereka
orang musyrikin masuk neraka?”
Jawab Sy. Abu Bakar, “Ya.”
Kata Sy. Umar, “Lalu, mengapa kita menerima penghinaan
terhadap agama kita sedangkan kita berada di pihak yang benar?”
Jawab Sy. Abu Bakar “Ya Umar, dia itu ialah Rasulullah. Dia
tidak akan bermaksiat kepada yang Allah dan Allah pasti akan menolongnya.”
-> Jawapan yang diberi Sy. Abu Bakar persis jawapan yang
diberi Nabi SAW.
Mendengar jawapan itu. Sy. Umar merasa bersalah kerana persoalan-persoalan yang ditimbulkannya seolah-olah meragui Rasulullah SAW walaupun itu sebenarnya tidak berlaku. Keraguannya sama seperti keraguan Nabi Ibrahim yang bertanya bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati. Lalu Allah bertanya kepada Nabi Ibrahim, “Tidakkah kamu beriman?” Jawab Nabi Ibrahim, “Ya, tetapi untuk menenangkan hati saya.” Pertanyaan Sy. Umar juga sama maksudnya – berdasarkan kerisauan dan bukan kerana keraguan terhadap Rasulullah SAW. Sesungguhnya, Sy Umar adalah orang yang sangat kuat imannya terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Mendengar jawapan itu. Sy. Umar merasa bersalah kerana persoalan-persoalan yang ditimbulkannya seolah-olah meragui Rasulullah SAW walaupun itu sebenarnya tidak berlaku. Keraguannya sama seperti keraguan Nabi Ibrahim yang bertanya bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati. Lalu Allah bertanya kepada Nabi Ibrahim, “Tidakkah kamu beriman?” Jawab Nabi Ibrahim, “Ya, tetapi untuk menenangkan hati saya.” Pertanyaan Sy. Umar juga sama maksudnya – berdasarkan kerisauan dan bukan kerana keraguan terhadap Rasulullah SAW. Sesungguhnya, Sy Umar adalah orang yang sangat kuat imannya terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Soalan-soalan itu menjadikan Sy. Umar merasa bersalah dan dia
berkata, “Aku sentiasa beribadah, bersedekah, berpuasa dan sebagainya kerana
aku khuatir Allah Taala akan menurunkan ayat dan ayat itu adalah kerana
soalan-soalan yang aku tanya kepada Nabi SAW”. Yakni, Sy. Umar banyak melakukan
ibadah agar Allah tidak murka dengan perbuatannya meragui tindakan Nabi SAW dan
menanyakan banyak soalan.
Maka, dengan demikian, baginda Rasulullah SAW pada akhirnya
mendapat wahyu dalam surah Al-Fatah, ketika dalam perjalanan pulang dari
Hudaibiyah.
Apabila disuruh seseoang membacakan ayat itu di hadapan Sy.
Umar, dia bertanya, “Adakah akan dibuka kota Mekah untuk orang muslimin?” Jawab
Nabi SAW, “Ya.” Sy. Umar pun gembira dengan penurunan ayat tersebut.
Sebagai orang beriman kepada Allah, hendaklah kita lebih
percaya kepada Allah dalam perkara yang kita rasa seperti tak mungkin berlaku
atau perkara yang kelihatan samar-samar. Allah menurunkan ayat pembukaan kota
Mekah dalam keadaan orang muslimin tidak diizinkan pun masuk ke sana dan
disuruh kembali.
Sy. Umar ketika itu terus puas hati setelah mendengarkan
wahyu yang diturunkan walaupun ada antara kaum muslimin yang kecewa kerana
tidak dizinkan masuk ke Mekah untuk menunaikan ibadah umrah dan berjumpa kaum
keluarga di sana pada tahun itu. Namun, mereka semua tetap meletakkan keyakinan
bahawa disebalik kejadian itu, ada rahsia besar yang akan membawa manfaat
kepada kaum muslimin ketika itu dan juga sepanjang zaman.
Nabi SAW menyuruh kaum muslimin mencukur rambut dan
menyembelih haiwan kerana tidak jadi mengerjakan umrah. Kaum muslimin
kehairanan, terkejut dan kebingungan dengan arahan Nabi SAW kerana arahan itu
bermakna mereka tidak akan ke kota Mekah, sementara tujuan asal mereka keluar
daripada Madinah adalah untuk masuk ke kota Mekah. Kaum muslimin mempunyai
pelbagai kerisauan kerana tindakan/arahan Rasulullah yang diluar jangkaan
mereka. Maka, tiada seorang pun melakukan seperti yang diarahkan.
Nabi SAW pun masuk ke dalam khemahnya dan mengadu kepada
isterinya, Ummu Salamah. Ummu Salamah memberi nasihat agar Nabi SAW
melakukannya terlebih dahulu dan Nabi SAW mengikuti nasihat itu. Lalu, setelah
melihat Nabi SAW melakukannya, semua kaum muslimin juga melakukan perkara yang
sama.
Daripada apa yang disampaikan tadi, kita dapat melihat
sejauh mana seseorang itu menilai kepada sesuatu untuk dikerjakan atau melihat
sesuatu sebagai yang dianggap adalah yang terbaik dan apa yang kita rancang itu
sebagai yang terbaik, tetapi sebagai manusia kita tidak tahu perkara yang
ghaib. Hanya Allah yang mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan apa yang
akan berlaku setelah kita mengambil sesuatu keputusan. Kaum muslimin ketika itu
keluar untuk melakukan perkara yang baik yakni menunaikan umrah di kota Mekah,
tetapi mereka ditahan dan Nabi SAW mengajak mereka berpatah balik dan itu adalah
diluar jangkaan mereka. Tetapi, sebaliknya apa yang berlaku kesan perjanjian
Hudaibiyah itu adalah perkara yang sangat-sangat membawa manfaat kepada kaum
muslimin.
Hanya setelah 2 tahun selepas perjanjian itu berlaku,
bilangan orang yang memeluk Islam melebihi bilangan selama 16 tahun dakwah
Rasulullah di Mekah dan Madinah. Ini kerana Nabi SAW berpeluang berdakwah
dengan aman dan tiada yang menganggu. Baginda juga bebas menghantar surat
dakwah kepada Hercules, Persia, dan juga menghantar sahabat berdakwah ke
negara-negara lain. Inilah hikmahnya Rasulullah SAW patuh kepada arahan Allah
SWT yang ghaib hikmahnya kepada kaum muslimin yang mempertikaikan keputusan
Rasulullah SAW tunduk menyetujui Perjanjian Hudaibiyah. Jom, kita belajar
menerima hakikat ketentuan Allah daripada berharap pada benda yang kita nampak
baik tapi hakikatnya ianya akan membawa lebih banyak keburukan daripada
kebaikan yang kita harapkan. Mari kita belajar redha dengan ketentuan Allah,
maka kita akan mendapat rahsia redha itu.