Tafsir surah Ali-Imran ayat 75-78 – MTDM 11.10.2013
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Habib
Najmuddin bin Othman Al-Khered
Ayat
75:
Ayat Allah SWT membicarakan tentang ahli-kitab, yang merujuk
kepada mereka yang diberikan oleh Allah Al-Kitab yang diturunkan kepada pada
Anbiya sebelumnya, yang mana kita juga wajib beriman dengannya iaitu kitab
Zabur, Taurat, Injil dan Al-Quran. Jadi, golongan ahli kitab juga dikenali
sebagai orang Yahudi dan Nasrani yang berpengang dengan kitab Injil dan Taurat.
Mereka disebut ahli kitab adalah mereka yang berpegang kepada kitab samawi yang
asal, bukannya kitab yang telah diubah. Bagi yang berpegang kepada kitab yang
telah diubah, mereka bukan lagi dikira sebagai ahli kitab walaupun mereka masih
dipanggil Yahudi atau Nasrani.
Allah SWT memberi peringatan tentang ahli kitab – ada antara
mereka yang jujur, tapi ada juga kalangan daripada mereka yang khianat. Allah
SWT memberi peringatan kepada kaum Muslimin dalam mempergauli kepada selain
orang yang mukmin. Berhati-hati bukan bermakna memusuhi, tetapi berhati-hati
dalam bermuamalah dan pergaulan bersama mereka, sehingga disebutkan - ada
antara mereka yang amanah, ada di kalangan mereka yang sekiranya diberikan
amanah, tidak ditunaikan. Ayat ini juga bermaksud memberitahu kita bahawa jika
ada orang Islam yang tidak amanah, maka sifatnya sama dengan orang-orang bukan
Islam yang tidak beriman kepada Allah SWT, sehingga disebutkan bahawa
“Orang-orang yang khianat itu tanda daripada golongan yang munafik”.
Dalam ayat ini disebutkan tentang dua golongan - satu yang
amanah dan satu lagi yang tidak amanah, yang walaupun diberi sedikit sekalipun,
dia tidak akan memulangkannya sehingga dituntut berkali-kali. Kalau kita
bahaskan dengan lebih dekat – ini seperti orang yang hobinya berhutang, tapi
tak mahu bayar. Ada orang yang mana dia berhutang, tetapi perlu dipaksa baru
dia membayar semula hutangnya walaupun dalam keadaan dia mampu. Hutang itu
sunnah, kerana Baginda Rasulullah SAW juga pernah berhutang, akan tetapi
membayar hutang itu wajib. Amanah yang diberikan kepada ahli kitab yang
kalaulah ianya merupakan dinar/harta pun mereka tidak akan amanah, bagaimana
mungkin untuk mereka amanah untuk menyebarkan risalah Allah SWT yang begitu
berat. Maka, ini adalah sifat orang yang tidak ada amanah di dalam diri mereka
kerana apabila diberikan amanah, tidak akan ditunaikan atau dibayar kecuali
apabila kamu menuntutnya. Bahkan mereka mengatakan, “Tidak ada jalannya kami
menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan mereka pula selalu berkata
dusta terhadap Allah SWT, sedang mereka tahu mereka berdusta”.
Mereka tidak beriman kepada Allah, kepada Nabi, tidak amanah
dengan kitab yang Allah berikan kepada mereka. Mereka kenal kepada Nabi lebih
daripada mereka kenal kepada anak mereka sendiri, tetapi mereka tidak amanah
dengan apa yang mereka dengar dan tahu dan mereka berdusta kepada baginda
Rasulullah SAW. Mereka selalu berdusta kepada Allah dengan menggunakan nama
Allah dalam perkataan mereka, dalam keadaan mereka tahu yang Allah tahu bahawa
mereka berdusta. Merekalah ahli kitab yang memalsukan daripada pengetahuan
mereka kerana 2 penyakit yang cukup besar iaitu – kebencian dan hasad dengki.
Ini adalah sebab mereka memusuhi agama Islam sedangkan mereka tahu Islam adalah
agama yang benar.
Akan tetapi kerana sifat permusuhan dan dengki yang ada
dalam diri mereka, maka mereka tidak amanah dengan apa yang mereka ketahui dan
mereka mendustakan kebenaran yang mereka tahu tentang baginda Rasulullah SAW.
Jika begitu keadaannya, jika harta yang diberikan, sudah pastilah mereka tidak
akan amanah juga. Dalam bermuamalah hendaklah memilih kepada yang amanah,
kerana disebutkan ada ahli kitab yang amanah dan tidak tidak amanah. Jadi, jika
ingin berurusan dengan orang bukan Islam, tidak mengapa jika mereka amanah, kerana
itu adalah lebih baik daripada berurusan dengan orang Islam yang tidak amanah.
Cuma, kita perlu lebih berhati-hati kerana perbezaan akidah dan iman.
Penyelewengan dan khianat mereka lebih besar kerana perbezaan iman. Baginda
Rasulullah amanah walaupun kepada musuh baginda.
Berkata Malik bin Dinar, seorang ulama sufi yang cukup
terkenal mengapa Dinar dipanggil Dinar? Ini adalah diambil daripada perkataan
‘Dinun’ yag bermaksud agama, dan ‘naar’ yang bermaksud ‘neraka’. Jadi, apabila
seseorang itu mengambil dinar secara yang hak, maka itu merupakan agamanya,
pegangannya yang benar. Tetapi, apabila diambil secara tidak hak, maka akan menjadi ‘naar’. Maka, dalam muamalah
kita ini, ada dua pertimbangan – sama ada untuk menunaikan agama dengan berlaku
amanah dan jujur, menunaikan yang hak atau mendapatkan ‘naar’. Persoalan ini
bukan untuk ketika bersama ahli kitab sahaja, bahkan boleh berlaku pergeseran
antara adik-beradik dan keluarga terdekat. Persoalan harta ialah persoalan yang
cukup besar, yang apabila sudah hinggap di dalam hati manusia, sudah tidak
kenal apa yang ada di hadapannya, sudah tidak peduli akan emak atau ayah atau
adik-beradik. Apa yang penting adalah untuk mendapatkan harta bagi dirinya.
Oleh itu, perlu berhati-hati apabila disebutkan bermuamalah di antaranya
apabila menyebut tentang harta.
Kemudian, disebutkan ada seorang lelaki daripada Bani
Israel, meminta kepada seorang daripada Bani Israel untuk dia meminjam seribu
dinar. Maka, diminta kepadanya untuk mendatangkan saksi kepada hutangnya itu.
Ayat terpanjang dalam Al-Quran ialah ayat yang berkaitan hutang, dan ini
bermakna ianya ialah perkara yang sangat besar. Antara perintah dalam ayat itu
ialah apabila berhutang hendaklah ditulis, dan membawa saksi supaya tidak
menjadi masalah ketika membuat tuntutan di masa hadapan, dan supaya tidak
menjadi masalah kepada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Ketika
diminta saksi, lelaki itu berkata, “Cukuplah Allah sebagai saksi”. Pemiutang
itu berkata, “Baiklah” lalu diberikan hutang kepadanya.
Lelaki itu pergi belayar dengan kapal laut, dia turun-naik
kapal dan akhirnya ingin balik tetapi tidak terlepas kapal untuk pulang ke
kampungnya. Maka, dia pun mengambil sehelai kain, kemudian dia masukkan duit
yang dipinjamnya, dan kemudian dia menulis bahawa duit itu untuk fulan yang
memberinya pinjam. Kemudian, dia memasukkan duit itu ke dalam kayu dan
menghanyutkannya ke laut dan berdoa yang bermaksud, “Ya Allah, sesungguhnya
Engkau tahu yang aku telah meminjam duit daripada si fulan dengan 1000 dinar.
Dia minta aku seorang penjamin dan bagi aku kata cukuplah Engkau sebagai
Penjamin dan redha Engkau sebagai saksi. Ya Allah, aku nak ikut satu kapal
untuk balik tetapi tidak dapat, jadik aku titipkan duit ini sebagai amanah,
semoga Engkau sampaikan kepada orang tersebut.” Duit itu pun dihanyutkan dan
sampai ke negerinya dan dijumpai oleh lelaki yang memberi hutang kepadanya.
Lelaki itu memecahkan kayu tersebut dan menemui duit bersama surat yang ditulis
lelaki yang berhutang dengannya. Lelaki yang berhutang itu akhirnya pun balik
juga dan sampai ke negerinya. Dia pun pergi berjumpa lelaki yang dia berhutang
dengannya dan meminta maaf kerana dia lewat tiba kerana ketinggalan kapal
sebelum ini. Dia lalu mengeluarkan wang untuk membayar hutangnya kepada
pemiutang itu. Pemiutang itu sebaliknya bertanya kepadanya, “Ada tak kamu
mengirimkan sesuatu kepada aku sebelum ini?” Jawab lelaki itu, “Bukankah sudah
aku katakan yang aku tidak ada kenderaan untuk sampai sebelum ini, tetapi aku
sudah masukkan 1000 dinar ke dalam kayu dan aku titipkan kepada Allah untuk
menyampaikan kepada kamu. Tetapi aku tidak tahu adakah sampai ataupun tidak?” .
Pemiutang itu berkata, “Sesungguhnya Allah telah sampaikan apa-apa yang engkau
sampaikan kepada aku di dalam kayu tersebut.” Maka, lelaki itu tidak perlu
membayar sekali lagi. Ada orang yang cukup amanah dalam membayar hutang, jangan
risau, memang berat, tetapi jika ada kesungguhan Allah akan bantu, seperti
lelaki daripada Bani Israel ini. Kayu yang dihanyutkan itu sampai kepada orang
yang dimaksudkan dengan pertolongan Allah SWT. Ada orang yang tidak bersungguh
dan mengambil kesempatan jika ‘terlepas’ peluang untuk membayar hutang, dan
tidak merasa bersalah atau menyesal, sebaliknya menjadikannya sebagai alas an
untuk melewatkan pembayaran.
Ayat 76:
Allah SWT melanjutkan firman-Nya dengan mengatakan yang
mereka iaitu orang yang orang ialah yang orang yang memakan hak orang lain dan
sesiapa yang menunaikan janji kepada orang lain dan bertaqwa, maka Allah mengasihi orang yang bertaqwa. Ketaqwaan
menjadi satu pesan yang sering diberikan sehingga setiap minggu kita diingatkan
untuk bertaqwa kepada Allah SWT.
Ayat 77 & 78:
Mereka ini membeli perjanjian dengan Allah dan sumpah mereka
dengan harga yang sedikit, yang maksudnya mereka mengutamakan keuntungan
duniawi. Yang sedikit itu ialah dunia. Dunia ini kita takkan dapat banyak, cuma
dapat sikit. Tetapi yang dijual ialah akhirat, iaitu sesuatu yang besar, yang
banyak. Tidak sama nilainya – yang terlalu mahal dijual dengan yang bernilai
rendah. Mereka menolak janji Allah untuk mendapatkan keuntungan dunia yang
sedikit. Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka dan tidak dipandang Allah
pada hari kiamat dan ini bermakna mereka akan jauh dari rahmat Allah. Mereka
tidak akan dibicarakan. Ini seolah-olah orang yang akan dihukum tanpa bicara.
Dosa mereka juga tidak akan dibersihkan dan mereka akan menerima azab yang
tidak terperi sakitnya.
Sesungguhnya rahmat Allah itu sangat luas dan diberikan
kepada seluruh makhluknya akan tetapi orang yang dikecualikan mendapatnya ialah
golongan yang mencabuli dan menolak perjanjian dengan Allah. Golongan ini ialah
sebahagian daripada ahli kitab. Di antara mereka ada golongan yang tinggi dan
tugas mereka ialah menipu dan memalsukan kandungan kitab Taurat. Mereka
memutar-belitkan kandungan kitab Taurat dan mengatakan yang dakwaaan mereka itu
benar dari Allah. Mereka berdusta atas nama Allah SWT, dan terhadap Allah.
Mereka berdusta dan sedar mereka berdusta. Ada setengah orang tidak sedar
berdusta, contohnya apabila menyebarkan berita yang tidak dipastikan
kesahihannya. Oleh itu, pastikan memeriksa sumber berita sebelum menyampaikan
kepada orang lain. Mereka ialah orang yang sedar akan pendustaan mereka
terhadap Allah SWT, dan disebutkan bahawa balasan kepada mereka adalah sangat
dahsyat iaitu mereka akan dilaknat Allah dengan Allah tidak akan bercakap, atau
melihat kepada mereka dan mereka akan disiksa dengan azab yang amat pedih.
Pengajaran ayat ini adalah untuk umum kepada alim ulama atau
sesiapa sahaja yang membaca Al-Quran, walaupun ayat ini khusus diturunkan
kepada ahli kitab iaitu:
Orang-orang yang menyampaikan kebenaran, jangan sampai
memutar-belitkan kebenaran kepada perkara yang palsu demi kepentingan peribadi.
Ini dimaksudkan dengan orang yang menjual dunia dengan akhiratnya. Walaupun
ayat ini menyebut tentang ahli kitab, orang-orang yang berperangai sama seperti
mereka akan digolongkan bersama mereka dan akan mendapat balasan yang sama
juga. Apatah lagi jika yang ingin disampaikan ialah ilmu agama. Ini perlu
kepada ilmu yang benar, yang diwarisi daripada para ulama sehinggalah sampai
kepada Rasulullah SAW, supaya penyampaian itu adalah hak dan benar. Tetapi jika
direka atau disampaikan mengikut apa yang kita faham dengan akal fikiran kita dan
apa yang memberi manfaat kepada diri dan kelompok masyarakat kita dan bukannya
berdakwah kepada Allah Ta’ala – ini kena berhati-hati sebab ianya akan mendapat
balasan yang cukup berat.
Ayat ini menceritakan tentang sifat tidak amanah ahli kitab
– baik amanah itu dalam bentuk kitab Allah atau dari sudut muamalah. Jika
mereka betul-betul amanah dengan apa yang mereka tahu, pasti mereka akan
beriman dengan Rasulullah SAW kerana dikatakan mereka sangat tahu kebenaran
tentang Rasulullah SAW daripada kitab yang diturunkan Allah sebelum itu.
Begitulah ulama Yahudi – Abdullah bin Salam – apabila melihat sahaja Rasulullah
SAW, terus dia beriman. Ada ahli kitab yang jujur seperti itu dan ada yang
tidak amanah.
Kita perlu mengetahui sifat ahli kitab, dan sesungguhnya
kita tidak mahu bersifat seperti mereka, kerana kita ini adalah umat Nabi
Muhammad SAW yang diberikan amanah untuk berdakwah dan Al-Quran untuk dijadikan
panduan dalam kehidupan kita. Dalam memahami kepada ilmu dan berdakwah dengan
jujur dan amanah dengan sebenar-benarnya, supaya jangan sampai ianya berubah
kepada bukan untuk benar-benar berdakwah kepada Allah, tetapi berdakwah untuk
dirinya sendiri, untuk kepentingan peribadi atau untuk mendapatkan penyokong.
Jadi kena berhati-hati. Kembalilah kepada keikhlasan kepada Allah kerana itu
merupakan nilai di sisi Allah SWT. Hendaklah kita mengambil kebenaran yang
datang daripada Allah SWT yakni beriman (membenarkan dengan hati apa-apa yang
dibawa oleh baginda Rasulullah SAW).
Mudah-mudahan kita menjadi orang yang boleh menunaikan
amanah yang diberikan kepada kita kerana amanah itu adalah sesuatu yang sangat
berat.
p/s: Semoga ada manfaat. Segala kekurangan mohon dimaafkan dan
diberi teguran.