Merpati Dua Sejoli (1) – Tanyalah Ustaz 15.11.2013

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman


Bacaan surah Ar-Rum, ayat 21:

Sifat merparti yang boleh dicontohi:
  • Bersifat jinak dan simbol kepada kedamaian
  • Setia pada pasangan
  • Tahan lasak (high-endurance) kerana burung merpati tidak migrasi walaupun musim sejuk atau panas yang mendatang seperti sepsis burung lain. Kalau dilihat di Mekah pun, walau panas macam mana sekalipun, tetap banyak burung merpati yang ada disana.
Untuk mendirikan rumah-tangga, banyak perbelanjaan yang dikeluarkan, namun ada kalanya, manusia tidak pula bergolok-bergadai dalam mempertahankan rumahtangga tersebut.

Senarai soalan dan jawapan
S: Apa maksud perkahwinan yang sekufu?
J: ‘Kufuk; bermaksud ada persamaan antara pihak lelaki dan perempuan, namun masyarakat hanya melihat kepada persamaan dalam bidang agama. Dalam hadis Nabi SAW bersabda, “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah olehmu wanita yang punya agama, engkau akan beruntung.” (Riwayat Bukhari, no. 5090, dan Muslim, no. 1466) Imam Ahmad berkata jika hadis ini diikuti, itu sudah cantik sebenarnya untuk mencari calon isteri. Kufuk itu penting kerana jika perbezaan terlalu jauh, mungkin ada timbul kes ungkit-mengungkit pada masa akan datang.

S: Ketika menuntut di luar negara, saya telah ditunangkan dengan wanita yang tak pernah saya kenali. Untuk menolak, saya bimbang akan melawan kehendak ibu bapa. Untuk menerima, saya bimbang kami tidak bahagia. Mohon nasihat ustaz.
J: ‘Tidak kenali’ itu ada beberapa aspek – dari segi rupa, sahsiah dan sebagainya. Jika ibu bapa yang memilih, mungkin telah dilihat sahsiah wanita tersebut. Sebelum bertunang, Islam membenarkan untuk melihat dan mengenali terlebih dahulu. Kita boleh minta izin untuk melihat cara muamalah wanita itu di luar rumah. Jangan terlalu bimbang dan memikirkan tidak bahagia kerana kebahagiann itu bukan terletak dalam tangan kita. Tak semestinya perkara yang kita tidak suka itu tidak baik untuk kita dan sebaliknya. Bertunang ini baru peringkat pertama dan asas dalam membina rumahtangga. Perkara ini masih boleh dibincangkan secara hikmah.

S: Sekarang banyak berlaku isteri berjawatan tinggi dan suami pula tidak bekerja. Apakah hukumnya suami tidak bekerja?
J: Memang realiti hari ini ramai isteri berpendapat lebih tinggi daripada suami. Jika sebelum berkahwin, bakal isteri tahu keadaan ini dan redha dengannya, maka isteri boleh membantu daripada segi nafkah, tetapi isteri tidak boleh mengungkit. Namun, ada juga kes suami tidak bekerja. Tidak bekerja ini ada banyak sebab – tidak mendapat kerja walau telah berusaha, kemalangan atau sakit yang menyebabkan tidak boleh bekerja, malas dan sebagainya. Ada juga suami yang tak bekerja tetapi menyumbang kepada keluarga dalam bentuk lain seperti menjadi ‘Mr. Mama’ dan mengambil-alih tugas isteri di rumah. Perkara ini masih boleh dibincangkan dengan baik antara suami dan isteri.

S: Pesan saya kepada anak-anak agar isteri menjaga kebersihan rumah dan menyediakan makanan agar suami merasa tenang bila pulang ke rumah. Mohon ustaz kongsi bersama penonton lain.
J: Betul, kita terima nasihat daripada orang yang lebih berumur. Dalam kitab dinyatakan bahawa tugas utama isteri ialah melayan isteri dan menjaga anak-anak. Tugas lain seperti memasak dan membersihkan rumah itu adalah tugas sampingan. Jadi, jika isteri mampu buat, maka suami perlu beri penghargaan. Tetapi, jika isteri tidak mampu, terutamanya dalam realiti hari ini di mana isteri juga sama bekerja, maka suami perlu bertolak-ansur.

S: Antara rupa yang cantik tapi tiada agama dan tidak rupa tapi ada agama, mana yang perlu dipilih oleh seorang wanita? Daripada pengalaman saya sendiri – saya merupakan OKU dan isteri saya yang mencari nafkah dengan berniaga dan saya menjaga anak kembar kami dirumah. Kami hidup bahagia kerana kami menjaga agama dengan selalu solat berjemaah, tahajjud dan seumpamanya.

J: Tahniah, saudara boleh menjadi contoh kepada orang lain bahawa agama itu penting dalam rumahtangga. Oleh sebab itu, dalam kisah seorang sahabat Nabi SAW yang tidak cantik rupanya ingin berkahwin, tetapi tiada siapa sudi kerana rupanya yang tidak cantik, lalu Rasulullah ingin membantunya. Lalu, Nabi SAW bertanya kepada sepasang pasangan yang mempunyai anak perempuan yang cantik. Pada mulanya, ibunya tidak bersetuju kerana tidak berkenan dengan rupa sahabat itu. Namun, anaknya terdengan perbualan ibu ayahnya dan anaknya berkata, “Ini ialah lelaki yang dipilih Rasulullah untuk saya. Adakah ibu dan ayah ingin menolaknya?” Rupa-paras tidak kekal dan boleh hilang dalam sekelip mata, oleh itu pilihlah yang ada agama berbanding rupa-paras.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab