Solatlah Anakku – Tanyalah Ustazah 15.11.2013
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Ustazah Norhafizah Musa
Masjid Al-Falah, USJ 9, Karnival Raudha di Hatiku
Bacaan Al-Quran:
Dalam ayat ini, ustazah rasa sebak kerana takkala Allah
sebut “Sembah Aku”, amalan yang akan dilihat sebagai menunjukkan kita ini
benar-benar hamba Allah ialah – “..dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.”
Dalam menyentuh bab solat anak-anak, ada banyak program
remaja yang ustazah hadiri, contohnya ada satu program bersama pusat pengajian
tinggi, 90 orang peserta, bila ditanya secara jujur siapa antara mereka yang
menjaga solat 5 waktunya, hanya 11 orang yang mengangkat tangan. Ini ialah
realiti dunia hari ini – betapa ramainya orang yang meninggalkan solat. Kita
jangan ingat itu anak orang lain, kerana manalah tahu satu hari nanti anak kita
kahwin dengan orang yang tidak solat, cucu kita kahwin dengan orang yang tidak
solat. Oleh itu, kita membicarakan dalam majlis ini, tajuk “Solatlah Anakku”.
Solat itu boleh mengubah sikap seseorang. Oleh sebab itu,
kita tekankan agar anak-anak menjaga dan memelihara solat mereka. Dalam suatu kisah diceritakan ada seorang lelaki yang diuji
dengan meminati isteri orang. Bahkan dia berterang-terang menyatakan hasratnya
dan meminta isteri itu bercerai dengan suaminya. Suami wanita itu pun memanggil
lelaki itu dan menyatakan, jika lelaki itu betul-betul berminat dengan
isterinya, dia bersedia melepaskan dengan syarat, lelaki itu solat berjemaah
bersamanya selama 40 hari di masjid. Selepas itu, mereka akan bincang semula
caranya untuk membolehkan lelaki itu berkahwin dengan isteriya. Lalu, selama 40
hari, lelaki itu pun tidak pernah tertinggal satu waktu pun solat berjemaah
bersama suami wanita yang diminatinya. Selepas 40 hari, mereka berbincang
semula, dan lelaki itu berkata, “Saya memang menunggu-nunggu hari ke-40 ini
kerana saya bertaubat kepada Allah atas niat dan keinginan saya yang
bukan-bukan. Saya bertaubat pada Allah atas lirikan mata yang saya tidak jaga.
Saya telah merasa nikmat solat berjemaah di masjid selama 40 hari, maka tidak
ada lagi perasaan ingin memiliki hak orang lain. Saya minta ampun maaf pada
Allah.” Pengajaran kisah – solat jika dijaga dengan baik, dalam masa 40 hari
sahaja sudah nampak kesannya.
Senarai soalan dan jawapan
S: Apakah kepentingan mengikat anak-anak
dengan ibadah solat 5 waktu?
J: Anak-anak itu ialah amanah Allah SWT. Rasulullah SAW
pernah bersabda yang menunjukkan bahawa solat itu ialah tiang agama dan penting
untuk keselamatan anak-anak kita. “Akan terlepas tali ikatan Islam satu demi
satu – yang pertama ialah ilmu, kemudian yang kedua… kemudian yang ketiga…
kemudian yang keempat dan yang terakhir ialah solat.” Maknanya, jika yang
terakhir pun terlepas, apa lagi yang tinggal? Maka tanpa solat, Islam anak-anak
kita juga akan terlepas. Oleh sebab itu, solat ialah satu penanda aras bagi
kita. Jika solat tidak dilakukan, tiada apa-apa yang boleh diharapkan pada
mereka walhal mereka ialah aset kita dunia dan akhirat. Saya suka umpamakan
seperti orang main layang-layang, selama mana anak kita solat, selama
itulah pangkal layang-layang itu berada di tangan kita. Berlarilah anak kita ke mana pun seperti layang-layang
yang
naik tinggi, tak mengapa…
kerana.. sebagai ibu, kita pegang pangkalnya. Kita boleh
naikkan, boleh turunkan…
sebab
pangkalnya di tangan kita.
Tetapi,
sebaik
anak-anak kita meninggalkan solat, putus tali daripada tangan seorang
ibu dan ayah dan kita hanya boleh melihat di lubuk dan gaung mana
anak kita akan jatuh. Kita
hanya
boleh melihat bagaimana
kebinasaan yang akan menimpa anak-anak
kita…wal
iya
dzubillah.
Sebab itulah, solat anak-anak kita adalah tanggungjawab kita.”
Solat ialah
pangkalnya. Tetapi jika anak kita sudah solat, perlu diperhatikan pula cara
mereka solat. Ustazah ingin kongsi cerita anak ustazah sendiri ketika balik
kampong baru-baru ini. Sedang ustazah berbual dengan ibu, anak ustazah lalu dan
bila ditanya katanya ingin solat. Tapi selepas seminit lebih sahaja, dia sudah
lalu lagi sekali dan menyatakan yang dia telah siap solat. Ibu ustazah jadi
sangat terkejut dan menyatakan yang dia ingin lihat anak ustazah solat. Ustazah
diam sahaja kena ada juga perasaan malu pada ibu. Esoknya sebelum pulang ke KL,
ustazah nampak anak ustazah masuk bilik bersama ibu. Lepas 5-6 kemudiannya,
baru mereka keluar. Bila ustazah tanya apa mereka buat, ibu ustazah memberitahu
yang dia lihat bagaimana anak ustazah solat daripada mula dengan takbiratul
ihram sehinggalah memberi salam. Pesan ibu ustazah lagi, “Tak boleh biar solat
anak-anak. Kita kena tengok, walaupun kita dah ajar dulu, kita kena tengok
bagaimana dia melakukan solat.” Ustazah bersyukur dengan nasihat daripada ibu.
Solat anak adalah tanggungjawab kita, tak kira umur mereka berapa. Oleh itu,
perhatikanlah, dan tengok-tengokkanlah solat anak kita. Kita mengharapkan doa
anak, tapi kalau anak tidak solat, doanya, segala amalannya tidak diterima
Allah Azzawajalla, maknanya, doa yang dia panjatkan untuk ibu ayahnya juga
tidak akan diterima.
S: Apakah kaedah terbaik/proses untuk melatih
anak-anak solat 5 waktu?
J: Ada beberapa langkah, antaranya:
- Mulakan dengan mewujudkan persekitaran dan sekeliling dengan
orang-orang yang betul-betul mengerjakan solat iaitu ibubapa sendiri mesti
menunaikan solat. Kita boleh ambil pengajaran daripada kisah ketika Nabi
Ibrahim yang meninggalkan isteri dan anaknya Ismail di tengah-tengah padang
pasir. Apakah doa Nabi Ibrahim ketika itu? Agaknya kalau suami kita tinggalkan
kita dan anak di tempat begitu apa agaknya doa mereka? Mungkin mereka mendoakan
agar kita diberikan rezeki makanan dan minuman kepada kita, dijauhkan daripada
binatang buas dan dipanjangkan umur. Tetapi bukan itu yang Nabi Ibrahim doakan.
Doanya, seperti yang direkod dalam surah Ibrahim, ayat 40:
Nabi Ibrahim mendoakan agar diri dan zuriatnya menjadi orang yang mengerjakan solat. Anak-anak perlu membesar dalam keadaan melihat orang sekelilingnya solat. Jika kita ingin solat, biarkan anak melihat, jangan suruh anak keluar bilik jika kita ingin solat. Biarkan mereka biasa melihat pergerakan kita dalam solat.Nabi SAW bersabda, “Jagalah solat anak-anak kamu dan biasakan mereka dengan kebaikan.” Fitrah anak-anak memang suka kepada kebaikan. Ustazah rasa semua orang pernah mengalaminya – bayi kecil, jika terdengar azan di TV akan seolah-olah tertarik pandangannya untuk melihat ke kaca TV, tanpa perlu siapa pun mengajarnya. Anak-anak kecil ini hanya dengan biasa melihat, tengok-tengok dia sudah pandai meniru pergerakan solat kita. Tiba-tiba mereka dah pandai rukuk, pandai sujud dan ada kes yang maknya sampai terkekek-kekek gelak sedangkan dalam solat apabila melihatnya anaknya yang berumur 2 tahun menonggeng-nonggeng solat.
- Ajarkan anak-anak kita solat – rukunnya, syaratnya, wudhuk yang menjadi pelengkap kepada solat. Puan-puan, berbanggalah jika tentang solat anak-anak kita, kita yang ajarkan mereka. Biarpun di luar sana ada Professor Usuluddin, jiran kita Professor Syariah, tetapi itu bukan kebanggaan kita. Yang menjadi kebanggaan ialah solat anak saya, sayalah yang menjadi gurunya, sayalah petunjuk ajarnya, pelatihnya sebab ianya akan menjadi sebahagian amal jariah kita.
- Nilai praktikal solat yang anak-anak kita lakukan. Perhatikan, tengok cara mereka solat.
- Ajak mereka sama-sama mendirikan solat.
- Selalulah menerangkan kepada anak-anak tentang roh dan pengisian solat. Mudah-mudahan anak kita terlatih.
S: Apakah usia terbaik untuk memberi
pendedahan awal untuk solat?
J: Dalam kitab ada disebut, apabila anak kita sudah mula pandai
bercakap, ajarkan anak dengan rukun qawliyah dalam solat. Contohnya: ajar anak
bacaan Al-Fatihah. Ajarkan walaupun lidahnya masih pelat. Tidak mengapa jika
dia baru 2 tahun, kita bukan nak ajar solat tapi nak membiasakan lidahnya
menyebut bacaan dalam solat. Kemudian, kata ulama lagi, sebaik anak kita pandai
membezakan yang kanan dan yang kiri, yang baik dan yang mudarat, kita ajar praktikal
solat – ajarkan takbiratul ihram, ajarkan rukuk, ajarkan sujud dsb. Itulah usia
yang seseorang itu diwajibkan oleh Allah SWT untuk mengajarkan anaknya solat.
Walaubagaimanapun ada satu hadis yang mengungkap tentang usia yang anak patut
diajarkan solat iaitu: Dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Ajarlah anak-anak
kamu solat ketika dia berusia 7 tahun, dan boleh kamu memukulnya jika dia
mengabaikan solat pada umur 10 tahun.” Namun, dalam realiti kehidupan hari, majoriti
ibubapa akan merah padam mukanya jika anak-anak tidak berjaya dalam akademik.
Ustazah meraikan akan kepetingan akademik untuk anak-anak, tapi biarlah kita
adil. Jadi, kalau anak kita tidak solat, atau cuai solat, perlu juga merah
padam muka kita dan tunjukkan pada mereka yang tiada nilai kejayaan mereka
walau sedikitpun pada kita sebagai ibu bapa sekiranya mereka mengabaikan solat.
Jika kita tekankan perkara-perkara sebegitu kepada anak-anak kita, InsyaAllah
mereka akan memahami yang solat ini bukan perkara kecil-kecil. Biarkan mereka
membesar dengan arahan dan perintah, tunjuk ajar dan teladan daripada ibu dan
ayah, sesuai dengan keadaan di mana Nabi SAW dalam saat-saat terakhir sebelum
kewafatannya, dalam keadaan kesukaran bernafas, dalam lmpahan, simpahan peluh
sakaratul maut, Nabi SAW masih berusaha menyampaikan sesuatu sabda iaitu,
“As-solah..As-solah.. As-solah..” yang bermaksud, “Solat umatku, solat umatku,
solat umatku”. Ibu-ayah sekalian , jadilah penyambung lidah Rasulullah. Kali
ini kitalah yang sebut dengan anak-anak kita, “As-solatu..As-solatu.. As-solatu.”
S: Apakah hikmah dan adab untuk memukul anak
10 tahun yang tidak solat?
J: Ya, betul hadis tadi menunjukkan jika anak mengabaikan solat pada usia 10 tahun, Islam mengajurkan agar kita merotan mereka. Rotan itu penting dalam pendidikan. Jangan biasakan anak dirotan tapi menggantung rotan di rumah atau menunjukkan rotan merupakan salah satu kaedah pendidikan. Jangan kita rotan anak guna ‘hanger’. Rotan dalam Islam untuk mengajar, bukan untuk mengazab. Kadang-kadang ibu merotan anak untuk memuaskan hatinya. Namun, dalam Islam, jika merotan pun sedikit sahaja demi mengajar. Subhanallah. hikmah merotan yang pertama ialah menunjukkan kepentingan solat.. Dalam banyak-banyak perintah, satu-satunya yang Allah membenarkan anak-anak dirotan ialah solat dan ini menunjukkan kepentingannya. Kajian barat pula menunjukkan apabila dirotan, deria sakit anak-anak akan merangsang urat saraf mereka untuk lebih mudah belajar dan memusatkan perhatian. Dalam bidang pendidikan memang ada disebut bahawa anak-anak yang berumur 10 tahun memang sukar untuk memberi perhatian. Cubalah tanya cikgu-cikgu yang mengajar anak-anak – cikgu mengajar di depan, mereka mengajar di belakang dan memang payah untuk meminta mereka memusatkan perhatian. Subahanallah, itulah hikmah merotan supaya anak-anak kita cepat teransang dengan deria sakit itu untuk terus fokus mendengar apa yang cuba disampaikan ibu ayahnya, agar mereka sedar yang ibu ayahnya suruh solat. Subhanallah, Nabi SAW telah mengajarkan kita perkara ini 1400 tahun yang lalu. Namun, kita perlu ikut prosedur ketika merotan. Adab dalam merotan ialah dibenarkan merotan ditempat yang tidak nampak oleh orang lain dan tidak mendatangkan mudarat, iaitu dari bahagian peha ke bawah. Sebatlah sedikit, sebagai tanda yang “ummi’ kena tegas dalam bab solat. Jika ibu tidak tegas dalam bab solat, esok-esok anak-anak ibu akan jauh daripada ibu dan siapakan yang akan menjaga anak-anak ibu selain solat (yakni penjagaan daripada Allah)?
J: Ya, betul hadis tadi menunjukkan jika anak mengabaikan solat pada usia 10 tahun, Islam mengajurkan agar kita merotan mereka. Rotan itu penting dalam pendidikan. Jangan biasakan anak dirotan tapi menggantung rotan di rumah atau menunjukkan rotan merupakan salah satu kaedah pendidikan. Jangan kita rotan anak guna ‘hanger’. Rotan dalam Islam untuk mengajar, bukan untuk mengazab. Kadang-kadang ibu merotan anak untuk memuaskan hatinya. Namun, dalam Islam, jika merotan pun sedikit sahaja demi mengajar. Subhanallah. hikmah merotan yang pertama ialah menunjukkan kepentingan solat.. Dalam banyak-banyak perintah, satu-satunya yang Allah membenarkan anak-anak dirotan ialah solat dan ini menunjukkan kepentingannya. Kajian barat pula menunjukkan apabila dirotan, deria sakit anak-anak akan merangsang urat saraf mereka untuk lebih mudah belajar dan memusatkan perhatian. Dalam bidang pendidikan memang ada disebut bahawa anak-anak yang berumur 10 tahun memang sukar untuk memberi perhatian. Cubalah tanya cikgu-cikgu yang mengajar anak-anak – cikgu mengajar di depan, mereka mengajar di belakang dan memang payah untuk meminta mereka memusatkan perhatian. Subahanallah, itulah hikmah merotan supaya anak-anak kita cepat teransang dengan deria sakit itu untuk terus fokus mendengar apa yang cuba disampaikan ibu ayahnya, agar mereka sedar yang ibu ayahnya suruh solat. Subhanallah, Nabi SAW telah mengajarkan kita perkara ini 1400 tahun yang lalu. Namun, kita perlu ikut prosedur ketika merotan. Adab dalam merotan ialah dibenarkan merotan ditempat yang tidak nampak oleh orang lain dan tidak mendatangkan mudarat, iaitu dari bahagian peha ke bawah. Sebatlah sedikit, sebagai tanda yang “ummi’ kena tegas dalam bab solat. Jika ibu tidak tegas dalam bab solat, esok-esok anak-anak ibu akan jauh daripada ibu dan siapakan yang akan menjaga anak-anak ibu selain solat (yakni penjagaan daripada Allah)?
S: Bagaimana ibu bapa dapat mengajar anak
solat berjemaah di masjid dan hikmahnya?
J: Secara jujurnya, ustazah bertanya, “Sejuk tak hati kita
jika anak-anak kita solat di masjid? Sejukkan…” Ustazah sendiri pernah nukilkan
dalam buku Dari lubuk hati ibu’ tentang pengalaman ustazah tinggal di satu
kawasan perumahan, dan berjiran bertentangan dengan sebuah keluarga yang ibu
bapanya biasa-biasa sahaja. Tetapi, Subhanallah, setiap kali dengar suara azan,
akan kedengaran riuh bunyi anak-anaknya mengambil basikal masing-masing,
membuka pintu pagar dan berlumba berbasikal untuk ke masjid. Ustazah meninjau
daripada tingkap, dan berdoa, “Ya Allah, nanti bila anakku besar nanti
jadikanlah anakku seperti anak-anak yang kulihat - setiap kali suara azan berkumandang,
anak-anak 10 tahun, 11 tahun berlumba naik basikal untuk ke masjid”. Jadi, apa
kuncinya untuk menjadikan anak-anak kita berhubungan baik dengan masjid? Pada
pandangan ustazah:
- Ajar anak kita mendengar laungan azan, menjawabnya dan menghayati
suara azan. Laungan azan ialah panggilan kejayaan, laungan azan ialah panggilan
hidayah. Berapa ramai orang yang tidak merasa nikmat mendengar laungan azan
hari ini? Bila kita tanya, dah masuk Zohor, orang tengok jam saja, atau bila
dengar azan, orang pun kata, “Dah, dah azan.” Orang tidak lagi mendengar azan,
tetapi orang membuat keputusan apa yang hendak dibuat selepas azan berbunyi. Padahal
dalam agama kita, mendengar azan itu merupakan satu pintu hidayah. Oleh itu,
dengar azan. Ajar anak-anak kita mendengar azan, menghormati azan.
Kadand-kadang ustazah yang bercakap ini pun lebih kurang juga, jadi sama-sama
kita ambil iktibar. Bila dengar azan, kita jawab kerana permulaan yang baik
akan menghantar anak kita ke rumah Allah yang menjadi perbendaharaan hidayah.
Allah berfirman dalam surah Al-Insyirah, ayat 4:
- Bawa anak-anak ke masjid dan ajar adab-adab masuk masjid iaitu solat tahiyyatul masjid. Ada satu perkara yang kita kurang perasan iaitu, bila kita bawa anak ke masjid, kita kena suruh dia untuk tahiyyatul masjid dahulu. Di antara tanda-tanda akhir zaman, manusia boleh singgah di masjid untuk pelbagai urusan tetapi mereka tidak hormat kepada tuan punya masjid, mereka berat untuk menunaikan 2 rakaat tahiyyatul masjid. Ini benda yang berlaku, kita boleh lalu-lalang di hadapan masjid tapi tak tergerak hati untuk solat sunat tahiyyatul masjid. Kita kena nyatakan pada anak-anak, “Ini rumah Allah”. Jika anak kita ada masalah, bawa mereka ke masjid. Lepas bawa, kita tanya mereka kembali, “Abang(anak) rasa macam mana solat dengan rumah dengan solat dekat masjid? Ada beza tak?” Kita tolong tunjuk-ajar anak kita kerana dalam dunia hari ini, orang tidak perasan dengan perubahan dalam jiwa mereka. Solat di masjid dan solat di rumah adalah 2 nikmat yang berbeza. Kalau anak kita boleh kata, “Betullah mama, abang rasa tenang saja solat di masjid.” Maka kita pun boleh jawab, “Itulah dia rahmat dan nikmat yang Allah bagi orang yang solat di masjid
- Berikan anak pengetahuan tentang masjid. Beritahu kepada mereka, “Orang yang nak menjadi VVIP akhirat ialah orang lelaki yang hatinya terikat dengan masjid.” Inilah peluang yang Allah beri kepada anak-anak kita khususnya anak lelaki.
S: Bagaimana untuk didik anak dewasa untuk
solat dan terlepas mendidik ketika mereka kecil?
J: Ini memang biasa ditanyakan. Memang, kadang-kadang kita
telah melepasi tahap umur anak yang kita sepatutnya memberi penekanan tentang
solat. Tetapi Subhanallah, dalam kehidupan ini Allah sentiasa memberi kita
ruang untuk memperbaiki diri. Oleh sebab itu, ada satu doa, “Ya Allah,
perbaikilah aku dalam urusan mendidik anak-anakku.” Oleh itu, sebagai ibu, tak
kira umur berapa sekalipun anak kita, tetapi sebagai ibu kita perlu perhatikan
agar anak kita tidak terjerumus dalam beberapa sifat. Jika mereka ada 5 sifat
di bawa ini, maka payah nak ajar mereka, iaitu:
- Sombong
- Keras hati
- Putus asa
- Lalai
- Gelojoh/tergopoh-gapah
Jika ada sifat ini, mungkin agak sukar tetapi sebagai ibu,
tetap kita perlu mendidik mereka. Ingatkan pada mereka tentang azab Allah dan
rahmat pengampunan Allah.
Antara cara lain mendidik anak dewasa ialah dengan
mendekatkan mereka dengan majlis ilmu. Jika ibu sukar untuk menegur, biar dia
dengar daripada mulut ustaz/ustazah.
S: Mohon ustazah bagi tip menangasi anak
yang malas solat?
J: Antaranya perkara yang mudah:
- Jadilah ibu ayah yang benar-benar memberi teladan yang baik kepada anak-anak dengan menjadi ibubapa yang rajin solat.
- Yakinkan anak-anak bahawa solat itu merupakan solusi dalam kehidupan. Dalam menghadapi apa jua masalah yang diadukan kepada kita, jawapan kita mesti ada mengajar mereka untuk solat, solat, solat. Contohnya, jika anak mengadu tiada orang mahu berkawan dengannya, minta dia solat hajat dan minta pada Allah agar dia dapat ramai kawan. Anak-anak yang membesar sebegini akan membangun jiwanya. Proses mendidik anak solat bukanlah proses sehari-dua tetapi proses yang lama. Sebab itu, Allah sebut dalam surah Taha ayat 132 bahawa hendaklah menyuruh keluarga solat dan bersabar melakukannya.
S: Apakah doa untuk melembutkan hati anak-anak
agar mereka tetap solat?
J: Selain daripada doa Nabi Ibrahim yang disebut tadi, ada
beberapa doa tambahan yang bermaksud:
“Ya Allah, jadikanlah solat itu lebih anak-anak aku cintai
daripada air dingin ketika kehausan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala
sesuatu dan mengabulkan permohonan, wahai sebaik-baik Pemberi Nikmat da
Penolong.”
Doa kedua:
“Ya Allah, suci bersihkan anak-anak perempuanku dan
anak-anak perempuan sekalian muslimin sebagaimana Engkau menyuci bersihkan Mariam.
Ya Allah, lindungilah anak lelakiku sebagaimana Engkau melindungi Yusuf
daripada segala maksiat dan ancaman.”
Apa pun, doa terbaik ialah doa yang datang dari lubuk hari
para ibu yang merintih untuk anak yang dikasihinya. Mohonlah agar mengikat hati
anak kita dengan solat kerana solat ialah symbol penghubung seseorang dengan
Allah.
Firman Allah dalam surah Al-Ma’arij, ayat 19-22:
Kita ingin mendirikan solat yang bukan sekadar luarannya
saja, tapi solat yang benar-benar kusyuk. Inilah orang-orang yang Allah berikan
kebahagiaan dan ketenangan di dunia lagi dan di akhirat nanti keredhaan Allah
dan syurga menanti. Oleh itu, kita bukan sekadar ingin mengajar anak kita
solat, tapi kita nak menjadikan anak-anak kita menikmati solat sebagai penyejuk
mata. Sebab itu, Nabi SAW berdoa, “Jadikanlah solat itu penyejuk hatiku, yang
merehatkan tubuh badan dan jiwa ragaku”. Walaupun baginda pulang dari jauh
dalam peperangan, baginda Rasulullah mengajar kepada Bilal, “Ya Bilal, mari
kita berehat-rehat dengan solat.” Kita buat yang terbalik pula – orang ajak
solat, kita kata nak berehat dulu. Kita tiada harta untuk diberi pada anak, tetapi
sedikit ilmu yang ada, berikan kepada anak-anak agar itulah yang menyuluh hidupnya
di dunia dan akhirat.