Muhammadku (siri 7): Rasulullah SAW & Jiran - 22.11.2013

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
TV3


Selalulah kita memulakan dengan doa - dengan harapan doa itu menjadi wasilah dan pembuka kepada apa yang kita akan dengar dan diberi keupayaan untuk mengamalkan apa yang kita dengar, InshaAllah.

Satu perkara yang terkait kepada manusia dan jin ialah hak.

Allah membahagikan hak kepada 2 iaitu hak kepada Allah, dan hak antara manusia.

Hak antara antara manusia ada banyak jenis iaitu hak kepada:
  • ·      diri sendiri
  • ·      keluarga
  • ·      jiran
  • ·      sahabat
  • ·      alam dsb 

Hak kita kepada Allah ialah beriman kepada-Nya, dan jika kita tunaikannya, Allah akan beri hak kita iaitu memasukkan kita ke syurga.

Jika kita tidak menunaikan hak kepada Allah, maka tiada makna kita menunaikan hak kepada orang lain, walaupun itu adalah perkara yang baik.

Setelah hak Allah, Allah letak beberapa hak lain iaitu, dalam firman Allah:
“Sembahlah Allah dan jangan kamu menyekutukan Allah.”
Ini bermakna kita perlu sembah Allah DAN jangan menyekutukan Allah. Orang yang menyembah Allah dan menyekutukan Allah belum lagi menunaikan hak Allah.

Seterusnya, Allah suruh buat ehsan kepada 7 golongan iaitu:
orang-tua (ibu bapa), keluarga (kerabat), anak yatim, orang miskin, jiran yang dekat dan jauh, musafir yang memerlukan bantuan.

Apakah ehsan? Maksudnya melakukan kebaikan lebih daripada sepatutnya. Jika melakukan sama dengan kebaikan yang diterima itu adil. Makna lain ialah memberi kebaikan tanpa meminta hak yang sepatutnya kita terima.

Jiran ada 2 - yang dekat dan yang jauh dan boleh dibahagikan kepada 3 bahagian:
  • 1.    Jiran yang muslim - ada 2 hak iaitu hak Islam dan hak jiran
  • 2.    Jiran kafir- ada hak jiran tak kira apa agamanya sekalipun
  • 3.    Jiran yang muslim dan mempunyai hubungan kerabat (keluarga) - ada 3 hak: hak jiran, hak Islam dan hak keluarga

Allah menghantar Jibril kepada Rasulullah berkali-kali untuk mengingatkan tentang hak kejiranan. Jika Allah menghantar sekalipun, sesuatu perkara sudah dianggap penting, apatah lagi jika Allah menghantarnya berkali-kali.

Rasululah SAW bersabda, “Sentiasa Jibril datang kepadaku berkali-kali untuk mengingatkan tentang hak kejiranan sehingga aku ingat jiran akan mendapat hak waris”. 

Waris ialah keluarga yang rapat sahaja, dan oleh kerana begitu kerap diingatkan oleh Jibril, Nabi SAW menyangka yang jiran akan dinaik taraf sehingga boleh menjadi ahli waris.

Anak kepada Sy. Umar. Sy Abdullah bin Umar menyuruh hamba sahayanya menyembelih kambing dan memberi kepada jirannya yang Yahudi. Dia mengingatkan hambanya berkali-kali sehiggan hambannya bertanya kenapa perlu diberitahu perkara sama berkali-kali.

Tanda kesempurnaan iman ialah apabila seseorang melakukan ehsan dalam berjiran.

Sabda Nabi SAW, “Berehsanlah kamu dalam berjiran, dan kamu akan menjadi Muslim”.

Sabda Nabi SAW, "Tidak sempurna iman seseorang sehingga jirannya itu selamat daripada gangguannya.”

Imam Ghazali mengulas bahawa menunaikan hak jiran termasuk:
  • ·      berbuat baik pada jiran
  • ·      sabar dengan kejahatan/gangguan jiran
  • ·      berbuat baik pada jiran yang tak berbuat pada kita

Berbuat baik saja tidak mencukupi, tapi perlu merangkumi ketiga-tiga yang diatas.

Seseorang datang kepada Sy. Abdullah ibnu Mas’ud r.a. dan mengadu tentang jiran yang suka menyakitinya, lalu jawab Sy. Abdullah, “Taatlah kepada Allah dengan berlaku baik kepada jiran yang bermaksiat kepada Allah (yakni dengan tidak berlaku baik pada jirannya).” 

Oleh itu, jika jiran baling 1 batu pada kita, jangan pula kita baling 10 batu padanya. Kita jangan berkongsi berbuat maksiat kepada Allah dengan berbuat tidak baik sesama jiran.

Rasulullah SAW tidak menghadkan jiran kepada mereka yang dekat dengan kita sahaja - agar kita mengganggu jiran kita.

Seorang sahabat datang mengadu kepada Rasulullah tentang jirannya yang mengganggu. Dia datang berkali-kali, tetapi Nabi SAW menyuruhnya bersabar. Namun, setelah dia tidak sabar lagi, akhirnya Nabi SAW menyuruh dia mengeluarkan barang daripada  rumahnya dan jika orang yang lalu-lalang tanya mengapa, jawablah yang jirannya mengganggunya. Sahabat itu pun berbuat demikian dan akhirnya jiran itu pun malu dan datang meminta maaf.

Namun, dalam hadis ini, Nabi SAW menyuruh sahabat itu sabar berkali-kali. Kita tidak boleh kata, “Sabar itu ada batasnya”. Sabar itu tiada batasnya, kita yang membataskan sabar itu. Allah menyuruh kita bersabar dalam melatih diri bersabar, yakni berusaha semaksimum mungkin untuk bersabar.

Kenapa kita perlu bersabar? Agar mendapat ganjaran yang Allah janjikan kepada orang yang bersabar. Kita ada 2 pilihan - bersabar dan mendapat ganjaran atau tidak bersabar dan tidak mendapat apa-apa ganjaran. Rasulullah ingin membuka wawasan kita agar kita mencari kemanisan dalam kepahitan.

Rasulullah SAW juga memahami kawasan kejiranan secara lebih meluas. Walaupuan apabila ditanya kepada Rasulullah, “Siapakah jiran”. Jawab baginda, “40 buah rumah.”. Rumah dimana? Di sekeliling kita - , kanan, kira, depan, belakang, tak kira rumah orang Islam atau orang kafir.

Namun, Rasulullah SAW turut melebarkan hak kejiranan antara kampung. Ketika baru berhijrah ke Madinah, perkara pertama yang dilakukan Nabi SAW ialah membuat perjanjian dengan kampung berdekatan agar saling menjaga hak kejiranan, walaupun mereka bukan Islam.

Seorang Yahudi yang pernah bekerja di rumah Rasulullah jatuh sakit dan Rasulullah pergi menziarahinya di kampungnya. Lawatan Rasulullah SAW mempunyai 3 makna iaitu:
  • 1.    galakan menziarahi orang sakit, 
  • 2.    lebih-lebih lagi jika mereka ialah jiran walaupun kampungnya jauh, dan
  • 3.    tetap menziarahi orang sakit walaupun dia bukan Islam.

Muslim yang menunjukkan kecantikan Islam akan memberi mesej kepada orang bukan Islam untuk mengetahui keindahan Islam. Sebaliknya pun sama - orang akan keliru tentang Islam dengan perlakuan buruk umat Islam.

Rasulullah SAW tetap mendatangi orang kafir walaupun mereka jelas menolaknya. Orang kafir pun Rasulullah SAW mendatangi mereka apatah lagi orang Muslim. Kita hari ini, mungkin sedikit saja silap seorang muslim lain kepada kita, tetapi kita sudah melenting.

Yahudi yang sakit tenat itu diajak Rasulullah masuk Islam dan dia meminta izin ayahnya. Ayahnya mengizinkan dan menyuruh mengikut Nabi SAW. Kesan akhlak Nabi SAW kepada jirannya telah menjadi asbab Yahudi itu menerima Islam. Setelah mengucap, lelaki Yahudi itu meninggal, dan Nabi SAW sangat bersyukur dan gembira kerana Allah telah menyelamatkan dia daripada neraka.

Orang yang Allah inginkan kebaikan untuknya, Allah akan berinya jiran yang disenanginya. Jadi, jika kita ingin ukur kita ini baik atau tidak, tanya pada jiran kita.

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda, “Bahagian daripada kenikmatan yang Allah beri pada manusia ialah rumah yang luas, jiran yang baik, kenderaan yang selesa.” Daripada 3 ini, disebutkan ‘jiran yang soleh’. Oleh itu, jika kita ada jiran yang baik, maka Allah beri kita nikmat dengannya. Tetapi, jika kita jiran yang baik, kita pula menjadi nikmat kepada jiran kita. Oleh itu, jadilah jiran yang baik.

Di tempat bekerja kita juga berjiran. Jadi, kita perlu berbuat baik dan sabar dengan sikap/perangai tidak baik jiran di pejabat kita.

Untuk makna yang lebih luas lagi, kita juga akan berjiran di alam barzakh, di akhirat, di syurga - semoga kita dapat berjiran dengan orang-orang soleh.

Apakah permintaan isteri Firaun, Siti Asiah? Dalam A-Quran disebutkan permintaanya iaitu:
“Wahai Tuhan-Ku, bangunlah untukku disisi-Mu rumah”.

Sy. Siti Asiah tidak kata, “bangunlah rumah untukku", tetapi dia berkata, "bangunlah untukku disisi-Mu rumah”. Dengan siapa dia berjiran yang didahulukan sebelum rumahnya diminta dibinakan. Begitulah pepatah Arab ada berkata, “Tengok jiran dulu, baru beli rumah.” Inilah pemahamam mendalam isteri Firaun untuk berjiran dengan Allah ketika di akhirat nanti.

Seorang sahabat diminta menyatakan hajatnya kepada Rasulullah SAW. Dia menolak pada awalnya tapi Rasulullah menyuruh juga, lalu dia meminta waktu untuk memikirkan. Setelah berfikir, dia menyatakan hasrat untuk berjiran dengan Nabi SAW di syurga nanti.

Perkara-perkara ini menunjukan kepentingan jiran. Oleh itu, jadilah kita jiran yang baik. Kebaikan sebagai jiran akan memberi faedah bukan hanya di dunia tetapi juga diakhirat nanti.

Seorang yang pernah membunuh 100 orang ingin bertaubat dan dia dinasihatkan untuk berpindah ke kampung yang penduduknya soleh yakni dalam kejiranan yang baik. Dia meninggal dalam perjalanan, dan kerana jaraknya lebih dekat ke kampung orang soleh itu, dia pun dimasukkan ke syurga.

Semoga Allah beri kita kefahaman untuk menunaikan hak jiran dan menjadikan kita jiran yang baik. Amin Allahumma Amin.



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab