Fiqh Al-Sirah #71 - Perang Muktah
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Perang Muktah
Berlaku pada tahun 8 Hijrah, selepas umrah Qada’. Perjanjian
Hudaibiyah berlaku pada tahun ke-6, dan Nabi SAW mengqada umrah pada tahun
ke-7H.
Muktah ialah tempat berdekatan dengan Syam, sekarang lebih dikenali
denagn nama Kirk, di Jordan. Kawasan itu dibina tugu yang menceritakan sebab
kejadian, dan siapa yang syahid dalam perang itu. Hingga hari ini, kawasan ini
masih ada untuk diziarahi.
Perang ini berlaku kerana pengkhianatan Raja Busyra, yang membunuh
seorang utusan Baginda SAW iaitu Al-Harris ibni Umair Al-Azadi. Ini merupakan
satu pengkhianatan kerana undang-undang peperangan ketika itu juga tidak
membenarkan utusan dibunuh.
Nabi SAW ingin menuntut darah daripada Al-Harris dan meminta
diserahkan pembunuhnya tetapi tidak dihantra. Maka, baginda menghantar seramai
3000 orang tentera dengan 3 orang ketua. Pasukan tentera itu terdiri daripada
ramai para sahabat.
Ketua mereka yang pertama ialah Zaid ibnu Harithah. Zaid ini pernah
menjadi anak angkat nabi dan digelar Zaid ibnu Muhammad. Zaid dididik di rumah
Rasulullah dan termasuk antara yang pertama beriman kepada Rasulullah SAW.
Beliau adalah awalnya hamba sahaya isterinya Siti Khadijah yang kemudian
dihadiahkan kepada Nabi SAW, dan dibebaskan. Beliau dipanggil Zaid ibnu
Muhammad sehinggalah turun ayat Allah melarang membinkan dengan bukan ayah yang
sebenar. Baginda SAW memilih orang yang dekat di hatinya (disayangi). Nabi SAW
ingin menunjukkan bahawa tiada pilih kasih dalam soal menegakkan agama.
Ketua kedua ialah Jaafar bin Abi Talib. Jaafar ialah seorang yang
pernah dipuji oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud- "Kamu ini
mirip dengan saya” yang membawa maksud sama perawakan dan akhlaknya. Ketika
hadis itu disampaikan, Jaafar terlalu teruja beliau menggerakkan kaki seakan-akan
menari. Gerakan itu belum pernah dilihat oleh bangsa Arab apatah lagi kaum
Muslimin. Lalu ditanya nabi SAW akan apa yang dilakukannya itu. Jaafar
menerangkan, “Ya Rasulullah, kami di Habsyah (tempat Jaafar tinggal lama sebelum
berhijrah) dulu melihat orang An-Najasyi melakukan ini dan mengeliligi orang
yang membuatkan mereka gembira.” Nabi
SAW pun tidak melarang atau mengherdiknya atau menghina perbuatan itu. Jaafar
juga merupakan sepupu kepada Rasululah SAW.
Jika Zaid syahid, yang memegang bendera muslimin ialah Jaafar. Jika
Jaafar syahid, maka yang memegang bendera muslimin ialah Abdullah ibnu Rawahah.
Jika Abdullah ibnu Rawahah syahid juga, maka hendaklah kaum muslimin bersepakat
mencari pemimpin di antara mereka. Nabi SAW mewasiatkan agar tentera muslimin mengajak
orang Rom beriman dahulu, jika mereka menolak barulah meminta pertolongan Allah
untuk memerangi mereka.
Ketika baginda memberi arahan seperti itu, ada orang Yahudi yang
mendengar. Orang Yahudi itu bernama An-Nukman, berkata kepada 3 orang ketua
yang dipilih, “Bagi kami, bilamana Nabi kami berkata yang demikian (yakni jika
fulan dibunuh, si fulan ganti, jika dibunuh juga, si fulan ganti), maka apa
yang disebut itu akan berlaku. Jadi, jika Muhammad ialah Rasulullah, maka apa
yang dikatanya pasti akan berlaku.Ketiga-tiga ketua itu menjadi semakin
bersemangat dan menolak keraguan daripada hawa nafsu yang mungkin mengganggu
dengan rasa takut mati.
Nabi SAW menghantar mereka dan mengucapkan selamat tinggal sehingga
tiba ke kawasan (saniwatul wada’) yang menjadi laluan ketika mana Nabi SAW
sampai ketika peristiwa Hijrah. Pada waktu itu, Abdullah ibnu Rawahah menangis
dan sahabat pun bertanya mengapa. Jawabnya, "Demi Allah, saya ini menangis
bukan kerana cintakan dunia akan tetapi saya menangis kerana saya mendengar Nabi
SAW membaca ayat Quran yang bermaksud – “Setiap kamu pasti akan melalui neraka
jahannam, yang demikian itu adalah ketentuan Allah Ta’ala”. Jadi, saya tidak
tahu bagaimana keadaan saya nanti. Subhanallah, tidak semakin tinggi kedudukan
seseorang di sisi Allah, melainkan dia akan semakin segan dan takut kepada
Allah. Abdullah ibnu Rawahah ialah seorang yang diredhai Nabi SAW, dia
mengikuti semua perang bersama Nabi SAW, dia mempunyai hubungan baik dengan
Rasulullah SAW, dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah, tetapi dia
tidak menjadikan kedudukan itu sebagai jaminan atau merasa bangga dengan
kedudukannya itu. Itulah keadaan mereka yang terdidik di madrasah Rasulullah
SAW. Tidak semakin tinggi kedudukan pada sahabat melainkan akan semakin takut.
Kaum muslimin mendoakan tentera yang ingin pergi – “Semoga Allah
menemani kepada kamu, melindungi kepada kamu dan mengembalikan kamu kepada kami
dalam keadaan solihin (yakni selamat). Seruan doa itu dijawab oleh sy. Abdullah ibnu
Rawahah, “Saya memohon kepada Yang Maha Pengasih Pengampunan dan saya
menharapkan pukulan mengenai tubuh badan saya atau tusukan yang mengenai saya
yang menjatuhkan saya dengan satu tombak yang mengenai anggota tubuh badah saya
atau hati saya (kiasan kepada syahid) sehingga nanti perkara yang saya harapkan
kepada Allah itu dapat orang melalui jasad/kubur saya dan mengatakan – Allah
memberi hidayah kepada orang-orang yang berperang dan sungguh Allah telah
memberi kepadanya (kepada Abdullah) hidayah.” Intipati baitnya ialah dia berdoa agar syahid
dan tidak kembali lagi. Tentera pun bergerak dan sampai ke satu kawasan dan
berhenti menyusun strategi. Mereka mendengar berita bahawa ada tentera bantuan
Hercules dan jumlah semua tentera yang menanti mereka seramai 200 ribu yang
lengkap memakai baju besi. Ada riwayat lain mengatakan 250,000. Nisbahnya ialah
1 melawan 50 orang – jumlah yang begitu besar! Kaum Muslimin pun membincangkan
adakah perlu diberitahu berita itu kepada Rasulullah SAW yang mungkin Nabi menghantar
tentera bantuan atau memberi arahan yang lain. Abdullah ibnu Rawahah berkata,
"Wahai sekalian, demi Allah, yang kamu sedang bincangkan dan sedang
khuatir ini – yakni jumlah kekuatan yang begitu hebat - adalah hakikat yang
kamu keluar ini untuk mencarinya (perang dan syahid)”. Mereka keluar untuk
dapatkan syahid di jalan Allah. “Sesungguhnya kami ini berperang bukan kerana
banyaknya pasukan atau adanya kekuatan kepada kami. Dan kami memerangi orang
tidak beriman kerana agama Islam.
Sesungguhnya yang kamu akan dapat dalam perang ini – menang atau syahid. Dan
sesungguhnya kedua-dua perkara ini adalah baik bagi kamu.” Kata-kata itu
membakar semangat para tentera dan mereka meneruskan perjalanan sehingga sampai
ke Muktah. Jumlah tentera musuh yang ramai mengelilingi pasukan tentera
Muslimin yang kecil umpama benda yang kecil berada di atas ombak lautan yang
besar.
Pada akhirnya peperangan ini berlaku dan mengajar kita akan semangat
membela agama ini dan mantapnya keyakinan dengan apa yang dijanjikan Allah SWT
yang merupakan hakikat keimanan seseorang kepada Allah.
Pengajaran:
3000 orang tidak beranjak, tidak berpatah balik ke Madinah dalam
keadaan mereka tahu akan berdepan dengan 200/250 ribu orang. Tiada yang
menggetarkan atau menakutkan mereka kerana yang mendorong mereka ialah iman
kepada Allah yang amat luar biasa yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana
keimanan selain daripada sahabat Nabi SAW.
Apa yang berlaku setelah itu, insyaAllah bersambung pada masa akan datang.
Semoga kisah peperangan yang penuh keajaiban ini akan dapat dihayati dan dengan
itu akan menambah keimanan kita kepada Allah, keyakinan kita kepada Allah
sehingga tidak bergantung kecuali kepada Allah, tidak meletakkan keyakinan
mutlak kecuali kepada Allah dan tidak bersandar kecuali kepada Allah, dan
dengan itulah kemenangan diraih oleh kaum muslimin, baik dalam melawan musuh
yang nyata seperti syaitan atau musuh islam atau musuh tersembunyi di dalam
hati kita daripada hawa nafsu. Musuh ketat kamu ialah hawa nafsu yang berada
dalam hati kamu. Semoga Allah beri kita kekuatan melawan musuh yang nampak dan
yang tidak nampak.
p/s: Di sini ada rakaman siri-siri Fiqh Al-Sirah daripada aie125