Bersedia Untuk Dihitung (1) - Tanyalah Ustaz 05.06.2013


Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim


Surah Al-Isra’, ayat 34-38


Alhamdulillah diizinkan bertemu dalam majlis ilmu yang paling diminati ramai – Tanyalah Ustaz. Sebenarnya tuan-puan sudah menjadikan rumah sebagai “Raudhah” dengan hanya membuka rancangan ini. Tajuk hari ini agak berat kerana kita semua ingin melihat apakah amalan kita yang akan dihitung di akhirat nanti.

Dalam ayat yang dibacakan ini, Allah menerangkan secara umum tentang perkara yang akan Allah hitung. Kita tidak sangka bahawa setiap langkah yang kita ambil – sama ada baik atau tidak – semuanya akan dihitung.

Dalam ayat 34 – Allah berpesan agar kita tidak makan harta anak yatim. Nabi SAW bersabda yang baginda akan berada dekat dengan orang yang membela nasib anak yatim. Dalam ayat seterusnya, Allah berpesan agar kita terutamanya peniaga tidak menipu dalam timbangan mereka. Ini sebenarnya juga sebagai simbolik agar kita menjaga hubungan baik dengan manusia. Biasanya ramai yang boleh menjaga hubungan baik dengan Allah, tetapi gagal menjaga hubungan dengan manusia. Inilah yang Nabi SAW takuti akan berlaku kepada umatnya iaitu muflis di akhirat apabila semua pahala amalannya diberi kepada manusia yang pernah disakiti atau diambil hak mereka secara tidak adil. Contoh mudah – kita beli nasi lemak, tapi didapati telurnya dibelah 12, dan ikan bilis cuma 2 ekor dan yang lainnya bawang sahaja. Ini secara tidak langsung telah menipu pelanggan yang telah membayar harga mahal. Perniagaan seperti ini akan hilang keberkatannya.

Senarai soalan dan jawapan
S: Benarkah sifat malu juga akan dihitung Allah? Mohon penjelasan.
J: Ya. Dalam satu hadis, riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda, “Jika kamu tidak malu, buatlah apa saja”. Ulama hadis mentafsirkan maksudnya bahawa Nabi SAW bercakap berlapik atau sekadar memberi kiasan. Contoh serupa pada zaman dahulu – jika anak nakal, ibu bapanya akan berkata “bertuahnya budak” sedangkan yang dimaksudkan ialah sebaliknya. Oleh itu, maksud yang sebenar Nabi SAW ialah melarang kita berbuat sesuatu yang menjatuhkan maruah di dunia. Oleh itu, lelaki dan perempuan, kedua-duanya perlu menjaga aurat supaya tidak diperhitungkan dan diaibkan di hadapan Allah nanti. Kita juga perlu malu dengan nikmat yang Allah berikan dengan mentaati suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Kita juga perlu berbuat baik kepada ibu bapa kerana dengan jasa merekalah kita berada di dunia ini.

S: Mengapa lidah ialah anggota paling banyak dihisab?
J: Allah akan hitung hubungan kita dengan-Nya dan dengan manusia lain. Allah akan tanya apa kita buat untuk merapatkan silaturrahim dan lidah memainkan peranan sangat penting. Lidah boleh membawa kita ke syurga dan sebaliknya. Jika digunakan untuk berzikir dan menyampaikan dakwah dan kebaikan, maka ia akan menjadi saksi baik yang boleh membawa seseorang itu ke syurga. Jika digunakan lidah untuk menyakiti orang lain – walaupun yang kita tidak sedar – contohnya kita berkata “Eh, kau bodohlah”, yang membuatkan orang itu terasa hati dan tidak memaafkan kita, maka dia akan datang menuntut haknya disakiti dengan mengambil pahala kita atau menambah dosa kita di akhirat nanti.

S: Apakah perkara yang dipelihara daripada lidah?
J: Jauhi lidah daripada menyebut perkara yang langsung tidak memberi faedah kepada kita. Contohnya, jika nampak jiran beli kereta baru, lidah mesti terus mengucapkan tahniah dan menunjukkan rasa gembira dengan nikmat yang diberi kepadanya. Biarpun dalam hati kita geram, jangan dilafazkan. Jangan kita menaruh syak-wasangka dan membawa cerita yang mungkinkah dia terlibat dengan sindiket haram. Kita jangan bercakap perkara yang tiada faedah keapda kita. Dalam satu kisah Aisyah bertanya, “Bagaimana kita akan dibangkitkan di akhirat kelak?”. Nabi SAW menjawab, “Semua akan dibangunkan dalam keadaan tidak berpakaian”. Aisyah terkejut tetapi Nabi SAW memberitahu bahawa semua orang tidak lagi peduli kerana mereka lebih takutkan hisab amalan mereka sehingga tidak terfikirkan pasal aurat lagi.
Kedua – jangan kita menokok-tambah cerita yang didengari kerana dikhuatiri akan menjadi fitnah pula. Kesan keburukan fitnah lebih besar dan boleh melibatkan seluruh keturunan orang yang difitnah itu. Oleh itu, lebih baik jangan bercakap perkara yang kita tidak tahu. Lebih baik kita memuji orang banyak-banyak. Oleh itu ada satu pepatah mengatakan, “Sesungguhnya orang yang diam itu akan berjaya”.

S: Ada orang berilmu tetapi suka menghina orang. Adakah mereka akan masuk syurga?
J: Ini lagi satu bahaya lidah. Orang seperti ini tidak akan masuk syurga selagi orang yang disakitinya tidak memaafkannya.

S: Betulkah dengan lagu pun boleh masuk syurga?
J: Sekarang kita membincangkan tentang telinga. Jika kita mendengar syair, lagu yang mengingatkan kita kepada Allah, maka ianya baik. Tetapi, jika kita mendengar lagu yang melalaikan, maka ianya boleh membawa kepada dosa.

S: Bagaimana dengan sikap orang yang suka perli-perli?
J: Itu bukan sifat Nabi SAW. Kita perlu bersikap lebih berterus-terang dan menegur dengan benar jika perkara itu benar. Jangan puji orang naik pangkat, tapi di hujung ayat kita kata dia kuat ‘mengipas’ pula. Jika hatinya sakit, maka kita telah berdosa.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab