Cantik Yang Beracun (2) - Tanyalah Ustaz 25.06.2013


بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
Ustaz Dr. Sukki Othman



Bacaan surah Ali-Imran, ayat 14:


Manusia memang dijadikan tertarik kepada wanita, anak-anak, harta benda di dunia. Namun Allah ingatkan bahawa kehidupan dunia ini sementara saja dan manusia tidak sepatutnya terpedaya dan melupakan kehidupan akhirat. Ada ulama mengatakan bahawa ‘shahwat’ dalam ayat ini merujuk kepada perkara yang boleh menjadi hijab dengan Allah.

Senarai soalan dan jawapan

S: Adakah dibenarkan mencari jodoh dengan wanita yang cantik?
J: Fitrah manusia memang sukakan sesuatu yang cantik. Tetapi dalam mencari jodoh, Nabi SAW mengajarkan agar melihat kepada kecantikan, harta, keturunan dan agamanya. Jika dapat keempat-empatnya itu memanglah yang terbaik. Jika tidak dapat, Nabi SAW mengajar mengutamakan yang beragama. Kecantikan fizikal akan hilang juga suatu hari nanti, tetapi kecantikan agama akan mewujudkan kecantikan akhlak dan membawa kebahagiaan dalam keluarga. Sekiranya hanya cantik fizikal yang diutamakan belum tentu akan mendapat bahagia kerana dikhuatiri jika isteri itu berlaku curang kerana tidak faham agama.

S: Mohon ustaz terangkan bagaimana cantik boleh menjadi racun dalam rumahtangga?
J: Rumahtangga yang dibina atas dasar keimanan akan membawa mawaddah dan ketenangan. Tanpa keimanan, pasangan hanya bahagia ketika keadaan senang sahaja. Matlamat utama perkahwinan ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah. Oleh itu, walau apa pun keadaan yang dihadapi, pasangan perlu memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing. Disamping itu, majlis perkahwinan yang dilangsungkan perlu juga menepati syariat akan mendapat keberkatan di sisi Allah. Jangan biarkan majlis terlibat dengan unsur maksiat kerana ianya mengundang kemurkaan Allah.

S: Dalam bab makanan, kita mengutamakan yang sedap dan cantik, walaupun ianya tidak sihat. Apa pendapat ustaz?
J: Konsep makanan dalam Islam ialah yang halah dan toyyiba (baik). Kita perlu mengambil makanan yang baik agar dapat menjaga kesihatan, agar dapat melakukan ibadat dengan sempurna.

S: Apakah cinta itu racun?
J: Perlu dilihat bentuk cinta yang bagaimana. Cinta itu kasih sayang dan ianya fitrah dalam diri setiap manusia. Kita takkan boleh membuangnya daripada diri kita. Perasaan cinta pada Allah akan membuatkan kita rasa seronok beribadat dan memberi kita semangat. Cinta kepada Rasulullah SAW pula akan memberi semangat untuk kita mengikut sunnahnya dan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Bentuk cinta-cinta ini baik dan perlu dibajai. Cinta yang beracun ialah cinta kepada maksiat dan segala perkara yang Allah larang. Termasuk juga jika mencintai makhluk melebihi cinta kepada Allah.  Oleh itu, pastikan dalam diri kita ada cinta yang diredhai Allah sahaja.

S: Ajaran sesat nampak cantik tapi beracun. Mengapa ramai yang terpedaya?
J: Memang betul. Orang kita memang mudah terpedaya dengan tawaran “short-cut’ untuk masuk syurga seperti tak perlu solat, tak benarkan belajar dengan guru lain dan menggunakan tarikan wanita yang cantik. Oleh itu, Nabi SAW berpesan agar kita berpegang dengan Al-Quran dan sunnahnya agar tidak disesatkan.

S: Harta itu cantik. Adakah ianya boleh jadi racun?
J: Manusia memang sangat sukakan harta. Nabi SAW pernah bersabda, “Jika diberi anak Adam satu gunung emas, pasti dia inginkan yang kedua”. Islam tidak melarang mencari harta selagi ianya digunakan kepada jalan Allah. Kata Ibrahim bin Adham, letakkan harta di tangan kamu agar mudah dibahagi-bahagikan, jangan letak di hati. Nabi SAW berpesan agar tidak mengambil harta orang dengan cara bukan hak walaupun sebesar kayu sugi. Jangan kerana harta, manusia menjadi hamba kepada hartanya itu dan lalai dalam urusan agama.

S: Mana yang tebaik – luar cantik, dalam tak cantik atau dalam cantik, luar tak cantik?
J: Kita nak yang dalam cantik luar pun cantik. Tetapi yang utama ialah yang dalam cantik, kerana ianya akan membawa kepada luaran yang cantik juga. Inilah yang Nabi SAW maksudkan dalam hadis yang menyebut hati yang baik akan membawa kepada kebaikan. Namun ada orang yang nampak cantik di luar tapi tidak didalam. Imam Ghazali berkata maksiat batin lebih bahaya daripada maksiat zahir.


والله أعلمُ بالـصـواب


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab